SELAIN kaum Cina, kelas bahasa Mandarin di AS turut menarik perhatian murid kaum lain.
PADA mulanya, Susan Wang, 16, yang berasal dari Taiwan tidak boleh bertutur bahasa Inggeris apabila dia tiba di California.
Kini, pada usia 49 tahun, beliau berjaya menubuhkan sebuah sekolah iaitu Sekolah Rendah Broadway, Venice, di barat Los Angeles.
Penubuhan sekolah itu bertujuan untuk mengembangkan bahasa Mandarin di Amerika Syarikat (AS) dan beliau dibantu dengan kehadiran guru bergaji rendah dari Beijing untuk mengajar di sekolah berkenaan.
Usaha tersebut berbaloi apabila mendapat sambutan menggalakkan malah murid paling muda berusia lima tahun.
"Perkara yang paling menarik ialah menyaksikan anak-anak belajar, cara mereka belajar dan berapa cepat mereka menguasai bahasa lain, ia sememangnya menakjubkan," katanya yang merupakan pengetua sekolah tersebut.
Permintaan meningkat
Program pendidikan bahasa Mandarin bukanlah sesuatu yang baharu di sekolah AS. Perkembangan pengaruh China di seluruh dunia membuatkan permintaan terhadap kemahiran bahasa Mandarin semakin meningkat.
Ia secara tidak langsung mencerminkan diplomatik Washington merentasi Lautan Pasifik.
"Bahasa Mandarin merupakan salah satu bahasa yang semakin digemari rakyat AS berbanding bahasa Perancis, Jerman dan Jepun," ujarnya.
Kementerian Pengajian Beijing turut membantu dengan membawa masuk guru-guru dan penceramah dari negara China untuk bekerja di sekolah-sekolah AS.
California merupakan perintis program tersebut sama ada dari segi geografi atau sejarah.
Kemasukan pekerja China ke AS berlaku apabila mereka dibawa untuk bekerja membina landasan kereta api. Selain New York, San Francisco dan Los Angeles turut mempunyai komuniti Cina terbesar.
Sehubungan itu, secara tradisional, keluarga yang mempunyai salah seorang atau kedua-dua ibu bapa yang berketurunan Cina akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah bahasa Mandarin.
Langkah itu dilihat untuk memartabatkan budaya dan warisan mereka. Selain itu, kemahiran menguasai bahasa itu membolehkan mereka berkomunikasi dengan datuk dan nenek apabila pulang ke rumah.
Di dalam bilik darjah di Sekolah Rendah Broadway itu kelihatan dindingnya ditampal dengan gambar dan tulisan-tulisan Cina.
Bukan itu sahaja, kandungan buku teks juga menggunakan bahasa Mandarin selain guru-guru tidak akan menggunakan perkataan dalam bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, kelas tersebut bukan hanya disertai murid berketurunan Cina tetapi turut menarik perhatian kaum lain seperti Afrika-Amerika, Kaukasia dan Latin.
Seorang guru tadika, Carol Chan memberitahu, pada kebiasaannya, pada peringkat awal memasuki kelas bahasa Mandarin, murid-murid sukar untuk memahami bahasa berkenaan.
"Jadi, saya menggunakan banyak gambar, muzik, bahasa fizikal dan gerakan isyarat akhirnya, mereka dapat tangkap apa yang diajar.
"Lama-kelamaan, mereka mudah memahami bahasa Mandarin dan berasa gembira menghadiri kelas berkenaan," ujarnya.
SEORANG guru menggunakan alat bantu mengajar bagi memudahkan murid-murid memahami bahasa Mandarin.
Secara percuma
Seorang murid, Grace Ehlers mengakui pada mulanya, mempelajari bahasa Mandarin adalah sukar namun kini dia boleh bertutur bahasa tersebut dengan yakin.
"Mempelajari bahasa Mandarin menjadi sedikit mudah kerana ayah saya boleh bertutur banyak bahasa dan kadang-kadang dia mengajar saya," katanya.
Pengetua sekolah Pusat Bahasa, Nancy Rhodes pula berkata, kehadiran guru bahasa Mandarin secara percuma amat penting bagi Sekolah Rendah Broadway untuk menawarkan program belajar bahasa secara menyeluruh.
"Saya orang Cina, dilahirkan dan dibesarkan di Taiwan tetapi itu tiada kaitan langsung dengan apa yang saya lakukan untuk program ini. Kami boleh mengajar bahasa Mandarin kerana mempunyai guru sukarelawan berketurunan Cina.
"Sekiranya mempunyai guru yang boleh mengajar bahasa Perancis atau Sepanyol, kami juga akan menawarkan program yang sama," jelasnya.
Dalam pada itu, berdasarkan data yang dikumpulkan Pusat Linguistik Gunaan, terdapat 74 program bahasa Mandarin di AS.
Secara keseluruhan, program bahasa Sepanyol paling banyak diadakan yang mewakili 45 peratus, diikuti 22 peratus Perancis, Mandarin 13 peratus dan masing-masing 10 peratus bagi Jepun serta Jerman.
Tambah beliau, satu ketika dahulu bahasa Mandarin diajar di sebelah pantai barat dan bandar besar tetapi kini ia sudah menular di seluruh negara.
"Malah, sekolah-sekolah rendah di daerah kecil sedang menimbangkan untuk beralih dari mengajar bahasa Sepanyol ke bahasa Mandarin," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: