Friday, July 27, 2012

Berjimat sediakan juadah berbuka




PADA bulan Ramadan, golongan wanita merupakan individu yang paling sibuk memikirkan mengenai hidangan berbuka puasa.

Bahkan, kebanyakan wanita tidak mementingkan selera mereka ketika memikirkan menu berbuka, sebaliknya apa yang berada di minda ialah memenuhi keinginan keluarga.

Namun, satu perkara yang perlu diketahui ialah memasak tidak termasuk dalam tanggungjawab seorang isteri. Jika tidak memasak, isteri tidak bersalah. Tanggungjawab yang diletakkan di bahu isteri hanyalah satu amalan tradisi.

Pada zaman dahulu, golongan lelaki keluar mencari rezeki, sementara wanita yang berada di rumah melakukan kerja-kerja mengurus rumah tangga termasuk memasak. Adakalanya, wanita juga keluar membantu lelaki sama ada suami, ayah atau saudara kandung lelaki keluar menambah pendapatan keluarga.

Menurut syariat Islam, tugas mengurus rumah tangga termasuk memasak ialah tanggungjawab bersama suami dan isteri.

Diceritakan daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya, "Aku bertanya kepada Aisyah: "Apakah Nabi SAW kerjakan di rumah? Aisyah menjawab: "Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang Baginda pun keluar untuk sembahyang (ke masjid)" - hadis riwayat Al-Bukhari.

Hadis ini ialah bukti bahawa suami sewajarnya membantu para isteri melakukan kerja-kerja di rumah dan di dapur. Isteri tidak diwajibkan memasak. Namun, jika disuruh suami maka si isteri wajib memasak dengan syarat suaminya menyediakan bahan-bahan yang diperlukan atau memberi wang.

Andai disuruh sahaja tanpa menyediakan keperluannya atau tidak memberikan wang yang perlu, isteri berhak untuk tidak memasak. Bahkan, tidak perlu membeli hidangan untuk suami kerana tanggungjawab menyediakan makanan bukan tertanggung di atas bahu isteri.

Jumlah keluarga

Seorang sahabat bernama Hakim bin Muawiyyah bin Hidah al-Qusyairi RA pernah mendengar ayahnya berkata, bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah SAW bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian." Hadis riwayat Abu Daud.

Ramai beranggapan, memasak lebih jimat berbanding membeli makanan yang sudah siap.

Hakikatnya, isu jimat ini bergantung kepada bentuk hidangan yang dipilih dan jumlah ahli keluarga. Sebagai contoh, jika hanya sepasang suami isteri tanpa anak-anak dan kedua-duanya ingin berbuka dengan nasi tomato, membeli lebih jimat berbanding masak sendiri.

Cuba senaraikan bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan hidangan dua pinggan nasi tomato berserta ayam masak merah dan acar.

Saya yakin jumlahnya hampir RM30 berbanding membeli dua bungkus nasi tomato siap masak yang dijual pada harga RM8. Jika anda mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai, memasak memang menjimatkan. Namun, jika ingin membeli hidangan siap masak di pasar Ramadan, berhati-hatilah. Pastikan tukang masaknya menunaikan solat.

SUAMI sewajarnya menghargai pengorbanan isteri memasak untuk keluarga.


Kesan terlalu buruk jika anda makan daripada air tangan orang yang tidak solat. Pada zaman Rasulullah SAW, diriwayatkan ada seorang lelaki bertemu Rasulullah dan mengkhabarkan dia telah usahakan sesuatu dan jika perkara tersebut berhasil, dia bernazar akan minum air kencing anjing hitam.

Dengan kuasa Allah, perkara yang diusahakan berhasil dan lelaki tadi bingung. Apakah yang perlu dilakukan dengan nazarnya? Jawab Rasulullah: "Kamu carilah rumah yang penghuninya tidak solat dan tadahlah air hujan yang turun dari bumbung rumah orang tersebut kerana air yang ditadah menyamai air kencing anjing hitam." Itu baru air dari bumbung rumah, bagaimana pula dengan air tangan orang yang tidak solat?

Saya tidak katakan hukum memakan hidangan yang dimasak oleh orang tidak solat ialah haram. Sememangnya sesuatu yang halal itu akan tetap halal selagi tidak dicampur dengan yang haram walau dimasak oleh orang bukan Islam.

Cuma kesucian makanan tersebut menjadi fokus utama. Jika kita inginkan yang baik-baik saja untuk memantapkan sahsiah dan keperibadian kita, kita juga perlu berhati-hati mengenai kesucian makanan yang disuap ke dalam mulut kita.

Islam itu mudah dan memudahkan tetapi tidak bermakna kita boleh ambil mudah. Tidak perlulah pula mengintip setiap tukang masak di restoran atau gerai untuk mengetahui solat atau tidak. Yakin dengan penampilannya, insya-Allah, Dia akan membantu anda.

Hidangan berbuka

Selain isteri, suami dan anak-anak perlu bergandingan dalam proses menyediakan hidangan berbuka puasa.

Amalkan mesyuarat ahli keluarga untuk membincangkan menu hidangan berbuka puasa dan sahur. Bukan sahaja membantu memberi cadangan tetapi juga membantu dalam proses penyediaan dan memasak.

Dilema isteri atau ibu yang bekerja ialah kesuntukan masa. Sebaik-baiknya rancang menu yang bakal disediakan. Anda mungkin boleh menyediakan hidangan tersebut separuh masak terlebih dahulu selepas bersahur, sebelum ke tempat kerja.

Tidak perlulah sediakan hidangan hebat setiap hari. Memadai hidangan yang mudah dan cepat disediakan. Masa hujung minggu, barulah sediakan hidangan kelas lima bintang.

Para suami pula jangan cepat mencemuh atau memperlekehkan masakan isteri. Ingat! Isteri juga berpuasa dan penat.

Hargailah kepenatan dan pengorbanan isteri menyediakan hidangan terbaik buat anda sekeluarga. Usahakan untuk menyemarakkan kasih sayang suami isteri ketika Ramadan ini dengan bertindak seperti Wonderpets: "Apa yang penting, kerjasama!"

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: