Tuesday, May 14, 2013

Uji tidak tarik diri

UJI RASHID


SEBELUM ini peminat Datuk Sharifah Aini, Datuk Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid pasti teruja apabila ketiga-tiga bintang legenda negara itu bakal berkongsi pentas menerusi Konsert Malam Amal Bersama 3 Diva.
Berita mengenai konsert tersebut sudah diuar-uarkan menerusi satu sidang akhbar yang diadakan pada 8 Mei lalu dan konsert tersebut dijadualkan bakal berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 12 Jun ini.
Pada sidang akhbar berkenaan hanya Sharifah Aini dan Khadijah sahaja yang muncul, manakala pihak penganjur memberitahu Uji akan tiba lewat sedikit.
Bagaimanapun, sehingga berakhir sidang akhbar itu, kelibat Uji masih lagi tidak kelihatan. Ia menyebabkan timbul tanda tanya dalam kalangan wartawan yang hadir pada sidang akhbar tersebut.
Dalam laporan sebuah akhbar semalam pula mendakwa Uji tidak hadir pada sidang akhbar tersebut ekoran penyanyi yang popular dengan lagu, Semakin Hari Semakin Sayang itu telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada konsert berkenaan.
Koordinator Persembahan dan Eksekutif Pemasaran Konsert Malam Amal Bersama 3 Diva, Kit Rushuhaimin ketika dihubungi Kosmo! bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya Uji telah menarik diri daripada konsert tersebut.
Menurut Kit, Uji akan tetap terus terlibat dengan konsert tersebut memandangkan kontrak sudah ditandatangani dan wang pendahuluan pula sudah diambil.
“Sehari sebelum berlangsung sidang akhbar pada 8 Mei lalu saya dan Uji telah bertemu dan dia sudah memberi persetujuan untuk terlibat, meskipun mengetahuinya pada saat-saat akhir kerana pihak penganjur sekadar mendapat persetujuan daripada pengurus peribadinya.
“Kemudian Uji ada memberitahu saya dia berkemungkinan besar tidak dapat hadir sama pada acara sidang akhbar yang diaturkan memandangkan sudah mempunyai komitmen lain,” ujarnya.
Jelas Kit, penyanyi itu menyatakan dia perlu menjayakan sebuah acara minum petang di Country Heights, Kajang, tetapi dia akan berusaha untuk hadir.
Meskipun Uji akhirnya tidak muncul, Kit menyatakan dia memahami situasi yang berlaku memandangkan jarak yang jauh kerana sidang akhbar itu diadakan di Petaling Jaya.
“Mengenai ketiadaan Uji itu saya memang langsung tidak menyalahkan dirinya dan saya percaya dia memang ingin turut serta bersama Sharifah Aini dan Khadijah Ibrahim pada sidang akhbar tersebut.
“Jadi, saya agak terkejut pula apabila terdapat pula cerita yang mengatakan Uji mahu menarik diri, sedangkan perkara tersebut langsung tidak berlaku dan konsert itu tetap diteruskan seperti yang dirancang,” ujarnya.
Menurutnya, disebabkan cerita tentang penarikan diri itu dia telah dihubungi oleh pihak penganjur iaitu Sulaiman Ngah Dimin yang juga merupakan Pengarah Eksekutif Kaizen Asia.

SIDANG akhbar Konsert Malam Amal Bersama 3 Diva yang diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Mei lalu berlangsung tanpa kehadiran Uji Rashid.


“Sulaiman telah menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya dan saya telah jelaskan semuanya dan memberitahu bahawa cerita ini timbul kerana ketiadaan Uji pada sidang akhbar itu,” jelasnya.
Mengenai kenyataan daripada Uji pula, Kit memberitahu dia sudah menghubungi dan diberitahu bahawa penyanyi itu belum bersedia membuat kenyataan buat masa ini.
“Uji ada meluahkan kepada saya yang dia berasa cukup terkilan dengan berita yang mengatakan dia ingin tarik diri, sedangkan dia tidak pernah membuat keputusan sedemikian.
“Berkemungkinan besar pada minggu hadapan Uji akan mengadakan satu sidang akhbar untuk menjelaskan perkara yang sebenar supaya perkara ini dapat diselesaikan segera,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kaizen Asia, Sulaiman Ngah Dimin mengakui pihaknya agak terkejut dengan cerita tentang penarikan diri Uji dan menjelaskan konsert berkenaan akan tetap menampilkan ketiga-tiga penyanyi berkenaan.
Jelas Sulaiman, isu tentang penarikan diri itu sepatutnya tidak harus ditimbulkan, meskipun Uji tidak dapat hadir pada sesi sidang akhbar yang berlangsung.
“Apa yang saya tahu ketika ini ketiga-tiga penyanyi sedang dalam proses persiapan dan memilih lagu-lagu yang sesuai untuk dipersembahkan kepada tetamu.
“Jadi, saya berharap agar peminat hadir memeriahkan konsert yang bakal berlangsung pada 12 Jun ini kerana ia akan memberi kenangan tersendiri apabila dapat menyaksikan tiga diva popular berkongsi pentas yang sama,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: