|
SEJAK mula diperkenalkan pada tahun 2010, bufet Ramadan Rasa Nusantara di Shah Alam Convention Centre (SACC) semakin popular dan mendapat perhatian ramai pihak.
Ia menampilkan sajian istimewa dari beberapa negara termasuk Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei selain Malaysia untuk dinikmati pengunjung ketika tibanya bulan mulia itu.
Antara hidangan signatur yang sentiasa dinanti ialah kambing kebuli, iaitu masakan kambing berempah yang menggunakan resipi dari negara jiran tersebut.
Diketuai oleh Eksekutif Sous Chef Mohamad Jamili Napiah, bufet Rasa Nusantara menampilkan lebih 150 menu setiap hari. Antaranya rojak Singapura, bakso, tom yam, variasi kerabu, nasi goreng Filipina, ayam adaboo dan rendang ayam Brunei.
“Variasi menu Nusantara yang kami tawarkan terutama resipi kambing kebuli berjaya menarik perhatian pengunjung dan kebanyakan daripada mereka pasti akan datang kembali untuk menikmati iftar di SACC pada tahun berikutnya,” jelas Mohamad Jamili yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang kulinari.
Selain itu, pengunjung juga boleh mencuba aneka kek dan pastri air tangan Chef Shuhaida Othman yang pasti menggamit selera terutama kek red velvet, durian pandan dan palova.
Dalam pada itu, Pengarah Operasi SACC, Nasrudin Abu Bakar berkata, setiap tahun pihaknya sentiasa menerima sambutan yang amat menggalakkan.
“Faktor harga yang berpatutan dan kemudahan yang selesa termasuk lot parkir yang banyak dan surau untuk solat Maghrib dan tarawih menjadikan SACC destinasi ideal untuk berbuka puasa,” ujarnya.
Bufet Rasa Nusantara SACC boleh memuatkan kira-kira 1,000 pengunjung pada satu-satu masa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: