KECINTAAN yang tinggi terhadap budaya tradisi, sekumpulan belia menganjurkan satu festival muzik dan tarian yang dikenali sebagai MADFest. Festival itu merupakan salah satu cara mendekatkan orang ramai dengan kebudayaan tempatan dan luar negara secara percuma.
Festival yang diadakan di Auditorium Sivik, Petaling Jaya, Selangor itu akan menjemput beberapa kumpulan kebudayaan untuk mempersembahkan persembahan mereka kepada para tetamu yang terdiri daripada anak-anak yatim dari beberapa buah rumah kebajikan di sekitar Petaling Jaya.
“Festival ini diadakan rentetan daripada kejayaan MADFest pada tahun 2010. Kami menerima permintaan untuk mengulangi festival ini kerana ia bukan sekadar acara hiburan, tetapi memberi peluang kepada pengunjung mengenali seni daripada latar berbeza,” kata pengarah projek MADFest, Kihraan Shiva, 21.
MADFest yang dijadualkan diadakan pada 30 Jun ini bermula pada pukul 5 petang hingga 8 malam. Acara itu menyenaraikan aktiviti seni tari dan muzik seperti Okestra The Regal mewakili budaya Cina, Nadi Tradisi (Melayu), Mehr (Parsi) dan Apna Punjab Bhangra Malaysia (Punjabi).
|
|
Pada masa yang sama, tarian Orang Asli kaum Mah Meri, AUCapoeira (Brazil), tarian Bharathanatyam (India) dan Qawwali oleh Persatuan Penganut Viswa Nirmala Dharma Malaysia.
“Kami masih membuka peluang jika ada badan kebudayaan atau tarian dan muzik yang mahu mengembil peluang dalam MADFest,” kata Kihraan.
Pihaknya amat mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk memenuhi auditorium yang boleh memuatkan 800 orang pengunjung itu pada satu-satu masa.
“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong festival ini termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Yayasan Vijayaratnam, Persatuan Pure Life dan Nur Damai melalui pelbagai sumbangan,” kata Kihraan.
Untuk maklumat lanjut mengenai festival itu, sila hubungi pihak jawatankuasa MADFest melalui e-mel madfest2012@gmail.com atau laman sosial MADFest di Facebook atau hubungi talian 016-2057 226 (Sanjeavan).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: