Sunday, June 16, 2013

Humor dan muslihat Amy, Misha & Fara




BUSANA tradisional yang tersarung kemas pada susuk tubuh tiga wanita popular itu tampak menyerlah. Gaya kehidupan wanita moden seperti yang dijalani pada setiap hari hilang dalam sekelip mata. Masing-masing terbuai dalam karakter, bergerak, bertutur dan bercanda; semuanya tergaul pekat dalam aroma yang begitu akrab dengan kita, dibumbui warna Indonesia.
Mereka anak saudara yang penuh muslihat. Dalam bahasa naskhah Nyonya & The Gang yang dipentaskan di Istana Budaya ketika ini, mereka dibahasakan sebagai Keponakan Anggun, Keponakan Beautiful dan Keponakan Cantik. Itulah Amy Mastura, Fara Fauzana dan Misha Omar dalam pementasan berkenaan.
Nyonya memasuki pementasan keenam kali ini, kedua buat Misha dan Fara serta kemasukan buat pertama kalinya, Amy untuk bermain karakter dalam naskhah yang diberi suntikan baharu. Penciptaan semula Nyonya menjadi Nyonya & The Gang itu ternyata membuahkan hiruk-pikuk. Humor dan segala sisi tentang wanita diterjemahkan penuh simbolik. Metafora dan personifikasi kehidupan wanita masih menjadi rencana utama.
Warna-warni karakter
"Nyonya itu sendiri mewakili dunia perempuan. Perempuan itu lembut tetapi tidak semuanya begitu. Ada persoalan harga diri dan kelembutan seseorang perempuan tidak hanya seperti yang disangka.
"Sebagai keponakan, kami mewakili warna-warni hidup seorang perempuan. Mereka bijak, licik dan ganas tetapi dalam bijak-bijak pun, tetap 'terkena' juga. Ia sinonim dalam kehidupan seharian apabila ada ahli keluarga yang akan berdepan kematian, ketika muncul saudara-mara yang mahu menghimpit harta," hurai Misha yang masak dengan permainan karakter kali ini.
FARA akui peroleh banyak ilmu sepanjang terlibat dalam Nonya & The Gang.


Sebagai pemain baharu yang diperkenalkan dalam versi terkini yang meletakkan Mardiana Alwi sebagai Nyonya itu, ibu kepada dua cahaya mata, Amy menambah: "Skrip asal tidak ada ramai pelakon. Justeru, apabila ditambah dengan segmen The Gang, naskhah itu menjadi lebih ringan. Secara tidak langsung, ia memberi peluang kepada bakat baharu untuk beraksi. Mula-mula dapat skrip, saya sendiri tidak faham apa-apa. Saya tidak dibenarkan tengok lakonan pelakon yang pernah bawa watak itu sebelum ini. Alasan penerbit, sebab saya seorang yang rajin meniru," katanya yang menjadi 'ketua' kepada geng keponakan itu.
Amy sebagai Keponakan Anggun yang paling senior, paling dihormati oleh dua saudaranya Keponakan Cantik (Misha) dan Keponakan Beautiful (Fara).
"Konon-kononnya saya yang paling rapat dengan suami Nyonya. Walaupun seorang yang kaya dan serba moden, tetapi dia juga menebal kepercayaan kepada kuasa bomoh. Cari bomoh pun, guna internet. Dia nampak macam berpakat tetapi sebenarnya ada agenda sendiri," kata Amy yang terburai ketawanya.
Bersahut dengan tawa yang leluconnya hanya difahami oleh mereka, Misha pula menambah:
"Dia pencetus huru-hara, saya pula penyambung," letus Misha sambil dibalas dalam nada seloroh oleh Fara yang meletakkan karakternya sebagai penyibuk dalam regu itu.
Celah si penyampai radio Hot FM itu pula: "Amy penglipurlara. Kalau Misha penyambung, saya pula tukang gelak. Watak saya paling low profile. Saya wanita kaya, mengikut sahaja tapi dalam masa yang sama seorang yang tamak dan penakut."
Ajuk cakap orang Indonesia
Bukan sahaja ketika berdiri meresap karakter di atas pentas, gandingan selebriti berbilang karier, pelakon, penyanyi, pengacara dan penyampai radio itu pada sesi pertemuan itu sudah cukup untuk sesiapa sahaja tergeletek hati. Nada serius tidak mampu bertahan lebih daripada lima minit, ada sahaja telatah mereka dan ajukan Amy terutamanya yang menceriakan semua.
MISHA anggap naskhah Nyonya sebagai simbolik kewanitaan yang cukup hebat untuk diterokai.


"Mula-mula cuba berdialog dalam bahasa Indonesia, orang gaji saya tidak faham. Dia yang jadi tukang kritik. Katanya, cakap saya sekejap Jawa sekejap Sunda. Mula-mula baca skrip bunyi macam Jawa tertelan sesuatu di kerongkong, lama-lama ia cair sendiri.
"Semasa tempoh latihan, setiap kali tertengok sinetron di kaca TV, rasanya macam saya yang berlakon drama berkenaan.
"Tambah seronoknya, saya ada sebuah telemovie yang bercakap dialek Perak. Kru pula bercakap dialek Perlis. Habis hancur jadinya, tak tahu dialek apa dah yang keluar daripada mulut saya," ucap Amy tidak sah tanpa berlawak.
Sindrom terbawa-bawa oleh karakter memang mudah berlaku apabila terlibat dengan rejim latihan dan pementasan yang panjang.
"Dalam tempoh ini, kita akan jadi terikut-ikut. Harap ia tidak lama. Kalau tidak, memang melekat. Macam yang berlaku baru-baru ini. Sehabis latihan, saya keluar makan bersama tunang, ralit bercerita tanpa sedar, saya ditegur bahawa sesi latihan sudah habis. Jadi, tak perlulah untuk saya cakap siap dengan mata sekali," cerita Misha.
Berbeza pula dengan Fara. Pengacara dan deejay popular itu mengaku kurang gemar mengajuk dialek Indonesia. Jika boleh, dia akan bercakap bahasa Melayu atau Inggeris walaupun dengan orang Indonesia sendiri.
"Jadi, lidah saya paling keras setiap kali berdialog. Saya paling lambat hafal skrip berbanding Misha dan Amy. Saya kagum dengan pelakon watak Tuan dan Nyonya (Tai dan Mardiana Alwi), mereka orang teater. Setiap kali cuba berlatih cakap Indonesia di rumah, memang kena kritik oleh orang gaji," sulami Fara membuka cerita.
REJIM latihan serta pementasan yang panjang memang memenatkan, namun Amy merasakan segala pengalaman itu akan dirindui usia pementasan 20 Jun ini.


Kuasa kebaya
Teater terbitan CTRA Production kolaborasi dua pengarah wanita, Rosminah Tahir untuk bahagian Nyonya dan Siti Rohayah Atan yang menerajui segmen The Gang itu mungkin sedia diketahui umum tentang kekuatan skrip dan pemilihan pelakon. Bersambung topik demi topik, kebaya sebagai kostum wajib setiap pelakon wanita dalam Nyonya itu juga satu penataan visual yang mengujakan untuk dipandang.
Dari satu sisi yang lain, kebaya itu sendiri sebuah perlambangan yang cukup intim dengan wanita. Mahalnya kelibat wanita di pentas Nyonya itu juga barangkali cenderung terpamer menerusi variasi kebaya yang digayakan setiap pelakon wanita yang terlibat.
"Kalau bukan kebaya betul pun, baju yang seakan-akan kebaya begini pun tetap dipanggil kebaya. Kalau ada yang terpesona dengan kebaya disebabkan penampilan kami dalam Nyonya, hal itu sesuatu yang bagus. Kalau boleh menarik minat penonton yang jatuh cinta kepada fesyen kebaya, syukurlah. Untuk kami yang terpaksa pakai kebaya ini, suka atau tidak, reda sahaja," kata Amy tergelak lagi.
Bertukar tiga hingga empat persalinan kebaya sepanjang pementasan, pementasan Nyonya dikira bertuah apabila beberapa pereka fesyen tempatan seperti Syaiful Baharim, Cosry, Man Kajang, Maria Boutique Tailoring dan Ezalha Bridal yang berkolaborasi dengan Hathim Thai menyumbang sentuhan emas kepada pesona pelakon terbabit sepanjang 14 hingga 20 Jun ini.
"Pakai sahaja kebaya, automatik kita rasa dan nampak seksi," ujar Misha sambil disokong oleh Fara yang ditaja Cosry untuk tampil sebagai Keponakan Beautiful dalam kebaya yang mirip stail dari Indonesia.
Buat pertama kali, wartawan hiburan sensasi, Kiah Propa turut ditampilkan ke lantai teater, teater berkenaan sebuah naskhah bergaya yang cuba disesuaikan dengan isu semasa. Biarpun ia karya penulis dari Indonesia, keberadaan Nyonya dalam arus teater tanah air sudah sekian lama diterima khalayak tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: