CERITA artis 'demand' untuk bayaran persembahan mahupun berlakon bukan perkara baru, malah sejak dulu, isu artis letak harga sering diperkatakan. Terbaru, bintang kelahiran program realiti popular, Dafi turut menjadi rebutan untuk beraksi dalam filem dan terkena tempias apabila dikatakan demand.
Soal bayaran yang diterima ada kalanya sensitif untuk diperbahaskan. Maklumlah, ia membabitkan periuk nasi seseorang. Ada di kalangan artis yang tidak meletakkan harga tetap kepada penganjur namun ada pula menetapkan bayaran tinggi memandangkan populariti dan kebolehan sedang memuncak.
Begitu juga yang berlaku pada Dafi. Kononnya Dafi letak harga RM40,000 apabila ditawarkan untuk berlakon sebuah filem. Amboi, tingginya bayaran sedangkan dia baru saja nak belajar berlakon, terkedu seketika Raja mendengarnya. Sejauh manakah kebenaran cerita yang didengar itu, hanya empunya diri yang mampu mengesahkannya.
Sumber memberitahu, sebelum datang uji bakat, Dafi awal-awal memberitahu harganya RM40,000. Terbeliak biji mata pengurusan sebuah produksi filem mendengarnya, maklumlah mereka baru memanggil Dafi untuk uji bakat, belum tentu ambil Dafi berlakon. Mendengar harga yang diletakkan Dafi, mereka tentu fikir dua, tiga kali nak ambil Dafi berlakon.
Maklumlah ramai lagi muka-muka laris yang boleh diketengahkan, harga pun tidaklah mencanak tinggi begitu. Kemunculan Dafi belum tentu boleh membawa pulangan modal malah filem pertama Dafi, Sayang You Can Dance belum pun teruji lagi pasarannya. Sejauh mana Dafi boleh berlakon atau sebaliknya, belum diketahui.
Mungkin Dafi mempunyai alasan tersendiri kenapa semakin demand. Maklumlah, Dafi tengah laris sekarang, macam pisang panas goreng. Bukan saja laris sebagai penyanyi dan pelakon malah mukanya comel juga jadi buruan produk dan pengiklan. Ketika Raja bersama wartawan hiburan Berita Harian mengunjungi Jakarta, Indonesia tahun lalu, kami terkejut melihat muka Dafi dan Gita Gutawa terpampang sana sini dalam papan iklan di Jakarta.
Terbit juga rasa bangga di hati, ada lagi seorang anak seni Malaysia yang boleh memecahkan tembok di sana. Kita sedia maklum bukan mudah nak mencipta nama di Indonesia, mereka mempunyai ramai model dan pelakon berdarah kacukan, wajah sekacak George Clooney dan Hugh Jackman pun ada...
Kalau benarlah apa yang didengar, Raja rasa Dafi kena fikir-fikirkan. Sebabnya dalam ekonomi dan pasaran perfileman yang semakin tidak menentu tentu produser filem tak berani nak melaburkan harga setinggi itu. Tapi Raja rasa soal duit bukan masalah buat Dafi, kan?
RAJA: Teringin juga nak berlakon tapi tak ada pengarah yang buat tawaran...
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: