|
SOHA dan Kunal kini sedang larut dalam alam percintaan.
|
AKTRES Soha Ali Khan mengakui komitmen terhadap hubungannya dengan aktor Kunal Khemu lebih penting berbanding perkahwinan. Ibu Soha, aktres legenda dunia filem Hindustan, Sharmila Tagore sebelum ini mahukan anaknya itu berkahwin dengan Kunal, tetapi Soha nyata mempunyai pandangan yang berbeza tentang perkahwinan.
Katanya kepada IANS: "Kami sudah mengambil langkah yang besar apabila mengambil keputusan untuk tinggal serumah (dengan Kunal Khemu) sebelum ini, yang mana ia sama sahaja seperti kami sudah berkahwin."
Ulas Soha dengan pandangan ibunya tentang perkahwinan: "Dia adalah seorang ibu dan sudah tentu ibu mahukan anaknya kahwin. Namun bagi saya, tinggal serumah dengan Kunal merupakan suatu langkah yang besar. Soal sama ada atau bilakah saya dan Kunal akan kahwin tiada dalam fikiran saya buat masa ini."
Tambahnya: "Bagi saya, ini (tinggal serumah dengan Kunal) merupakan komitmen utama buat masa ini dan kami akan menjadikan komitmen ini untuk kesejahteraan dan kebahagian kehidupan kami berdua pada masa hadapan.
"Perkahwinan hanyalah tentang menandatangani surat pernikahan, tetapi nilai dan komitmen hubungan antara pasangan hidup lebih penting bagi saya."
Soha nampaknya mengikut jejak langkah abangnya, aktor tersohor Saif Ali Khan yang tinggal serumah dengan pasangannya, aktres sensasi Kareena Kapoor selama lima tahun sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin pada tahun lepas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: