Friday, May 31, 2013

Rezeki Berlakon Sharnaaz Mencurah-Curah Selepas Putus Cinta

Sharnaaz Ahmad
PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad mengakui rezekinya lebih murah apabila menerima banyak tawaran berlakon selepas kontroversi percintaannya dengan penyanyi Shila Amzah yang tidak menjadi itu mendapat perhatian media.
Sharnaaz, 27, berkata, kesungguhannya mempertahankan hubungan cinta tersebut dilihat sebagai satu sikap yang positif pada dirinya dalam melakukan sesuatu perkara termasuk bidang lakonan.
"Alhamdulillah, selepas kontroversi tersebut semakin banyak tawaran filem dan drama untuk saya.
"Mereka melihat saya sebagai seorang yang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara dan ia memang perangai saya sejak dulu," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran filem Sindiket, di sini, Khamis.
Sharnaaz diminta mengulas ketika ditanya tentang perkembangan terbaharunya selepas kontroversi putus cinta dan kemelutnya dengan bapa Shila iaitu penyanyi ND Lala.
Kata Sharnaaz, dia menjalani kehidupan seperti biasa dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kerjaya tanpa memikirkan soal tersebut lagi.
"Saya sibuk dengan kerja saya dan dia pula sibuk dengan kerja dia sekarang.
"Apa yang saya belajar ialah kalau seseorang itu bukan jodoh kita, apa-apa perkara pun yang kita rancang dan buat, tidak akan menjadi.
"Buat masa ini kami tidak berhubung, bagaimanapun saya tidak pernah angap dia sebagai musuh," katanya.
Ditanya tentang khabar angin percintaan dengan pelakon baru, Elfaeza Ul Haq, Sharnaaz berkata dia tidak mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon wanita tersebut.
"Saya tidak ada apa-apa hubungan dengan dia, saya jenis berterus terang, kalau memang bercinta saya tidak pernah menafikan.
"Buat masa ini saya tidak bercinta dengan sesiapa pun," ujarnya yang turut menafikan bahawa dia sudah melupakan Shila Amzah.
Sementara itu, mengulas isu video buli yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar sekolah dengan mengaitkan wataknya sebagai Lan Todak dalam filem Juvana, Sharnaaz bersedia untuk melakukan kerja amal memberi kesedaran tentang gejala tersebut kepada remaja.
"Saya minta maaf kepada budak yang kena pukul tu, kesian juga dekat dia kerana menjadi mangsa pukul.
"Saya sanggup untuk sertai apa-apa kerja amal untuk beri kesedaran kepada golongan remaja dan belia tentang masalah buli ini jika diberi peluang," katanya.
Berhubung filem Sindiket arahan Bade Haji Azmi, Sharnaaz mengakui tawaran tersebut sebagai sebuah penghormatan dan kepercayaan yang diberi kepadanya.
"Ini kali pertama saya akan bekerja dengan abang Bade, dan saya anggap ia adalah satu peluang keemasan kepada saya.
"Saya akan buat yang terbaik dan mengalas tanggungjawab yang diberikan oleh pengarah dengan bersungguh-sungguh," katanya.
Sharnaaz memainkan watak Inspektor Rudy iaitu anggota polis yang ditugaskan menyelesaikan kes memperdagangkan manusia.
Antara barisan pelakon lain ialah Daphne Iking, Rashidi Ishak, Liyana Jasmay, Sharifah Amani dan Soo Wincci.

Fizo Omar Tegur Afiq Muiz, Kongsi Kisah Hidup Susah

Fizo Omar
PETALING JAYA: Sebagai pelakon yang lebih tua, Fizo Omar melahirkan rasa terkilan dan menegur sikap pendatang baru Afiq Muiz kerana enggan memohon maaf terhadap ibunya, Hasliza Mohd, 48, berikutan krisis keluarga yang melanda mereka.
Fizo, 28, berpendapat, walaupun seteruk mana seseorang ibu itu, seseorang anak itu wajib memohon maaf terhadap kesilapan melukai hati ibu masing-masing.
"Saya kurang senang dengan sikap Afiq. Adakah ibunya berkelakuan buruk dan terlalu jahat? Jika ya sekalipun, dia tidak boleh menghina wanita yang melahirkan dan membesarkannya sebegitu rupa.
"Jujurnya, andai kata saya dapat bersemuka dengan dia (Afiq), saya akan menegur sikapnya itu. Saya benar-benar marah dan kecewa dengan sikapnya itu," tegas Fizo kepada mStar Online pada Khamis.
Kontroveri pergaduhan antara Afiq dan ibunya Hasliza sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian.
Terdahulu, mStar Online pada 14 Mei lalu membuat pendedahan eksklusif luahan hati ibu kandung Afiq, 20, meluahkan rasa kecewa dan kesal terhadap perubahan pelakon itu sehingga digelar anak derhaka.
Afiq juga didakwa berubah sikap selepas berkawan rapat dan menjalinkan hubungan istimewa dengan pelakon baru Eina Azman, 18.
Tambah Fizo, status Afiq sebagai selebriti yang menjadi idola masyarakat juga sedikit sebanyak boleh merosakkan pemikiran anak muda yang mungkin akan mengikut kelakuannya itu.
Dalam pada itu, Fizo berkata, Afiq perlu ingat bahawa dia masih belum berjaya sebagai pelakon dan kerjayanya mungkin tertutup jika dia tidak menjaga hati ibunya semula kerana perbuatannya itu turut membuatkan hati masyarakat tersinggung.
"Kalau nak diikutkan, Afiq masih belum berjaya sepenuhnya tetapi nama dia sedang meningkat naik. Dengan keadaan dia tidak meminta maaf kepada ibu, saya percaya hatinya susah untuk menjadi tenang,” jelas Fizo.
Sementara itu, ditanya bagaimana Fizo melayan ibunya Hasnah Jidin, 53, ujar Fizo, dia akan mencium dan bersalaman dengan wanita itu setiap kali untuk keluar rumah bagi mencari rezeki.
Malah Fizo juga akan meluangkan masa bersama ibu yang tinggal bersamanya di Kuala Lumpur walaupun sibuk dengan kerja-kerja lakonan dan perniagaan.
"Saya bukannya nak tunjuk baik kerana saya pun mempunyai sikap nakal juga. Cuma sebagai anak, kita perlu meletakkan ibu di tempat paling atas melebihi segala-galanya.
Fizo bersama ibunya, Hasnah Jidin.
"Jangan kecilkan hati mereka. Kita kena terima hakikat bahawa orang tua mudah terasa hati. Perlu diingat, mereka tidak inginkan wang kita melainkan masa yang diluangkan bersama.
"Nilai wang yang kita beri kepada mereka tiada tandingnya berbanding apa yang telah dilakukan sejak mengandungkan kita lagi," ujarnya.
Fizo juga mengakui pernah berlaku perselisihan faham di antara dia dan ibunya tetapi dia akan bertindak meminta maaf agar masalah yang berlaku dapat selesai dengan baik.
Dalam pada itu, kata Fizo, jika diberi pilihan antara ibu atau kekasih, dia sanggup mengetepikan kekasih demi seorang ibu.
"Agama Islam sendiri sudah menetapkan jika kita sudah beristeri, ibu tetap menjadi keutamaan, barulah isteri kita. Maka, kalau diberi pilihan sama ada kekasih atau ibu, saya sanggup meninggalkan kekasih demi ibu. Jika ibu tidak menyukai kekasih kita pasti ada sebab-sebabnya, kerana mereka lebih tahu.
"Lagi satu saya nak kongsi, mungkin orang tidak sedar, doa ibu kepada anak akan dimakbulkan Allah walau seteruk mana sekalipun perangan ibu itu.
"Dahulu saya pernah susah, gaji pun tidak seberapa, tetapi masih mampu memberikan sedikit wang kepada ibu. Dan selepas itu semestinya ibu akan mendoakan buat anaknya agar berjaya pada masa akan datang.
"Alhamdulillah, berkat doa ibu, saya masih kukuh sebagai pelakon dan pada masa sama sudah memiliki 30 buah francais perniagaan burger (Hot Burger) di bawah syarikat saya F120 Enterprise.
Tidak lama lagi saya akan membuka syarikat produksi menerbitkan drama pula, Insya-Allah," katanya.
Dalam pada itu Fizo juga membuat perniagaan serunding bersempena sambutan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi dan kini sedang mencari pengedar di seluruh Malaysia.
Bagi sesiapa yang berminat, hubungi Yana di talian 010-9099191.

Tempoh hayat Search



DALAM belantika muzik Malaysia, nama grup Search merupakan nama yang paling dominan dalam genre muzik rock.Menyebut nama Search, apa yang turut ligat dalam pemikiran peminat mereka adalah katalog untaian lagu yang sentiasa malar segar.
Antara yang paling melekat dalam pemikiran hampir semua generasi yang membesar sekitar tahun 80-an ialah lagu Isabella atau Fantasia Bulan Madu.
Itu belum diambil kira jika anda merupakan peminat tegar Search, maka lagu-lagu seperti Pawana, Isi Atau Kulit, Langit Dan Bumi mahupun Gothic Malam Edan adalah untaian lagu biasa yang menjadi 'perhiasan' bibir setiap kali grup tersebut mengadakan persembahan.
Selain begitu terkenal dengan lagu-lagu malar segarnya, Search pada ironinya menjadi ikutan kerana karakter fesyen dan karisma setiap anggotanya. Vokalisnya, Amy sentiasa tampil dengan fesyen yang menjadi ikutan.
Permainan gitar yang konsisten serta nilai fesyen yang tinggi dalam diri dua pemain gitar adik-beradik mereka, Din dan Kid juga tidak boleh disangkal.
Nasir, si pemain bass yang sentiasa kelihatan serius, biar hakikatnya seorang yang begitu ramah juga tidak mahu kalah dengan permainan kemas dan penampilannya.
Terakhir, pemain drum mereka, Yazit turut mempunyai karisma tersendiri. Maka apabila muzik dan fesyen yang selari bergabung, tidak hairan apabila Search masih konsisten dan relevan sehingga kini.
Malah, selepas lebih tiga dekad menyusuri sepak terajang dunia hiburan, Search menjadi grup yang tidak pernah kering jemputan persembahan biar banyak grup-grup seangkatan serta grup baharu hampir 'mati' tanpa diberi peluang untuk beraksi di atas sebuah panggung yang besar.
Terkini, 1 Jun (esok) akan menjadi sejarah penting buat Search apabila diberi penghormatan sebagai grup pertama dari Malaysia bermain di dalam The Star Performing Art Centre di Singapura menerusi Konsert Acoustica Malam Edan Search.
Konsert tersebut juga menyaksikan konsert akustik pertama mereka selepas 16 tahun mengadakan persembahan dalam bentuk tersebut.

WALAUPUN setiap anggota Search sudah berusia melebihi 40 tahun dan grup tersebut sendiri sudah terlalu lama berada dalam industri muzik tanah air, namun Search masih laris menerima undangan mengadakan persembahan.


32 tahun Search
Bercakap mengenai konsert tersebut, Amy yang ditemui baru-baru ini melahirkan keterujaannya. Ujarnya Acoustica Malam Edan Search bukan sekadar sebuah konsert biasa, tetapi bakal menjadi kayu ukur kepada kredibiliti mereka sebagai pemuzik yang telah meledani fasa turun naik dunia hiburan.
"Saya kira, untuk usia 32 tahun Search, konsep seumpama ini amat dinantikan oleh kami. Beraksi di atas sebuah pentas yang berprestij dan konsep akustik yang bakal dipertontonkan akan menguji kredibiliti Search sebagai sebuah grup yang kompak," ujarnya penuh teruja.
Dengan penuh bersemangat, Amy memberitahu, kali terakhir mereka bermain secara akustik adalah dalam persembahan Gema Di Timur Jauh Unplugged sekitar tahun 1996 dahulu.
"Jadi, apabila penganjur Sound Check Pte. Ltd. datang membawa idea seumpama ini, Search tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju," katanya tersenyum sebelum menyambung: "Bermain secara akustik bermakna banyak perkara yang perlu diperincikan saat kami membuat persembahan kerana bunyinya yang dilantunkan satu persatu secara halus."
Sudah bersiap sepenuhnya untuk sekali lagi menakluk hati para peminatnya pada malam esok menerusi konsert tersebut, Search menyediakan untaian 20 buah lagu terhebat yang dipilih daripada album pertama mereka, sehingga terakhir iaitu Gothic Malam Edan.
Selain Acoustica Malam Edan Search, Search juga bakal menghiburkan peminatnya dalam sebuah lagi konsert mega yang bakal berlangsung pada 30 Jun ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Kali ini, mereka akan bergabung dengan tiga grup legenda dari Asia iaitu Loudness yang berasal dari Jepun dan Slank dari Indonesia serta Rusty Blade dari Singapura menerusi konsert yang diberi nama Thunder In The East 2013.
Melihat kepada larisnya Search, Amy yang ditebak persoalan tentang kedudukan grupnya yang kukuh hanya tersenyum.
Terdiam lama berfikir, vokalis tersebut akhirnya mula melontarkan buah fikiran tentang Search yang masih laris.
Ujarnya: "Mungkin kerana Search masih mampu menjual tiket. Daripada segi bisnes, ini yang dipentingkan oleh penganjur, dan daripada Search sendiri, kami juga mengharapkan peminat terus menyokong dan hadir menyaksikan setiap persembahan kami."
Walau bagaimanapun, ujar Amy, itu bukan bermakna mereka semberono mengambil semua tawaran yang datang.

KARISMA grup Search terletak kepada kredibiliti mereka sebagai pemuzik dan penampilan yang sering menarik perhatian.


Kudrat dan kesihatan
Sebagai sebuah grup yang cukup berpengaruh, mereka selektif dan menolak banyak permintaan jika konsep yang diusul tidak menarik.
Malah, ujar Amy lagi, paling penting, mereka juga tidak mahu mengadakan konsert terlalu kerap kerana bimbang momentum persembahan dan keghairahan peminat pudar.
"Jika dilihat, kami memang masih banyak mengadakan konsert, tetapi ia bukan terlalu kerap. Semua konsert yang dilakukan, ia berlainan konsep. Misalnya untuk konsert di Singapura, kami terima kerana ia dibikin dalam bentuk akustik.
"Untuk konsert pada 30 Jun ini pula, ia umpama pertempuran empat penjuru otai rock yang mempunyai tarikan tersendiri."
Ditanya bagaimana beliau melihat masa depan Search, Amy hanya tersenyum. Saat ditanya tentang jangka hayat Search, sambil tersenyum, beliau menjawab persoalan tersebut bersama hujah-hujahnya.
Ujar Amy, khalayak dan peminat barangkali akan dihidangkan dengan sebuah album studio selepas lebih enam tahun tidak menghasilkan album. Bagaimanapun, beliau tidak berani untuk berjanji bila ia akan dikeluarkan.
"Kami memang punya perancangan untuk mengeluarkan album studio, namun secara jujur, buat masa ini, Search belum mempunyai sebarang material untuk ke arah itu," ujarnya tenang.
Menjawab persoalan tentang kelangsungan Seacrh, Amy bagaimanapun menetapkan kemungkinan tempoh hayat Search akan berakhir dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ini bermakna Search barangkali hanya akan wujud sehingga tahun 2018, sebelum setiap anggotanya membawa haluan masing-masing.
Bagaimanapun, Amy pantas mematahkan pemikiran saya dengan mengatakan: "Saya sekadar menyebut tempoh lima tahun bukan kerana berasa sudah letih bermain muzik.
"Sebaliknya, saya perlu realistik terhadap faktor usia dan tahap kesihatan setiap anggota Search.
"Jika dalam tempoh lima tahun ini kami diberi kudrat dan kesihatan yang baik untuk terus menghiburkan khalayak dan masih relevan, Search akan terus hidup," ujarnya yang barangkali mampu menutup rasa gusar peminat setia mereka terhadap pembubaran grup tersebut.

Linda Hashim Lakukan Solat Sunat Sebelum Kahwin

Beego dan Linda Hashim
PETALING JAYA: Aktres Linda Hashim banyak melakukan solat sunat hajat dan taubat menjelang detik terindah pernikahannya dengan pelakon Beego yang dijadualkan pada 7 Jun depan.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 29, berkata, dia mendoakan agar majlis itu nanti akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah mengikut perancangan.
"Sebagai persiapan diri, saya banyak buat solat sunat taubat dan hajat. Sebagai manusia biasa kita banyak melakukan kesilapan dan kalau boleh perkara baik ini Allah akan memudahkannya ," kata Linda kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Majlis akad nikah Linda dengan Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah, 33, akan diadakan di Masjid Usamah Bin Zaid, Seksyen 2, Wangsa Maju pada 7 Jun ini selepas solat Isyak.
Inilah kad kahwin Linda dan Beego yang mula diedarkan kepada pihak media mulai minggu ini.
Manakala majlis resepsi kedua-dua mempelai pula akan diadakan sehari selepas itu di Dataran Karyawan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang dekat sini bermula pukul 8 malam.
Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 3 November 2012.
Dalam pada itu Linda berkata, dia banyak menjaga pemakanan dan mengambil vitamin tambahan bagi menjaga kesihatannya menjelang majlis tersebut.
"Saya takut kalau demam atau sakit pada hari itu nanti, jadi saya jaga pemakanan dan ambil vitamin tambahan untuk tambah tenaga.
"Selain itu, saya juga lebih berhati-hati kerana orang tua-tua kata nak jadi pengantin baru, ‘darah manis’ tapi terpaksa jugalah keluar buat apa yang patut," ujarnya.
Tambah Linda, penyanyi veteran Indonesia iaitu Endang S.Taurina telah mengesahkan untuk hadir pada majlis resepsi persandingan mereka selain bersedia untuk membuat persembahan menghiburkan tetamu.

Tawaran Filem Berbajet Rendah Punca Bade Azmi ‘Hilang’

Bade Hj Azmi
KUALA LUMPUR: Pengarah filem Bade Haji Azmi mengakui trend cerita seram, komedi dan filem berbajet rendah yang menjadi perhatian membuatkannya menyepikan diri hampir tujuh tahun daripada terlibat dunia filem tanah air.
Bade yang terkenal dengan filem aksi ini berkata, dia enggan mengambil risiko dalam menghasilkan sebuah karya yang tidak berkualiti terutamanya dalam menghasilkan filem genre tersebut.
"Bukan tiada tawaran untuk mengarah filem atau buat filem tetapi saya lihat trend dan pasaran filem sekarang yang lebih kepada cerita seram dan komedi.
"Ada juga yang tawarkan saya filem aksi tetapi bajet pula tidak mencukupi kerana bagi saya sebuah filem aksi yang baik perlu belanja yang agak besar kerana perlu dibuat dengan teliti," katanya ketika ditemui pada pelancaran filem Sindiket, di sini, Khamis.
Bagaimanapun, pelawaan yang dibuat oleh sebuah produksi baru iaitu Loyal Studio Sdn Bhd berjaya meyakinkannya untuk menghasilkan sebuah filem yang bakal mengangkat isu pemerdagangan manusia.
"Sebenarnya ia adalah takdir yang tidak dirancang, apabila saya dipanggil dan dipelawa untuk membuat sebuah filem aksi dengan bajet yang agak besar oleh produksi ini.
"Semuanya berjalan dengan pantas, saya kata pada mereka, saya tak percaya pada filem aksi yang bajetnya murah dan jika mereka serius untuk buat filem aksi, pelaburannya bukan sedikit.
"Tapi mereka dengan yakin dan bersungguh mahu Sindiket difilemkan. Akhirnya kami mendapat persetujuan", katanya.
Filem Sindiket yang memperuntukkan kos sebanyak RM3 juta ini bakal memulakan penggambaran itu di Kundasang, Sabah dan juga Pulau Sebatik, Kalimantan, Indonesia.
Barisan pelakon Sindiket.
Tambah Bade, naskhah yang mengangkat isu pemerdagangan manusia ini relevan untuk dipaparkan kepada masyarakat umum memandangkan ia berkait rapat dengan kehidupan masyarakat dunia.
Bagaimanapun, beliau menolak karya yang disimpan hampir 11 tahun ini berinspirasi kepada filem Hollywood, Taken.
"Sindiket tidak berinspirasi filem Taken. Pada saya filem yang mengangkat isu pemerdagangan manusia ini sudah banyak dibuat dan ia merupakan isu dunia cuma filem Taken sahaja yang dan popular.
"Apa yang membezakannya ialah Sindiket ini membawa penonton untuk mengetahui isu ini turut berlaku di Malaysia berdasarkan kisah benar, bagaimanapun ia turut komersil seperti percintaan dan kekeluargaan," katanya.
Filem ini membariskan pelakon seperti Sharnaaz Ahmad, Liyana Jasmay, Sharifah Amani, Daphne Iking, Rashidi Ishak, Tony Eusoff dan Soo Wincci.

Sakit mata lihat pelajar berpelukan


Sakit mata lihat pelajar berpelukan
Masalah itu perlu diambil tindakan segera berikutan ia boleh mencemarkan imej air terjun berkenaan.
PENDANG – Air Terjun Bukit Perak atau turut dikenali sebagai Sungai Rambai dikatakan sering menjadi tumpuan pelajar ponteng sekolah berikutan dikatakan merupakan port pilihan terutamanya yang mempunyai pasangan kekasih.

Tinjauan Sinar Harian pagi kelmarin mendapati beberapa pelajar perempuan berpakaian sekolah bersama teman lelaki masing-masing keluar dari bahagian tingkat atas air terjun kira-kira jam 1 petang.

Seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Rusli berkata, dia sakit mata dan kecewa melihat tingkah laku pelajar-pelajar perempuan berpeluk-pelukan bersama pasangan masing-masing.

Gejala berkenaan semakin menjadi-jadi terutamanya di bahagian tingkat atas air terjun memandangkan ia dikelilingi hutan dan jauh dari pandangan orang ramai.

“Mereka akan masuk di tingkat atas dan akan turun pada waktu sekolah tamat.

“Pada waktu cuti sekolah sekarang kebanyakan pelajar perempuan berpakaian sekolah akan datang ke sini, mungkin mereka ponteng kelas tambahan atau tuisyen yang dianjurkan pihak sekolah. Dan seperti biasa pasangan mereka awal-awal lagi sudah menanti di sini,” katanya.

Menurutnya, dia pernah menegur perlakuan pelajar-pelajar berkenaan, namun respons negatif yang diterimanya.

"Mereka marah saya, marah sebab saya campur urusan mereka.

"Saya sedih melihat perangai anak-anak muda sekarang. Terlalu leka dengan cinta hingga lupa semuanya," katanya.

Rusli berkata, pekerja di situ tidak mampu berbuat apa-apa, dan dia berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan serius menangani gejala berkenaan.

Seorang lagi pekerja yang dikenali sebagai Bibah berkata, semua pekerja jarang naik ke air terjun bahagian atas kerana malu dengan perlakuan pelajar-pelajar berkenaan.

“Saya berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan serius kerana gejala ini saya lihat boleh merosakkan imej tempat ini,” katanya.

Pelacur tunggu dalam cermin


Pelacur tunggu dalam cermin
Anggota penguatkuasa menyoal siasata wanita tukang urut yang ditahan.
Pelacur tunggu dalam cermin
Salah seorang pelacur yang ditahan ketika hendak melayan pelanggannya.
JOHOR BAHRU - Pengusaha sarang pelacuran menggunakan taktik baru dengan mempamerkan wanita warga Thailand di sebalik bilik bercermin sebagai tarikan kepada pelanggan.

Kegiatan itu berjaya dihidu Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops Rumah Pelacuran di sebuah premis di Bandar Baru Permas Jaya, di sini kelmarin.

Dalam serbuan itu, seramai tujuh wanita warga Thailand ditahan melibatkan 15 anggota dan pegawai diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor, Khairulanuar Abu Bakar sekitar jam 5.15 petang.

“Setibanya di lokasi, pintu berkunci secara automatik. Anggota operasi terpaksa memanggil berkali-kali sebelum premis dibuka.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, di dalam bilik premis terbabit terdapat empat pelanggan bersama pasangan masing-masing.

“Seorang wanita cuba menyembunyikan kondom meskipun pada mulanya tidak mengaku memiliki kondom.

"Akhirnya selepas didesak, beliau mengaku menyimpan beberapa keping kondom di dalam saluran paip air di tandas,” katanya, di sini semalam.

Ketika serbuan, kesemua wanita terbabit dipamerkan di dalam cermin dipercayai dan dijadikan umpan dalam kegiatan pelacuran.

Khairulanuar berkata, wanita berasal dari negara jiran itu berusia antara 27 hingga 34 tahun dan meraih kadar bayaran antara RM150 bagi setiap perkhidmatan.

Menurutnya, kesemua wanita terbabit ditahan di bawah Peraturan 17(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan selain bekerja tanpa pas dan permit.

“Turut ditahan seorang warga tempatan yang merupakan penjaga premis kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk tindakan lanjut jabatan,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan lain, lima wanita warga asing ditahan dalam Ops Sayang di sebuah premis refleksologi Taman Daya.

Dalam serbuan ke atas premis yang sudah beroperasi sejak lebih tiga tahun lalu, tiga wanita Indonesia dan dua warga Vietnam ditahan.

Menurut Khairulanuar, kesemua wanita terbabit bekerja sebagai tukang urut dengan kadar bayaran RM60 dan menawarkan khidmat tambahan sambil mengenakan caj sebanyak RM150.

“Wanita yang ditahan ini berusia antara 27 hingga 34 tahun dan kita mengesyaki premis ini ada melakukan kegiatan tidak bermoral.

“Dalam pemeriksaan di dalam bilik di premis ini, terdapat dua pelanggan bersama pasangan masing-masing.

Seorang wanita cuba lari melalui tingkap belakang premis di tingkat dua, namun berjaya ditahan dan keadaan terkawal,” katanya.

Wanita terbabit ditahan kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan dan bekerja tanpa pas serta permit.

“Ada juga antara mereka yang ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas dan permit.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk tindakan lanjut,” katanya.

Misi terakhir Versus 2 rebut RM200,000


DARI kiri: Tomok, Rich, Lan, Mior dan Fuad yang mewakili band masing-masing dalam usaha merebut gelaran juara Versus 2 yang menawarkan hadiah wang tunai RM200,000.


SETELAH lapan minggu bersaing sesama sendiri, program pertandingan Versus 2 yang membabitkan persaingan lima buah band, akhirnya menuju kemuncak menerusi Konsert Konfrontasi Terakhir yang akan berlangsung pada malam ini.
Menampilkan antara band tempatan terhebat seperti Manifesto, Estranged, Oh Chentaku, Kyoto Protocol dan Kristal, salah sebuah band yang berjaya bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000.
Tomok yang mewakili band Manifesto ketika ditemui berkata, sepanjang lapan minggu beraksi di pentas pertandingan Versus, kesemua band yang bertanding telah mempersembahkan kehebatan masing-masing.
“Secara jujurnya, saya bersama ahli kumpulan Manifesto yang lain tidak pernah meletakkan sebarang harapan yang tinggi untuk muncul juara memandangkan persaingan yang cukup sengit.
“Kalau ditanya tentang peluang untuk muncul juara pula, keyakinan itu memang ada dan paling penting kami perlu cuba lakukan yang terbaik untuk menewaskan empat band yang lain,” ujarnya ketika ditemui semasa saingan minggu kelapan yang berlangsung Jumaat lalu.
Meskipun Manifesto merupakan band yang paling banyak memenangi saingan battle iaitu sebanyak tiga kali, Tomok menegaskan bahawa mereka tidak boleh memandang rendah saingan band yang lain.
Ujarnya, kejayaan memenangi saingan battle paling banyak juga bukanlah jaminan buat Manifesto untuk dipilih sebagai juara kerana apa sahaja boleh berlaku semasa konsert terakhir nanti.
“Kami anggap kemenangan sebanyak tiga kali sebelum ini merupakan satu rezeki dan sudah tentu ia mampu menjadi pembakar semangat supaya misi meraih gelaran juara akan tercapai,” jelasnya yang menganggap kelima-lima band mempunyai peluang yang sama rata untuk menang.
Bagi sebuah lagi band iaitu Kristal pula berpendapat bahawa setiap band sudah melakukan yang terbaik untuk memenangi hati penonton serta dua orang juri tetap, Jennifer Thompson dan Loque.
Roslan atau lebih sinonim dengan panggilan Lan yang mewakili Kristal menyatakan mereka begitu bersungguh-sungguh setiap minggu kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk bergelar juara.
“Kalau ditanya tentang persiapan untuk saingan akhir, kami perlu bersedia lebih awal kerana cabaran yang akan ditempuhi pastinya lebih sukar dan kehebatan band yang bertanding juga perlu diberi perhatian serius.
“Namun begitu, kami ada mempunyai strategi tersendiri untuk memberikan cabaran kepada pesaing yang lain, termasuk melakukan kejutan yang pastinya tidak disangka oleh para peminat yang menonton rancagan ini nanti,” ujarnya.
Sementara itu, band Estranged yang pernah muncul sebagai juara di Anugerah Juara Lagu 2007 menerusi lagu Itu Kamu sudah menyiapkan lebih awal lagu baharu yang akan dipersembahkan ketika konsert penutup.
Diwakili oleh Richael L. Gimbang atau Rich yang juga selaku vokalis utama, dia menegaskan, kejayaan yang pernah diraih mereka sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana Versus 2 merupakan sebuah pertandingan nyanyian yang berbeza.
“Saya yakin lagu baharu yang kami cipta itu pastinya akan digemari ramai, manakala untuk bergelar juara, kami tidak mahu terlalu berharap kerana ingin lebih fokus kepada persembahan nanti,” ujarnya.

MENGANGGAP sebagai band underdog, Oh Chentaku menggunakan strategi menerusi laman sosial bagi menarik lebih ramai peminat yang menyokong perjuangan mereka dalam saingan Versus 2.


Laman sosial
Sebuah lagi band yang bersaing dalam Versus 2 iaitu Oh Chentaku pula sememangnya antara band yang perlu diberi perhatian berdasarkan persembahan yang ditampilkan sepanjang lapan minggu.
Salah seorang wakilnya iaitu Mior Luqman Hakim atau Mior berkata, mereka berasa kerdil berbanding band-band yang lain kerana kurang dikenali ramai kerana mereka lebih banyak bergerak secara underground.
“Pada mulanya kami berasa agak gugup untuk bersaing dengan empat buah band lagi yang lebih dikenali ramai, tetapi lama-kelamaan kami sudah dapat membiasakan diri.
“Memandangkan Oh Chentaku kurang dikenali, beberapa strategi telah diaturkan seperti menggunakan laman sosial Facebook dan Twitter untuk menarik lebih ramai peminat dan ternyata cara sedemikian cukup berkesan,” jelasnya.
Bagi band Kyoto Protocol yang sentiasa mencuri perhatian peminat setiap minggu sehingga dilabel band pilihan, mereka menganggap masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi terakhir.
Wakil band tersebut iaitu Fuad Alhabshi berkata, mereka akan menjadikan semua komen yang diberikan oleh juri tetap setiap minggu sebagai panduan untuk memperbaiki kelemahan.
“Sudah tentu kami mengambil serius setiap yang diperkatakan oleh kedua-dua juri. Kami sedar persembahan yang ditampilan belum cukup mantap, tetapi ia tidak melemahkan semangat kami untuk muncul sebagai juara,” ujarnya.
Saingan terakhir rancangan Versus 2 yang diadakan di Space U8, Shah Alam, Selangor akan turut disiarkan secara langsung menerusi TV9 dan saluran radio Hot FM pada pukul 9.30 malam.

Bella Bundle of Joy raikan para ibu


DYNAS MOKHTAR membuat kemunculan khas menerusi program Bella Bundle of Joy.


BIARPUN Hari Ibu diraikan pada tanggal 12 Mei lalu, namun stesen televisyen ntv7 pula menganggap pengorbanan seorang ibu bukan sahaja harus diingati pada hari-hari tertentu sahaja, sebaliknya mereka selayaknya diraikan setiap hari.
Ini kerana pengorbanan para ibu dalam melahirkan, membesarkan dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak tidak ternilai.
Atas dasar itu, ntv7 mengambil inisiatif menganjurkan sebuah acara istimewa buat kaum wanita yang bakal bergelar ibu iaitu Bella Bundle of Joy.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan ntv7 dan 8TV, Airin Zainul, acara mirip baby shower itu sebenarnya diilhamkan daripada rancangan temu bual wanita popular stesen itu iaitu Bella, sempena kempen Will & Kate and The Royal Baby.
"Acara Bella Bundle of Joy akan diadakan pada hari Ahad ini (2 Jun) bertempat di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, dari pukul 2 hingga 7 petang. Menariknya, penyertaan untuk menghadiri majlis ini adalah percuma," ujarnya.
Mengulas mengenai objektif acara itu diadakan, kata Airin, para ibu akan diberi pelbagai maklumat berkaitan bayi yang bakal dilahirkan dan sebagai persiapan buat diri mereka yang bakal bergelar ibu.
Ungkapnya lanjut, acara itu bakal menyediakan ruang buat para ibu untuk bertanya lebih lanjut kepada pakar-pakar dalam bidang berkaitan.
Lebih menarik, acara Bella Bundle of Joy itu juga merupakan percubaan terbesar dalam menghimpunkan wanita hamil tanpa mengira usia. Ia akan direkodkan dalam Malaysia Book of Records.
Beberapa selebriti seperti Dynas Mokhtar dan Daphne Iking akan membuat kemunculan khas pada acara tersebut.
Kepada para ibu hamil yang berminat menyertainya boleh hadir terus ke acara tersebut atau anda juga digalakkan mendaftar menerusi borang ringkas yang terdapat di laman web www.ntv7.com.my dan menghantarkan borang menerusi e-mel bellashower@ntv7.com.my atau hubungi talian 03-7726 877 sambungan 7040/7009.
Bagi para ibu yang hadir awal ke acara tersebut akan diberikan cenderahati menarik dan eksklusif daripada ntv7.

Thursday, May 30, 2013

Neelofa tak jual rupa


Neelofa
Neelofa
Neelofa
Neelofa
GADIS cantik berusia 24 tahun ini barang kali antara selebriti yang cukup bertuah. Mempunyai rupa paras yang cantik, bijak dan berbakat, Noor Neelofa Mohd Noor, atau Neelofa boleh dikatakan memiliki pakej lengkap.
Malah bakat dimilikinya bukan hanya dinilai melalui kata-kata dan pujian, bahkan gadis yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini beberapa kali menerima pencalonan dalam anugerah berprestij biarpun baru tiga tahu berkecimpung dalam bidang seni.

Terbaru, Neelofa dicalonkan untuk dua kategori Anugerah Blockbuster 2, iaitu kategori Heroin Terhebat dan Heroin Baru Terhebat.

Bagaimanapun, akui Juara Dewi Remaja 2010 ini, dia tidak mengharapkan sebarang kemenangan biarpun tercalon.

"Saya tidak sasar sebarang trofi, tetapi tetap akan hadir pada malam kemuncak bagi mempromosikan filem terbaru saya iaitu Lemak Kampung Santan yang akan bersiaran 1 Syawal nanti.

"Lagipun majlis-majlis anugerah sebegini, kita tidak boleh jangka siapa yang akan menang dan kadang kala orang yang kita tak jangka pun boleh menang.

"Jadi, saya hanya bersikap neutral dan menerima sahaja keputusan yang akan diumumkan malam itu kelak," ujarnya kepada Zass.

Ditebak adakah dia masih kecewa berikutan kegagalan menerima apa-apa trofi, biarpun menerima banyak pencalonan pada Anugerah Bintang Popular sebelum ini, Neelofa segera menidakkan.

"Saya masih baru dalam industri ini dan banyak lagi kelemahan yang perlu saya perbaiki. Bagi saya, orang sudah mengenali dan nampak Neelofa dalam industri ini juga sudah cukup bermakna buat saya.

"Banyak lagi ruang dan peluang yang akan datang, jadi tidaklah hanya kerana gagal sekali, saya terus kecewa," jelasnya.

Tak endah kritikan

Dalam bersikap positif mengharungi segala sepak terajang dalam industri seni, Neelofa tidak terlepas dari menerima kata-kata nakal bahawa kehadirannya dalam industri tidak lebih sekadar berbekalkan rupa semata-mata.
Tidak cepat melatah dengan tohmahan sesetengah pihak yang tidak menyenangi kehadirannya dalam industri seni, Neelofa berkata, dia tidak ambil pusing dengan kata-kata negatif orang lain
terhadapnya.

"Saya tahu apa yang saya buat dan orang boleh kata apa sahaja. Jikalau benar kehadiran saya hanya kerana rupa, saya rasa mungkin sudah lama saya hilang dari industri ini.

"Malah, apabila sudah masuk tahun ketiga berada dalam industri, saya makin kuat dan tidak ambil pusing dengan apa yang orang lain katakan.

"Bagi saya, orang yang suka mengata saya, belum tentu hidupnya juga stabil. Jadi saya hanya pandang ke depan dan buat kerja saya sahaja," katanya.

Jadual padat

Dalam pada itu, berkongsi mengenai perkembangan terkininya, Neelofa berkata, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran Pilot Cafe dan juga menyelesaikan penggambaran program Nona serta MeleTOP.
Selain itu, Neelofa juga bakal tampil dalam program terbaru berjudul Dapur Panas bersama pengarah Michael Ang.

"Julai ini, saya akan memasuki set penggambaran filem Gangster Superstar bersama Khabir Bhatia," ujarnya.

Tepis gosip dengan Sharnaaz



PERTAMA kali bertemu dengan pelakon kelahiran Jurong, Singapura, Siti Elfaeza Mohmed Ehsan Ul Haq atau lebih serasi disapa Elfa adalah ketika penggambaran drama bersiri Adam & Hawa di Cameron Highlands, Pahang, sekitar pertengahan tahun lalu.
Ketika itu nama Elfaeza Ul Haq masih samar-samar dalam industri hiburan tempatan. Namun, dek tempias drama rantaian itu, Elfa, 27, mengakui sahamnya melambung tinggi dan semakin laris mendapat tawaran.
"Syukur sebenarnya kerana saya dikenali menerusi sebuah naskhah hebat bersama pelakon-pelakon yang luar biasa bakatnya.
"Boleh dikatakan, lebih kurang saya menumpang sedikit populariti daripada mereka," ujarnya yang ditemui ketika pertunjukan fesyen The Amazing Red Kurung Kebaya & Hijab di The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut bahang populariti yang semakin kuat dirasai Elfaeza, dia kadangkala gusar dan takut ledakan itu memakan diri sendiri.
"Saya tidak mahu mudah terleka dan hanyut dalam arus populariti. Takut juga suatu masa nanti saya sendiri dimakan perasaan yang riak. Lebih baik saya menjadi diri saya dan kekal berada di tempat sekarang yang tidak terlalu selesa atau terlalu sukar," katanya.
Rentetan daripada keberkesanan lakonannya juga, Elfaeza diberikan kepercayaan untuk menggalas peranan utama dalam drama bersiri Iman Nabila terbitan Suhan Movies Trading Sdn. Bhd. yang kini sedang menjalani penggambaran.
"Alhamdulillah, pertama kali saya ditawarkan untuk melakonkan watak utama drama bersiri 16 episod, Iman Nabila. Tambah mengharukan apabila drama itu akan disiarkan di TV3 untuk slot Azalea tidak lama lagi.
"Apabila ditawarkan watak utama, saya terperanjat bukan kepalang! Perasaan berdebar-debar dan takut untuk bekerja dengan produksi terkenal dan pelakon lain yang belum pernah bekerjasama sebelum ini," ungkap Elfaeza.
Turut membintangi drama itu, pelakon kacak Shahrizal Jaszle, Aida Khalida dan Kuza.
Elfaeza kini melihat bakat dan kewujudannya dalam industri hiburan di Malaysia sudah semakin diterima ramai dan berusaha untuk mengekalkan prestasi baiknya tanpa sebarang cerita negatif.
"Ini percubaan pertama saya dan saya melihat peluang kepada artis dari Singapura seperti saya sudah semakin diterima peminat di sini (Malaysia).
"Kalau tidak diberikan peluang kepada artis baharu seperti saya, bagaimana industri kita hendak maju ke depan?" luahnya.
Sharnaaz
Mengalih topik bicara kepada gosip liar yang mendakwa dia kini sedang mengenali pelakon kelahiran Georgetown, Pulau Pinang iaitu Sharnaaz Ahmad semenjak bernaung di bawah pengurusan yang sama beberapa minggu lalu, nyata wanita ini terperanjat ketika diberitahu.
Jelasnya, tidak pernah terlintas untuk dia menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki dalam waktu terdekat memandangkan kerjayanya baru saja bermula.
Malah katanya lagi, dia tidak menganggap Sharnaaz sebagai lelaki yang paling rapat dengannya kini biarpun kedua-duanya diuruskan oleh individu yang sama.
"Saya sudah agak akan timbul dakwaan sebegini apabila saya memilih untuk diuruskan bersama Sharnaaz dan saya tidak boleh menghentikan cakap-cakap orang.
"Sepanjang saya mengenali Sharnaaz, dia bukan seorang yang pemarah, malah dia sebenarnya peramah.
"Sebelum ini saya sendiri yang menguruskan kerjaya saya, kebetulan ketika penggambaran drama Mukhlis bulan lalu, saya berkenalan dengan pengurus peribadi Sharnaaz yang kemudian menawarkan saya bernaung di bawahnya.
"Saya menerima pelawaan itu dan jika serasi saya akan teruskan khidmatnya. Tiada istilah saya diuruskan oleh individu yang sama dengan Sharnaaz, maka kami mempunyai hubungan.
"Lagipun, pertemuan kami hanya di set penggambaran Mukhlis sahaja. Kami tidak pernah membuat temujanji untuk keluar bersama selain waktu bekerja," jelas Elfaeza.

CINTA bagi Elfaeza penting dan adalah segala-galanya.


Solo
Mengukuhkan kenyataan yang dikeluarkan, ujar Elfaeza, dia kini masih solo dan fokusnya kini cuma keluarga dan kerjayanya yang masih mencari tapak.
"Ibaratnya lagu Cari Jodoh (Wali Band) sangat sesuai dengan saya. Memang saya tak laku! Prioriti saya adalah kerjaya dan keluarga yang berada di Singapura.
"Saya tidak terfikir untuk mencari lelaki buat masa sekarang sejak lima tahun menyendiri. Selepas putus cinta kali ketiga, saya sudah patah hati dan tidak mahu tetapkan lelaki yang bagaimana mahu dipilih," katanya.
Ditanya bilakah dia akan kembali mencari cinta, jawab Elfaeza, perkara itu akan berlaku apabila dirinya sudah stabil dan hatinya benar-benar bersedia.
"Saya akan kembali mencari cinta apabila kerjaya sudah stabil dan selepas itu saya menerima kalau pintu jodoh saya terbuka.
"Saya inginkan seorang lelaki yang baik, boleh membimbing saya, tidak cerewet dan tidak ambil pusing sekiranya jodoh saya adalah individu dalam atau luar industri hiburan," kongsi Elfaeza.
Ditanya makna cinta bagi dirinya, jawab Elfaeza: "Cinta penting dan adalah segala-galanya. Hidup kena ada cinta. Cinta kepada keluarga, kerjaya, hidup dan paling penting cinta kepada Allah."
Kompang Abang Zabidi
Dalam pada itu, Elfaeza baru sahaja muncul menerusi telefilem Kompang Abang Zabidi yang mana tayangan perdananya menerusi Astro Warna (saluran 132) semalam, 29 Mei.
Menerusi telefilem arahan Mohd. Ramdan Che Hassan itu, Elfa yang melakonkan karakter Amelia bergandingan dengan aktor Kamal Adli sebagai Zabidi.
Kompang Abang Zabidi mengisahkan tentang Zabidi iaitu seorang pemuda kampung yang terdesak untuk mendapatkan wang bagi membayar ganti rugi kerana merobohkan reban ayam Mat Som Karipap Pusing.
Suatu hari, Zabidi telah ditawarkan untuk menjadi ketua pasukan kompang kampungnya. Kemunculan Amelia menjadikan semangatnya untuk memimpin pasukan kompangnya itu semakin berkobar-kobar. Namun, Rais cuba mensabotaj pasukan kompang Zabidi.
Menerusi telefilem arahan Mohd. Ramdan Che Hassan itu, Elfa yang melakonkan karakter Amelia bergandingan dengan aktor Kamal Adli sebagai Zabidi.

Nad Zainal Dianggap Sombong Kerana Suara

Nad Zainal
PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal mengakui sikapnya yang lantang ketika bersuara menyebabkan ada pihak menganggap dia seorang wanita yang sombong.
Bagaimanapun, Nad, 23, berkata, dia tidak peduli dengan tanggapan tersebut kerana cara percakapannya adalah disebabkan terbawa-bawa sejak menceburi dunia pentas teater, tiga tahun lalu.
"Nada suara saya memang macam ini iaitu lantang kerana mungkin sebab lontaran suara yang sudah dilatih ketika saya belajar seni persembahan teater di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan).
"Ditambah dengan rupa saya yang agak garang ramai yang ingat saya ini sukar didekati, dan sombong tapi saya tidak kisah kerana mereka tidak mengenali saya secara rapat," katanya.
Dalam pada itu, bercakap tentang media sosial, dia menganggap medium itu mampu membolehkan seseorang artis untuk berinteraksi dengan peminat tetapi perlu mempunyai batas-batas tertentu.
"Zaman ini memang ramai orang yang guna Facebook atau Twitter untuk berhubung dengan peminat, namun pada saya semuanya perlu ada batasan.
"Jika untuk kegunaan peribadi secara keterlaluan ia tidak sesuai kerana ia akan mengundang publisiti murahan seseorang artis selain boleh membunuh kerjaya artis jika tidak digunakan dengan betul," katanya.
Sementara itu, wanita yang mengakui sudah memiliki teman istimewa ini belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
"Ya... saya sudah ada kekasih namun buat masa sekarang fokus utama adalah untuk kerjaya dan membahagiakan ibu bapa, lagi pula usia saya masih muda," katanya.
Nad bakal membawa watak Kay dalam Drama Memberku Hawa Musim ke-2 yang akan disiarkan setiap Rabu bermula 5 Jun depan pada pukul 10 malam di Astro Ria.
Ulangannya adalah pada setiap Ahad pukul 6.30 petang.
Drama ini mengisahkan wanita muda Malaysia yang berdepan dengan cabaran hidup dengan sikap positif dan berpendirian teguh.
Selain Siti Saleha dan Nad Zainal, drama ini turut dibarisi Sharifah Sofea, Nur Zaireen Mohd Zait, Christina Suzane dan Nor Nadia Nor Mahazan.

Artis YouTube, Tasha & Syed Shamim Dapat Sokongan Keluarga

Tasha (kiri) dan Syed Shamim menunjukkan album mereka.
KUALA LUMPUR: Bintang yang popular menerusi YouTube, Tasha Manshahar dan Syed Shamim mendapat sokongan penuh daripada keluarga masing-masing untuk bergelar artis walaupun mereka masih menuntut di pusat pengajian tinggi.
Muncul sebagai pasangan duet, Tasha atau nama sebenarnya, Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 21, berkata, walaupun agak sukar untuk membahagikan masa antara pelajaran dan karier nyanyian tetapi mereka semakin bijak mengatur jadual supaya dapat mengimbangi rutin harian mereka.
"Keluarga sangat menyokong tetapi meletakkan syarat supaya tidak mengabaikan pelajaran sekiranya mahu bergelar artis.
"Walaupun mampu mengimbangi kedua-dua bidang itu namun pelajaran tetap diutamakan," katanya selepas ditemui pada majlis pelancaran ‘single’ mereka iaitu Be Mine dan Cuba Teka di Hard Rock Cafe di sini pada Rabu.
Tasha dan Syed Shamim atau nama sebenarnya Syed Shamim Syed Abdul Kadir, 20 sedang menuntut di Institut Perguruan, Kampus Ilmu Khas, Cheras di sini.
Tasha mengambil pengajian Bahasa Inggeris manakala Syed Shamim pula pelajar jurusan muzik di institut berkenaan.
Kedua-dua mereka mula dikenali menerusi lagu Mr. Saxobeat dan Be Mine yang mendapat sambutan hangat sehingga mencecah 40,000 penonton dalam masa empat hari di YouTube.
Sehingga kini, video berkenaan telah mencacat lebih sejuta tontonan di laman tersebut.
Dalam pada itu, Tasha berkata, dia tidak menyangka lagu ciptaannya itu mendapat sambutan hebat daripada pendengar sehingga dilamar syarikat rakaman FMC untuk merakamkan album.
"Sebelum ini kami hanya menganggap nyanyian dan mencipta lagu hanya sebaga hobi tetapi tidak sangka ramai yang meminati kami," katanya.
Sementara itu, Syed Shamim berkata, dia bertemu dengan Tasha di universiti dan keserasian di antara mereka telah mendorong kepada kerjasama itu.
Memilih untuk tampil berduet, Syed Shamim berkata, itu adalah kelainan yang ingin ditampilkan mereka sebagai artis.
"Sudah terlalu ramai artis solo jadi kami ingin beri kelainan dan ia nampaknya mula diterima ramai. Malah ramai yang memberikan reaksi positif tentang gandingan kami," katanya.
Bagaimanapun kata Syed Shamim, hubungan yang terjalin di antara mereka adalah profesional dan tidak terfikir untuk bercinta buat masa ini.
"Kami kawan baik yang mempunyai visi dan objektif sama tetapi bukan pasangan kekasih," ujarnya yang memberitahu akan muncul dengan album penuh pada penghujung tahun ini.
Pada majlis sama, Tasha turut dilantik sebagai duta produk Shopie Secret and Beauty.

Pencarian peserta AF kini bermula!


 Akademi Fantasia
Alumni Akademi Fantasia
HAMPIR dua tahun rancangan realiti popular Akademi Fantasia (AF) direhatkan atas sebab-sebab tertentu, kini ia muncul semula dengan format baru dan idea lebih segar.
Dengan memperbaharui format baru, AF10 akan ditukar kepada AF2013 akan disiarkan di Astro Ria bermula September tahun ini.

Malah logo AF juga turut ditukar yang memperlihatkan elemen futuristik dan lebih menarik berbanding logo terdahulu.

Menurut Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata program realiti Akademi Fantasia dilihat sebagai platform bagi melahirkan perintis baru dalam dunia hiburan.

Tambahnya, program itu masih relevan dengan terbukti apabila ramai bintang kelahiran AF berjaya mencipta nama dalam pelbagai bidang seni seperti nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

Selain itu, terdapat penambahan unsur rap dalam lagu rasmi AF, Menuju Puncak yang dinyanyikan oleh Zahid.

"Lebih menarik, penggunaan media sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram atau Keek dibenarkan agar mereka dapat berkomunikasi dengan dunia luar," katanya.
Difahamkan, AF2013 akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti iaitu pada September.

Zizan hos baru?
Teka-teki siapakah yang akan menggantikan pengacara asal Akademi Fantasia sebelum ini bakal terjawab dalam masa terdekat dan pihak Astro akan mengadakan sidang media untuk memperkenalkan pengacara baru AF.

Difahamkan, antara nama yang disebut-sebut menjadi menduduki kerusi pengacara AF ialah pelawak terkenal, Zizan Razak.

Malah, AF2013 dikatakan mempunyai unsur lawak dan masih mengekalkan elemen kejutan dalam rancangan tersebut.

Menurut Khairul, siapakah yang akan menjadi pengacara AF dirahsiakan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, bagi mereka berminat sertai AF2013 secara solo atau duo boleh kunjungi lokasi uji bakat pada tarikh ditetapkan.

Penonton boleh mendapatkan info di www.facebook.com/AkademiFantasia2013.

Geng Bas Sekolah tampil muka baru


Geng Bas Sekolah tampil muka baru
Geng Bas Sekolah disiarkan setiap Ahad jam 11 pagi di saluran Astro Ceria 611
Geng Bas Sekolah tampil muka baru
Geng Bas Sekolah tampil muka baru. 
BAGI penonton cilik, drama bersiri popular Geng Bas Sekolah (GBS) bukanlah asing di kalangan mereka lebih-lebih lagi ia sudah pun masuk musim kelima.

Pun begitu, pastinya berita sedih bagi pengikut setia drama yang disiarkan setiap Ahad jam 11 pagi di saluran Astro Ceria 611 ini kerana episod terakhirnya bakal menemui penonton Ahad nanti.

Mengimbas mengenai GBS musim ke lima, Pengurus Saluran Astro Ceria, Hadzelynda Khairuddin memberitahu, pelbagai kelainan telah ditampilkan menerusi drama ini.

Jelasnya, meskipun barisan pelakon dari musim pertama sehingga keempat telah membawa GBS ke satu tahap, namun pihaknya mahu memastikan GBS musim lima lebih menonjol.

"Sebab itulah kita merombak semula pelakon yang ada, dari segi pemilihan pelakon ini kita mahu sesuatu yang segar dan baru dari mereka," katanya kepada Zass.

Antara pelakon bagi GBS musim lima adalah adik Harris Alif yang memegang watak Jay, Jasmine Jessica Cross sebagai Chempaka, Brendan Gabriel Lai sebagai Bobby dan Muhammad Shahzuan

Aiman sebagai DJ.

Sementara itu, watak Abang Reza selaku pemandu bas lakonan Azrul Zaidi masih dikekalkan selain penampilan istimewa Mia Sara Nasuha sebagai Orked.

Bercerita mengenai pemilihan Mia pula, akui Hadzelynda, dia dipilih bukan kerana populariti yang dimiliki Mia semata tetapi kerana bakat yang ada dalam diri pelakon comel itu.

"Mia mengakui berminat menjadi pelakon GBS dan apabila di tawarkan watak ini, dia menerima dengan gembira.

"Malah kami sebagai pihak produksi sangat berbesar hati dengan kehadirannya," katanya.

Karakter berbeza

Berkongsi mengenai watak yang diberi kepada pelakon GBS musim lima, jelas Hadzelynda, dia sangat berpuas hati dengan mutu dan kualiti lakonan yang dibawa kerana masing-masing berusaha menjadi yang terbaik.

"Seperti yang saya katakan, Mia sememangnya tidak sukar membentuk peranan yang diterima, begitu juga Harris.

"Tetapi untuk pelakon baru seperti Jessica, meskipun dia bukan berbangsa Melayu, tetapi dia dapat bertutur dengan baik.

"Kami juga terkejut apabila melihat dia bercakap Bahasa Malaysia dengan lancar," katanya gembira pelakon GBS musim lima berjaya mewarnai karakter yang diterima.

Dalam pada itu, kata Hazelynda, bekerjasama dengan pelakon GBS musim lima tidaklah sesukar yang dibayangkan.

"Walaupun mereka kanak-kanak, namun mereka sangat komited dengan kerja.

"Lebih menarik mereka ini kreatif serta berani memberi idea kepada kami, malah mereka tidak bergantung kepada skrip semata-mata," katanya.

Selit elemen komik

Sementara itu, menurut Hazelynda, GBS musim lima berbeza dari GBS musim satu hingga empat kerana wujudnya elemen komik dalam drama ini.
"Dalam satu-satu babak, terdapat elemen komik diselitkan, selain kelainan dari mana-mana GBS yang pernah disiarkan ia juga usaha kami untuk menarik minat penonton cilik menyaksikan drama ini," katanya.

Ditanya adakah akan ada GBS musim ke enam pula, katanya, terdapat banyak permintaan untuk musim seterusnya.
"Bagaimana pun ia masih dalam perbincangan dan perancangan.

"GBS lima akan berakhir Ahad ini, jadi keputusannya akan dibuat selepas itu.

"Yang pasti, jika ia diterbitkan lagi, saya harap GBS akan terus diterima pengikut cilik di negara ini," katanya.

Sedikit mengenai GBS, ia merupakan sebuah drama bersiri yang bercerita mengenai kisah penyiasatan yang tertumpu kepada kanak-kanak.

Tasha Manshahar dan Syed Shamim lancar single


Tasha dan Syed
Tasha dan Syed cuba nasib dalam industri muzik.
PASANGAN duo Youtube pertama di Malaysia, Tasha Manshahar, 21 dan Syed Shamim, 20 melancarkan dua single mereka berjudul Be Mine dan Cuba Teka, hari ini.

Bermula dengan hobi dan sekadar untuk tontonan rakan-rakan, kedua-dua penyanyi muda ini terus mendapat perhatian di laman sosial, Youtube.

Ekoran kekangan masa kerana masih bergelar pelajar di Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas Cheras, pasangan duet ini melancarkan single pertama, Be Mine bersama single kedua mereka, Cuba Teka.

"Kami tidak dapat meluangkan masa untuk melancarkan Be Mine sebelum ini, jadi, hari ini, kami ambil peluang untuk melancarkan kedua-duanya sekaligus," kata Tasha ketika membuat persembahan di majlis pelancaran single mereka, di Hard Rock Cafe.

Kedua-dua lagu tersebut merupakan hasil ciptaan Tasha.

Pada majlis sama, Tasha dilantik sebagai duta bagi produk, Shopie Secret and Beauty, keluaran Syarikat Health and Beauty Boutique.

Mior Juara Kilauan Emas 3


Mior Juara Kilauan Emas 3
SETELAH bersaing dalam enam konsert, akhirnya, peserta berasal dari Selangor, Mior Yazid Ahmad atau Mior diumumkan sebagai juara Kilauan Emas Musim Ketiga (KE3), malam tadi.

Konsep rock yang dibawanya berjaya memenangi hati juri dan penonton dengan markah 29.5 peratus.

Mior membawa pulang sebuah kereta Nissan Livina X-Gear, wang tunai RM 50,000, trofi dan hadiah sampingan.

Vokal penyanyi berusia 44 tahun ini memang tidak dinafikan apabila berjaya menggegarkan Auditorium MBSA ketika membawakan lagu Purnama dari kumpulan Search dan sebuah lagu baru berjudul Sampai Di Sini.

Tempat kedua dimenangi Idris dengan 26.4peratus dan tempat ketiga menjadi milik Silah dengan 22.9 peratus.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM 30,000 dan RM 20,000 berserta trofi.

Sementara peserta yang pernah menjadi tumpuan sebelum tersingkir pada konsert separuh akhir, Ros menerima anugerah khas, Personaliti Polident yang membawa pulang wang tunai RM 10,000.

Pentas akhir KE3 ini jugak menyaksikan penampilan juara kilauan emas musim pertama dan kedua, Ali Norpiah serta Fuad.

Selain itu, guru vokal, Adnan Abu Hassan dan Siti Hajar turut membuat persembahan dengan menyampaikan lagu Kesederhanaan.

Juri profesional, Ziana Zain pula menyampaikan lagu berbisanya, Berpisah Jua dan Dugaan Buatmu.

Kolam pancing maut


Kolam pancing maut
Kolam pancing maut
Seorang pekerja warga Bangladesh turut diperiksa.
Kolam pancing maut
Juruteknik Tingkatan Kanan TNB, P Silvaraj mengesan penyambungan elektrik secara tidak sah melalui meter rumah.
PETALING JAYA – Sebuah pusat memancing sanggup mengabaikan nyawa pengunjungnya apabila beroperasi secara haram di bawah kabel bervoltan tinggi milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan Damansara Perdana dekat sini.

Hasil maklumat yang diperoleh, wartawan Sinar Harian melakukan penyamaran sejak seminggu lalu mendapati kolam berskala besar itu yang diuruskan warga asing turut memperoleh bekalan air dan elektrik secara tidak sah.

Kolam memancing yang agak tersembunyi lokasinya itu mampu menghimpunkan tidak kurang dari 50 kaki pancing dalam masa sehari dengan mengenakan bayaran sekitar RM32 untuk tempoh empat jam memancing.

Kelicikan pengusaha kolam ikan yang mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan sejak lapan tahun lalu itu berakhir selepas satu operasi bersepadu dijalankan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ); TNB dan Syabas Sdn Bhd serta Balai Polis Damansara Utama, semalam.

Siasatan lanjut mendapati, binaan struktur premis terbabit turut didirikan tanpa sebarang kelulusan daripada MBPJ.

Malah premis berkenaan juga yang beroperasi di bawah menara talian penghantaran TNB juga tidak sah kerana pihak TNB sendiri tidak membenarkan sesuatu binaan dibina di bawah kawasan tersebut melainkan mendapat kebenaran dengan syarat-syarat tertentu.

Hasil pemeriksaan, premis itu menggunakan meter air dan elektrik mengikut kadar domestik dengan sambungan haram bekalan dibuat melalui dua rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi itu.

Dalam serbuan itu juga, seorang pekerja warga Bangladesh berusia 35 tahun turut diperiksa.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati lelaki yang bekerja sebagai tukang pembersih itu mempunyai dokumen serta permit kerja.

Tak ikut tarif air ditetapkan

Susulan operasi yang dilakukan, Syabas memberi notis 14 hari selepas mendapati pemilik premis kolam ikan di Damansara Perdana itu melanggar syarat-syarat ditetapkan.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awamnya, Priscilla Alfred berkata, pihaknya mendapati pemilik premis tersebut tidak membayar jumlah bil air mengikut kadar ditetapkan.

Menurutnya, ia kerana pemilik premis itu membayar bil mengikut kadar domestik sedangkan ia sebenarnya perlu mengikut tarif komersial.

Bagaimanapun beliau berkata, Syabas tidak dapat menjelaskan jumlah kerugian sebenar dialami buat masa ini.

“Syabas akan meneliti mengenai perkara ini dan siasatan lanjut mengenai kerugian akan dijalankan.

“Ini kerana apa yang dia (pemilik premis) bayar sekarang mengikut Kod 10 bagi domestik tetapi sepatutnya dia bayar ikut Kod 11 (komersial),” katanya.

Priscilla berkata, Syabas memberi notis tersebut supaya pemilik berkenaan mempunyai tempoh untuk mengadakan permohonan menukar kod tersebut.

Beliau berkata, sekiranya gagal berbuat demikian maka kod tersebut akan bertukar secara automatik.

“Kita bagi mereka tempoh untuk buat permohonan dan sekiranya tidak berbuat demikian maka kita akan menukarkan kod itu secara automatik.

“Pemilik perlu mematuhi peraturan ini kerana kita perlu adil sebab caj dikenakan adalah berlainan,” katanya.

Binaan tanpa kelulusan MBPJ

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berkata, siasatan pihaknya mendapati pembinaan premis itu tidak mendapat sebarang kelulusan daripada MBPJ.

Mohd Fauzi berkata, pihaknya memberi notis tujuh hari kepada pemilik premis berkenaan agar dapat merobohkan struktur haram terbabit.

“Kita bagi mereka notis supaya struktur ini dapat dirobohkan dalam tempoh tujuh hari kerana ia sememangnya tidak mendapat sebarang kelulusan.

“Memang hasil siasatan kita premis ini tidak mempunyai sebarang lesen permohonan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan laporan siasatan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 72 (1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Bapa OKU mohon simpati


Bapa OKU mohon simpati
Tahir menunjukkan surat tawaran anaknya untuk memasuki UPM Kampus Bintulu pada 5 Jun ini
Bapa OKU mohon simpati
Siti Dayangku Intan Ilyana.
MARANG – Bapa kepada tujuh anak yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan memohon bantuan orang ramai untuk menyediakan keperluan dan perbelanjaan anaknya yang akan melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti tempatan di Sarawak.

Sehubungan itu, Tahir Musa, 62, merayu orang ramai agar dapat menghulurkan sumbangan bagi membantu anak bongsunya, Siti Dayangku Intan Ilyana, 18, untuk menyediakan keperluan.

Tahir berkata, dia juga memerlukan bantuan kewangan yang melibatkan kos tambang penerbangan pergi dan balik untuk dirinya dan perbelanjaan untuk ditinggalkan kepada anaknya itu sebelum pinjaman pelajaran diluluskan.

“Setakat ini, anak hanya menerima bantuan daripada Yayasan Terengganu sebanyak RM750 dan wang itu digunakan untuk mendapatkan tiket penerbangan anak dan mendaftarkan dirinya ke Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, pada 5 Jun ini.

“Saya tidak mempunyai wang untuk diberikan kepadanya sebagai perbelanjaan sepanjang berada di sana, sementara menunggu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diluluskan,” katanya, semalam.

Tahir juga mendakwa sudah beberapa kali mencuba bertemu dengan pelbagai pihak termasuk dengan wakil rakyat, namun kehadirannya tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Malah, dia turut menghubungi banyak pihak agar anaknya yang mengambil jurusan pertanian di kampus berkenaan, dapat menukar pusat pengajiannya ke Semenanjung bagi menjimatkan kos perbelanjaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, pelajar terbabit boleh merujuk masalah itu kepada Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri.

“Apabila ibu bapa cacat anggota, tiada sumber keupayaan langsung, tambahan kemiskinan melampau pula, insyaALLAH akan dapat bantuan tetapi perlu merujuk kepada Exco Kebajikan.

“Kerajaan Negeri pasti akan meluluskan satu bentuk bantuan peruntukan. Sebab di bawah Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, kita hanya dapat memberikan bantuan persediaan sebanyak RM750 untuk program diploma,” katanya.

Rakyat negeri ini yang ingin menyumbang kepada Tahir boleh menghubunginya melalui talian 013 9308374 atau terus menemuinya di Taman Rahmat, Pulau Kerengga, Marang.

Penganalisis: Paling sesuai beli kereta hujung tahun ini


penurunan harga kereta
PENURUNAN harga kereta yang dijanjikan sama ada oleh parti pemerintah mahupun pembangkang pada siri kempen pilihan raya lalu sememangnya menarik perhatian rakyat Malaysia.

Rata-rata rakyat yang berhasrat untuk membeli atau menukar kereta baru memilih untuk menunggu sehingga kerajaan baru dibentuk dan tawaran mengenainya lebih jelas.

Terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengulangi janji kerajaan untuk menurunkan harga kereta.

"Seperti dijanjikan, harga kereta akan diturunkan secara berperingkat hingga 2017. Insya-ALLAH, saya akan pastikan setiap janji ditepati," tulis beliau menerusi laman mikro Twitter miliknya, semalam.

Terdahulu, JF Apex Securities dalam satu kenyatan berkata, kerajaan mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk menurunkan harga kereta memandangkan langkah itu boleh menjejaskan penguasaan pasaran Proton.

Firma penyelidikan itu berkata kajian daya maju perlu dilakukan untuk melihat impak keseluruhan bagi mengelak gangguan ke atas ekosistem automotif negara.

"Kami tidak menjangkakan perubahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sementara  menunggu perkembangan terkini semakan ke atas Dasar Automotif Negara," kata JF Apex.

Pakar ekonomi yang dihubungi Sinar Harian Online bagaimanapun menjangkakan masa terbaik untuk pembelian kereta mungkin berlaku selepas pembentangan Bajet 2014, akhir tahun ini.

Menurut Ketua Penyelidikan dan Perundingan Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof. Dr. Shazali Abu Mansor, langkah kerajaan mengumumkan penurunan harga kereta secara berperingkat mungkin bermula sebaik belanjawan dibentangkan.

“Sungguhpun penurunan 30 peratus dilakukan secara berperingkat, pembeli masih berpeluang merasai penurunan harga walaupun pada kadar 6 peratus setahun," katanya.

Justeru beliau berkata seandainya tidak ada keperluan mendesak, pembeli mungkin boleh menunggu sehingga kerajaan membentangkan Bajet 2014 bagi mengetahui peratusan penurunan harga kereta pada tahun ini.

Menurut beliau lagi, adalah penting penurunan harga dilaksanakan secara berperingkat bagi membolehkan semua pihak bersedia agar pasaran dapat diseimbangkan.

Sementara itu Ketua Jaringan Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan (MPN), Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, tempoh masa yang realistik untuk membeli kereta adalah antara tahun 2013 dan 2014.

Beliau berkata demikian kerana tempoh tersebut kereta sepatutnya berada pada harga yang kompetitif setelah kerajaan mengumumkan penurunannya secara berperingkat.

Namun begitu katanya, salah satu faktor yang boleh mempercepatkan penurunan harga kereta ialah melalui pengenalan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) untuk menampung semula hasil cukai kenderaan.

“Sekiranya GST diluluskan dalam sidang Parlimen tahun ini, hasrat pengguna untuk membeli kereta pada harga yang lebih rendah mungkin tercapai selepas perbentangan Bajet 2014 nanti," katanya.

Layan pelanggan dalam semak


Layan pelanggan dalam semak
Rina ketika disoal siasat oleh anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda.
SUNGAI PETANI - Seorang wanita berusia awal 30-an bersama pasangannya ditemui dalam keadaan separuh bogel ketika serbuan dilakukan anggota penguatkuasa dari Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dalam kawasan semak berhampiran Pekan Lama, Sungai Petani baru-baru ini.

Wanita tersebut, dikenali sebagai Rina (bukan nama sebenar) dipercayai telah lama dan berpengalaman sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) selain aktif terjebak dengan perbuatan itu.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, hasil maklumat orang awam, sepasukan tujuh anggota bersiap sedia melakukan serbuan kira-kira jam 7 malam melalui lorong tikus sehinggalah sampai ke lokasi kejadian.

Menurutnya, wanita itu bersama pasangannya leka berseronok sehingga tidak menyedari kehadiran anggota penguatkuasa yang datang ke lokasi kejadian sebelum serbuan dilakukan.

“Semasa serbuan kami dapati, di kawasan berkenaan (dalam semak) berlaku kegiatan maksiat dan tidak bermoral antara seorang wanita bersama pasangannya.

“Antara alasan yang diberikan wanita itu ialah dia terpaksa melakukan perbuatan terkutuk tersebut bagi menyara tiga orang anak yang masih kecil,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selepas disoal siasat, wanita itu mengaku turut melayan nafsu pelanggan yang terdiri dari pelbagai bangsa serta warga asing yang ingin mendapatkan perkhidmatannya.

“Turut ditemui semasa serbuan dalam semak berkenaanialah tilam dan kondom yang dipercayai digunakan oleh GRO untuk melayani pelanggan,”katanya.

Menurut Zaiferi, lokasi berkenaan juga merupakan lokasi panas yang kerap dijadikan ‘port’ maksiat serta diketahui umum bagi mereka yang menjalankan perkhidmatan tersebut.

Katanya, pihaknya menasihati mana-mana individu yang beragama Islam supaya tidak melakukan perbuatan terkutuk mahupun melanggar syariat Islam selain balik ke pangkal jalan sekiranya tersilap langkah.

Individu yang dipercayai bersalah boleh didakwa di bawah Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 dan sekiranya didapati bersalah boleh didenda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali atau ditahan di rumah kebajikan selama tiga tahun.

Jamal Abdillah buat persiapan selama setahun


JAMAL sedang berbincang dengan salah seorang kru Konsert Extravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee bagi memastikan segala persiapan berjalan lancar.


SEPANJANG penyanyi Jamal Abdillah terbabit dalam pelbagai konsert dan showcase di merata-rata tempat, sambutan yang diterima daripada peminat memang jarang menghampakan.
Kali ini penyanyi tersebut cuba membuat kelainan berbanding kebiasaannya apabila menghiburkan peminat dengan rantaian lagu-lagu popular dendangan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi Konsert Extravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee.
Pada konsert yang berlangsung selama empat hari bermula 30 Mei hingga 2 Jun di Panggung Sari, Istana Budaya, Jamal mendendangkan sebanyak 36 buah lagu yang pernah dipopularkan oleh seniman agung tersebut.
Ketika ditemui Kosmo! semasa menjelang persiapan konsert berkenaan baru-baru ini, penyanyi yang juga bekas juara Bintang RTM 1979 itu memberitahu, idea penganjuran konsert berkenaan tercetus sejak setahun yang lalu.
“Secara peribadi saya merupakan peminat setia P. Ramlee kerana begitu mengagumi karya yang dihasilkannya. Rasanya ramai yang perasan bahawa kebanyakan album saya hasilkan, pasti akan ada sebuah lagu beliau yang saya rakam semula.
“Kemudian timbul idea untuk menganjurkan sebuah konsert khas persembahan lagu-lagu popular beliau pada pertengahan tahun lalu.
“Sejak itu saya sudah membuat persiapan seperti pemilihan lagu yang akan dinyanyikan,” jelasnya tentang penganjuran konsert berkenaan.
Menurut Jamal, untuk konsert berkenaan dia bakal mendendangkan sebanyak 36 buah lagu dan diiringi seramai 55 pemuzik orkestra yang terdiri daripada pelajar muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor manakala Leonard Yeap bertindak sebagai pengarah muzik.
Ujarnya, perancangan juga dibuat dengan begitu teliti memandangkan segala konsep dan bentuk persembahan dilakukannya sendiri yang turut memainkan peranan sebagai Pengarah Persembahan.
“Sepanjang setahun persiapan, saya yang merangka segala persiapan dengan dibantu pasukan teknikal yang sememangnya cukup bersungguh-sungguh serta mengeluarkan kos sendiri sebanyak RM500,000 tanpa penajaan.
“Namun begitu, saya anggap usaha ini sesuatu yang sangat berbaloi kerana penjualan tiket mendapat sambutan yang menggalakkan apabila sudah terjual lebih 80 peratus sebelum empat hari konsert berlangsung,” ujarnya yang yakin semua tiket habis terjual pada saat-saat akhir.
Bercerita lebih lanjut tentang konsert tersebut, Jamal menjelaskan, dia tidak akan keseorangan kerana turut mengundang beberapa penyanyi seperti Musly Ramly, Azlina Aziz, Nas Adila, Isma Aliff dan salah seorang cucu P. Ramlee iaitu Najua Nasir.
Mengenai pemilihan penyanyi undangan yang akan sama-sama menjayakan konsertnya itu, penyanyi berkenaan menjelaskan kesemuanya dipilih berdasarkan kepada kesesuaian suara mereka dengan lagu-lagu yang akan didendangkan.
“Selain itu, saya turut membuat persembahan bersama-sama dengan anak yatim dari Rumah Anak Yatim Darul Quran, Rawang untuk lagu Tolong Kami Bantu Kami,” ujarnya.

KONSERT Extravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee menyaksikan Jamal sebagai Pengarah Persembahan.


Menurutnya, sepanjang konsert, terdapat beberapa segmen persembahan yang menampilkan Pop Yeh Yeh, Pancasitara dan lagu-lagu jenaka serta nyanyian secara duet.
Tiada penaja
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perasaannya kerana tidak mendapat sebarang penajaan untuk menganjurkan konsert itu, Jamal menyatakan, perkara tersebut langsung tidak melemahkan semangatnya.
Ujarnya, sudah beberapa kali konsert yang dianjurkannya sebelum ini tiada sebarang penaja, tetapi akhirnya berjalan lancar kerana sokongan daripada semua pihak dan para peminatnya.
“Saya tidak berasa terlalu bimbang kerana percaya konsert ini akan mendapat sambutan hangat kerana P. Ramlee merupakan satu nama yang cukup besar dan saya akan memberikan persembahan yang terbaik sepanjang empat hari konsert berlangsung.
“Boleh dikatakan sebanyak 50 peratus tiket yang terjual pula merupakan hasil inisiatif sendiri. Saya mengambil langkah dengan menghubungi rakan-rakan dan beberapa syarikat korporat dan menjual tiket kepada mereka,” ujarnya.
Menurutnya, jika konsert tersebut meraih sukses, tidak mustahil dia akan mengadakan konsert yang sama di Singapura memandangkan kerjaya seni P. Ramlee bermula dari negara tersebut.

Ogy tinggalkan restoran


SENIWATI berwibawa tanah air ini bercita-cita mahu memiliki restoran sendiri.


Awal tahun ini, pengacara sensasi Fauziah Ahmad Daud atau Ogy mengatakan dia tekad meninggalkan dunia seni untuk memberi fokus kepada restoran Ogy D'Greenwood yang dibukanya bersama rakan kongsi di sejak bulan November tahun lalu.
Restoran itu terletak di Kampung Simpang Tiga, Jalan Greenwood, Gombak, Selangor.
Terasa masih terlalu baru pihak media menghadiri majlis pembukaan restoran tersebut dan masih tidak dapat dilupakan keterujaan Ogy untuk menguruskan restoran yang menjadi impiannya selama ini. Bahkan, Ogy sendiri yang sibuk melayan setiap pengunjung yang hadir.
Bagaimanapun selepas hanya enam bulan beroperasi dan Ogy bertindak sebagai pengurus restoran, terdapat desas-desus kononnya Ogy telah menutup restoran dan digugurkan daripada menguruskan restoran tersebut.
Bagi mendapatkan kesahihan berita tersebut, ikuti temu bual Kosmo! bersama Ogy baru-baru ini.
Kosmo!: Benarkah Ogy telah menutup restoran Ogy D'Greenwood?
OGY: Siapa kata saya tutup restoran, itu tidak benar sama sekali. Restoran itu masih beroperasi seperti biasa, cuma saya tidak lagi menguruskan restoran tersebut.
Adakah anda digugurkan daripada pengurusan restoran tersebut?
Itu hanya desas-desus, orang yang bercakap tidak tahu hal yang sebenar. Saya sebenarnya sudah tidak lagi menguruskan restoran sejak pertengahan bulan Mac dan telah menghantar surat peletakan jawatan secara rasmi pada bulan April. Saya bukan digugurkan tetapi saya yang menarik diri.
Apakah terdapat sebarang pergaduhan antara anda dan rakan kongsi sehingga anda meletak jawatan?
Saya tidak bergaduh atau wujud sebarang konflik (dengan rakan kongsi). Selepas meletakkan jawatan, saya tidak mahu mengungkit sebarang cerita yang tidak baik atau menyalahkan sesiapa, itu bukan sesuatu yang bijak. Restoran itu masih beroperasi, masih ada orang yang perlu mencari rezeki. Bagi saya, sudah tidak ada rezeki di sana, saya terima dan terus berusaha.

OGY kelihatan cukup teruja pada majlis pelancaran Restoran Ogy D’Greenwood yang berlangsung Disember tahun lepas.


Mungkinkah terdapat sebarang masalah ketika anda menguruskan restoran itu?
Kalau bercakap tentang masalah, ia ada di mana-mana sahaja dan semua orang mempunyai masalah mereka sendiri. Apa yang terjadi bukannya penamat kepada perjalanan hidup saya. Sepanjang enam bulan di sana, pelbagai ilmu telah saya pelajari, saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menimba ilmu tentang perniagaan makanan.
Selepas apa yang terjadi, adakah Ogy masih ingin meneruskan impian memiliki sebuah restoran?
Ya, saya sedang berusaha ke arah itu kerana saya tidak bersedih dan sentiasa kekal positif. Selepas puas berlakon, impian saya ialah memiliki sebuah restoran sendiri kerana saya minat memasak. Saya menjadikan pengalaman yang saya perolehi untuk meningkatkan diri ke tahap seterusnya. Tidak lama lagi saya akan bukan restoran sendiri dan saya harap peminat doakan yang terbaik untuk saya.
Adakah Ogy masih berminat untuk berlakon?
Minat itu sentiasa ada tetapi pada usia sekarang, saya lebih memilih karya yang benar-benar bagus sahaja. Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Manisnya Cinta di Cappadoccia arahan Bernard Chauly dan telefilem sempena hari raya yang berjudul Syair Untuk Bonda arahan Rashid Sibir.

Keluarga resah badan anak berbulu


NURUL AFIDA (kiri) berbual dengan ibu dan ayahnya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Changgong, Bachok, Kelantan semalam.


BACHOK - Hampir keseluruhan tubuhnya dipenuhi bulu tebal sehingga wajahnya turut berjambang walaupun dia adalah kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Keistimewaan dan keunikan itu dimiliki Nurul Afida Batrisya Razi, anak bongsu daripada tiga beradik sebuah keluarga nelayan di Kampung Changgong dekat sini.
Dia yang turut memiliki suara sedikit garau, kini diberi pendidikan awal menerusi Program Pembelajaran Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Seri Kemudi dekat sini sejak awal tahun ini.
Ibunya, Asliza Omar, 31, berkata, dia menganggap apa yang dialami anaknya itu sebagai anugerah Allah dan reda dengan keadaan itu.
Katanya, ketika Nurul Afida berusia satu hingga tiga tahun, dia kelihatan pelik kerana bukan sahaja keseluruhan badannya ditumbuhi bulu berwarna hitam tetapi turut berjambang pada pipi kiri dan kanan.
Jelasnya, dalam tempoh itu, dia dan suami, Razi Mohd. Nor, 38, sepakat untuk tidak memotong rambut Nurul Afida agar kelihatan panjang bagi mengekalkan identitinya sebagai kanak-kanak perempuan.

Lebih 50,000 dijangka hadir


AHLI-AHLI Kelab Raiders United membuat persiapan memasang simulator game menjelang Sambutan BPK 2013 di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan 2013 (BPK 2013) yang bermula hari ini di Pantai Batu Buruk di sini dijangka mencatatkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung.
Penyelaras Program BPK 2013, Zalinah Mohd. Yusof berkata, karnival selama tiga hari itu akan dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek hari ini.
"Majlis pelancaran esok (hari ini) akan diadakan secara sederhana tetapi meriah bagi memberi impak kepada para pengunjung yang hadir pada karnival kali ini.
"Kita juga akan menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung pada hari pertama termasuk program senam sihat pengguna, consumer indoor interactive games, pertandingan dekorasi sayur-sayuran dan dan buah-buahan segar, demonstrasi menu sihat, kuiz pengguna dan banyak lagi," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Zalinah memberitahu, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai produk tempatan menarik pada harga berpatutan sepanjang karnival berkenaan.

'Bar korek' kena serbu


SEORANG pegawai Imigresen mengawasi GRO warga asing yang ditahan untuk dihantar ke Depoh Tahanan Juru di Seberang Jaya semalam.


SEBERANG JAYA - Pemilik sebuah rumah tumpangan di Jalan Kedah, George Town dekat sini tidak pernah serik walaupun premisnya pernah diserbu dua kali tahun lalu oleh pihak berkuasa kerana menggaji gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing.
Kelmarin, rumah tumpangan yang dikenali sebagai 'bar korek' dalam kalangan pengunjungnya diserbu sepasukan 19 pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang dalam satu operasi khas kira-kira pukul 10 malam.
Dalam serbuan itu, sebanyak 13 GRO warga China dan Vietnam berusia antara 20 hingga 30 tahun yang dipercayai bekerja di premis berkenaan ditahan.
Ketua Penguat Kuasa Jabatan Imigresen negeri, Basri Othman berkata, ketika serbuan, beberapa wanita GRO berpakaian seksi sedang leka melayan pelanggan di dalam bilik menyebabkan mereka tidak sempat melarikan diri.
Bagaimanapun katanya, tiga daripada GRO yang ditahan bertindak terjun dari balkoni tingkat satu premis itu bagi mengelak ditahan.
"Mereka diberkas oleh anggota kita yang menunggu di tingkat bawah.
"Hasil pemeriksaan mendapati, sembilan wanita ini menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja, manakala empat lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan sah," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Lintah merah jambu terdapat di Australia


GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan seekor lintah berwarna merah jambu di kawasan sekitar Gunung Kaputar, New South Wales, Australia.


SYDNEY - Lintah-lintah berwarna merah jambu hanya terdapat di kawasan Gunung Kaputar di negeri New South Wales, Australia.
Sebelum ini, sejumlah penduduk tempatan telah melaporkan tentang penemuan lintah gergasi itu selepas hujan turun.
Lintah tersebut boleh membesar sehingga 20 sentimeter panjang.
Haiwan itu bersembunyi di sebalik daun-daun.
Beberapa pengkaji spesies haiwan baru-baru ini mengesahkan, haiwan tersebut merupakan spesies lintah merah yang dikenali secara rasmi sebagai Triboniophorus graeffi.

Darah dalam bangkai gajah purba ditemui


OTOT-OTOT yang terdapat pada bangkai gajah itu.


MOSCOW - Sekumpulan saintis Rusia semalam mendakwa menemui darah dalam bangkai seekor gajah mammoth sekali gus meningkatkan peluang untuk mereka mengklon haiwan prasejarah tersebut.
Satu ekspedisi yang diketuai beberapa saintis Rusia menemui bangkai gajah mammoth betina dalam keadaan terpelihara di sebuah pulau terpencil di Lautan Artik pada awal bulan ini.
Ketua ekspedisi tersebut, Semyon Grigoryev berkata, haiwan itu mati sekitar usia 60 tahun kira-kira 10,000 hingga 15,000 tahun dahulu.
Menurutnya, ia merupakan kali pertama bangkai gajah betina tua ditemui.
Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah bangkai tersebut masih terpelihara dan mempunyai darah serta tisu otot.
"Apabila kami memecahkan ais di bawah perutnya darah mengalir keluar dari organ tersebut. Darah itu berwarna gelap," kata Grigoryev yang merupakan saintis di Universiti Persekutuan Timur Laut di Yakutsk.
"Ia merupakan penemuan paling luar biasa dalam sepanjang hidup saya. Bagaimana darah itu boleh kekal dalam bentuk cecair, tisu tersebut juga merah seperti daging segar," tambahnya.
Penemuan tersebut, kata Grigoryev, memberikan harapan baharu kepada para penyelidik dalam usaha mereka menghidupkan semula haiwan berbulu itu.
"Penemuan itu memberikan peluang yang amat baik untuk menemui sel hidup yang boleh digunakan untuk mengklon gajah mammoth," katanya.