SETELAH menunjukkan prestasi yang tidak begitu memberangsangkan hampir saban minggu, tiba-tiba saja Gelanggang Raja Lawak minggu ketujuh minggu lepas terasa kehangatannya.
Antara sebab utama, mungkin kerana tugasan yang diberi oleh juri jemputan, Salih Yaacob iaitu 'komedi muzikal' lebih menepati selera kesemua peserta. Juga tip dan bimbingan yang diberi oleh Salih dapat meresap ke dalam minda setiap peserta.
Rata-rata kesemua peserta dapat membawa tema yang diberikan, cuma keberkesanan dan idea lawak yang dilontarkan itu saja yang berbeza penerimaannya.
Tip berharga yang diberikan oleh pelawak atau juri jemputan Salih Yaakob nampaknya dimanaafatkan dengan baik kerana peserta dilihat lebih bertenaga dan beraksi seperti yang diharapkan.
Antara yang paling ketara menampakkan kesempurnaan lawak ialah kumpulan trio 'Sepah.'
Kumpulan yang terdiri daripada Shahmira Muhamad, Mohd Nadzri Zainal Abidin dan Mohd Noor Murad yang berusia 23 tahun ini jelas berjaya memikat hati penonton dan para juri. Lawak spontan, bersahaja dan idea lawak yang menjadi membuat penonton tidak kering gusi dengan persembahan Sepah.
Sewajarnya pusingan ketujuh Raja Lawak milik Sepah meskipun undian SMS di permulaan rancangan berpihak kepada kumpulan LNJ.
Keriuhan di studio Jumaat berjaya menggamatkan suasana. Sudah lama benar tidak mendengar hiruk piruk begitu. Seolah-olah semua sepakat menabalkan 'Sepah' sebagai juara baru?
LNJ ternyata masih lemah dan fokus tema juga agak meleret dan 'pick up line' juga agak lambat sehingga timbul sedikit kebosanan.
Hanya setelah masa hampir tamat, barulah LNJ mengundang hilaian ketawa dari penonton.
Peserta paling muda, Amir masih tidak berubah. Lawak yang 'dipaksa-paksa' dan 'slapstick' gagal memancing undi sehingga juri juga terpaksa akur yang Amir jauh ketinggalan.
Walaupun semua berharap agar Amir dan peserta wanita, Jihan akan sampai ke garisan penamat, namun melihat kepada persembahan mereka yang lemah pada setiap minggu, rasanya laluan mereka tidak semudah yang dijangka.
Kumpulan Chot, yang terdiri dari dua anak muda, tidak mengecewakan tetapi lawak 'predictable' (sudah dijangka) mereka membuat penonton sedikit kecewa.
Pilihan pengkritik untuk minggu ketujuh ialah Sepah, diikuti Amir dan Chot.
Seperti pilihan pengkritik, para pengundi SMS juga memilih Sepah mendahului peserta lain. Kumpulan ini memperolehi peratusan undian tertinggi iaitu sebanyak 22.79%.
Sepah sememangnya hebat dan sering saja mendapat sorakkan gemuruh daripada penonton kerana memberi persembahan yang menghiburkan dengan nyanyian yang sedap didengar dan ada nasihat.
Tiga peserta yang berada di kedudukan tercorot adalah LNJ, Chot dan Am. LNJ memperolehi peratusan undian sebanyak 14.36%, diikuti dengan Chot sebanyak 13.43%.
Namun semua peserta terselamat apabila Jozan mengumumkan tiada penyingkiran, sekaligus menyelamatkan Am yang berada di tangga terbawah dengan hanya memperoleh peratusan undian sebanyak 12.98%.
Pengumumkan yang disampaikan oleh Fauziah Nawi menjadi satu 'pentas drama' pula apabila juri yang dikenali dengan panggilan 'Ibu' itu mendendangkan lagu bernada hampa.
Kehangatan suasana sekali lagi terasa apabila para peserta dan penonton bersorak bersama 'Ibu'.
Oleh kerana tiada penyingkiran, maka Gelanggang Raja Lawak masih kekal enam (6) peserta.
Minggu ini difahamkan akan ada dua penyingkiran. Apapun, Sepah sudah hampir pasti menempah tempatnya di pusingan final nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: