|
PARA pelancong berpeluang memakai pakaian ala tentera pada harga RM3 sahaja.
|
JIKA anda bersiar-siar di Banda Hilir, Melaka pada malam hujung minggu, kemungkinan untuk bertembung dengan seorang lelaki yang unik sangat besar.
Gayanya seperti seorang tentera darat dengan warna hijau menyeliputi tubuh dan motosikalnya juga memiliki rona yang sama.
Jamil Salleh, 53, berpakaian seperti askar Jepun pada malam itu dengan topi dan kaca mata yang tersendiri, namun baju celoreng serta logo pula berlainan.
Gaya tentera lelaki yang berasal dari Lorong Pandan, Melaka itu ditambah dengan sebuah motosikal lama yang diubah suai melalui penambahan aksesori dan warna ditukar kepada hijau.
Bermula dengan hobi mahu memiliki motosikal lama dan sangat berminat menonton filem-filem bergenre perang, dia mula menambah aksesori pada motosikal jenama Yamaha keluaran tahun 60-an.
Kini, orang ramai yang mahukan kelainan dalam koleksi foto berlatar belakang bandar raya bersejarah itu mempunyai pilihan iaitu bergambar bersama Jamil dan motosikalnya.
Dengan bayaran sebanyak RM3 yang digunakan untuk penyelengaraan motosikal tersebut, orang ramai boleh memakai pakaian ala tentera seperti rompi, topi dan senapang olok-olok.
Berkongsi minat
Ketika bergambar, karakter Jamil pasti bertukar iaitu menjadi seorang askar yang tegas.
Dia hanya boleh dilihat pada hujung minggu kerana pada hari-hari biasa dia bekerja di kebun miliknya. Lebih penting, aktiviti yang dilakukan Jamil itu mendapat kebenaran Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).
Yamaha YG5 itu bukan sahaja mempunyai cukai jalan malah masih berfungsi dengan baik. Penambahan aksesori pula bergantung pada minatnya dalam masa sama menepati aura tentera lama.
SELAIN pakaian dan motosikal, karakter dan personaliti Jamil juga kelihatan seperti seorang tentera.
Pada peringkat awal, dia hanya mahu berkongsi minatnya dengan orang ramai dan perasaan malu sememangnya ada.
Namun, lama-kelamaan rasa malu tersebut mulai hilang dan hari ini, matlamatnya adalah untuk membaiki penggunaan bahasa terutamanya bahasa Inggeris.
“Ramai pelancong dari luar negara seperti China, Iran dan Eropah turut bergambar dengan motosikal saya,” katanya lagi.
Selain perlu meningkatkan kemahiran berkomunikasi, lelaki yang mempunyai enam orang anak itu turut mengakui perlu menambah ilmu mengenai sejarah Melaka.
Nama-nama bangunan utama di Banda Hilir termasuk sejarahnya perlu diketahui dan difahami dengan jelas. Kelak, apabila ditanya, dia boleh menerangkannya.
Jika dipandang cara kerja Jamil yang memerlukan dia mesra dengan semua orang tanpa mengira usia dan jantina, sudah pasti terdetik di hati kita mengenai perasaan isterinya.
“Dia memahami kerja saya,” jawab Jamil ringkas sambil tersenyum. Dia dan isterinya, Cik Norlia, 54, sudah 20 tahun mendirikan rumah tangga.
Sememangnya, motosikal dengan nombor pendaftaran kenderaan, BY 4995 itu masih boleh bergerak. Sekitar pukul 12 tengah malam, Jamil dan motosikalnya itu berada di hadapan Hard Rock Cafe, Melaka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: