Cover Mingguan Wanita
Muka depan majalah Mingguan Wanita edisi ‘bumper’ yang kini berada di pasaran.
Lisa Surihani dan Yusry
Aksi romantik pasangan Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani.

SELEPAS enam tahun beraya tanpa wanita bergelar isteri, kini Yusry Abdul Halim, 39 kembali meniti bahagia bersama insan yang dicintainya, Lisa Surihani Mohamed, 26. Ternyata pasangan romantik ini begitu teruja meraikan hari lebaran bersama.

Kebahagiaan jelas terpancar di wajah kedua-duanya apabila berbicara mengenai sambutan Aidilfitri pertama mereka selepas disatukan.

Lebih istimewa, pasangan sama cantik dan sama padan ini bakal menyambut bulan mulia di kediaman baru mereka yang terletak di Kajang Country Height.

“Saya bersyukur dan gembira dengan apa yang dimiliki hari ini. Kehadiran Lisa amat bermakna dalam hidup saya. Dia wanita yang amat istimewa, bersamanya saya rasa bahagia.

“Alhamdulillah, sepanjang enam bulan berkahwin kami tidak pernah bergaduh. Kami dapat menyesuaikan diri dengan begitu baik. Saya dan Lisa ada keserasian. Sejak mula kenal sehingga menjalin hubungan istimewa, kasih sayang kepadanya semakin subur. Saya berdoa agar rumah tangga kami bahagia sehingga ke akhir hayat,” ujar anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini.

Sebagai suami, kata Yusry dia berusaha memberikan yang terbaik buat Lisa. Selain kasih sayang yang tidak berbelah lagi, dia mahu memastikan permaisurinya hidup selesa di kediaman baru mereka.

“Sebenarnya saya sudah lama merancang membina kediaman yang selesa untuk keluarga saya, syukur impian saya akhirnya menjadi kenyataan. Ketika bercinta dengan Lisa, rumah ini dalam proses pembinaan. Saya ada bertanya tentang rumah idamannya tapi Lisa hanya mendiamkan diri. Mungkin dia segan maklumlah ketika itu kami masih belum berkahwin.

“Saya teruskan perancangan membina rumah mengikut cita rasa saya. Rumah ini mempunyai nilai sentimental buat saya kerana ia adalah rekaan saya sendiri khas buat insan yang dicintai. Saya gembira Lisa suka dengan rekaan dan dekorasi kediaman kami yang berkonsep kontemporari. Cita rasa kami sama lantaran mudah untuk kami menata rias kediaman ini.

“Saya mahu meniti hari bahagia bersama Lisa dan membina keluarga di kediaman ini. Semoga ia menjadi kediaman yang selesa dan sempurna untuk kami,” jelas pengarah filem Hikayat Merong Mahawangsa ini lagi.

Lisa pilih baju raya

Ditanya mengenai sambutan hari raya, kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dia menyambutnya secara sederhana. Malah pelakon, pengarah, penerbit, komposer dan penyanyi ini mengatakan dia tidak cerewet memilih baju raya mahupun juadah.

“Sejak dulu lagi saya seorang yang sederhana. Saya lebih selesa membeli baju raya di butik, kerana lebih banyak pilihan. Saya jarang menempah baju Melayu dengan pereka fesyen. Sebelum ini, saya sering membuat persiapan raya pada saat akhir. Saya beli sahaja baju yang berkenan di mata. Untuk juadah pagi raya pula, yang menjadi kemestian buat saya ialah air kopi yang dihidangkan bersama lemang,” kata Yusry.

Sementara itu, Lisa yang menggemari pulut kuning dan rendang ayam di pagi raya mengakui, dia seorang yang teliti dalam membuat persiapan Syawal. Katanya tahun ini, dia dan Yusry memilih rona pastel sebagai tema baju raya. Baginya warna-warna lembut sebegini sangat sesuai untuk sambutan hari raya.

“Yusry serahkan soal tema warna baju raya kepada saya, dia tidak kisah kerana cita rasa kami tidak jauh beza. Seperti tahun-tahun terdahulu, saya menyiapkan lima hingga tujuh pasang baju raya. Bukan sahaja untuk menyambut hari lebaran, malah baju ini juga saya gayakan untuk majlis rumah terbuka,” ujar Lisa yang tidak menafikan sukar mengehadkan aktiviti lakonan memandangkan jadualnya cukup padat sehingga ke penghujung Ramadan. Pun begitu, dia sedaya upaya akan mencuri masa untuk dihabiskan bersama suami dan juga ahli keluarga yang lain.


Terharu dijaga isteri ketika sakit

Berbicara mengenai lokasi sambutan Syawal mereka, Yusry mahupun Lisa tidak mempunyai masalah memandangkan kediaman keluarga masing-masing berdekatan. Jika mengikut tradisi keluarga Yusry, menjelang Aidilfitri, mereka sekeluarga akan meraikan hari mulia ini di kampung halaman yang terletak di Gopeng, Perak.

“Selepas sembahyang raya, kami sekeluarga akan bermaaf-maafan antara satu sama lain. Selepas itu barulah kami akan menziarahi rumah sanak saudara dan menghadiri majlis rumah terbuka . Walaupun tahun lepas, kami berdua belum sah bergelar suami isteri, tetapi kami sudah berkunjung ke rumah keluarga masing-masing untuk berkenalan dengan lebih rapat lagi.

“Bezanya tahun ini sambutannya lebih istimewa kerana saya sudah mempunyai isteri. Selain beraya dengan keluarga saya pastinya saya juga meraikan hari lebaran dengan keluarga mentua serta membawa Lisa bertemu dengan sanak-saudara kedua belah pihak.

“ Kebetulan kami berdua suka berkumpul ramai-ramai dan tidak membezakan keluarga masing-masing, sebaliknya mengambil berat dan melayan sama rata. Malah, kami juga tidak kisah beraya di rumah siapa dulu. Cuma saya berharap kediaman kami yang sedang dibina siap sepenuhnya dan bolehlah kami menyambut raya di rumah baru,” cerita Yusry yang gemar menonton wayang dan bersiar-siar dengan Lisa pada waktu terluang.

Dalam pada itu, ahli kumpulan KRU ini turut memanjat kesyukuran kepada Ilahi kerana dikurniakan isteri yang penyayang dan bertanggung jawab. Katanya, walaupun Lisa sibuk dengan jadual seni namun dia tidak pernah mengabaikan keluarga.

“Saya terharu dengan pengorbanan Lisa yang setia menjaga saya ketika saya mengalami konjunktivitis baru-baru ini. Keadaan saya bertambah serius sehinggakan Lisa terpaksa menghantar saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera. Rupa-rupanya saya alah kepada ubat.

“Dalam tempoh itu, Lisa menjaga saya dengan baik begitu juga dengan ahli keluarga yang lain. Malah, saya cukup terharu kerana dia sentiasa menghiburkan saya,” akui Yusry sambil menyifatkan isterinya itu juga seorang yang ceria dan tidak kuat merajuk.

“Selain itu, dia juga sangat pandai memasak terutama ayam masak pedas yang menjadi kegemaran saya. Malah, gelagatnya cukup mencuit hati. Satu yang saya perasan tentang tabiat Lisa dia pandai mengajuk orang lain. Bayangkan, dia akan ‘study’ karakter dan kemudian cuba meniru gaya dan aksi orang tersebut,” seloroh Yusry.

Mahu anak sulung lelaki

Baik Yusry mahupun Lisa tatkala ditanya mengenai cahaya mata, masing-masing tidak menolak andai diberi rezeki dalam masa terdekat. Bahkan, Lisa sendiri sudah bersedia bergelar ibu dan menyerahkan kepada Yang Maha Esa untuk mengurniakan seberapa ramai zuriat.

“Saya dan Yusry tidak pernah berbincang berapa ramai anak yang kami inginkan kerana semuanya kami serahkan kepada rezeki. Cuma, kalau boleh untuk anak sulung saya mahu biarlah lelaki, mungkin kerana di kalangan adik-beradik saya empat daripadanya lelaki dan saya seorang perempuan.

“Jadi, sifat kepimpinan yang ditunjukkan oleh abang kepada kami adik-beradik membuatkan saya mahu anak lelaki tetapi segalanya saya serahkan kepada rezeki. Jika memperoleh anak perempuan sekalipun saya tetap bersyukur,” ujarnya yang masih meneruskan kegiatan seni memandangkan suami memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan.

“Dia tidak mengehadkan watak yang perlu saya pilih, sebaliknya menyerahkannya kepada saya asalkan pandai jaga diri, status dan batas-batas sebagai seorang isteri. Kalau diikutkan perancangan, saya teringin melakukan kerja-kerja belakang tabir dan selalu mengikut Yusry ke lokasi. Dia juga tidak kedekut ilmu untuk berkongsi pengetahuan tentang selok-belok penggambaran,” ujar Pemenang Anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21.

Lebih banyak kisah menarik, dapatkan Bumper MIngguan Wanita di pasaran sekarang. Anda juga boleh melayari www.mingguanwanita.com.my.