BIAR dilihat glamor, kerjaya sebagai pembaca berita turut menuntut pengorbanan. Pembaca berita juga merupakan antara golongan yang terpaksa bekerja ketika menyambut hari lebaran.
Berkongsi pengalaman, Syafinaz Yunus berkata, bekerja di hari raya tetap meninggalkan kenangan tersendiri.
“Biasanya, setiap bilik berita akan amalkan sistem giliran. Jadi, setiap pembaca berita akan merasai dan menikmati pengalaman bekerja di hari raya. Alhamdulillah, tahun ini giliran saya untuk bercuti sakan bersama keluarga tercinta,” katanya pada Media Hiburan.
Mengulas lanjut, katanya, walaupun terpaksa bekerja pada hari raya, kesempatan merayakan Aidilfitri tidak dilepaskan begitu sahaja.
“Sebenarnya, raya di bilik berita pun best juga. Untuk hiburkan hati, ada yang buat fashion show sebab semua yang bekerja akan pakai baju raya masing-masing (ketawa).
“Kadang-kadang, ada yang bawa bekalan makanan seperti ketupat dan rendang, jadi sama-sama berkongsinya,” katanya sambil tertawa.
Syafinaz yang berkhidmat di TV AlHijrah berkata, perasaan sayu dan sedih hanya dialami ketika diminta bertugas buat pertama kalinya, kira-kira 11 tahun lalu.
“Masa itu saya bertugas di NTV7 dan itu adalah pengalaman pertama saya bekerja di hari raya. Saya bergerak dari Melaka dan saya menangis sepanjang perjalanan ke tempat kerja.
“Tapi, bila dah berkali-kali bekerja, saya pun dah lali. Kerja di pagi raya adalah satu perkara biasa,” katanya.
Bagaimanapun, selebriti berusia 32 tahun ini bertuah apabila suami, Muhammad Salehuddin Mohd Nor, 37, dan anak tunggalnya, Raikhan Wildan, 6, memahami akan tuntutan tugasnya itu.
“Saya berasal dari Jasin, Melaka, manakala suami pula orang Kota, Negeri Sembilan. Biasanya, kalau saya bertugas di hari raya, saya akan pulang ke kampung halaman sejurus selesai membaca berita pada malam raya.
“Esoknya, saya akan bertolak dari kampung halaman ke tempat kerja. Sempat lagilah solat hari raya dan bermaaf-maafan. Mujurlah, kampung masing-masing pun dekat saja,” katanya sambil tertawa.
Kerjaya minat utama
Mengimbas kembali, Syafinaz tidak berniat langsung untuk bergelar pembaca berita. Malah, anak bongsu daripada empat beradik ini hampir sahaja meneruskan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Bakat saya dilihat ibu saudara. Dia kemudian pujuk ibu supaya saya melanjutkan pengajian di Akademi TV3 dalam bidang penyiaran,” katanya.
Merasai keseronokan, Syafinaz mengakui belum mempunyai minat mendalam terhadap bidang penyiaran.
“Keadaan itu berlanjutan sehinggalah saya menjalani latihan amali di RTM. Namun, situasi itu segera berubah apabila saya sudah mula bekerja di NTV7. Saya mulai menikmati kerjaya sebagai wartawan penyiaran dan turun padang melengkapkan tugasan,” katanya.
Daripada wartawan penyiaran, kerjaya Syafinaz berkembang kepada pembaca berita dan editor berita di TV AlHijrah.
"Alhamdulillah, saya dapat kerja yang memang jadi minat saya. Saya percaya apabila kita buat dengan minat yang mendalam, kita pasti akan melakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya yang tidak gentar jika dihantar buat liputan di negara bergolak seperti Gaza, Palestin, Syria dan Mesir.
Bahkan, katanya, sebagai pembaca berita perlu hasilkan berita seterusnya menyalurkan informasi yang tepat buat penonton.
“Muncul di televisyen hanya bonus. Apa yang penting, maklumat berita disampaikan,” katanya yang juga pengacara segmen Analisis.