SELAMA enam tahun, komander Tentera Bersekutu yang mengetuai serangan ke atas Jepun, Jeneral Douglas MacArthur dari Amerika Syarikat (AS) tidak pernah jemu memerhatikan bandar raya Tokyo dari jendela pejabatnya.
Pada hari ini, buat kali pertama selepas 60 tahun peperangan berakhir, pejabat yang dimiliki sebuah syarikat insurans itu dibuka kepada orang ramai,
Ruang pejabat yang terletak di tingkat enam itu masih mengekalkan perabot asalnya seperti kerusi, meja dan kerusi malas yang pernah diduduki MacArthur ketika dia mempengerusikan kerajaan baharu yang bangkit dari abu Perang Dunia Kedua dahulu.
Dari pejabatnya, MacArthur pernah membayangkan transformasi Jepun - daripada sebuah negara yang melancarkan bahang peperangan ke seluruh Asia, menjadi sebuah negara aman dan akan muncul sebagai kuasa ekonomi dunia pada akhir abad ke-20.
Di situ juga, dia telah mengarahkan perlembagaan Jepun ditulis semula, sebagai usaha untuk mengurangkan kuasa maharaja dan statusnya sebagai 'dewa' kepada seorang tokoh biasa dalam sebuah negara demokrasi.
Ruang itu juga menjadi pusat saraf untuk reformasi, pemilihan hak menjadi pengundi dan perubahan undang-undang mengenai pendidikan, hak-hak pekerja, kesihatan awam dan isu-isu wanita.
Ketua eksekutif syarikat Dai-Ichi Life Insurance ketika itu terpaksa mengosongkan pejabatnya untuk kegunaan MacArthur ketika zaman tersebut. Hingga ke hari ini, pejabat itu terus dikekalkan seperti asal biarpun selepas tentera AS meninggalkan negara itu kerana memberi tumpuan terhadap keadaan di Semenanjung Korea.
Syarikat itu merancang untuk membukanya kepada orang ramai bagi memberi kesedaran kepada rakyat Jepun yang masih tidak mengetahui signifikan pejabat itu terhadap era selepas perang.
Melihat sejarah
"Ketika bekerja di syarikat ini, saya tidak tahu ia merupakan pejabat MacArthur. Kami hanya mengetahuinya sebaik tiba di pejabat ini," kata seorang kakitangan muda di syarikat itu.
Bilik yang diperbuat daripada kayu, dengan tingkap besar dan langsir lutsinar, membolehkan orang ramai melihat sejarah dan cara MacArthur bekerja. Misalnya, meja beliau tidak mempunyai laci kerana dia tidak gemar melihat kertas menimbun di dalamnya.
Sekali imbas, pejabat itu tampak mewah seperti istana yang menjadi kediaman Maharaja Hirohito di tengah-tengah bandar raya Tokyo, sartu-satunya kawasan yang terhindar daripada serangan udara besar-besaran Tentera Bersekutu.
Hakikatnya, bangunan itu kekal utuh sehingga ke hari ini. Pemilihan tapak itu membolehkan penghuninya menyedari kepentingan simbolisme di Jepun. Antara yang paling signifikan menggambarkannya ialah potret MacArthur berdiri di sebelah maharaja.
Jeneral AS, itu kelihatan santai dengan memakai pakaian tentera, berbeza dengan Hirohito yang agak rendah daripadanya, berdiri tegak sambil mengenakan suit lengkap dari Barat.
Sukar untuk menyatakan siapa yang lebih berkuasa tatkala melihat gambar itu. Bagaimanapun, MacArthur sememangnya mempunyai tugas yang berat sebagai dilantik pemerintah tertinggi tentera AS yang mengetuai serangan ke atas Jepun.
Jenayah perang
Tugasnya bermula sekitar tahun 1945, sebaik sahaja dia keluar dari pesawat dengan bergaya sambil menghisap paip. Berbeza pula ketika dia meninggalkan Jepun pada tahun 1951, tiada apa yang boleh diperkatakan untuk mengingatinya.
Ekonomi Jepun hampir musnah dengan rakyat yang kelaparan dan askarnya yang berselerakan di seluruh Asia. Kebanyakan bandar dan fasilitinya juga hampir lenyap akibat dibedil dengan bom.
Sebagai komander tertinggi, MacArthur mengetuai demobilisasi tentera imperialis dan menyelia siri perbicaraan jenayah perang yang bertujuan untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, maharaja tidak pernah dihadapkan ke muka pengadilan.
Hirohito turut melakukan transformasi dan menjadikan diri beliau ketua di negara yang cintakan keamanan. Beliau berjaya memainkan peranan penting sehingga kematiannya pada tahun 1989. Fungsi maharaja dan pentadbiran MacArthur terus menjadi legasi serta kontroversi di Jepun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: