Sunday, March 4, 2012

Sup pipi enak dikunyah


MEMANG berbaloi menikmati semangkuk sup pipi di Restoran Ani Sup Utara yang berharga RM10 ini.


SUP berasaskan lembu sememangnya telah diketahui keenakannya. Hampir kesemua bahagian haiwan itu boleh dibuat sup. Daripada organ dalaman seperti perut dan paru-paru hinggalah kepada ekor, lidah dan keting. Kini satu lagi sajian lazat dapat diperoleh iaitu sup bibir dan pipi lembu yang dicampur sekali dalam satu hidangan.

Walaupun anda mungkin berasa geli namun anda harus mencubanya!

Sup bibir itu mula diteroka oleh pengurusan Restoran Ani Sup Utara yang memperkenalkan menu itu sejak lebih setahun yang lalu.

Menurut Pengarah Urusan Little Cash (M) Sdn. Bhd. , Rohani Abu, 50, menu sup bibir itu menjadi antara menu kegemaran pelanggan restoran itu.

“Seorang pelanggan dari Sabah begitu menggemari sup itu. Katanya bibir itu rasanya rangup dan tidak kenyal.

“Tekstur daging itu lembut sama seperti urat keting, cuma ia mempunyai bintik-bintik bulat kecil kerana itulah struktur asal pipi dan bibir lembu,” katanya.

Menurut Rohani, daging itu diperoleh daripada kedua-dua lembu jantan dan betina.

Kebanyakan stok pipi dan bibir lembu diambil daripada pembekal yang mengimportnya dari Australia dan New Zealand dalam bentuk kotak seberat 20 kilogram.

Jelas Rohani, pembekal lembu di negara ini jarang mempunyai stok daging tersebut kerana proses mengambil pipi dan lembu yang agak sukar.

“Isi bahagian itu sedikit sahaja tetapi kita perlu membeli keseluruhan kepala lembu berharga sekitar RM250 satu. Penyembelih biasanya hanya mengambil daging itu dan kadangkala perlu membuang otak, tanduk, kulit dan mata lembu itu begitu sahaja.

“Corak hirisan dan potongan pipi itu juga memerlukan kemahiran khas bagi memastikan ia tidak bercampur dengan organ dan daging lain,” ujarnya.


TEKSTUR daging pipi dan bibir lembu lembut serta enak dimakan.


Lada hitam

Beliau memberitahu, bagi satu kepala lembu, cuma 200 gram daging pipi akan didapati.

Cara untuk menyediakan sup pipi itu sama seperti penyediaan sup daging yang lain.

“Kami akan menggunakan lapan jenis bahan termasuk lada hitam untuk membuat kuahnya.

“Hanya masukkan daging pipi serta bibir ke dalam sup yang dimasak, kemudian hiaskannya dengan bawang goreng, daun sup, limau nipis dan lobak merah,” cerita Rohani.

Leka berceloteh, kru Jurnal sempat merasai menu yang agak pelik itu.

Ternyata rasanya lazat dan rangup seperti yang diperkatakan oleh Rohani. Teksturnya lembut seakan-akan daging biasa. Cuma terdapat ketulan kecil berbentuk bulat pada daging tersebut yang mungkin menggelikan pada mulanya.

Tetapi apabila dipadankan dengan nasi putih bersama sambal cili serta minuman berperisa bandung dan cincau, air liur terus kecur dibuatnya.

Seorang pelanggan, Mohd. Naqai Mohd. Nawawi, 34, yang sering berkunjung ke Restoran Ani Sup Utara untuk menikmati sup pipi dengan nada bergurau berkata, pipinya kini lebih lembut selepas menikmati sup tersebut.

“Ia sedap tetapi orang ramai sudah terbiasa dengan sup ekor, ayam dan daging sahaja sebelum ini dan kurang mengetahui nilai sup pipi dan bibir lembu,” katanya.

Bagi isteri Naqai, Hasleen Nahar, 27, beliau jarang menikmati sup pipi kerana lebih menyukai sup ayam.

“Namun, saya akui lembu ada banyak kelebihan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amir Yasin, 26, baru pertama kali mendengar mengenai sup pipi.

“Saya juga ingin merasainya tetapi inilah kali pertama saya dengar mengenainya walaupun saya agak kerap makan di restoran ini,” ujarnya.

Ingin tahu lebih lagi, datanglah ke restoran ini dan rasainya sendiri.

Senaman tiang bukan erotik


IMBANGAN badan di udara dengan hanya menggunakan kain.


BUAIAN sering dikaitkan dengan bayi tetapi pengasas Dreams Dance Studio di Subang Jaya, Selangor, Reiko Soo, mengubah buaian menjadi alat senaman.

Menurut Reiko, 35, senaman yang dipanggil fly fitness atau senaman terbang itu menggunakan sejenis kain daripada fabrik likra.

“Jangan terkejut kerana kain jenis ini cukup tahan lama selain boleh menanggung berat badan seseorang sehingga 500 kilogram,” ujarnya.

Katanya, senaman terbang dapat melatih seseorang untuk mengimbangi badan dengan fleksibel, menguatkan otot serta membentuk abdomen badan dengan lembut dan tenang.

Cara bersenam pula ada yang dalam keadaan terbalik iaitu kepala ke bawah dan kaki ke atas sambil bergayut pada kain itu.

“Senaman ini menghendaki peserta terapung dan kurang memijak lantai. Ia boleh membuatkan seseorang menjadi lebih relaks dan tidak mudah letih. Fokus utama senaman ini adalah kawalan emosi dan pergerakan anggota badan secara pelbagai,” ujar Reiko.

Boleh dikatakan semasa berada dalam buaian tersebut, segala masalah dapat dilupakan kerana tumpuan terarah kepada pergerakan senaman sahaja.

Walaupun masih baharu, senaman terbang mulai mencuri perhatian masyarakat tempatan yang mahukan aktiviti fizki yang bersifat ceria dan tanpa risiko kecederaan serius.

Kawal emosi

Di Dreams Dance, golongan yang mengikuti kelas senaman itu terdiri daripada kalangan profesional termasuk peguam, jurutera, doktor dan suri rumah.

Konsep yang diterapkan oleh Reiko ini hampir sama seperti AntiGravity Yoga yang dicipta oleh Christopher Harrison, 50, dari Illinois, Amerika Syarikat (AS).

Menggunakan kain sutera sebagai kaedah senaman, AntiGravity juga baik sebagai kaedah mengawal emosi.

Harrison, seorang bekas penari profesional telah membuka banyak cawangan AntiGravity di seluruh dunia.

Seorang tenaga pengajar senaman terbang di Dreams Dance, Amira Hani Umaruddin, 27, berkata, para pelajarnya mendakwa mereka berasa lebih segar dan bertenaga selepas mengikuti beberapa sesi senaman tersebut.

“Fly Fitness menggunakan beberapa disiplin senaman manakala kain yang digantung membolehkan peserta bergerak secara bebas dalam pelbagai kedudukan.

“Senaman ini hanya memberi tumpuan pada senaman asas seperti di atas lantai dan kemudian bergayut di dalam kain yang mungkin mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk mahir sepenuhnya,” kata Amira.

Latifah Mohamed, 23, seorang pelajar universiti tempatan di Shah Alam, Selangor mengakui badannya berasa lenguh-lenguh pada peringkat awal mengikuti senaman itu.

“Tetapi lama-kelamaan saya berasa selesa kerana ia mengeluarkan peluh yang banyak. Badan pula rasa lebih ringan dan selesa.


REIKO melakukan demonstrasi senaman tiang yang dipercayai mempunyai kebaikan termasuk menjadikan pengamalnya lebih bermotivasi.


Dipuji suami

“Ia juga membuatkan saya terkenang pada bayi yang tidur di atas buaian sambil diayun si ibu,” ceritanya.

Bagi Catharine Chew, 28, dia dapat mengawal emosi dengan baik sejak mengamalkan senaman terbang itu kira-kira setahun lalu.

“Kita belajar mengawal perasaan dan mengosongkan minda daripada sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, Mandy Soo, 34, memberitahu, selepas mengikuti senaman tersebut bentuk badannya berubah menjadi lebih seksi sehingga mendapat pujian daripada suaminya.

Selain pakej senaman terbang, Dreams Dance turut menawarkan senaman ala tarian tiang yang dipanggil pole fitness.

Kata Reiko, senaman tiang berbeza dengan tarian tiang yang sering menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat negara ini kerana ia dikatakan mengandungi elemen erotik.

“Ia lebih berbentuk senaman semata-mata bagi mengurangkan tekanan serta menjadikan anda lebih yakin dan bermotivasi tinggi.

“Bukan mudah untuk bergayut pada sebatang tiang besi dengan menggunakan kedua-dua tangan. Anda juga perlu mengimbangkan badan untuk tempoh yang lama,” ujarnya sambil memberitahu, tiang besi itu licin dan memerlukan kekuatan tangan untuk memegangnya supaya tidak terjatuh.

Ular kapak pokok nipah



ARUS deras Sungai Selangor menjadikan perjalanan menghilir sungai menjadi lebih mudah. Selepas lebih 20 minit mendayung sampan, destinasi yang dituju semakin hampir.

Selaku jurupandu berpengalaman, Pak Hitam mengayuh sampan menghampiri tebing dan menambatnya di salah satu kayu pancang yang tersedia di situ.

Pak Hitam atau nama sebenarnya Abdul Malik Puteh, merupakan seorang pengusaha atap nipah di Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

Sejak beberapa tahun lalu, selepas bersara daripada pasukan renjer hutan, inilah rutin harian lelaki berusia 53 tahun ini.

Seawal pukul 8 pagi, Pak Hitam akan turun mendayung menghilir ke Sungai Selangor untuk mengambil daun nipah.

"Hati-hati ya, tanah licin. Silap langkah boleh tergelincir nanti," pesan Pak Hitam.

Namun belum sempat bapa kepada dua anak ini menghabiskan ayatnya, penulis sudah jatuh terduduk di tebing sungai.

Tanah berlumpur yang licin dek timpaan hujan malam tadi menjadi cabaran pertama buat penulis dan jurufoto, Fairuz Izyana Ayub.

"Pokok nipah lebih banyak tumbuh di kawasan paya bakau berbanding di daratan," kata Pak Hitam.

Katanya lagi, untuk memasuki kawasan paya bakau, sama ada melalui jalan darat mahupun jalan air, tidak sah jika tidak meranduk air dan lumpur yang adakalanya boleh mencapai paras lutut jika air pasang penuh.


SIFAT atap lalang yang mampu menebat haba matahari menjadikannya sebagai atap pilihan utama kebanyakan resort tepi pantai.


Dipatuk

"Berjalan di kawasan berpaya seperti ini banyak risikonya kerana kita tidak nampak apa yang ada di dalam lumpur.

"Pergerakan tidak selaju di tanah keras. Kaki terlekat, terpijak kayu tajam, tersepak tunggul, itu perkara biasa.

"Kalau nasib tidak baik, kaki boleh terbolos ke dalam lubang bekas tunggul pokok atau parit. Memang boleh menangis kita dibuatnya," jelas Pak Hitam.

Ditanya tentang ancaman binatang berbisa, lelaki ini hanya tersenyum.

"Ini memang tempat dia. Boleh dikatakan selalu juga kami terserempak dengan ular. Paling kerap kami jumpa adalah ular air, daun, kapak dan tedung selar.

"Ular kapak paling berbahaya kerana ular berbisa ini tidak takut dengan bunyi bising seperti ular lain. Malah, ular kapak jarang melarikan diri kalau dihalau.

"Jika terserempak dengan ular degil seperti itu, tiada jalan lain kecuali cantas kepalanya," ujar Pak Hitam.

Tambahnya lagi, ular kapak yang boleh berubah warna kulit mengikut warna persekitaran itu suka berehat di pelepah nipah.

"Kalau kita jumpa ular ini di pelepah muda, warnanya hijau. Kalau jumpa di daun kering, warnanya boleh bertukar coklat. Bila kita takik pelepah, kadang-kadang tak perasan ada ular kapak melingkar di depan kita.

"Kalau setakat terkejut, itu kira nasib baik tapi kalau kena patuk, nyawa taruhannya.

"Pernah sekali kawan saya dipatuk ular kapak di jari telunjuk.

10 sen

"Memandangkan tempat mengutip daun nipah jauh dari tebing sungai, banyak masa yang perlu diambil sebelum boleh mendapatkan rawatan.

"Dalam perjalanan pulang, jarinya sudah mengecut dan bertukar hitam. Sampai di hospital jarinya terpaksa dipotong. Itu pentingnya memakai sarung tangan dan but getah," ceritanya panjang lebar.

Jika diamati secara dekat, pelepah dan pucuk nipah seolah-olah muncul dari lumpur. Hakikatnya, batang dan akar pokok nipah terendam di dalam selut.


KUALITI atap daun nipah yang direndam dikatakan lebih baik.


Seperkara yang unik tentang pokok ini, ia merupakan satu-satunya pokok palma yang berada dalam spesies pokok bakau dan habitat semula jadinya di kawasan berpaya.

Selain daunnya diambil untuk dibuat atap, sarung otak-otak ataupun pucuk mudanya dijadikan rokok daun, pokok ini juga boleh menghasilkan air nira yang enak.

Sementara itu, buah nipah juga sedap dimakan. Rasanya yang seakan-akan buah kabung biasanya dimakan begitu sahaja.

Selepas memilih pokok sesuai, Pak Hitam menakik pelepah nipah yang memiliki daun tua menggunakan parang.

Untuk mengenali kematangan daun, ia boleh dilihat melalui warnanya yang gelap.

"Hanya daun tua yang boleh dijadikan atap kerana daun muda mudah rosak," katanya.

Sebaik sahaja pelepah jatuh ke bumi, tangannya pantas merintis daun di kedua-dua belah pelepah. Daun itu kemudian dilonggokkan sebelum dimasukkan ke dalam guni gula plastik. Bagi seguni penuh daun nipah, ia boleh dijual dengan harga RM7.

"Seguni daun nipah dapat menghasilkan 12 keping atap nipah gred A," ujarnya.

Sebaik sahaja daun nipah penuh seguni, kami bertiga mendayung pulang ke rumah Pak Hitam yang terletak tidak jauh dari tebing sungai.

Di rumah, isterinya, Rafeah Kasim, 60, kelihatan sedang tekun menyiat kulit pokok bemban yang digunakan untuk menyucuk atap.

Walaupun nampak mudah, proses menyiat kulit bemban tidak semudah yang disangka. Pokok bemban yang menyerupai pokok lengkuas perlu dibelah empat dan dibuang isi tengahnya.

Kemudian, ia dibelah lagi kepada bahagian kecil kira-kira 0.5 sentimeter.


BUKAN calang-calang orang boleh menyiat batang bemban dengan sempurna.


Selepas itu, semua bahagian kecil itu disiat lurus sehingga habis sebelum diselit dicelah ibu jari kaki untuk disiat sekali lagi bagi menghasilkan kulit bemban yang tipis.

"Nampak mudah, tetapi kalau tidak kena gaya, kulit bemban yang liat itu boleh terputus. Pak Hitam pun belum lulus lagi siat kulit bemban ni," seloroh Rafeah.

Dia yang sudah menyucuk atap sejak usianya 12 tahun berkata, biarpun zaman telah berubah, permintaan terhadap atap nipah tidak pernah putus.

"Alhamdulillah, dengan duit atap nipah ini kami besarkan anak dan memberikan mereka pendidikan hingga ke universiti.

"Kira-kira 50 tahun dahulu, harga sekeping atap nipah cuma 10 sen, sekarang kami jual dengan harga RM1.60 sekeping," katanya.

Menarik tentang pasangan suami isteri ini, mereka turut menawarkan peluang pekerjaan kepada orang kampung yang menyertai ahli Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Upah untuk menyucuk sekeping atap ialah 30 sen, kalau sehari mereka boleh cucuk 50 keping atap, dapatlah RM15. Boleh juga buat beli lauk sehari-hari," sampuk Pak Hitam.

Katanya lagi, kebanyakan tempahan datangnya daripada Mohd. Hedzir Borhan, 50, satu-satunya peraih yang membeli atap dengan harga tinggi daripada mereka.

"Sebelum ini kami terpaksa jual dengan harga 80 sen sekeping kepada pihak lain.

"Rasanya tidak berbaloi dengan risiko dan penat lelah yang kami terpaksa harungi untuk menghasilkan sekeping atap," ujar Pak Hitam.

Bayi diayun-ayun


FOKINA memperlakukan bayi seolah-olah mengayun anak patung.


TINDAKAN seorang wanita Rusia, Lena Fokina memegang lengan dan betis seorang bayi lelaki sebelum melambung dan mengayun-ayunkannya menerima pelbagai reaksi daripada seluruh dunia.

Banyak ibu bapa terkejut melihat perlakuan wanita itu yang disiarkan dalam YouTube. Ada juga yang mendakwa ia satu penderaan kanak-kanak.

Namun, Fokina mempertahankan tindakan yang telah dilakukannya sejak 30 tahun lalu itu. Dia sebaliknya menganggapnya sebagai sejenis yoga bayi.

Semasa 'senaman' itu dijalankan, bayi biasanya menjerit, menangis atau muntah. Bagaimanapun, jelas wanita berusia 51 tahun itu, tindak balas tersebut hakikatnya memberi kebaikan kepada bayi.

"Ia tidak berbahaya sama sekali. Sesetengah bayi akan menangis pada mulanya tetapi lama-kelamaan mereka menyukainya.

Purba

"Ramai orang fikir bahawa bayi lebih sesuai berbaring sahaja di atas katil, makan dan menangis.

"Tetapi sebenarnya bayi dilahirkan dengan refleks semula jadi yang berguna untuk perkembangan fizikal dan intelektual mereka," ujar guru pendidikan jasmani terlatih itu.

Menurut Fokina, yoga bayi buat pertama kalinya dipraktikkan oleh puak purba di Afrika. Ia dibuat ke atas bayi yang berusia di antara beberapa minggu hingga dua tahun.

Dalam setiap sesi, ibu kepada lima orang cahaya mata itu akan melakukan terapi tersebut selama lima minit. Bayi tersebut akan diputar, diayun dan badannya diluruskan. Kaedah itu juga diamalkan oleh orang Rusia.

"Kaedah ini dapat membetulkan masalah kesihatan bayi yang berkaitan otot atau rangka. Namun, ia juga sesuai untuk bayi yang normal. Pergerakan ini direka untuk meningkatkan keupayaan dan perkembangan otot mereka.

"Hasilnya, mereka akan menjadi kanak-kanak yang boleh membaca, menyanyi, bercakap dan berenang lebih awal daripada rakan sebaya. Tangan mereka juga menjadi kuat. Kami buat senaman ini secara berperikemanusiaan," terang Fokina.

Dalam satu seminar yang diadakan di Dahab, Mesir baru-baru ini, Fokina melakukan demonstrasi yoga bayi di hadapan ibu bapa mereka.

Ibu bapa berkenaan dilihat tersenyum dan masih boleh berbual-bual ketika anak mereka dibiarkan tergantung dengan kaki ke atas.

Banyak bayi yang menangis dan termuntah selepas beberapa minit diayun. Namun, Fokina meyakinkan ibu bapa berkenaan bahawa ia tidak berbahaya.

"Bermula dari saat dilahirkan, seseorang bayi boleh menggenggam, melangkah dan berenang.

"Kaedah yang dikenali sebagai The Charkovsky ini menggunakan kaedah refleks semula jadi tersebut (yoga bayi) untuk melatih mereka. Ibu bapa perlu dilatih supaya melakukan perkara serupa kepada bayi mereka," ujar ibu tunggal itu.


BAYI selalunya mengalami muntah-muntah dan menangis selepas sesi 'yoga bayi'.


Kasar

Pakar perubatan sudah lama memberi amaran bahawa pergerakan dramatik dan tidak semula jadi seperti yoga bayi boleh menyebabkan sindrom bayi bergoncang (SBS).

Antara simptom sindrom tersebut adalah berlaku pendarahan otak dan retina selain pembengkakan otak.

Malah, pergerakan kepala sahaja pun sudah memadai untuk bayi mendapat SBS.

Begitupun, Fokina yang mempraktikkan amalan itu ke atas semua anaknya sejak tiga dekad lalu menegaskan bahawa ia sama sekali tidak berbahaya walaupun dilakukan kepada bayi yang baru lahir.

Graduan Universiti Kebudayaan Fizikal di Moscow, Rusia itu juga tidak risau mengenai kesan negatif kepada sendi dan anggota badan bayi.

"Orang ramai melihat yoga ini sebagai sesuatu yang kejam kerana mereka tidak sedar tentang keupayaan sebenar seorang bayi," tambah Fokina mengenai teknik yang diperkenalkan oleh seorang profesor di Rusia, Dr. Igor Charkovsky itu.

Bagaimanapun, bekas presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Dr. Zulkifli Ismail menjelaskan, senaman yoga itu berpotensi membahayakan bayi.

"Seperti dalam satu klip video yoga bayi yang pernah saya tonton sebelum ini, ia dibuat begitu kasar. Kaedah ekstrem seperti mengayunkan bayi mampu mengundang bahaya.

"Sehingga kini tiada kajian terperinci mengenai kesan tindakan itu ke atas fizikal dan psikologi bayi namun ramai pakar pediatrik dunia menolaknya.

"Ia boleh memberi kesan kepada otak bayi memandangkan organ itu terapung di dalam tengkorak.

"Jika kepala bayi bergoncang kuat, ia berisiko untuk mengalami subdural hematoma atau pendarahan otak," katanya kepada Jurnal.

Jelas Zulkifli, kaedah urutan lembut pada anggota badan bayi sebenarnya lebih memberi kesan positif kepada perkembangan bayi.

"Sentuhan lembut menerbitkan interaksi antara ibu dengan bayi, meningkatkan keupayaan otot serta memberi kelegaan kepada bayi.

"Saya menggalakkan ibu bapa supaya memberi sentuhan lembut kepada bayi sebagai satu cara untuk memanjakan mereka," ujar Zulkifli.

Anak patung seperti hidup


SESETENGAH orang berpendapat renungan bayi ini menakutkan.


'BAYI' tersebut kelihatan begitu comel. Mata bundarnya merenung tepat ke arah sesiapa yang memandang. Dia tidak pernah merengek, bahkan sentiasa tersenyum.

Meskipun mengujakan buat sesiapa yang mendukungnya, bayi itu tidak bernafas kerana ia adalah sebuah patung bayi atau dikenali sebagai reborn baby.

Bukan sahaja iras bayi sebenar, sesetengahnya turut direka dengan ciri-ciri lain seperti mempunyai pemanas yang mengeluarkan haba seperti manusia dan bunyi rengekan bayi.

Reborn baby berbeza berbanding anak patung biasa kerana ia direka buat mereka yang mahu memanjakannya. Ia bagaikan bayi sebenar dan mempunyai tekstur kulit yang menyamai bayi sebenar.

Mula popular sejak tahun 1990-an di Amerika Syarikat, patung itu pada asalnya sekadar direka oleh mereka yang gemar menghasilkan barangan seni. Namun kini lebih ramai yang ingin menjadikannya anak angkat.

"Begitu menakjubkan kerana ia kelihatan benar-benar seperti seorang bayi," kata seorang wanita Singapura, Lilly Tan yang mempunyai tiga orang cahaya mata mengenai anak patung tersebut.

Peneman

Reborn baby boleh dijadikan peneman buat ibu-ibu yang gagal hamil. Seorang wanita berusia 36 tahun dari Stourbridge, England, Emma Weaver mengalami keguguran ketika kandungannya mencapai usia empat bulan.

Sebagai usaha untuk mengembalikan bayi yang ditunggu-tunggunya itu, dia membeli sebuah reborn baby bagi mengubati perasaan traumanya.

"Kejadian itu membuatkan saya trauma. Untuk mempunyai anak kembali saya mencari-carinya di laman jual-beli eBay.

"Di situ saya temui Bella, anak perempuan terbaharu saya," katanya mengenai anak patung perempuannya.

Tracy Cane, 47, dari Hednesford, England memberitahu bahawa dia menjadi ibu kepada enam orang reborn baby perempuan.

Dia menjadikan 'anak-anaknya' itu sebagai peneman kala kesunyian kerana anak-anak sebenarnya sudah besar.

"Saya ada empat orang anak lelaki dan sekarang mereka sudah besar. Saya berasa seolah-olah tiada apa lagi bila mereka membesar dan tidak tahu untuk melakukan apa-apa.

"Kini saya gembira kerana mempunyai enam orang anak perempuan iaitu Sophie, Liver, Layla, Ember, Lily Rose dan Emma.

"Saya seronok dapat memiliki ramai anak perempuan yang comel," katanya.


WANITA Barat yang tidak berpeluang untuk hamil mula beralih kepada anak angkat yang kaku ini.


Biarpun begitu comel, masih ada orang yang tidak menyukai reborn baby kerana menganggapnya sebagai objek yang menakutkan.

Seorang suami kepada pereka reborn baby, Matthew mendakwa dia melihat bayi palsu tersebut seperti hantu bayi yang memandang tepat ke arahnya.

Sambil merujuk kepada watak patung bernyawa bernama Chucky dalam filem Child's Play, Mathhew enggan menerima bayi itu sebagai bahan mainan.

"Ia sangat menakutkan. Wajahnya macam bayi sebenar, tetapi ia kaku dan sentiasa merenung ke arah anda.

"Bayi ini tidak ubah seperti anak patung pembunuh, Chucky," ujar lelaki berusia 50-an tersebut.

Seorang ibu dari Hempshire, England, Rachel, terlalu obses dengan reborn baby, namun minatnya itu tidak disokong oleh ahli keluarganya.

Mengakui bahawa keluarganya tidak selesa dengan Amy yang sudah lima bulan tinggal bersama mereka, Rachel berkata, anak perempuannya cemburu dengan bayi palsu itu.

"Anak saya, Rebecca tidak suka mengikut saya berjalan-jalan jika saya membawa Amy bersama.

"Anak lelaki saya berkata bahawa bayi ini menakutkannya. Saya tidak mahu anak-anak saya menghadapi masalah tetapi saya belum berhajat menghentikan minat saya ini.

"Saya ada sebuah bilik khas untuk menempatkan patung bayi ini agar mereka tidak takut dengannya," kata Rachel, 44.

Doktor medan perang


DR. WINSON menceritakan segala pengalaman pahit manis bumi bergolak.


PEMUDA ini teringin benar menjadi seorang pakar bedah plastik kerana pendapatan lumayan yang boleh diraihnya. Bagaimanapun, segalanya berubah pada empat tahun lalu.

“Semasa mengikuti penerbangan dari New York ke London, tiba-tiba pesawat yang saya naiki menjunam pada kedudukan 45 darjah.

“Saya dapat rasakan pesawat yang berada pada ketinggian 7,500 meter itu seperti ditarik ke bawah. Saya hanya fikirkan kematian,” cerita Dr. Winson Seow, 26, yang pada waktu itu sedang menuntut di Sekolah Perubatan dan Pergigian King’s College London.

Tidak lama kemudian, semasa berkunjung ke Mumbai, India, Winson dihidangkan pula dengan kejadian seorang kanak-kanak perempuan cedera parah akibat dilanggar sebuah kereta di sebuah kampung.

Selepas peristiwa itu, Winson sedar betapa singkatnya hidup ini. Dirinya yang sebelum ini berkiblatkan harta dan wang tiba-tiba diselubungi perasaan ingin membantu sesama manusia.

“Saya mula bertanya diri sendiri apakah saya perlu menjadi pakar bedah plastik semata-mata untuk mengejar kemewahan.

Kekasih

“Insiden itu menyebabkan saya tekad mahu menghulurkan bantuan dengan berkhidmat sesama manusia,” katanya yang menyertai International SOS, sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan perubatan untuk operasi antarabangsa, sebagai doktor bedah trauma.

Selama dua tahun menyertai International SOS, Winson telah bertugas di rantau bergolak dan dilanda bencana alam seperti Haiti, Somalia, Kenya, Senegal dan Libya. Bagi setiap tugasan, Winson dikehendaki berkhidmat selama antara sebulan hingga dua bulan di sesebuah negara.

Menjadi seorang ‘doktor medan perang’ bukanlah sesuatu yang diinginkan bapa Winson. “Bapa saya yang merupakan doktor ortopedik dan pengamal perubatan tradisional terkejut dan beberapa kali memujuk supaya saya memikirkan semula hasrat itu,” beritahu Winson.

Apa yang dibimbangi bapanya, Dr. Seow Teck Shong, 55, menjadi kenyataan tidak lama kemudian.

Winson dihantar bertugas di Mogadishu, Somalia pada tahun 2010. Somalia ialah negara kedua yang dikunjunginya selepas Haiti.

Menurutnya, negara itu dibelenggu masalah kebuluran dan pertelagahan antara puak. “Pada suatu hari semasa saya merawat seorang pesakit di dalam khemah, tidak semena-mena sekumpulan pemberontak bersenjatakan pistol menceroboh khemah kami.

“Tiba-tiba salah seorang daripada mereka yang bertopeng hitam meluru ke arah saya dan terus menumbuk muka saya hingga terjatuh. Saya begitu cemas dan terpaksa menahan kesakitan. Mujurlah selepas penterjemah kami berunding, kumpulan itu pergi meninggalkan kami,” cerita Winson.

Namun, kejadian kekasih Winson, seorang doktor British berusia 24 tahun, terbunuh akibat terkena peluru pemberontak telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam dalam diri Winson.

Tragedi itu berlaku beberapa minggu selepas peristiwa Winson ditumbuk oleh pemberontak Somalia.

“Pada masa itu, saya dan kekasih sedang merawat pesakit dan mangsa yang tercedera. Tiba-tiba peluru yang dilepaskan sekumpulan pengganas terkena leher kekasih saya menyebabkan dia terjelepuk di atas tanah yang berbatu kasar itu.

“Saya menyangka dia hanya cedera ringan tetapi terperanjat apabila mendapati dia sudah tidak bernyawa,” cerita beliau yang enggan mendedahkan nama kekasih yang dikenalinya di kampus universiti itu.

Winson juga mempunyai banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan semasa menjejakkan kaki ke Haiti yang baru sahaja dilanda gempa bumi berukuran 7 pada skala Richter 12 Januari 2010. Dalam kejadian itu, seramai 220,000 rakyat Haiti terkorban.

Suasana di situ begitu menyedihkan, ujar Winson. Banyak mayat terperangkap di celah runtuhan bangunan manakala wabak penyakit seperti kolera sedang merebak.

“Apa yang saya dengar, berlori-lori mayat ditenggelamkan ke dalam sebuah tasik di negara itu. Ia dikatakan amalan biasa orang Haiti. Malangnya, air tasik itu juga menjadi sumber air minuman semasa bencana berkenaan. Ia sudah pasti menyebabkan wabak kolera menular,” terang beliau.

Mulia

Kemuliaan hati Winson bukan sekadar menghulurkan kepakarannya bahkan dia tidak kisah membelanjakan hampir semua wang gajinya untuk membeli kaki palsu dan peralatan perubatan untuk mangsa bencana alam dan perang berkenaan.

Kehidupan mewah yang diimpikan Winson sememangnya telah berubah 360 darjah di zon perang terbabit. Winson memberitahu, dia akan bangun seawal pukul 4 pagi setiap hari. Dia gemar bermain gitar dan biola sambil menyanyi bersama kanak-kanak dan kaum ibu di tempat terbabit sebelum memulakan tugas pada pukul 8 pagi.

“Kadang-kadang saya bermain bola keranjang dengan kanak-kanak di kawasan lapang berhampiran khemah perubatan kami.

“Tiada jaminan nyawa kami akan selamat. Malah, untuk melelapkan mata selama lima minit pun agak sukar. Ini kerana saya perlu bersedia jika berlaku kecemasan atau diserang pemberontak,” katanya.

Ditanya mengenai makanan, Winson menjelaskan, makanan hariannya hanya sebuku roti yang keras tidak ubah seperti batu dan dimakan bersama serbuk cili ‘tobasco’. Winson yang mengambil suplemen vitamin setiap hari berkata dia cuma tidur bertilamkan batu dan bertemankan sehelai selimut.

Dia juga mengaku berat badannya menyusut secara drastik.

Kayuh basikal lipat ke tempat kerja



SAMBIL melipat basikalnya dalam beberapa minit sahaja, Sonny Ikmal Ahmad Kamil, 29, kemudian memasukkan basikal tersebut ke dalam beg sebelum menjinjing bersamanya masuk ke dalam tren aliran ringan (LRT). Itulah rutin hariannya sejak lebih lima bulan lalu untuk ke tempat kerja.

Bukan berbasikal sepanjang perjalanan, Sonny biasanya berulang-alik ke stesen LRT dari rumahnya di Taman Cheras Indah, Kuala Lumpur sejauh sekitar dua kilometer untuk pergi dan ketika pulang dari kerja.

Basikal itu kini sudah menjadi teman rapatnya kerana penggunaan yang mudah, tidak perlu mencari parkir, membayar tol dan juga berjimat duit petrol. Tambahan pula, ia boleh dibawa ke mana-mana sahaja.

"Sekarang, setelah beberapa bulan bersama basikal, saya berasa lebih sihat. Saya melakukan dua kerja dalam satu masa iaitu bersenam dengan berbasikal seiring perjalanan pergi dan pulang dari pejabat.

"Lebih mudah, dengan fungsi lipat itu, saya boleh mengusungnya ke mana-mana sahaja," katanya.

Sonny Ikmal membeli basikal lipatnya secara talian dan mula menggunakannya pada bulan September 2011 yang lalu.

"Ketika itu saya tidak tahu di mana untuk membeli basikal lipat di Malaysia. Lagipun, saya mendapati kebanyakan basikal lipat ini popular sama ada di Taiwan, Korea dan Jerman. Masyarakat di negara itu mempunyai budaya berbasikal. Oleh itu, saya terpaksa mendapatkannya secara talian daripada laman web yang menjual basikal itu," kata Sonny.

Basikal lipatnya yang cuma seberat 11 kilogram dengan saiz roda 16 inci berharga lebih RM1,000. Tentu sekali, ia kedengaran agak mahal berbanding basikal biasa.


Membawa basikal lipat adalah lebih kurang sama sahaja dengan membimbit beg yang sarat dokumen.


Hakikatnya, basikal lipat itu sebenarnya boleh mencapai harga RM20,000 atau lebih bergantung kepada jenama, spesifikasi dan kecanggihan peralatan dua roda itu.

Namun, berbanding motosikal, kereta dan kenderaan berenjin yang lain, basikal lipat adalah satu pembelian yang berbaloi.

Selain tidak menggunakan petrol yang sudah tentu menjimatkan, basikal lipat juga tidak memerlukan penyelenggaraan yang mahal dan kerap.

"Kalau dibuat perbandingan dengan basikal biasa, ia lebih mudah dibawa ke mana-mana saja kerana ia boleh dilipat dan disimpan di dalam beg khas. Apabila dibawa ke dalam pengangkutan awam pun ia tidak memakan ruang," ujar seorang pembekal basikal lipat di Bandar Utama, Selangor, Razaleigh Ramly, 28.

Respons menggalakkan

Baru berjinak-jinak dengan perniagaan basikal lipat melalui bisnesnya, FoldingBike2u (FoldingBike2u.com), Razaleigh berkata, basikal itu mendapat respons yang di luar jangkaan. Kini lebih ramai orang khususnya golongan muda dan belia menunjukkan minat yang tinggi terhadap basikal lipat.

Daripada sasaran awal, Razaleigh yang hanya menetapkan keuntungan jualan sejumlah RM10,000 dalam masa lima bulan penubuhan syarikatnya, beliau ternyata berpuas hati apabila sasaran itu bukan sahaja mudah dicapai, malah respons yang ditunjukkan jauh mengatasi sasaran itu dan berterusan.


TIDAK sukar untuk membawa basikal lipat ini ke dalam pengangkutan awam seperti LRT.


Razaleigh sendiri mula jatuh cinta dengan basikal lipat apabila diperkenalkan oleh seorang rakannya di Jerman.

"Basikal Recumbent yang diperkenalkan oleh rakan saya kelihatan sungguh mengagumkan. Saya benar-benar tertarik dengan seluruh idea melipat basikal dan ia turut menjurus kepada bisnes membekal serta menjual basikal lipat ini," katanya merujuk kepada basikal yang dimaksudkan itu yang saiznya lebih memanjang dengan tempat duduk bersandar.

Sedar mempunyai pengikut khusus basikal lipat, Razaleigh terus menggunakan minatnya sebagai motivasi untuk terlibat dalam bisnes tersebut.

"Melalui laman FoldingBike2u.com, kami bukan sahaja menjalankan urus niaga dalam talian malah menerima kunjungan pembeli langsung yang datang sendiri ke kedai kami. Selepas menemui pelanggan, kami sedar perniagaan ini sebenarnya mempunyai potensi yang besar," katanya yang turut ditemani rakan niaganya dan pengguna basikal lipat, Shukri Sharkawi, 28.

Selesa mengayuh

Shukri yang juga seorang peminat aktiviti berbasikal berkata, kini dia sudah menjadi sebahagian pengikut budaya berbasikal. Baik ke tempat kerja, kedai berdekatan, masjid malah ke mana sahaja yang membolehkannya mengayuh, Shukri setia memilih basikal sebagai mod pengangkutannya.

"Jika anda bawa basikal ini ke pusat beli-belah sekalipun, saya percaya ia diizinkan untuk dibawa masuk. Selain itu, ia boleh dimasukkan dalam but kereta dan dibawa ke taman-taman awam untuk tujuan rekreasi. Ia juga boleh dijadikan produk sukan," terang pemuda dari Sarawak itu.

Shukri bagaimanapun tidak menggalakkan basikal lipat digunakan untuk aktiviti ekstrem. Sifat basikal lipat ini sebenarnya sama seperti basikal biasa, cuma apabila dilipat, pengguna perlu membuka latches (selak).


BASIKAL lipat tidak disediakan insurans kerana ia dilihat sebagai hobi, bukannya kenderaan berat.


Ia adalah kunci bagi memasangnya kembali apabila mahu mengayuh. Oleh kerana sifat tersebut, Shukri tidak menggalakkan penggunaan untuk sukan ekstrem dan mengayuh di atas jalan yang tidak rata kerana takut sistem pemasangannya menjadi longgar, tidak selamat atau tertanggal.

Seorang lagi pemuda, Ehsan Ikmal Ahmad Kamil, 29, yang meminati basikal lipat sedang merancang untuk membelinya.

Berasal dari Kajang dan bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di ibu kota, Ehsan mengakui sudah terpaut hati selepas melihatnya melalui sekeping foto yang dihantar oleh rakannya di Korea.

"Kini saya bercadang untuk memiliki sebuah basikal lipat roda 20 inci dengan kelajuan 21 yang bernilai RM1,988," katanya.

Bagi Ehsan, kemudahan basikal lipat itu membolehkan ia dibawa ke mana sahaja dengan mudah. Selain itu, pengalaman mengayuh yang unik menjadi tarikan untuk memilikinya.