|
PEKIN mengakui Uqasha merupakan pilihan yang terbaik buat dirinya.
|
BIARPUN baru berkecimpung dalam bidang lakonan, ternyata sudah timbul cerita sensasi mengenai pelakon Nik Uqasha Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen berkenaan kisah cintanya dengan Pekin Ibrahim.
Kisah cinta pasangan tersebut didedahkan apabila gambar mesra mereka berdua sambil berpegangan tangan telah tersebar di internet selepas di muat naik ke Instagram.
Bagaimanapun, ia telah menimbulkan rasa kurang senang pihak syarikat Metrowealth memandangkan Uqasha sudah mengikat kontrak dan kini bernaung di bawah MIG Talent (MIG).
Sehubungan itu, Uqasha pernah membuat kenyataan mahu menamatkan kontrak berkenaan.
Namun ada dakwaan mengatakan Pekin merupakan individu yang bertanggungjawab mempengaruhi kekasihnya itu. Sehubungan itu, apakah pula status kontrak Pekin yang sebelum ini juga mengikat kontrak dengan MIG?
Bagi mendapat kepastian berhubung perkara tersebut, ikuti temu bual bersama Pekin dalam satu pertemuan sewaktu majlis pelancaran filem Tujuh yang diadakan baru-baru ini.
Kosmo!: Bagaimanakah status kontrak Pekin dengan MIG sekarang ini?
PEKIN: Kontrak saya dengan MIG sudah berakhir sejak bulan Februari lalu, tetapi saya bukan artis naungan mereka kerana kontrak yang diikat menyatakan saya akan berlakon sebanyak lima buah filem dengan mereka dalam tempoh setahun.
Bagaimanapun, saya sempat berlakon tiga buah filem sahaja iaitu Cerita Kita, Legenda Budak Hostel dan Paku Pontianak. Kemudian saya ambil keputusan untuk tidak sambung dan pihak Metrowealth melepaskan saya dengan cara baik.
Apakah pengalaman yang dilalui sepanjang bersama dengan MIG?
Saya akui MIG merupakan sebuah syarikat yang sangat bagus dan banyak pengalaman yang saya dapat, termasuk merasai suasana kerja yang berbeza berbanding yang pernah saya alami sebelum ini.
Selain itu, mereka turut memberi kebebasan kepada saya untuk memilih filem dan watak yang ingin saya lakonkan. Jika ditawarkan berlakon dengan Metrowealth lagi, saya sedia menerimanya.
HUBUNGAN cinta yang terjalin antara Pekin dan Uqasha memberi impak kepada MIG.
Adakah benar dakwaan yang mengatakan Pekin telah menghasut Uqasha supaya meninggalkan MIG?
Sudah tentu dakwaan itu tidak benar kerana saya tidak pernah mencampuri urusan kerjaya lakonannya. Cuma, saya ada menasihatinya supaya berfikir terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Bagi saya ada kebaikannya juga kalau dia terus bersama MIG. Sebagai seorang pelakon baharu sudah tentu dia memerlukan pihak yang dapat menguruskan kerjayanya dengan lebih baik dan lancar.
Bagaimanakah persepsi Pekin terhadap pembabitan Uqasha sebagai pelakon baharu?
Apa yang saya cakap ini bukanlah disebabkan hubungan percintaan kami, tetapi secara jujurnya Uqasha mampu pergi lebih jauh dalam bidang ini kerana dia memiliki karisma dan tarikan tersendiri.
Apakah keistimewaan Uqasha pada pandangan Pekin?
Sebenarnya kami berdua sudah lama kenal sejak Uqasha menjadi seorang pramugari dahulu. Setelah tiga bulan menjalinkan hubungan percintaan saya rasa dia sangat istimewa dan pilihan yang terbaik untuk saya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: