Marcell dan Rima Melati bernikah di Singapura
BENAR pepatah orang dahulu, asam di darat ikan di laut, di dalam kuali bertemu juga. Maka begitulah kehidupan cinta seorang Rima Melati yang bertapak di Singapura dengan penyanyi terkenal Indonesia, Marcell.
Indah panggilan nama masing-masing. Marcell memanggil Rima dengan nama Melati manakala Rima, 28, banyak menulis nama Kirana Hamonangan Siahaan, 31, dalam blognya berserta rasa cinta dan yakin menjadi kismet Marcell.
Maka termeterai cinta di atas satu perhubungan dengan melangkah ke alam perkahwinan.
Pasangan bercinta ini bersetuju menjadi pelengkap hidup masing-masing dan hati telah tahu bahawa mereka berjumpa orang yang tepat.
Pada tarikh keramat mereka - 28 Januari 2009, mereka sah menjadi suami isteri menerusi pernikahan yang dianggap Marcell sebagai rahsia Tuhan.
Majlis pernikahan yang diadakan di Restoran Tepak Sireh, Singapura itu cuma dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak. Ternyata mereka berjaya mengadakan majlis dengan aman dan tertutup seperti yang mereka hajatkan.
Malah atas dasar kesederhanaan, mas kahwin juga tidak disediakan untuk pernikahan kali kedua Marcell mahupun Rima ini.
Memilih tema biru untuk malam pernikahan mereka, Rima menyarungkan pakaian daripada L.A.B Bridal Couture. Majlis turut diserikan dengan nyanyian Imran Ajmain dan Man Toyak.
Pastinya persoalan agama di antara pasangan ini menjadi bahan bualan ramai. Ternyata perbezaan agama di antara mereka bukanlah menjadi masalah untuk hati dan jasad bersatu.
Rima Melati beragama Islam sementara Marcell adalah penganut agama Buddha dan masing-masing masih kekal dengan fahaman tersendiri.
Bagaimanapun perbezaan itu bukanlah penyebab besar majlis tersebut dijalankan di Singapura. Tetapi memandangkan keluarga pihak perempuan lebih ramai bermastautin di Singapura, maka kota Singa menjadi tempat pilihan mereka.
Malah seakan-akan sudah memikirkan bakal berungkai persoalan agama ini, Marcell terlebih dahulu menulis dalam blognya:
"Masyarakat yang damai adalah masyarakat yang seimbang, iaitu masyarakat yang dengan lapang dada mampu menerima dan menghargai perbedaan dan pada masa yang sama tidak mengetepikan dan meremehkan aturan dan norma yang berlaku.
"Dan motivasi daripada kesemua tindakan ini tiada lain adalah rasa cinta dan kasih."
Rima Melati yang dihubungi lewat panggilan telefon kedengaran bahagia namun masih dalam kekalutan menyiapkan banyak perkara tertunggak. Sewaktu dihubungi, pasangan ini dalam perjalanan pulang ke negara kelahiran Marcell, Indonesia.
Ternyata perkahwinan dan peluang kali kedua dalam hidup masing-masing digunakan sebaik mungkin untuk menjadi pelengkap melayari kehidupan.
Sebelum ini Marcell pernah menikahi penulis terkenal Dewi Lestari dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Keenan berusia empat tahun.
Manakala Rima pernah menjadi suri hati lelaki bernama Davin James Cook serta dikurniakan seorang anak lelaki bernama Edga yang kini berusia 20 bulan.
Jodoh dan maut memangnya di tangan Tuhan. Siapa tahu perkenalan awal tahun 2006 sewaktu masing-masing masih bergelar suami dan isteri pasangan lain merupakan detik penyatuan mereka hari ini.
Laman web Facebook menjadi penghubung dan akhirnya temu janji pertama pada April 2007 menjadi titik awal dan memori indah buat pasangan ini
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: