Tuesday, April 30, 2013

Zain Saidin: 'Saya dipergunakan!'


Zain Saidin
Zain Saidin dan Rozita Che Wan
Twitter Zain Saidin
Twitter Zain Saidin
Zain Saidin
Zain Saidin
BERTEPATAN dengan tema, Bila Dapur Menjadi Panas, Watak Lain Menjadi Jelas, rancangan MasterChef Selebriti 2 (MSM2) semakin ‘panas’ dengan aksi setiap peserta.

Bagi penonton setia rancangan ini, pastinya terkejut dengan tindakan pelakon Oh My English!, Zain Saidin.

Disingkirkan dari gelanggang MSM2 apabila ‘pancakenya’ gagal menambat hati juri, Zain turut mempertikaikan tindakan juri yang dilihat tidak adil dalam pertandingan.

Menerusi Zass, kekasih kepada aktres cantik, Rozita Che Wan atau Che Ta ini mengakui penjelasannya di pentas penyingkiran itu hanyalah luahan hati setelah memerhatikan situasi berkenaan sejak di awal pertandingan.

“Tidak semua babak yang berlaku dipertontonkan secara umum. Banyak yang dipotong dan diedit sehingga menampakkan saya begitu biadab dan jahat.

“Saya dipergunakan dan dijadikan watak jahat dalam drama ini. Saya akui, rancangan ini separuh real, separuh drama. Namun, banyak kata-kata ‘pedas’ juri dibuang dan kelantangan saya menyerlah.

“Saya tidak kecewa apabila disingkirkan kerana saya tahu setakat mana kemampuan saya, namun saya tidak suka bila ada unsur-unsur ketidakadilan dalam pertandingan,” katanya yang menolak dakwaan iri hati terhadap Pak Nil (Datuk Aznil Nawawi).

Menurut Zain, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Pak Nil dan tetap menghormati selebriti itu.

“Saya menyuarakan rasa tidak puas hati bukan kerana iri hati dengan Pak Nil atau peserta lain.

“Saya cuma mengingatkan juri mengenai proses penjurian. Saya tidak kisah untuk berkongsi barang bersama kerana kami memang dalam satu keluarga besar.

“Namun, saya lihat ianya tidak adil kerana juri yang juga chef hanya membiarkan Pak Nil mengambil nasi daripada Kenchana Dewi sedangkan sebelum ini kami telah diingatkan untuk menggunakan bahan sendiri,” katanya yang mengakui sudah berdamai dengan Chef Adu, Chef Joe dan Chef Zubir.

Didesak sertai MSM 2

Mengakui pada awalnya menolak untuk menyertai pertandingan ini, Zain memberitahu, dia dipaksa pihak produksi untuk sama-sama memeriahkan dapur MSM 2 bersama Che Ta.

Katanya, dia terpaksa menolak tawaran lakonan dan bersetuju untuk turut sama dalam MSM 2.

“Saya memang tak nak masuk MSM 2 kerana saya tiada kemahiran memasak. Mereka mahu saya masuk kerana kisah percintaan saya bersama Che Ta.

“Namun, saya tidak sangka ia bukan sekadar pertandingan. Sejak awal lagi saya sudah nampak sikap juri yang tidak adil.

Namun, sebelum ini, saya tidak berpeluang untuk bercakap.

“Saya mengeluarkan pendapat itu bukan kerana kepentingan peribadi kerana perkara ini turut diberitahu peserta lain termasuk Pak Nil. Saya berharap, selepas ini mereka lebih telus dalam menghakimi masakan tanpa memandang siapa selebriti itu,” katanya yang tidak kisah mengenai pandangan masyarakat mengenainya.

Hubungan bersama Che Ta tergugat?

Akibat tindakan Zain di dapur MSM2, Che Ta juga turut diheret dalam kontroversi tersebut.

Malah, ada yang beranggapan, tindakan Zain yang kurang matang dan ego itu bakal meranapkan hubungan yang dibina bersama kekasihnya.

“Kenapa pula nak babitkan Che Ta dalam hal ini? Che Ta sendiri tahu perangai saya dan saya hanya bersuara apabila ada perkara yang tidak betul.

“Sepanjang bersama Che Ta, saya tidak pernah marah dia ataupun berkelakuan tidak elok. Saya tidak kisah apa yang orang cakap kerana kami tahu apa yang berlaku.

“Saya dan Che Ta ok saja dan rakaman itu dibuat sebulan lalu. Hubungan saya dengan juri dan Pak Nil juga sudah seperti sedia kala,” katanya.

Matang hadapi dugaan

NORA DANISH menganggap segala kontroversi yang menghimpit dirinya sebagai satu asam garam dunia hiburan.


MENGGALAS nama sebagai pelakon popular bukan mudah untuk Nora Danish menepis segala kontroversi yang hadir pada dirinya.Begitu juga status ibu tunggal yang dipegangnya hampir lima tahun lalu. Fitnah tidak malu-malu menghambur Nora, namun ibu kepada Putra Rayqal Ramli itu tetap teguh kerana dia percaya ujian mendatangkan kebahagiaan.
Bercerita tentang kontroversi yang melanda Nora sejak dirinya bergelar ibu tunggal, pelakon drama Puteri itu sering sahaja digosipkan dengan pelakon lelaki gandingannya.
Nora juga dilihat semakin berani membawa watak-watak panas dalam sesebuah drama atau filem. Tidak cukup dengan itu, dia digelar pula sebagai 'janda hot' kerana penampilannya yang sentiasa cantik dan seksi.
Mengulas mengenai perkara itu, ungkap Nora, dia lebih suka jika orang menggelarnya ibu tunggal berbanding janda kerana berasakan perkataan itu (janda) kedengaran agak keras dan kasar.
"Saya lebih suka dipanggil ibu tunggal kerana janda itu amat keras bunyinya. Tidak kira apa gelaran pun yang penting ia berunsur positif. Saya bersyukur di atas apa yang diberi," ujarnya.
Melanjutkan kata-katanya, tutur Nora, dia tidak takut digosipkan dengan pelakon-pelakon lelaki gandingannya kerana tidak pernah berbuat salah.
Baginya, sudah asam garam dunia hiburan, gosip sebegitu tidak dapat dielakkan.
Apa yang penting, luahnya, dia berbuat kerja atas dasar ikhlas dan tidak mahu peduli dengan kontroversi sebegitu.
Tidak kesal
Sudah terang dan jelas mengenai perkara itu, Nora menyambung bicara mengenai watak-watak panas yang didukungnya sehingga mencetuskan kontroversi.
Antaranya menerusi filem Mencari Cinta bersama Rusdi Ramli, sehingga ada yang mendakwa dia berbogel di dalam salah satu babak filem tersebut.
Meluahkan keluh-kesahnya, Nora mendedahkan, tidak berasa kesal mengenai kontroversi yang terjadi berikutan watak-watak panas yang dibawanya.
"Sebagai seorang yang bernama pelakon, saya haruslah berani untuk mencuba pelbagai watak.
"Bagaimanapun, saya tidak akan melakukan babak yang melampau atau saya rasa tidak bersesuaian dalam sesuatu babak cerita itu.
"Biarpun hanya seorang pelakon, saya diberi hak juga untuk bersuara. Jadi saya gunakan hak bersuara tersebut sekiranya berasa ada adegan yang keterlaluan buat saya," jelasnya.
Sengaja menjentik persoalan, Nora ditanya sama ada dia sudah berpuas hati dengan tahap lakonannya sekarang.
Bersyukur kerana lakonannya makin mendapat nama di hati peminat dan penerbit, luah Nora, dia amat bersyukur kerana akhirnya berjaya membawa watak berat berbanding komedi yang begitu melekat dengan dirinya seperti pada awal karier lakonannya lebih sembilan tahun lalu.
Pelakon Terbaik
Ujar Nora, drama Tentang Dhia banyak membuka mata peminat terhadap kredibilitinya sebagai seorang pelakon. Begitupun, dedahnya, dia tidak pernah berasa puas dengan hasil lakonannya kerana mengakui masih dalam peringkat belajar.
Kongsinya, bukan senang untuk membawa watak yang berlainan dengan karakternya yang lemah lembut, tetapi Nora selalu menganggap ia sebagai cabaran dan sentiasa belajar untuk jadi yang terbaik.
Nora kemudian diajukan pertanyaan, apakah perkara yang ingin dicapainya sebagai seorang pelakon.
"Saya mahu mendapat tawaran filem atau drama yang dapat memberi kepuasan dari segi karakter dan juga penceritaan.
"Saya juga berharap dapat memenangi anugerah pelakon terbaik dan juga dikenali di luar negara," ujarnya penuh harapan.
NORA mahu membuktikan kredibiliti lakonannya dengan memenangi anugerah pelakon terbaik pada masa akan datang.


Kahwin
Setelah memegang status ibu tunggal hampir lima tahun, keinginan peminat Nora untuk melihat pelakon comel itu berkahwin semula amat mengujakan.
Terbaharu, ada peminat ternampak kelibat Nora ketika berada di Jakarta, Indonesia bersama seorang lelaki.
Peminat itu mendakwa telah melihat Nora membeli barangan persiapan perkahwinan.
Menembak pertanyaan itu kepada Nora, dia mengakui berada di sana ketika menjalani penggambaran 10 episod Republik Cinta Ahmad Dhani.
"Saya cuma ke Indonesia ketika menjalani penggambaran bersama Dhani sebagai hos bersama untuk program hiburan tersebut.
"Saya akui, memang saya ada membeli kain untuk hari raya dan koleksi peribadi. Mungkin orang tersalah anggap.
"Saya masih belum merancang untuk mendirikan rumah tangga. Jika ada saya tidak akan nafikannya kerana ia adalah benda yang baik,"akuinya.
Ahmad Dhani
Terlanjur berbicara tentang kerjasama bersama Dhani, Nora berkongsi keterujaannya.
Sebagai seorang yang baharu dalam bidang pengacaraan, kata Nora, dia berasa amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan nama yang besar seperti Dhani.
"Saya juga antara peminat dia. Sepanjang penggambaran program Republik Cinta di kediamannya di Jakarta, saya dapati dia seorang yang tidak sombong dan suka bergurau, malah dia gemar bercerita tentang sejarah.
"Jadi tidak hairan apabila saya dapati kediamannya mempunyai koleksi barangan antik yang beratus tahun termasuk perabut dan juga perhiasan dinding," cerita Nora yang mengakui sangat meminati lagu Larut daripada album Dewa 19 dan juga lagu Triad iaitu Istimewa.

Drama 'Karlos' Papar Contoh Sebenar Kes Buli

Baisan pelakon drama Karlos
PETALING JAYA: Drama rantaian Karlos yang bersiaran di TV3 adalah contoh yang memaparkan bagaimana kes buli melibatkan golongan remaja dan pelajar sekolah sebenarnya berlaku.
Pengarahnya, Feroz Kadir berkata, dengan adanya drama berkenaan masyarakat tidak akan menyalahkan karya-karya seperti itu sebagai punca gejala sosial tersebut berlaku.
"Menerusi drama ini, kami menunjukkan punca remaja menghadapi masalah gejala sosial di mana ia sebenarnya bermula dari rumah, terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah keluarga.
"Kita merakamkan aksi ganas untuk dijadikan pengajaran dan iktibar terhadap akibatnya yang buruk.," katanya menerusi dalam sidang media drama berkenaan di restoran Bora Asmara, Sungai Penchala, di sini, Isnin.
Karlos mengisahkan perjalanan hidup seorang remaja bernama Irwan Zaid (Johan As’ari) yang sering dipinggirkan di dalam keluarga terutama sekali oleh bapanya sendiri, Rashid (Namron).
Dia disisihkan sehingga ibunya sendiri iaitu Zai (Sherry Merlis) tidak mampu melakukan apa-apa. Tanpa wang belanja, Irwan belajar mencuri makanan dari kantin seterusnya merosakkan motosikal dua orang kawan barunya, Joe dan Qiwek.
Gandingan mantap Syazwan Zulkifly dan Johan As'ari
Penduduk di Sentul mula resah dengan kes kehilangan motosikal dan pada waktu yang sama, Inspektor Mahadhir (Azhar Sulaiman) ditugaskan menyiasat kes tersebut.
Drama ini turut dibarisi oleh Syazwan Zulkifly, Ika Zulkifli, Risteena dan Jay Iswazir.
Sementara itu, kejadian buli yang berlaku di sebuah sekolah di Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini memberi inisiatif kepada pihak produksi drama berkenaan untuk menyebarkan mesej di sebalik drama yang disiarkan.
Dalam pada itu, sebagai ikon kepada golongan remaja, Johan dan Syazwan menggalas tanggungjawab untuk mendidik dan membimbing golongan remaja menerusi program bual bicara anjuran pihak TV3 di beberapa sekolah yang dipilih.
"Difahamkan pengaruh drama Karlos juga agak bagus apabila ia mendapat tontonan yang agak tinggi iaitu sebanyak 2.3 juta hingga 2.5 juta setiap episod.
"Jadi menerusi kesempatan ini, kami juga ingin menyebarkan maklumat-maklumat positif agar para remaja tidak terjerumus dalam gejala sosial yang semakin menjadi-jadi.
"Menerusi cara ini juga ia sebahagian daripada usaha kami untuk mengurangkan kes buli di kalangan remaja sekolah," kata Johan.
Karlos disiarkan pada setiap Isnin, pukul 9 malam, bermula 4 Mac lalu.

Itu satu fitnah - Maznah Zolkifli


MAZNAH enggan memberi komen lanjut tentang dakwaan yang mengaitkan dirinya sebagai kekasih baharu Rosman.


SEJAK beberapa tahun lepas, isu perceraian dalam kalangan artis sudah menjadi cerita yang pasti wujud saban tahun. Ada yang bercerai secara baik.
Baru-baru ini, industri hiburan telah digemparkan dengan satu lagi kisah perceraian di antara pelakon Noniswara dengan suaminya, Datuk Rosman Ridzwan.
Namun, apabila yang menjadi gosip panas ialah Noniswara secara terbuka mendedahkan perceraian antara dia dan suaminya.
Noniswara mendakwa, perkahwinannya bersama Rosman mula goyah sejak tujuh bulan lalu disebabkan orang ketiga. Tanpa menamakan wanita itu, Noniswara mendakwa, dia merupakan rakan artis dan rakan baiknya sendiri.
Tiba-tiba, dalam akhbar mingguan, tersebar identiti sebenar wanita tersebut. Artikel tersebut mengaitkan nama Maznah Zolkifli sebagai penyebab kepada hubungan Noniswara dengan suaminya runtuh.
Kosmo! telah menanyakan Maznah tentang isu panas ini.
Kosmo!: Jika tidak kisah, saya ingin bertanyakan beberapa soalan.
MAZNAH: Jika tentang perkara tersebut, saya minta maaf. Saya tidak ingin memberi sebarang komen.
Maksud anda tentang isu merampas suami orang itu?
Saya minta maaf, saya sudah cakap saya memang tidak mahu langsung memberi komen tentang perkara itu. Memang saya sangat terkejut dan saya telah difitnah. Saya bakal mengambil tindakan selanjutnya ke atas kes ini.
Adakah anda akan memfailkan saman malu terhadap perkara ini?
Saya tidak mahu memberi sebarang komen kerana saya telah pun berjumpa dengan peguam saya dan saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan. Memang saya akui ini semua fitnah semata-mata.
SAAT bahagia Noniswara dan Rosman.


KOSMO! juga berjaya mendapatkan Noniswara tentang perkara ini dan ternyata wanita yang mesra disapa sebagai Nonis itu terkejut dengan apa yang dikeluarkan. Ikuti temu bual bersama Nonis.
Kosmo!: Sebelum ini, anda tidak pernah menyebut nama siapa orang ketiga berhubung kemelut rumah tangga anda. Kini secara tiba-tiba muncul pula nama Maznah. Boleh komen?
Saya terkejut kerana memang saya tidak pernah menyebut nama sesiapapun. Ini kerana saya tidak mahu panjangkan lagi isu tersebut dengan menyebut nama individu itu. Anda sendiri boleh lihat dan baca dalam mana-mana media pun, saya jawab ‘no comment’ sahaja.
Jadi, setelah diberitahu nama, mungkin anda khuatir individu tersebut akan mengambil tindakan selanjutnya?
Perkara ini sudah berlanjutan selama tujuh bulan, jadi ramai orang yang sudah ketahui siapa individu tersebut. Memang risau, namun saya bukan hendak kata saya terlalu takut, tetapi sebenarnya, saya tidak mahu perkara ini berlanjutan. Saya tidak mahu ia menjadi kontroversi dan pasti orang akan mencari individu tersebut untuk bertanya itu dan ini. Apabila saya terbaca dalam akhbar, saya juga tidak sangka akan keluar nama.
Bagaimana pula dengan kes perceraian anda?
Saya sebenarnya tidak menarik semula tuntutan perceraian saya. Memang saya masih teruskan, cuma saya hanya menukar tuntutan tersebut kepada taklik dan fasakh. Ramai yang tidak baca cerita penuh yang dikeluarkan, mereka hanya baca judul sahaja. Apabila terjadi begitu, orang ingat saya gila talak pula. Ada pula individu yang memberi komen dalam laman Facebook saya yang bukan-bukan. Jadi ia tidak bagus untuk peminat yang membacanya atau mungkin mereka lakukan supaya peminat tidak menyukai saya.

Isu Hiburan: Norman Tetap Bidas PAS, Ahmad Idham Anggap Fikiran Sempit

Admad Idham (kiri) dan Norman Abdul Halim
PETALING JAYA: Penerbit album Norman Abdul Halim tetap mempertahankan kenyataannya menerusi Twitter dengan mendakwa industri hiburan negara ini akan hancur jika Pakatan Rakyat (PR) termasuklah PAS memerintah selepas Pilihan raya Umum ke 13 (PRU-13) nanti.
Norman berkata, tujuan dia menulis perkara itu adalah untuk membolehkan masyarakat membuka mata untuk melihat kelemahan PR dengan memberikan pendapat dalam Twitter berkenaan.
"Dengan kenyataan yang diberi, saya menerima banyak kritikan tetapi apa yang saya cakapkan sebenarnya adalah fakta, bukannya suka-suka atau mahu menakut-nakutkan orang.
"Jangan lihat industri seni ini pada satu sudut tertentu, lihat pada keseluruhannya. Perlu diingat industri kreatif berkembang dan ia sekali gus meningkatkan ekonomi negara.
"Apabila saya kata industri hancur jika PAS memegang negara adalah kerana tumpuan parti itu lebih untuk menjadi kerajaan khusus untuk Islam dan Melayu.
Twitter yang ditulis Norman pada Ahad lalu mengundang kritikan banyak pihak.
“Dengan dasar PAS yang sebelum ini sering menolak industri kreatif menerusi pengharaman pawagam di Kelantan dan Terengganu, ia sedikit sebanyak menghilangkan sebahagian sumbangan kepada ekonomi kita," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Dalam Twitter miliknya Ahad lalu Norman antara lain turut berkata pengeluaran filem dan muzik antarabangsa juga akan turut terjejas.
Komen Norman itu mendapat kritikan banyak pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut termasuklah penerbit filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang menyifatkan pandangan berkenaan sebagai cetek.
Norman yang juga Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berkata, kelemahan PAS dapat dilihat berpandukan kepada isu-isu sebelum ini apabila pelbagai konsert telah diharamkan dan ia sekali gus menyekat perkembangan industri seni negara.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komen yang diberikan di Twitter bukan kerana mahu mengkritik mana-mana individu tertentu, sebaliknya dasar kepimpinan parti PAS.
"Orang yang tidak rasional sahaja yang tidak boleh menerima kenyataan saya itu. Lagipun saya cakap pun secara hormat dengan meminta maaf terlebih dahulu sebelum berkata-kata.
"Jangan salah ertikan maksud saya. Saya seorang beragama Islam tetapi bukan agama PAS," tegasnya.
Ahmad Idham pula menulis menerusi Twitter miliknya.
Pemikiran sempit
Mengulas kenyataan tersebut Ahmad Idham berkata selebriti-selebriti yang menganggap industri seni akan hancur dengan perubahan kerajaan adalah mereka yang memiliki pemikiran sempit kerana cuba mengaitkannya dengan hiburan.
"Saya tidak berpihak kepada sesiapa tetapi ingin menegaskan kepada para artis supaya tidak mengaitkan apa-apa perkara melibatkan politik dengan industri seni.
"Apabila ada yang menganggap industri seni akan hancur sebaik sahaja pemerintahan kerajaan bertukar tangan, ia adalah satu perkara yang mengarut.
"Bagi saya, industri seni kita mempunyai pendirian sendiri dan ia mampu berdikari walaupun sesiapa sahaja memimpin negara.
"Saya tak mahu ada pihak menganggap orang seni terlalu bergantung harap kepada kerajaan yang memerintah. Yang menjadi penentu filem saya laku atau tidak bukan menerusi kontrak kerajaan, tetapi para penonton yang menontonnya," katanya.
Tambah Idham lagi, dia yakin dengan memiliki produk filem atau muzik yang bagus, industri seni tempatan tidak akan tergugat sama ada kerajaan bertukar tangan mahupun tidak.
Dalam pada itu, Idham turut menasihatkan kepada para artis yang terlalu lantang bersuara berhubung hal-hal politik supaya mengkaji dahulu asal usul parti serta sejarah negara.
Katanya, jika komen yang diberi tanpa dibuat kajian, ia dikhuatiri mungkin boleh memberikan persepsi buruk kepada masyarakat yang akan menganggap artis tempatan mempunyai tahap pengetahuan yang cetek.

Astro Perkenalkan 'Ceria Pop Star' Untuk Remaja Bawah 15 Tahun

Kanak-kanak peserta Ceria Pop Star serta mereka yang terlibat dalam program berkenaan.
KUALA LUMPUR: Program terbaharu terbitan Astro iaitu Ceria Popstar bakal mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang nyanyian bagi mewarnai lagi industri hiburan tempatan.
Pengurus saluran Astro Ceria, Hadzelynda Khairuddin berkata, bakat terpendam para peserta dari lingkungan usia 10 hingga 15 tahun itu akan dilatih dan mereka bakal didedahkan dengan pelbagai genre muzik agar menjadi lebih kreatif.
"Kami memilih peserta 15 tahun ke bawah kerana ingin menggilap bakat mereka yang masih mentah serta membina keyakinan diri membuat persembahan di hadapan penonton," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program itu di Restoran Full House, di sini, Isnin.
Ceria Popstar bakal bersiaran setiap hari Ahad bermula 5 Mei ini pada pukul 11.30 pagi di saluran Astro Ceria.
Sebanyak lapan peserta terbaik telah dipilih yang terdiri daripada lima peserta solo dan tiga berkumpulan.
Mereka dipilih oleh barisan juri profesional di tiga buah lokasi uji bakat di seluruh negara.
Dari kiri; Mawi, Aznil dan Nurul
Dalam pada itu, Hadzelynda berkata, keunikan para peserta pada musim pertama ini adalah ada di antara mereka yang berkebolehan bermain alat muzik seperti keyboard dan gitar.
"Ini keistimewaan yang ingin kita tonjolkan, bukan sahaja dari segi suara malah kebolehan lain yang ada pada mereka.
"Malah keyakinan mereka dapat ditonjolkan apabila membuat persembahan di hadapan penonton kelak," katanya.
Sementara itu, Nabil Ahmad akan bertindak sebagai hos manakala pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi akan menggalas tanggungjawab sebagai penaung program tersebut.
Penyanyi Nurl Wahab dan Mawi akan menjadi juri tetap di samping seorang juri jemputan setiap minggu.
Dalam perkembangan sama, Hadzelynda berkata, program yang akan bersiaran selama 10 minggu itu akan membawa penonton melihat perkembangan setiap peserta.
"Minggu pertama penonton akan diperkenalkan dengan telatah dan gelagat mereka menerusi uji bakat dan 'bootcamp' yang diadakan sebelum dapat menyaksikan mereka beraksi di atas pentas untuk sembilan minggu berikutnya," katanya.
Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima hadiah RM15,000 dan RM10,000.

Johan As'ari Azam Lengkapkan Solat Lima Waktu

Johan As'ari.
PETALING JAYA: Pelakon Johan As'ari bersyukur apabila kunjungannya ke Mekah untuk melakukan umrah pada 26 Mac hingga 8 April lalu telah membuka hatinya untuk lebih peka dalam hal berkaitan agama Islam.
Johan, 26, berkata, walaupun masih lagi belum sempurna sebagai lelaki soleh, dia cuba memastikan untuk menjalankan tanggungjawabnya memenuhkan perkara wajib dalam rukun Islam iaitu tidak meninggalkan solat lima waktu.
"Sebelum ini saya pernah menunaikan umrah ketika mengadakan penggambaran di Mekah menerusi drama Syahadat Cinta dan Tersalah Cinta. Tetapi ketika itu saya tidak terlalu fokus dengan ibadat dan lebih tertumpu pada kerja.
"Tetapi apabila kali kedua saya ke Mekah bersama-sama dengan penyanyi Hafiz Hamidun, terasa beza dan sayunya berada di sana. Saya juga saya mengambil kesempatan itu melakukan ibadah sebaik-baiknya dan bermuhasabah diri.
"Alhamdulillah, sejak pulang dari Mekah, saya sentiasa ke masjid. Dan azam saya kali ini adalah untuk lengkapkan solat wajib. Saya mahu berubah menjadi insan yang lebih baik, tetapi mahu buat dengan perlahan-lahan, Insya-Allah," katanya.
Johan kini bergiat aktif dalam memberikan ceramah di beberapa buah sekolah dan masjid. Foto adalah milik Johan
Tambah Johan, dia kini juga mahu mengenakan syarat-syarat lakonan di mana enggan melakukan adegan peluk dengan gandingan wanitanya jika ditawarkan berlakon.
Dalam pada itu, pelakon drama Karlos itu berkata, ketika menunaikan umrah, dia juga mendoakan keharmonian negara agar tiada terjadi perkara-perkara buruk pada masa akan datang.
"Biasalah sekarang ini macam-macam perkara pelik yang berlaku di negara ini jadi saya berdoa kepada Allah agar Malaysia aman dan makmur.
"Sebagai seorang rakyat, menjadi tanggungjawab dan adalah wajar untuk saya berbuat demikian," tuturnya.
Sementara itu Johan memberitahu bahawa dia kini menjadi duta kepada Dewan Pemuda Masjid Malaysia di mana dia akan ke beberapa masjid melakukan ceramah yang berkaitan dengan isu-isu remaja.
"Sehingga kini saya telah melakukan beberapa ceramah di sekolah dan masjid. Alhamdulillah. Nak kata ceramah pun tak juga, tetapi lebih berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman kepada budak-budak remaja.
"Syukur, saya menerima respons yang baik daripada golongan remaja ini. Mereka cukup bersemangat mahu mendengar pengalaman saya selain bertanyakan pelbagai soalan," ujarnya

Aznil Tidak Tahu Isu Perbalahan Dengan Zain Saidin

Aznil
KUALA LUMPUR: Pengacara Datuk Aznil Nawawi menjelaskan hubungannya dengan pelakon Zain Saidin tidak sebarang masalah walaupun mereka dikaitkan dalam perbalahan menerusi program Masterchef Selebriti 2 yang disiarkan di Astro Ria pada malam Ahad lalu.
Aznil berkata, dia masih tidak mengetahui punca sebenar perbalahan itu sehinggalah Zain menjadi peserta kedua meninggalkan program tersebut.
"Ketika perbalahan itu berlaku saya sendiri tidak mendengar butirannya dan tidak berkesempatan untuk menonton episod berkenaan kerana berada di Johor.
"Saya ada diberitahu oleh Lydiawati dan Rozita Che Wan yang Zain di antara lain berbalah tentang keputusan juri yang memilih saya sebagai pemenang cabaran pada episod sebelumnya.
"Bagaimanapun saya dan Zain tidak pernah bercakap mengenainya dan saya tidak boleh terus membuat apa-apa kesimpulan. Jadi saya anggap tiada sebarang masalah di antara kami," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Ceria Popstar di Restoran Full House di sini, Isnin.
Zain Saidin
Dalam pada itu, Aznil berkata, beliau percaya Zain mempunyai alasannya tersendiri apabila meluahkan pendapatnya sehingga menimbulkan kekecohan itu namun cara yang digunakan mungkin salah.
"Dia masih muda dan mempunyai pelbagai pandangan cuma barangkali caranya itu tidak betul," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Aznil memberitahu beliau bakal bertindak sebagai penaung program Ceria Popstar yang bertanggungjawab untuk memimpin para peserta berumur 10 hingga 15 tahun membina keyakinan mereka ketika berada di pentas.
"Saya lebih berperanan sebagai ayah kepada peserta dan akan memastikan segala aspek dan persediaan mereka berada dalam keadaan baik," ujarnya.
Ceria Popstar bakal bersiaran setiap hari Ahad bermula 5 Mei ini pada pukul 11.30 pagi di saluran Astro Ceria.

Produksi tak profesional, Rita lari


RITA RUDAINI tidak berhasrat membawa kes dia bersama produksi yang menuntut semula bayaran RM100,000 hingga ke mahkamah.


BELUM lagi reda dengan kemelut rumah tangga, pelakon cantik, Rita Rudaini, berdepan satu lagi masalah apabila mendapat surat tuntutan ganti rugi sebanyak RM100,000 daripada sebuah produksi tempatan.
Ini kerana, pelakon drama Sehangat Asmara itu membuat keputusan menarik diri secara tiba-tiba daripada penggambaran drama 40 episod yang dijangka tamat pada bulan Julai ini.
Akui Rita, 37, dia menarik diri daripada penggambaran drama tersebut selepas mendapati persekitaran kerja yang diwujudkan adalah tidak profesional.
Tidak berpuas hati dengan tuntutan tersebut, Rita akhirnya membuat keputusan untuk mengadukan perkara tersebut kepada Persatuan Seniman Malaysia atau Seniman.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Rita selanjutnya ketika ditemui di pejabat Seniman di Taman Melawati, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Kosmo!: Bolehkah anda beritahu kenapa produksi tempatan itu meminta tuntutan ganti rugi kepada anda?
RITA: Mereka meminta ganti rugi kerana saya menarik diri daripada melakukan penggambaran drama 40 episod produksi itu.
Kenapakah anda menarik diri daripada penggambaran tersebut?
Sejak awal lagi saya dapati cara kerja produksi tersebut tidak profesional, tetapi saya berdiam diri sahaja dengan harapan perkara tersebut akan berubah. Malangnya, selepas empat hari penggambaran mereka masih lagi mencipta suasana kerja yang sebegitu (tidak profesional).
Boleh terangkan lebih lanjut apakah maksud anda dengan cara kerja yang tidak profesional itu?
Sebelum ini saya hanya menerima tawaran berlakon dalam produksi yang saya kenal sahaja. Begitupun, kali ini saya ingin mencuba berlakon di bawah produksi baharu ini. Malangnya, ada masalah sewaktu berada di set penggambaran yang saya tidak boleh ceritakan.
Apakah nama drama dan produksi tersebut?
Maaf, saya tidak boleh beritahu apa nama produksi tersebut. Drama tersebut juga turut dibintangi oleh pelakon Fizz Fairuz.
Adakah anda seorang sahaja yang menghadapi masalah tidak profesional itu?
Semua pelakon melaluinya, cuma saya tidak boleh berdiam diri. Saya tidak boleh terima apabila orang buat artis seperti tiada harga diri.
Adakah anda cuba berbincang dengan produksi tersebut sebelum membuat keputusan menarik diri?
Saya ada berbincang dengan produksi terbabit, tetapi malangnya mereka tetap meneruskan suasana kerja yang tidak profesional. Selepas saya mengambil tindakan tidak menghadirkan diri ke penggambaran tersebut, mereka menghantar surat menuntut ganti rugi.
Adakah anda sudah menandatangani perjanjian atau menerima wang pendahuluan?
Ya, saya sudah dibayar sebanyak 40 peratus. Tetapi, saya bersedia memulangkan semula duit tersebut. Jika mereka kata rugi sebab saya sudah menjalani penggambaran selama empat hari, saya juga rugi kerana terpaksa menolak beberapa tawaran untuk memfokuskan penggambaran drama ini sehingga Julai ini.
Bilakah anda mendapat surat tuntutan tersebut?
Surat itu bertarikh 25 Mac, tetapi saya terima surat tersebut awal April. Itupun, selepas saya tidak menghadiri lagi penggambaran pada 26 Februari lalu.
Sebagai pelakon lama, apakah perasaan anda bila berdepan perkara seperti ini?
Perkara macam ini pertama kali berlaku pada saya. Kalau nak kata saya buat perangai, tanyalah dengan mana-mana produksi yang pernah saya bekerjasama adakah saya bermasalah? Perkara macam ini juga boleh jejaskan periuk nasi saya apabila tersebarnya cerita-cerita kurang enak mengenai saya nanti. Disebabkan itu, saya mengadu kepada Seniman sebelum nama saya tercalar.

Dibebaskan selepas disoal

TIGA daripada 35 ahli Al-Arqam menolak bagasi masing-masing sebaik mendarat di KLIA dari Jeddah semalam selepas diusir kerajaan Arab Saudi kelmarin.


SEPANG – Sekumpulan 13 pengikut Al-Arqam yang diusir kerajaan Arab Saudi kelmarin diberkas sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini petang semalam.
Sembilan lelaki dan empat wanita itu ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebaik mendarat pada pukul 1 petang dari Lapangan Terbang Jeddah bersama 22 lagi pengikut Al-Arqam. Bagaimanapun mereka yang turut diusir itu tidak ditahan.
Kesemua 13 pengikut Al-Arqam dibebaskan selepas diambil keterangan dengan syarat setiap orang mempunyai seorang penjamin.
Difahamkan, kesemua mereka terpaksa membeli tiket sendiri untuk pulang ke Malaysia selepas mendapat pengampunan dari kerajaan Arab Saudi atas kesalahan visa dan dokumen perjalanan. Mereka tidak diiring pihak berkuasa ketika penerbangan.
Menurut sumber, pengikut ajaran yang difatwakan sesat berusia antara 20 hingga 60 tahun itu ditahan selepas didapati memiliki bahan-bahan yang boleh mengaitkan diri mereka dengan ajaran tersebut.

Syarikat terbakar, pekerja selamat


API marak memusnahkan sebuah syarikat pembinaan di Kuching, Sarawak semalam.


KUCHING – Orang ramai yang melalui Jalan Lapangan Terbang di sini semalam tergamam selepas ternampak kepulan asap tebal dari jarak lima kilometer sebuah syarikat pembinaan yang terbakar di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang, kesemua 10 pekerja yang berada di pejabat tersebut selamat selepas mereka sempat keluar dari pejabat yang bangunannya dibina dengan struktur kayu.
Kebakaran tersebut disedari oleh seorang pengawal keselamatan yang nampak asap berkepul-kepul keluar dari bumbung bangunan setingkat itu.
Asap tersebut itu juga boleh dilihat dengan jelas oleh orang ramai yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
Bagaimanapun, asap tebal itu tidak mengganggu penerbangan di lapangan terbang tersebut.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii berkata, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dihantar ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan mengenai kebakaran itu.

Empat pencuri lembu guna besi dart tumpas


SHAHARON menunjukkan alatan yang digunakan untuk menembak ubat pelali kepada lembu yang dicuri pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah, Perak semalam.


BATU GAJAH – Polis berjaya menumpas satu sindiket mencuri lembu menggunakan besi dart mengandungi pelali yang didalangi empat individu termasuk seorang wanita di Batu 10, Jalan Malim Nawar, Tanjung Tualang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi, kesemua suspek berusia 17 hingga 37 tahun itu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah van berwarna putih sewaktu keluar dari persimpangan jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, pemeriksaan polis ke atas van dinaiki empat suspek itu menemui dua ekor lembu yang turut dimasukkan ke dalam van tersebut.
Menurut beliau, seekor daripada lembu itu telah mati manakala seekor lagi masih hidup dengan keempat-empat kaki kedua-dua haiwan itu diikat dengan tali.

Shaka Zoulou lelaki terkuat di Afrika Barat


SHAKA Zoulou sedang menterbalikkan sebiji tayar gergasi seberat 410 kilogram bagi merebut gelaran lelaki terkuat di Ivory Coast.


ABIDJAN, Ivory Coast - Seorang lelaki di Afrika Barat telah diisytiharkan sebagai lelaki terkuat di Ivory Coast pada Sabtu lalu.
Lelaki itu, Okonkwo Patrick Adebayor atau lebih dikenali sebagai Shaka Zoulou diumumkan sebagai pemenang pertandingan olahraga Lelaki Terkuat di negara terbabit.
Shaka Zoulou berjaya menjuarai pertandingan yang pertama kali diadakan di Ivory Coast, sekali gus menjadi perintis peserta terkuat pada pertandingan berkenaan.
Merebut gelaran lelaki terkuat bukanlah satu tugas mudah. Shaka Zoulou terpaksa melalui beberapa halangan paling sukar yang telah ditetapkan.
Dia perlu menarik sebuah trak yang mempunyai 22 kerusi seberat 5.5 tan sejauh 12 meter. Selain itu, dia perlu menterbalikkan sebuah tayar gergasi seberat 410 kilogram dari satu lokasi ke lokasi lain yang ditetapkan.
Bukan itu sahaja, Shaka Zoulou juga perlu menjinjing bebanan seberat 220 kilogram.

Sumo menangis buat bayi sihat


DUA orang ahli gusti sumo memegang bayi masing-masing untuk beradu tangisan paling cepat dan kuat.


TOKYO - Sekumpulan bayi berhimpun di Tokong Sensoji di sini untuk bertarung dalam pertandingan 'sumo menangis' semalam.
Bayi yang terlebih dulu menangis atau mempunyai suara lebih kuat akan diisytiharkan sebagai pemenang.
Acara unik tersebut diadakan setiap tahun pada hujung bulan April di pusat bandar raya Tokyo dan ia telah disambut sejak 400 tahun lalu.
Pada kebiasaannya, dua ahli gusti sumo akan bersemuka dalam sebuah gelanggang untuk bertarung. Namun dalam sumo menangis ini, bintang utamanya ialah bayi.
Sukan tradisional Jepun yang dikenali sebagai Naki Sumo itu menggandingkan sepasang bayi berusia setahun ke bawah untuk beradu tangisan paling cepat dan kuat dalam gelanggang yang disediakan.
Bepuluh-puluh orang bayi akan bertarung dalam acara sumo menangis sambil disorak oleh ibu bapa masing-masing supaya menangis. Mengikut tradisi, tangisan bayi yang paling kuat merupakan simbol kesihatan mereka.
Dalam sumo menangis, dua ahli gusti sumo amatur akan memegang bayi masing-masing untuk bersemuka di gelanggang dan berusaha sedaya upaya untuk membuatkan bayi itu menangis dulu.

Pelagak ngeri maut ketika seberangi sungai

ORANG ramai menyaksikan aksi berani Sailendra Nath Roy bergantung pada seutas tali untuk menyeberangi Sungai Teesta. Dia kemudian maut kerana terkena serangan jantung.


KOLKATA - Seorang pelagak ngeri di India yang memegang rekod Guiness World Records untuk aksi flying-fox terpanjang menggunakan rambut meninggal dunia ketika melakukan aksi berbahaya itu.
Sailendra Nath Roy, 49, yang juga merupakan seorang pegawai polis cuba menyeberangi Sungai Teesta sejauh 180 meter pada Ahad lalu.
Selepas menyimpulkan rambut sepanjang paras bahunya pada takal di atas wayar, Roy sempat menghabiskan separuh perjalanan. Malangnya, dia tiba-tiba tersekat dan tidak dapat bergerak, lapor jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian.
Beratus-ratus penonton yang pada mulanya bersorak memberi sokongan, kemudian menjerit ketakutan apabila melihat keadaan Roy.
"Pada ketika itu Roy kelihatan sangat panik dan cuba mencapai tali kedua untuk sampai ke garisan penamat," kata seorang pegawai kanan polis tempatan, K. Jayaraman.
Selepas 20 minit, pelagak ngeri itu tidak lagi bergerak sebelum diselamatkan oleh penduduk tempatan. Tiada doktor atau ambulans disediakan semasa persembahan itu dibuat yang turut ditonton oleh ahli keluarga Roy.
Selepas dibawa ke hospital di Siliguri, 450 kilometer dari tempat kejadian, dia disahkan mati oleh doktor akibat serangan jantung.
Terdahulu, Roy pernah menggunakan rambut untuk menarik sebuah enjin dan empat gerabak kereta api warisan Darjeeling Himalayan Railway.

Bapa ditahan kerana anak pandu Ferrari


Gambar menunjukkan wajah seorang kanak-kanak yang memandu sebuah kereta Ferrari di Kerala, India.


NEW DELHI - Polis di bandar Kerala di sini memfailkan dakwaan ke atas seorang lelaki kerana membenarkan anak lelakinya yang baru berusia sembilan tahun memandu kereta Ferrari miliknya.
Mohammed Nisham dikenakan dakwaan membahayakan nyawa kanak-kanak dan membenarkan budak bawah umur memandu kereta, jelas Inspektor M.V. Verghese.
Isteri Nisham merakamkan aksi anaknya memandu kereta sports tersebut sewaktu majlis hari jadi kesembilan tahun dua minggu lalu. Video itu turut menunjukkan adiknya yang berusia tujuh tahun duduk di kerusi penumpang kereta sama.
Video itu kemudian tersebar di YouTube dan menimbulkan kemarahan orang ramai sekali gus memaksa polis menfailkan dakwaan.
Menurut Verghese, Nisham yang terlibat dalam perniagaan tembakau dan hartanah memiliki 18 buah kereta mewah dianggarkan bernilai AS$4 juta (RM12 juta).
Dia telah meminta untuk membayar wang jaminan dan dijangka menyerah diri di balai polis bandar Kochi. Polis juga akan menyita kereta mewah terbabit ketika kes itu disiasat.
"Saya bangga dengannya. Dia sudah memandu sejak berusia lima tahun. Kami membenarkan dia memandu Ferrari pada hari jadinya selepas meminta kebenaran selama berbulan-bulan," kata ibu kanak-kanak tersebut, Amal Nisham.
Budak lelaki itu sebelum ini juga pernah memandu Lamborghini, Bentley dan kereta mewah lain milik ayahnya.

40 cedera dalam letupan di Prague


ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi letupan di bandar bersejarah Prague semalam.


PRAGUE - Satu letupan kuat memusnahkan sebuah bangunan di kawasan bersejarah di bandar ini semalam, mencederakan kira-kira 40 orang dengan beberapa orang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan.
Pihak polis telah menutup lokasi pelancongan popular itu selain memindahkan lebih 220 orang dari beberapa buah bangunan berhampiran.
Letupan sebuah bangunan berhampiran bangunan Teater Kebangsaan itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.
"Kira-kira 40 orang telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kebanyakan daripada mereka mengalami cedera ringan. Namun kami tidak menolak kemungkinan ada yang mengalami kecederaan serius," kata jurucakap polis Prague, Tomas Hulan.
Wujud kebimbangan bahawa mungkin tiga orang mangsa terperangkap dalam runtuhan bangunan yang dijadikan ruang pejabat.
"Letupan ini cukup kuat dan menyebabkan tingkap-tingkap cermin pecah," tambah Hulan.

Pain & Gain ungguli carta pecah panggung AS


AKSI Mark Wahlberg (kanan) dalam satu adegan filem aksi komedi Pain & Gain yang mendapat sambutan hangat penonton di AS.


LOS ANGELES - Filem aksi komedi, Pain & Gain merampas kedudukan carta filem pecah panggung di Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu lalu, lapor industri perfileman kelmarin.
Filem yang dibintangi aktor Mark Wahlberg dan Dwayne Johnson itu mengaut kutipan tiket sebanyak AS$20 juta (RM60.7 juta) semasa tayangan sulungnya.
Agensi yang mengumpul jumlah kutipan tiket, Exhibitor Relations berkata, Pain & Gain berjaya mengenepikan filem sains fiksyen, Oblivion di tempat kedua dengan memperoleh AS$17.4 juta (RM52.8 juta).
Berada di tempat ketiga adalah filem biopik, 42 yang meraih kutipan tiket sebanyak AS$10.7 juta (RM32.5 juta).
Filem baharu, The Big Wedding yang membariskan pelakon Robert De Niro, Katherine Heigl, Diane Keaton dan Robin Williams menduduki tempat keempat dengan kutipan AS$7.5 juta (RM22.7 juta).
Sementara itu, filem animasi The Croods pula berada di tempat kelima selepas mengumpul AS$6.6 juta (RM20 juta).

Rangka orang purba ditemui


CECILE menunjukkan rangka mayat yang dipercayai pahlawan Celtic.


DI sebuah padang berlumpur di Seine iaitu terletak di tenggara Paris, Perancis, ahli-ahli arkeologi telah menemui tanah perkuburan manusia Zaman Besi. Mereka percaya penemuan itu bakal membawa sinar dalam merungkai pemerintahan tamadun Gaul.
Sebelum ini, tapak berkenaan yang terletak di pinggir Troyes dibangunkan untuk projek perindustrian dan ketika itu pelbagai bahan bersejarah yang menakjubkan telah dijumpai.
Ia termasuk kubur lima pahlawan Celtic yang lengkap bersenjata dan perhiasan sekali gus membuktikan wujudnya anggota tentera elit pada zaman itu.
Ahli arkeologi, Emilie Millet mencangkung di atas kubur yang merupakan salah satu daripada 14 perkuburan yang ditemui di kawasan tersebut sejak beberapa minggu lalu. Ia ditemui selepas proses penggalian bermula sembilan tahun lalu di kawasan lapang berkeluasan 260 hektar.
Rangka pahlawan
Di bawah tapak kakinya terdapat rangka seorang pahlawan berjawatan tinggi lengkap dengan pedang besi sepanjang 70 sentimeter.
"Saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini," ujarnya sambil menatap perisai logam yang mempunyai rangka kayu dan kulit yang telah reput.
Di sebelah rangka pahlawan itu ditemui beberapa rangka wanita yang memakai barang perhiasan seperti rantai leher berpintal logam dan kerongsang besar perak yang direka dengan batu karang berharga.
Dalam sebuah kubur lain ditemui rangka lelaki dan wanita yang hanya dipisahkan oleh lapisan tanah. Berdasarkan kedudukan rangka-rangka itu, dipercayai ia mempunyai hubungan rapat ketika hidup.
"Kawasan ini merupakan tanah perkuburan yang besar dan ia satu penemuan yang luar biasa," kata wakil Institut Penyelidikan Penyenggaraan Arkeologi Kebangsaan (Inrap), yang melakukan kerja-kerja menggali tapak sebelum jentolak dibenarkan masuk.
Berdasarkan barang-barang kemas yang ditemui, rangka-rangka itu dipercayai dikebumikan antara tahun 325 Sebelum Masihi (SM) dan 260 SM iaitu tempoh masa yang dikenali sebagai La Tene. Satu lagi petunjuk daripada analisis yang dikeluarkan oleh Scabbards ialah perubahan hiasan fesyen tentera. Reka bentuk pakaian tentera dalam tempoh masa itu biasanya mempunyai simbol dua ekor naga menghadap satu sama lain dengan badan bergulung.

SALAH satu kubur ditemui ialah kubur rangka lelaki dan wanita dalam kedudukan bertentangan.


Tamadun berkembang
La Tene mendapat nama melalui tapak arkeologi di Switzerland yang wujud antara abad ke-5 SM hingga abad pertama Selepas Masihi, menandakan tahun kegemilangan orang Celtic.
Pada zaman itu, tamadun orang Celtic berkembang daripada kawasan pusat mereka di tengah Eropah hingga sejauh utara Scotland dan pantai Atlantik Sepanyol.
Zaman kegemilangan kaum tersebut seiring dengan kebangkitan empayar Rom yang ketika itu sedang berperang meluaskan kawasan jajahan mereka.
Orang Celtic digambarkan sebagai orang berkulit pucat, memakai seluar dan berambut perang. Ketika berperang, mereka dikatakan memenggal kepala musuh manakala jasad ketua musuh mereka disimpan dalam minyak sedar.
Begitupun, imej kasar itu telah disangkal oleh kajian sejarah dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Kaum tersebut dikatakan mempunyai tamadun yang kompleks selain memiliki kepakaran dalam bidang logam dan sistem perdagangan. Kekuasaan mereka menjangkaui seluruh Eropah dan menjana kekayaan yang besar.
Penemuan terbaharu di Bucheres itu menimbulkan beberapa persoalan kerana di kawasan berkenaan tidak dijumpai sebarang bukti yang menunjukkan ia pernah menjadi kawasan penempatan orang Celtic.
"Kubur-kubur itu ditemui pada kedalaman kira-kira dua meter di kawasan lapang yang tidak ditemui sebarang tanda menunjukkan ia kawasan tanah perkuburan. Jika dibandingkan dengan tamadun awal iaitu Zaman Gangsa boleh ditemui tanda-tanda peninggalan seperti barisan bonggol-bonggol di sekitar kawasan pengebumian. Ia boleh jelas kelihatan sejauh beberapa kilometer," kata Cecile Paresys yang merupakan ahli arkeologi dari Inrap.
Penggalian yang dilakukan oleh Inrap masih belum menemui sebarang bukti seperti tembikar atau makanan yang sering dimasukkan ke dalam kubur Era Besi untuk bekalan si mati di dunia roh.
Tiada mayat kanak-kanak ditemui seperti kebiasaan dalam kubur orang Celts. Perkara tersebut jelas mengelirukan dan sukar dijelaskan oleh ahli antropologi.
Bagaimanapun, kerja-kerja forensik yang dilakukan dijangka bakal merungkai petunjuk tentang cara kehidupan tamadun berkenaan. Dalam pada itu, rangka-rangka yang dijumpai sedang direkod sebelum dikeluarkan dari kubur untuk proses pemuliharaan.

Serlah wajah natural


MEREKA yang jarang mengenakan solekan sangat digalakkan menggunakan krim CC.


SEKIRANYA anda mahukan wajah yang kekal semula jadi dengan sedikit bantuan kosmetik, krim Colour Control (CC) keluaran Farmasi Colour Cosmetic adalah jawapannya.
Produk baharu yang menjadi pelengkap kepada krim blemish balm (BB) itu memiliki tujuan yang sama seperti bedak asas, tetapi teksturnya yang ringan dan nipis menghalang pori-pori daripada tersumbat.
Kandungan vitamin yang bermanfaat di dalamnya pula membantu memperbaiki kulit dari semasa ke semasa dan mengelakkan wajah kelihatan berminyak.
Fenomena krim BB yang mendominasi pasaran kecantikan baru-baru ini telah memberi ruang kepada krim CC untuk menarik minat golongan wanita.
“Sejak krim BB Farmasi Colour Cosmetic diperkenalkan pada bulan Mac lalu, sambutan yang kami terima amat menggalakkan. Semua tahu produk itu mampu berfungsi sebagai pelembap, pelindung sinaran ultraungu (UV), krim asas muka, agen antipenuaan dan bedak asas.
“Farmasi Colour Cosmetic tidak menunggu lama bagi memperkenalkan gandingan krim BB. Krim CC All In-One yang kami keluarkan hari ini bakal menjadi trend baharu tahun ini.
“Farmasi Colour Cosmetic juga menjadi produk kosmetik halal terawal memperkenalkan krim CC dalam pasaran tempatan,” ujar Pengarah Urusan Farmasi Colour Cosmetic Malaysia, Ili Zawani Ismail pada majlis pelancaran krim CC Farmasi Colour Cosmetic di Ara Damansara, Selangor.
ILI ZAWANI menunjukkan krim CC keluaran Farmasi Colour Cosmetic.


Krim CC Farmasi Colour Cosmetic merupakan produk terkini yang mempunyai kelebihan menyerupai krim BB. Ia memperbaiki dan meratakan tona kulit sekali gus menjadikan wajah tampak berseri secara natural.
Didatangkan dalam dua tona warna iaitu light to medium dan medium to dark, krim CC Farmasi Colour Cosmetic boleh didapati di pasaran tempatan menjelang Mei ini.
“Kedua-dua krim BB dan CC FCC ini juga praktikal dari segi saiznya. Ia menjimatkan ruang beg solekan anda dan mudah dibawa ke mana sahaja.
“Namun pengguna perlu tahu bahawa krim CC bukanlah pengganti krim BB. Ia adalah lanjutan kepada krim BB agar kesempurnaan kulit wajah lebih menyerlah,” jelas Ili Zawani.

Aura maskulin melalui jambang



PENAMPILAN jejaka ini sedikit berbeza dengan kebanyakan gaya lelaki pada hari ini. Memakai baju berkotak dan seluar jean ketat, aura maskulin era Inggeris tahun 60-an jelas sebati dalam persalinannya. Tidak setakat itu, dia turut melengkapkan pesona diri dengan gaya janggut yang dilihat eksentrik pada pandangan mata orang Malaysia.
“Ramai mula mengenali saya melalui jambang dan kumis unik ini,” ujar Muhammad. Azwan Mohd. Nor atau lebih dikenali sebagai Wak Doyok.
Nama gelaran anak kelahiran Klang, Selangor itu mengimbas kembali watak komedi negara seberang iaitu Wak Doyok dan rakan duonya, Kadir, yang mencuit hati negara di nusantara sekitar tahun 1980-an.
“Gelaran itu saya dapat apabila rakan-rakan melihat persamaan dari segi personaliti yang suka membuat lawak ketika bersama mereka.
“Kebetulan saya sendiri berketurunan Jawa, jadi ia tidak mendatangkan masalah sewaktu diberi gelaran itu,” jelas Wak Doyok ketika ditemui Stailo baru-baru ini.
Bercerita mengenai jambang dan kumis eksentriknya itu, jejaka berusia 33 tahun tersebut memberitahu dia mula menyimpannya sejak tahun lepas iaitu ketika bekerja secara sambilan di sebuah butik dari Britain iaitu Ben Sherman.
“Apabila mendapat tahu Ben Sherman bakal memasuki pasaran Malaysia tahun lepas, lantas saya membuat permohonan untuk bekerja di butik itu bagi mendapat pengalaman dalam dunia fesyen,” katanya.
Butik yang beroperasi sejak tahun 1963 itu mengambil beberapa inspirasi fesyen seperti gaya vintaj Mod. Stail itu menjadi ikutan anak muda sekitar tahun 50-an hingga 60-an. Jenama itu mengeluarkan koleksi merangkumi baju, kasut, sut dan beberapa aksesori khas untuk kaum Adam.
Beberapa item terbaharu menyerap pengaruh Carnaby yang banyak menggunakan rekaan langsing dan mengikut bentuk badan.
LEBIH dikenali sebagai Wak Doyok, minat Muhammad Azwan menyimpan jambang bermula sejak setahun lalu sewaktu bekerja di Butik Ben Sherman.


Model lelaki berjambang
“Permohonan kali pertama saya tidak diterima, mungkin disebabkan imej yang dibawa ketika itu tidak menepati gaya jenama tersebut. Kemudian saya membuat beberapa rujukan dengan melihat kempen-kempen fesyen Ben Sherman yang banyak menggunakan model lelaki berjambang,” ujarnya.
Dia memberanikan diri untuk menyimpan jambang dengan mengikut penampilan ikon fesyen lelaki, David Beckham yang pernah muncul dengan gaya serupa beberapa tahun lepas.
Pada awalnya, Wak Doyok berasa ragu-ragu dan takut jika tidak kena dengan bentuk wajah dan penampilannya. Selama beberapa bulan, bulu-bulu halus mula kelihatan pada wajahnya dan dia mula merapikan jambang supaya kemas dan teratur.
“Saya diterima bekerja di butik itu untuk permohonan kali kedua. Malah, ramai memuji dengan penampilan terbaharu ini,” ujarnya yang mengambil masa selama tiga bulan untuk mendapatkan gaya Howie.
Jelas Wak Doyok, dia akan merapi jambang dan misainya dua hari sekali supaya ia tumbuh rapat dan lebat mengikut struktur wajah.
“Selain itu, saya ada juga mengikut petua orang tua iaitu dengan mengelap jambang menggunakan tangan kanan yang dibasuh selepas makan. Walaupun tidak tahu kesahihannya, jambang saya tumbuh lebat sehingga sekarang,” seloroh Wak Doyok.
Penjagaan perlu teliti
Bagi memastikan jambang sentiasa kelihatan kemas, dia akan melakukan perapian selang dua hari dengan mencukur bulu pada bahagian bawah dagu. Selain itu, kumisnya yang melentik akan digunting supaya tidak terlalu panjang dan nampak menarik.
“Proses penjagaan perlu teliti dan dibuat dengan cermat. Saya lebih suka melakukannya sendiri di rumah berbanding pergi ke salun,” jelasnya yang kini mula berjinak-jinak dalam dunia fesyen kasual jalanan.
Pembersihan dan penjagaan perlu dilakukan kerana jika dibiarkan, ia akan nampak kotor dan tidak terurus. Wak Doyok berkata, kekotoran akan jelas kelihatan selepas makan kerana sisa-sisa makanan terlekat pada jambang terutamanya sekitar mulut.
PRODUK wax yang di beli Muhammad Azwan dari Singapura bagi melentikkan kumis.


“Saya sendiri menghadapi kesukaran ketika peringkat awal menyimpan jambang hingga terpaksa menggunakan sudu dan garfu untuk mengelakkan sisa makanan daripada melekat pada misai,” luahnya.
Seperti rambut dan wajah yang mempunyai produk penjagaan tersendiri, jambang dan kumis juga mempunyai item pembersih dan gel perapi khusus untuk dandanan.
“Beberapa produk saya beli daripada seorang teman di Singapura. Salah satunya ialah wax khas untuk melentikkan kumis. Selain itu, bagi melebatkan jambang, saya gunakan produk yang dibeli di kedai gunting rambut milik penyanyi Joe Flizzow, Joe's Barbershop,” kongsinya lagi.
Menurut pemilik jenama The Garment itu lagi, produk penjagaan untuk jambang dan kumis sukar didapati di dalam negara berbanding di Eropah. Ujarnya, jika di England, terdapat persatuan yang diwujudkan untuk mengumpul komuniti-komuniti berjambang pelik tersebut.
“Di Malaysia, gaya ini masih baharu, tetapi mula mendapat perhatian anak-anak muda kerana berjambang atau berkumis kemas dapat menonjolkan sisi maskulin dan lelaki sejati,” ujarnya.

Impak fesyen video muzik


KASUT spat yang disarungkan Michael Jackson dalam video Smooth Criminal membolehkan dia melakukan aksi menarik ini.


PADA tahun 1994, band lelaki popular tanah air, KRU meledakkan fenomena muzik tempatan dengan lagu rancak berjudul Awas!. Apabila menyaksikan video muzik lagu tersebut, stail cool yang dipaparkan tiga adik-beradik, Norman Abdul Halim, Yusry dan Edry mula menjadi ikutan.
Golongan lelaki khususnya remaja menjadikan singlet warna polos yang digandingkan dengan jaket kulit sebagai trend wajib era 1990-an. Namun paling terkesan ialah pemakaian skarf (bandana) yang diikat pada kepala dan kaca mata hitam bingkai bulat.
Pada masa itu juga, golongan wanita sedang dilanda kegilaan terhadap band perempuan, Feminin. Disifatkan sebagai pemula trend dalam fesyen, Feminin tampil menarik dalam video muzik lagu hit mereka, Untukmu pada tahun 1993.
Kardigan labuh berbutang tengah, celana pendek dan baju lengan panjang berjalur mencipta trend hangat kepada remaja tempatan. Tidak keterlaluan, imej Feminin dalam setiap video muzik dan persembahan mereka mendahului fesyen yang dialami Malaysia ketika itu.
Fesyen ikonik
Beralih ke video muzik antarabangsa, tidak disangkal memang banyak fesyen ikonik yang masih diingati penonton sehingga ke hari ini. Raja Pop dunia, mendiang Michael Jackson amat dikenali dengan persalinan merahnya dalam video muzik Thriller pada tahun 1983.
Selain itu, stail ala gengster yang ditonjolkan Michael dalam video muzik Smooth Criminal pada tahun 1988 juga mudah melekat dalam ingatan masyarakat. Sut putih berjalur dan kemeja biru beserta topi fedora putih mencipta gaya sensasi ikutan ramai.
Kasut spat yang disarungkan Micheal dalam video itu juga membolehkan beliau melakukan aksi mencondongkan badan mencecah sudut 45 darjah. Aksi signatur itu dipaparkan kali pertama dalam video tersebut.
Begitu juga dengan Ratu Pop dunia, Madonna. Kontroversi yang dicetuskan menerusi blaus jarang dalam video muzik Vogue pada tahun 1990 memberi impak penting dalam peradaban fesyen antarabangsa.
STAIL rap KRU dalam setiap video muzik mereka menjadi ikutan remaja pada era 1990-an.


Menerusi video arahan David Fincher itu, Madonna turut kelihatan mengenakan sut hitam ketat yang kemudiannya menjadi trend kegemaran selebriti wanita. Bagi melengkapkan keagungan nilai fesyen dalam Vogue, Madonna sekali lagi memakai baju dalam berbentuk kon ciptaan pereka ternama, Jean Paul Gaultier.
Pada lewat era 1990-an, fenomena Britney Spears mula menguasai dunia. Tampil comel mengenakan seragam sekolah dalam muzik video sulungnya, Baby One More Time pada tahun 1998, pengaruh Britney dalam berpakaian seksi mencetuskan kebimbangan ramai ibu bapa.
Kemeja sekolah putih yang diikat sehingga menampakkan pusat bersama skirt pendek menjadi trend hangat remaja pada waktu itu. Tambah mengejutkan, kos kesemua pakaian dalam video itu tidak mencecah AS$17 (RM51). Ia boleh dibeli di pasar raya biasa.
Kemunculan penyanyi yang sering berpakaian pelik, Lady Gaga pada sekitar 2008 juga memberikan impak kepada industri muzik dengan pelbagai video muzik ikonik dari segi sentimen fesyen. Muzik video Bad Romance pada tahun 2009 memahatkan nama Lady Gaga sebagai artis yang bercita rasa tinggi dalam fesyen.
Bad Romance menyaksikan kerjasama unggul Lady Gaga bersama pereka fesyen prolifik, Alexander McQueen. Momen penyanyi itu berjalan menggunakan sepatu armadillo ciptaan McQueen setinggi 12 inci dalam video tersebut sebenarnya mencipta trend kasut dengan ketinggian luar biasa yang masih relevan sehingga ke hari ini.

Beg tangan berkualiti import

LENGKAPKAN gaya kasual anda dengan menjinjing beg tangan rona hitam.


MEMILIKI beg tangan daripada jenama antarabangsa merupakan impian kebanyakan wanita. Selain faktor kualiti, ia menjadi satu perlambangan kepada gaya peribadi mereka.
Walaupun begitu, ramai tidak mampu menjinjing beg seperti Chanel, Dior atau Prada kerana harganya yang mencecah ribuan ringgit.
Pendapat itu disokong oleh Gwyneth Gui yang merupakan pemilik jenama beg tangan, Gwyneth.
“Setiap kali bercuti ke luar negara, pasti hati meronta-ronta untuk membeli beg berjenama, namun kadangkala hajat itu terpaksa dibatalkan kerana harganya terlalu mahal,” ujarnya ketika ditemui Stailo baru-baru ini.
Disebabkan itu, dia mendapat idea untuk mereka sendiri beg tangan wanita yang diberi nama Gwyneth dengan menggunakan material yang berkualiti tinggi, tetapi mampu dimiliki dengan harga berpatutan.
“Saya mahu setiap wanita memiliki beg yang berkualiti tetapi dengan harga mampu milik,” katanya pada majlis pelancaran beg jenama tersebut di Kelana Jaya, Selangor.
Buat permulaan, tiga koleksi beg tangan dikeluarkan untuk pilihan para pelanggan merangkumi warna hitam, putih dan ungu. Sejak dijual secara dalam talian pada bulan Januari lepas, sembutan pelanggan sangat baik.
“Saya bersama rakan niaga, Rohaya Mior Badri, dalam proses untuk menghasiklan koleksi baharu merangkumi beg dompet, kasut dan lain-lain,” jelasnya.
Menggunakan material kulit asli, ia dihasilkan di kilang yang terletak di Hong Kong hasil idea kreatif Gwyneth sendiri. Rekaan itu berdasarkan pengamatannya daripada majalah-majalah fesyen dan trend terkini.
Dia memberi penekanan kepada beberapa perkara seperti tali beg tangan yang lebih kukuh dan tidak mudah putus. Ia menjadi keutamaan Gwyneth kerana tali beg tangan mudah terkoyak akibat bebanan melebihi muatan.
“Kebanyakan wanita berdepan dengan masalah apabila beg mereka tidak boleh digunakan kerana tali mudah terputus selain zip yang cepat rosak. Justeru, beg Gwyneth menggunakan tali kulit lembu kerana ia mempunyai ketahanan yang tinggi,” jelasnya.
Bagi menjaga kebersihan beg terutamanya yang berwarna putih, dia menasihatkan pelanggan membersihkan kekotoran menggunakan air selain kain yang basah.
“Mereka hanya perlu mengelap beg tersebut dan tunggu sehingga kering sebelum menggunakannya. Tidak perlu menggunakan sebarang bahan peluntur atau pencuci kerana air sahaja sudah mencukupi,” ujarnya lagi.
Setakat ini, beg tangan Gwyneth mendapat sambutan sehingga ke negara luar seperti Brunei dan Singapura. Selain itu, ia turut mendapat tempahan daripada pelanggan di Australia.
“Bagi memberikan lebih variasi, kami merancang menggunakan beberapa pilihan warna seperti merah jambu untuk koleksi baharu nanti.
“Pada masa sama, terdapat beberapa penambahan aksesori seperti rantai kunci tahan karat,” katanya.
Dalam pada itu Rohaya berkata, visi mereka adalah untuk memasarkan jenama tersebut di peringkat antarabangsa.
Kurangnya penglibatan anak tempatan dalam menceburi rekaan aksesori wanita memberi kekuatan kepada mereka untuk mencuba nasib dalam industri fesyen tanah air.
“Ikon fesyen terkenal, Datuk Jimmy Choo merupakan idola kepada kami. Beliau membuktikan anak tempatan juga mampu berjaya di peringkat antarabangsa jika berusaha dengan gigih,” katanya.
Sebuah beg tangan Gwyneth berharga antara RM239 hingga RM279. Ia boleh dibeli melalui laman sosial, Facebook: Gwyneth Leather Handbags.

Panini sardin cili padi di London


LEMON Tree Cafe menawarkan pelbagai sajian halal daripada pastri sehinggalah makanan Malaysia seperti nasi lemak.


“SAYA ada dua kafe iaitu di Bow dan Whitechapel, di timur kota London. Di situ saya buat roti, kek, croissant dan masakan lain dari Malaysia.
“Semenjak saya tinggal di England pada tahun 2006, agak sukar untuk menikmati makanan halal dan ini sungguh mengecewakan. Kemudian saya ajak suami melabur dalam bisnes makanan,” jelas pemilik bersama Lemon Tree Cafe, Noor Azlina Zainal Abidin kepada Bernama di London, United Kingdom baru-baru ini.
Ibu kepada anak lelaki berusia empat tahun itu menerima pendidikan sekolah menengah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Lendu, Melaka.
Menurut Noor Azlina, yang juga chef di kedua-dua cafe itu, premis tersebut dibuka sejak Mac lepas dan menerima sambutan baik daripada masyarakat setempat.
“Alhamdulilah, kedua-dua kafe itu terus menerima pengunjung dari jauh dan dekat, malah sentiasa bermain di mulut masyarakat tempatan,” jelas Noor Azlina yang mempunyai minat berniaga semenjak kecil lagi.
Perpustakaan
Kedua-dua premis itu terletak dalam Idea Store atau perpustakaan kecil yang menjadi tempat masyarakat setempat berjumpa serta berinteraksi secara aktif atau menggunakan internet kerana WiFi percuma disediakan di situ.
Hampir setiap tempat duduk di bangunan empat tingkat Idea Store di Whitechapel terdiri daripada pelajar kampus Queen Mary, University of London kerana lokasinya yang berdekatan.
Penulis sempat meluangkan masa selama dua jam bersama Noor Azlina dan suaminya Mohamed Ridzwan Grenville Peter Mills.
Menurut Noor Azlina, kerangka perniagaan mereka mula terbentuk pada tahun 2011 selepas berjaya mengendalikan kafe Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square.
“Kami kemudian dijemput Matrade (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) bagi mengurus dan membekalkan khemah pada acara tahunan Malam Malaysian di Trafalgar Square tahun lepas.

Noor Azlina kini memiliki dua buah Lemon Tree Cafe di London.


“Selepas itu kami dijemput sebagai penaja utama pada acara tahunan Festival Makanan Nottingham University serta acara katering yang lain.
“Disebabkan kejayaan kami terutamanya mengendalikan kafe di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, syarikat kami, Azi’s Kitchen & Catering dijemput oleh Pusat Komuniti Bromley-by-Bow di timur London bagi mengendalikan katering untuk kafenya Pie in the Sky,” jelas Noor Azlina.
Pada Februari lepas, Azi’s Kitchen & Catering, yang mengendalikan Lemon Tree Cafe telah diberi kontrak bagi menguruskan kafe di Idea Store Whitechapel dan Bow.
Rakan niaga suami isteri itu baru-baru ini menjenamakan semula kafe mereka menjadi projek Lemon Tree.
Mesra pelanggan
Harga makanan di Lemon Tree Cafe adalah mesra pelanggan dan unik.
“Kami percaya pelanggan mahukan makanan yang segar, sihat serta berkhasiat pada harga yang realistik. Harga makanan kami tidak akan melebihi 5 pound (RM24).
“Sebanyak 10 peratus daripada senarai menu kami ditukar setiap minggu bagi memastikan sesuatu yang baharu dan menyeronokkan. Fokus kami bukan sahaja masakan Asia Tenggara, bahkan kami juga mengendalikan kepelbagaian sajian kosmopolitan bagi menyesuaikan setiap cita rasa,” kata Noor Azlina kepada penulis sambil menyajikan hidangan nasi lemak, mi goreng dan sardin cili padi panini di kafenya.
Panini adalah sandwic diperbuat daripada roti Itali yang dibakar. Panini berkenaan adalah antara hidangan yang diminati golongan ekspatriat dan komuniti setempat.
Ketika ini Noor Azlina mempunyai tujuh pekerja sepenuh masa selain tiga lagi bekerja separuh masa. Azi’s Kitchen & Catering berhasrat membuka 20 kafe di London dalam masa lima tahun ini.

Monday, April 29, 2013

Ammar Alfian Dedah Puteri Sarah Bercinta Dengan Syamsul Yusof

Ammar Alfian
PETALING JAYA: Pelakon dan model Ammar Alfian Aziz mendedahkan bekas kekasihnya Puteri Sarah Liyana sedang menjalinkan hubungan dengan pengarah filem popular Syamsul Yusof.
Bagaimanapun Ammar, 26, berkata, dia berasa pelik kenapa Puteri Sarah, 28, merahsiakan hubungan itu selain mendakwa dirinya masih solo sedangkan mereka sudah menjalinkan cinta sejak Oktober tahun lalu.
"Mereka mula akrab sejak Oktober 2012 dan kami putus pada Disember 2012. Dia cakap dirinya solo tetapi sebenarnya tidak.
"Tanyalah Datuk Yusof Haslam (bapa Syamsul) tentang hubungan mereka dan lihatlah apa jawapannya.
"Saya mendedahkan perkara ini kerana saya sudah bosan apabila dia (Puteri Sarah) sering memburukkan nama saya di media serta krew-krew produksi lain. Adakah itu sikap dia sekarang ini?," katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad.
Puteri Sarah dalam sebuah akhbar pada Ahad mendakwa hubungan cintanya dengan Ammar selama hampir lima tahun merupakan satu pembaziran dan dia tidak menyesal dengan perpisahan itu.
Laporan berkenaan turut menyebut Puteri Sarah dilaporkan sedang mengenali isi hati pengarah filem popular selepas mereka digandingkan dalam sebuah drama bersama tetapi ia dinafikan oleh Puteri Sarah.
Syamsul (kiri) dan Puteri Sarah
Beritahu Ammar pula, sepatutnya selepas bertukar imej dengan bertudung, Puteri Sarah tidak wajar menceritakan perihal peribadi selain memburuk-burukkan perhubungan mereka dahulu.
"Sebagai wanita yang sudah berubah menjadi Islam yang lebih baik, rasanya tidak elok jika dia nak memburukkan sesiapa sahaja termasuklah saya.
"Bagaimanapun saya dah lali kerana sepanjang kami bersama pun dia sering memburukkan saya.
"Cuma ada juga apa yang Sarah cakap itu betul, hubungan kami sebelum ini macam buang masa. Saya sebelum ini sanggup bekerja keras dan menyimpan duit untuk berkahwin dengannya, tetapi lain pula jadinya.
“Dia tidak nampak apa yang telah saya buat untuknya," ujar Ammar.
Dalam perkembangan lain, Ammar mengakui dia kini sudah pun menjalinkan hubungan cinta baru dengan seorang model yang dikenali dengan nama Shella.
Katanya, dia tidak mahu memandang perkara-perkara yang lepas kerana ingin membina kehidupan dengan wanita yang disayanginya itu selain mahu memberikan tumpuan terhadap kerjanya.
"Benar saya sudah pun mempunyai kekasih baru selepas hubungan saya dan Sarah putus. Hubungan kami masih lagi baru.
"Saya juga akan memulakan kerja-kerja 'modelling' untuk pakaian dalam jenama Renoma tidak lama lagi," katanya.
Selain itu, bakat Ammar bakal disaksikan di TV1 menerusi program Lambaian Pulau di tidak lama lagi.
Dalam pada itu usaha mStar Online untuk mendapatkan penjelasan Puteri Sarah dan Syamsul tidak kesampaian kerana panggilan telefon tidak dijawab.
Bagaimanapun Yusof Haslam pula mengambil pendekatan enggan memberi sebarang komen mengenai perkara berkenaan.
“Saya membuat keputusan untuk tidak mengulas perkara itu,” katanya ringkas.

Fouziah Gous kahwin tahun ini?


Fouziah Gous
Fouziah Gous bersama kekasihnya
JIKA sebelum ini dia menafikan gosip yang mengatakan dirinya sedang menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki bergelar VIP, kali ini pelakon Fouziah Gous mendedahkan status sebenar dirinya yang kini sudah pun bergelar kekasih kepada seseorang.
Bukan itu sahaja, pelakon cantik itu turut memberitahu dirinya bakal menamatkan zaman bujangnya dalam masa yang terdekat.
“Sebelum ini kami hanya kawan dan turut menjalankan perniagaan sarang burung bersama tapi tanpa disedari hubungan itu berlanjutan sehingga ke tahap ini.

"Ciri-ciri suami yang saya bayangkan memang ada pada dirinya. Insya-ALLAH, jika semua berjalan dengan baik kami akan berkahwin dalam tahun ini juga," ujarnya.

Hazama Terkejut Dituduh Menyinggung Hati Izara Aishah

Hazama
PETALING JAYA: Penyanyi Hazama terkejut dituduh menyinggung perasaan pelakon Izara Aishah sehingga wanita itu membuat keputusan untuk tidak mahu berlakon dengannya bagi mana-mana drama mahupun telefilem.
Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 29, berkata, khabar angin itu membuatkan dia berasa pelik kerana mereka masing-masing tidak pernah bertegur sapa.
"Rasa nak tergelak apabila membaca khabar angin tentang saya dan Izara. Ya, saya kenal dia sebagai pelakon, tetapi kami tidak pernah bertegur, berbual mahupun berkawan. Bekerjasama dalam satu produksi apatah lagi.
"Cuma saya dapat tahu yang dia pernah menolak tawaran berlakon telefilem Addy Valentino kerana ada saya dan saya tak tahu apakah sebabnya. Tetapi hal itu berlaku pada tahun lepas. Mengapa baru sekarang ia dibangkitkan?
"Bagaimanapun, sekiranya benar gosip mengatakan dia tidak mahu terima mana-mana tawaran lakonan yang melibatkan saya, ia tidak ada masalah. Saya hormat keputusan itu dan pada masa sama akan tertanya-tanya dalam diri saya apakah puncanya," kata Hazama yang dihubungi mStar Online, di sini pada Ahad.
Izara Aishah
Sebuah akhbar mingguan pada Ahad menerusi ruangan pojok melaporkan Izara pernah menolak tawaran menjayakan sebuah telefilem kerana enggan bergandingan dengan Hazama gara-gara penyanyi itu pernah menyinggung perasaannya.
Hazama dikatakan terlepas cakap dan membuatkan Izara kurang senang dengan kelantangan mulut penyanyi itu sehingga membuatkan dia menolak mana-mana tawaran lakonan yang melibatkan Hazama dalam satu produksi.
Dalam pada itu Hazama yang mula menjinakkan diri di bidang lakonan itu berkata, dia enggan mengambil peduli terhadap gosip yang dianggap remeh itu kerana ia tidak memberikan faedah kepadanya.
"Saya tak tahu siapa yang bawa mulut bercakap tentang perkara ini, lebih baik saya buat tak tahu sahaja.
"Lagipun ia sebuah gosip yang tidak sesuai dengan usia saya yang hampir menginjak 30 tahun ini," selorohnya.
Tambah Hazama sebagai seorang lelaki yang dirasakannya tidak sempurna, dia sering mengelakkan diri daripada mendekati wanita-wanita cantik kerana bimbang dipandang serong oleh segelintir pihak.
"Saya bukannya seorang lelaki yang suka merapatkan diri dengan wanita-wanita cantik. Saya tahu, mungkin ada perangai buruk saya yang orang kurang berkenan, saya tak pasti.
"Mungkin juga saya terlalu lantang membuatkan orang tidak senang, itu pun saya tak pasti. Cuma yang pasti, saya jarang melepak dengan artis daripada bidang lakonan. Dan gosip ini satu benda yang mengarut," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hazama bakal muncul dengan album baharunya berjudul Penglipur Lara dengan menampilkan sebanyak sembilan buah lagu berkonsepkan Pop Melayu.
Dengan kerjasama komposer Omar K dan Audi Mok, antara lagu yang dimuatkan dalam album itu ialah Semalam, Akhir Cerita, Ulik Mayang serta sebuah lagu ciptaannya sendiri iaitu Dengarlah.

Noniswara Kesal Dituduh Sewel Gara-Gara Kes Cerai

Noniswara mahu menyelesaikan kes penceraiannya secepat mungkin.
PETALING JAYA: Dramatis Noniswara kecewa apabila ada pihak melemparkan kata-kata negatif kononnya dia enggan berpisah dengan suaminya selepas menarik balik permohonan cerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah dekat sini pada 18 April lalu.
Nonis atau nama sebenarnya, Monis Wara Baharudin, 43, berkata, keputusannya itu mengundang persepsi tidak benar sesetengah pihak yang beranggapan dia seperti mahu berbaik-baik dengan suaminya, Datuk Rosman Ridzwan.
"Saya menarik balik tuntutan itu kerana tidak mendapat kerjasama suami untuk bercerai secara baik di mahkamah apabila dia enggan menerima surat saman atau hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan kes kami.
"Ramai menyangka saya tidak jadi bercerai dan mula melemparkan kata-kata negatif dengan mengatakan saya perempuan 'ting tong', 'sewel' dan 'gila talak'," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.
Tambah Nonis, dia dan peguamnya, Datuk Amli Embong telah berbincang untuk menuntut penceraian secara fasakh terhadap Rosman bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka yang berlarutan hampir setahun.
"Saya mahu bercerai secara baik dan enggan kisah 'dalam kain' dibongkar di mahkamah tetapi dia enggan memberikan kerjasama dan mengelak daripada menyelesaikan masalah.
Maznah dikaitkan dengan keretakan rumah tangga dramatis itu dengan suaminya.
"Ini jalan yang terpaksa dipilih (tuntutan fasakh)," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai laporan sebuah akhbar pada Ahad yang mengaitkan pelakon Maznah Zulkifli sebagai orang ketiga kepada keretakan rumah tangganya, Nonis enggan mengulas mengenai perkara tersebut.
Jelasnya, apa yang lebih penting sekarang dia dapat menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan segera dan tidak mahu memikirkan soal lain buat ketika ini.
"Saya tidak mahu mengulas kerana tidak mahu ia menjadi bertambah buruk tambahan pula ia bukan urusan saya. Apa yang penting sekarang kes penceraian saya dapat diselesaikan dengan baik.
"Dengan wanita mana dia (suami) mempunyai hubungan ia tiada kaitan dengan saya," katanya.
Nonis dan Rosman telah mendirikan rumah tangga pada 1 Ogos 2009.
Pelakon yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.

Sharnaaz Ahmad Anggap Twitter Boleh Musnahkan Hidup

Sharnaaz Ahmad
PETALING JAYA: Selepas kontroversi kisah cinta Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad tidak direstui keluarga berakhir, pelakon lelaki itu mengambil langkah tidak lagi aktif menggunakan mana-mana laman sosial Internet.
Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 28, berkata, dia menyifatkan laman sosial terutamanya seperti Twitter boleh memusnahkan kehidupan seseorang tanpa disedari kerana ia mampu mewujudkan salah faham, pergaduhan dan rasa kecil hati terhadap mana-mana pihak.
"Sekarang ini saya sudah kurangkan penggunaan Twitter di mana saya tidak lagi berkongsi hal-hal peribadi di laman itu, hanya sekadar mempromosikan kerja-kerja saya sahaja.
"Apa yang dilalui sebelum ini saya sudah belajar. Bagi saya, masyarakat sudah menyalahgunakan Twitter dengan menceritakan setiap hal yang berlaku dalam hidup ke laman itu.
"Ia sekali gus memberikan sudut pandangan yang berbeza-beza daripada pihak yang membacanya," kata Sharnaaz kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.
Tambah Sharnaaz, dia juga tidak mahu berkongsi sebarang cerita mengenai kisah kehidupan peribadinya kepada umum.
Malah ditanya adakah dia menemui pengganti lain selepas Shila, Sharnaaz enggan memberikan sebarang komen tentang perkara itu
"Cukuplah, dengan kejadian sebelum ini. Bercakap pun salah, berdiam pun salah.
"Langkah terbaik ialah saya tak mahu cakap fasal hal peribadi lagi. Nanti tempiasnya akan terkena kepada keluarga saya. Kasihanlah mereka," ujarnya yang sedang menjalani penggambaran drama Mira untuk saluran Astro Ria.
Sementara itu, bersempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Sharnaaz berkata dia akan pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang untuk mengundi.
"Ini merupakan kali kedua saya mengundi di DUN (Dewan Undangan Negeri) Datuk Keramat, bawah parlimen Jelutong. Ini adalah satu kewajipan kita sebagai rakyat," tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Sharnaaz akan muncul dengan filem Gila Baby arahan Khabir Bhatia dan Mukhlis di TV2.

Yana Samsudin cuti sebulan


Yana Samsudin
Yana Samsudin
AKTRES yang tidak asing lagi dalam lakonan layar perak, Yana Samsudin, memaklumkan dia bakal bercuti selama sebulan untuk berehat.

Menurutnya, keputusan itu di ambil selepas menyedari jadual kariernya yang padat dan telah memberi kesan terhadap kehidupan peribadinya.

"Dalam masa beberapa tahun ini memang saya terlalu sibuk dengan bidang lakonan sehinggakan tidak ada masa untuk diluangkan bersama keluarga, diri sendiri dan teman-teman lain.

"Dalam masa cuti inilah saya boleh menghadiri majlis-majlis tertentu dan beri perhatian terhadap kehidupan saya," katanya.

Yana berkata, peluang bercuti selama sebulan itu akan digunakan untuk bercuti ke luar negara selain menghabiskan masa di kampung halamannya di Yong Peng, Johor.

Daus ceburi bidang perniagaan


Daus
Daus
SEBAGAI persediaan untuk masa hadapan, penyanyi Daus yang merupakan bekas peserta program Akademi Fantasia musim ke-8 kini sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan menjual pakaian wanita dan kek menerusi label Dania Wardrobe & cake House.

Menurut Daus, perancangan untuk memulakan perniagaan seperti itu sudah lama dirancang tambahan pula sebelum ini dia juga merupakan graduan dalam jurusan perniagaan di Politeknik Kuching, Sarawak.

"Jika dilihat pergerakan karier nyanyian, saya akui ianya sedikit perlahan dan sebab itulah saya buat keputusan untuk wujudkan perniagaan ini.

"Segala ilmu selok-belok perniagaan yang ada saya cuba guna untuk majukan lagi perniagaan ini. Lagi pun jika difikirkan, sampai bila saya bertahan untuk menjadi artis dan harap usaha ini berhasil," katanya.