|
SERING mengalami sakit dan lenguh pada bahagian kaki membuatkan Muhamad Hazim Mohd. Badri, 29, mula berasa gelisah lebih-lebih lagi memiliki berat badan sebanyak 120 kilogram (kg).
Simptom tersebut yang mula dirasai sejak awal tahun ini menyebabkan dia mencuba sebuah produk minuman yang berharga RM600.
Cerita anak kelahiran Muar, Johor itu, dia yang menggunakan produk tersebut selama satu bulan akhirnya terpaksa berhenti meminumnya gara-gara harga yang begitu mahal.
Namun, usaha untuk mengurangkan berat badan tidak terhenti di situ sahaja sebaliknya dia mencari alternatif lain dengan melayari internet sehinggalah terjumpa blog penasihat pemakanan terkenal, Kevin Zahri.
Secara kebetulan, menerusi blog Kevin itu, dia terlihat iklan Cabaran Sihat Enam Minggu bersama Kevin anjuran majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd., iSihat, yang diadakan buat musim kedua.
Jaga bab makan
Tanpa berfikir panjang, kakitangan kerajaan itu terus menyahut cabaran tersebut dengan menghantar borang penyertaan.
Bertutur lanjut mengenai dilema memiliki fizikal yang gemuk, Muhamad Hazim bagaimanapun, mengakui dia tidak mengamalkan corak pemakanan yang sihat.
Pendek kata, tiada istilah pantang larang soal pengambilan pemakanan dalam kehidupan sehariannya itu.
Anak sulung daripada empat adik-beradik itu lebih gemar makan makanan bergoreng dan makanan segera.
“Boleh dikatakan sekali seminggu, saya akan makan makanan segera, manakala pada hari biasa dua pinggan nasi. Itu sudah lumrah sejak menuntut di universiti lagi,” katanya.
Begitupun, sejak awal tahun ini siswazah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak itu mula mengawal berat badannya dan berjaya mengurangkan sehingga 105kg.
Namun, baginya itu tidak mencukupi sehinggalah dia sanggup mengeluarkan kos sebanyak RM420 untuk menyertai Cabaran Sihat Enam Minggu bersama Kevin yang telah diadakan pada 2 Jun hingga 14 Julai lalu.
Muhamad Hazim antara 30 peserta yang terpilih dalam program berkenaan. Selama enam minggu bersama Kevin, percaya atau tidak dia akhirnya berjaya menurunkan sebanyak 15kg lagi berat badannya.
Kejayaannya itu sekali gus membolehkan dia dinobatkan sebagai juara Cabaran Sihat Enam Minggu bersama iSihat dan Kevin Zahri dengan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan hadiah sampingan.
Berkongsi mengenai kejayaannya itu, dia hanya mengamalkan petua yang diberikan Kevin seterusnya mengawal nafsu makan. Akui Muhamad Hazim, isterinya, Nazatul Syima Idrus, 29, banyak membantu dalam soal penyediaan makanan.
Menyentuh mengenai tip, dia memberitahu, Kevin mencadangkan kepada kesemua peserta supaya mengambil setiap hidangan yang mengandungi protein seperti ikan, ayam dan telur dan sayur-sayuran.
“Pada waktu tengah hari, beliau menyarankan kepada saya supaya mengambil segenggam nasi, lauk ikan dan sayur-sayuran. Bagi sarapan pagi, saya perlu mengambil makanan seperti bijirin, manakala makan malam pula sup sayur, ikan atau ayam goreng,” ujarnya.
Menurut Muhamad Hazim lagi, para peserta juga dinasihatkan mengambil makanan ringan yang mengandungi nutrisi yang baik seperti walnut sebelum lapar bagi mengelakkan makan dalam jumlah yang banyak kemudiannya.
Tingkat keyakinan diri
Sementara itu, Asiqah Yadiy Jamaludin, 24, yang menduduki tempat kedua pula mengamalkan sistem sukat kandungan makanan yang diambilnya pada setiap hari.
Bagi pemegang Sarjana Pentadbiran Sains dan Pengajian Polisi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, pengiraan kalori sejak memasuki cabaran berkenaan akhirnya membantu dia mencapai kedudukan berkenaan.
Sejak memasuki penyertaan berkenaan, cerita anak kelahiran Segamat, Johor itu, dia akan mengamalkan konsep berkenaan untuk mengurangkan berat badan dari 93kg ke 80kg.
Anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu memberitahu, dia mahu mengubah fizikalnya kerana akan memasuki alam pekerjaan tidak lama lagi.
Justeru, dia mengakui dengan penampilannya itu dia berasa kurang keyakinan diri. Dia tidak mahu kekurangan fizikalnya itu menjejaskan imej apabila melangkah masuk ke dunia pekerjaan.
Oleh itu, dia yang berazam mahu menurunkan berat badan dengan cara yang berkesan akhirnya telah berjaya menguruskan diri dalam tempoh enam minggu sekali gus membawa pulang RM2,000 berserta hadiah sampingan.
“Saya akan terus memperaktikkan segala petua Kevin dan apa yang penting mengamalkan pemakanan berdasarkan piramid makanan,” jelasnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: