|
|
DUA pelakon ini tidak henti melafazkan syukur apabila dipilih penerbit dan pengarah tersohor, Erma Fatima untuk membintangi teater muzikal Islamik, Sirah Junjungan musim kedua yang akan membuka tirainya pada 9 Mac depan selama dua minggu di Istana Budaya.
Masakan tidak, watak yang bakal dibawakan mereka bukanlah calang-calang kerana ia merupakan watak yang cukup penting dalam sejarah Islam.
Apatah lagi, pemilihan mereka adalah untuk menggantikan dua pelakon asal musim lalu iaitu Norish Karman dan Ellie Suriaty yang membawakan watak Siti Khadijah dan Hendon
Namun bagi, Vanidah Imran dan Rebecca Nur Al-Islam, masing-masing tidak mahu terlalu fikirkan kecemerlangan dan kehebatan pelakon sebelum ini dalam menjayakan watak Siti Khadijah dan Hendon itu.
"Bagi saya, bukanlah satu perkara yang mudah untuk membawakan watak isteri Rasulullah yang hanya perlu berlakon dan bersuara di balik tabir. Kedengaran agak senang tapi sebenarnya, ia memerlukan permainan emosi dan lontaran vokal bagi menggambarkan usia dan keterampilan Siti Khadijah.
"Jujurnya, saya tidak menonton lakonan Norish tahun lalu dan kalau boleh, saya tidak mahu menontonnya kerana saya bimbang akan terpengaruh. Biarlah saya memberikan lakonan mengikut gaya saya sendiri," kata Vanidah atau lebih mesra di sapa sebagai Vee pada sidang media baru-baru ini.
Meskipun penglibatannya hanyalah sekadar dua adegan sahaja tetapi bagi ibu kepada dua orang anak ini, dia ternyata teruja dengan tawaran yang diberikan Erma kepadanya.
Teater Islamik
"Inilah yang dikatakan cabaran dan sepanjang 15 tahun menjadi seorang pelakon, ini juga kali pertama saya mendapat peluang membintangi sebuah teater Islamik yang amat jarang sekali dipentaskan di negara ini.
"Saya juga pernah menyumbang suara untuk iklan dan membintangi drama radio, namun, cabaran dalam Sirah Junjungan cukup berbeza. Kepercayaan yang diberikan Erma kepada saya ini tidak mungkin akan saya sia-siakan," jelas Vee penuh semangat.
Vee turut menyatakan pendapatnya tentang Erma yang disifatkannya sebagai seorang pengarah yang berdedikasi dan senang untuk berkerja.
"Cuma saya kecewa dan sedih apabila perjuangan untuk memartabatkan teater muzikal Islamik di negara ini tidak diendahkan serta dipandang sepi oleh syarikat swasta dan korporat," luahnya dalam nada kesal.
Bagi pelakon baru, Rebecca atau Becca, dia bagaikan tidak percaya apabila pengarah filem Jimi Asmara dan Perempuan Melayu Terakhir itu menawarkan watak Hendon kepadanya.
Apatah lagi, Hendon yang diketahui sememangnya seorang wanita yang kejam sehingga sanggup merobek dada Saidina Hamzah dan memakan jantungnya.
"Memang saya tidak menafikan saya agak takut untuk memegang watak ini. Apatah lagi apabila melihat keberanian dan kesungguhan Ellie membawakan watak ini, ia membuatkan saya lebih gementar.
"Mujurlah dengan semangat dan bantuan Erma, saya yakin dapat melakukan yang terbaik demi memuaskan hati Erma selaku pengarah," katanya lembut.
Apa yang diharapkan oleh Becca adalah penonton yang menyaksikan lakonannya kelak tidak akan cuba membandingkan dirinya dengan Ellie.
Seperti mana Vee, wanita berkulit putih ini memberitahu, sebagai seorang pelakon, dia cukup merasakan cabarannya dalam membawakan watak Hendon ini.
"Apabila membaca skrip, saya amati betul-betul dan apa yang saya perhatikan, dialognya memang panjang manakala babaknya pula sedikit. Itulah masanya yang perlu saya fokus dan berikan impak yang besar kerana momentumnya bermula dari situ.
"Pada mulanya, saya agak skeptikal untuk membawakan watak ini kerana bimbang tidak mampu memberikan yang terbaik tetapi, Erma sendiri yang menjelaskan saya lebih sesuai untuk watak jahat," ujarnya pelakon berusia 23 tahun ini lagi.
Peluang keemasan
Jelasnya lagi, alasan utama dia menerima tawaran Erma adalah kerana dia begitu menghormati pendirian primadona itu yang gemar melakukan kerja atas nama kebajikan.
"Adalah menjadi satu kerugian besar jikalau saya menolak untuk berlakon teater kerana saya menyifatkan ini satu peluang keemasan yang tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja.
"Meskipun saya pernah terlibat di dalam dua pementasan teater sebelum ini iaitu Anum dan Di Mana Bumi Dipijak tetapi Sirah Junjungan amat berbeza. Berilah saya ruang untuk menonjolkan bakat saya kepada khalayak," jelasnya yang mempunyai seorang anak angkat, Nor Adam Daniel yang sudah pun berusia 10 bulan.
Selain Vee dan Becca yang hanya dua pelakon wanita dalam pementasan ini, Sirah Junjungan turut dibintangi oleh Ahmad Yatim, Aman Graseka, Jesse Lim, Norsiah Yatim, Wong Sip Nen, Shahronizam Noor dan ramai lagi.
Bukan itu sahaja, Sirah Junjungan turut menampilkan empat penyanyi undangan iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Amy dan Mawi pada malam yang berbeza.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: