Monday, February 2, 2009

Wadah baru Remaja


SHERINA NORDIN (dua dari kanan) bersama tiga hos baru Remaja (dari kiri), E'One, Azura dan Deq' Wan. Program itu muncul dengan wajah dan konsep baru bermula semalam.


SETELAH menjangkau usia 16 tahun rancangan televisyen popular khusus untuk golongan belia, Remaja sekali lagi mengalami transformasi apabila tampil dengan wadah dan wajah baru bermula 1 Februari lalu.

Mula diperkenalkan pada Mei 1993 dengan nama Remaja Serba Boleh (RSB), program itu telah diubah suai formatnya kepada bentuk infotainment.

Kini, Remaja lebih memberikan fokus kepada keperluan remaja masa kini, sejajar dengan peredaran zaman.

Tambahan pula, usia rancangan berbentuk majalah itu telah lama, memerlukan ia memainkan peranan yang lebih aktif dalam menjalankan tanggungjawab sosial khususnya dalam komuniti remaja tempatan.

Baru-baru ini pelancaran musim baru Remaja telah diadakan dan apa yang pasti pembaharuan Remaja dapat dilihat daripada segi konsep baru yang sesuai dengan aspirasi dan trend masa kini, sentuhan montaj dan grafik yang lebih ceria dan bertenaga.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Sherina Nordin optimis Remaja musim baru mampu menarik lebih ramai penonton khususnya di kalangan remaja yang berumur 13 hingga 21 tahun.

Seiring dengan musim terbaru ini, pengisian Remaja katanya, turut diperbaharui bagi menepati kehendak dan cita rasa remaja masa kini.

Turut menyelitkan elemen hiburan, pengisian segmen Remaja lebih menarik, berkonsepkan aktif, menyeronokkan serta bertenaga.

Paparan yang bakal diketengahkan juga meliputi gaya hidup, aktiviti fesyen, muzik, sukan, isu semasa dan banyak lagi.

Segmen terbaru, Remaja Open-Mic pula memberikan peluang kepada semua remaja yang berbakat dalam bidang muzik dan nyanyian atau lebih dikenali indie band.

Muzik indie diberi peluang memandangkan ia semakin mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan.

Remaja melalui segmen ini ingin menyediakan platform kepada kumpulan remaja indie untuk menonjolkan bakat mereka sambil menghiburkan penonton remaja.

Satu lagi segmen terbaru ialah Career @ Remaja. Segmen ini memfokuskan remaja dan kerjaya. Melalui segmen ini, Remaja memberi inspirasi kepada golongan penonton remaja mengenai bidang kerjaya yang ingin diceburi.

Career @ Remaja ini boleh dijadikan panduan terutamanya remaja yang ingin atau masih tercari-cari kerjaya idaman mereka.

Refleksi yang merupakan segmen bual bicara santai akan terus berfungsi membincangkan isu-isu semasa mengenai pergolakan dalam dunia remaja sama ada melibatkan perkara positif mahupun sebaliknya.

Segmen ini merupakan kepekaan dan keprihatinan krew Remaja dalam berkongsi idea dan saranan untuk bersama-sama memimpin remaja dalam mengharungi cabaran arus globalisasi.

Tidak hanya bertumpu kepada studio, ada kalanya Refleksi juga akan melibatkan aktiviti luar studio seperti kem motivasi dan sebagainya.

Selain itu, segmen Hot, Happening & Stylo akan membincangkan perkara berkenaan gaya hidup remaja sekarang, selain daripada fesyen dan aksesori terkini yang menjadi kegilaan remaja.

Tidak hanya bertumpu kepada penampilan fizikal semata, panduan dalam memilih fesyen dan aksesori yang bersesuaian dengan dengan gaya penampilan selain turut membawa penonton ke aktiviti, majlis atau tempat-tempat menarik yang menjadi tumpuan golongan muda-mudi.

Bagi peminat teknologi, Gadgets terus menemui peminat dengan meneliti dan memperkenalkan peralatan terkini yang terdapat di pasaran. Ia juga meliputi fungsi dan keistimewaan alatan tersebut.

Tidak ketinggalan, segmen Buletin yang akan terus melaporkan berita-berita yang berkaitan dengan remaja dari semua aspek.

Muka baru hos Remaja

Selaras dengan pembaharuan Remaja, pengacaranya juga turut berubah.

Melibatkan orang yang berbeza, E'One, Azura dan Deq'Wan sebagai pengacara baru, sekali gus menjadi koleksi pengacara Remaja.

Sebelum ini, Remaja pernah dikemudi oleh Kamarul Bahrin, Intan Hamzah, Aidid, peserta Mentor musim pertama, Nabil dan yang terbaru Juliana Evans yang bergandingan dengan Aliff.

Namun, kelainan pengacara Remaja pada musim baru ini juga terletak pada wajah tiga anak muda iaitu E'One, Azura dan Deq'Wan.

Ketiga-tiga mereka akan membawa penonton mendalami topik perbincangan dengan melibatkan diri secara langsung dalam mencari bahan dan melakukan tugas pengacaraan dengan cara mereka sendiri.

Menurut Penerbit Eksekutif Remaja, Azura Karim, pembaharuan fungsi pengacara tersebut yang lebih berfungsi sebagai wartawan penyiaran dilihat perlu bagi mendekatkan diri pengacara kepada penonton dan orang ramai.

"Apabila mereka (pengacara) turun padang, melakukan kajian serta melakukan sesuatu perkara sendiri akan menyediakan mereka untuk mengupas tentang topik yang hendak diketengahkan dengan lebih baik lagi.

"Ini sekali gus dapat meningkatkan kualiti kerja program Remaja," katanya.

Bermula semalam, penonton TV3 berpeluang menonton dimensi baru Remaja yang akan disiarkan pada setiap hari Ahad pukul 7 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: