|
SEJAK berada di tingkatan tiga, Afiqah Abdul Rashid, 23, mula berjinak-jinak menghasilkan cerita-cerita pendek kategori komedi dan ngeri untuk mengisi masa lapangnya. Pada masa yang sama, beliau juga banyak membaca puluhan novel bersiri antarabangsa hasil karya penulis dari Amerika, R.L. Stine iaitu Goosebumps.
Kecintaannya terhadap bidang penulisan semakin mekar apabila Afiqah melanjutkan pelajaran dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka pada tahun 2006.
Menurutnya, bidang yang diceburi ketika berada di menara gading itu turut menuntut beliau untuk lebih kreatif dalam bidang penulisan.
“Ketika itu saya telah menghasilkan puluhan cerita pendek dalam bahasa Inggeris.
“Saya juga mula mencuba untuk menulis cerita-cerita cinta setelah membaca novel Sweet Valley hasil karya Francine Pascal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengikuti arus perkembangan teknologi, Afiqah turut menulis beberapa cerita pendek dan novel di laman blog miliknya tanpa mendedahkan nama beliau. Hasil karyanya itu turut mendapat perhatian penggemar-penggemar cerita pendek dan novel dalam negara.
Segala-galanya berubah setelah beliau menjalani latihan industri di sebuah syarikat penerbitan buku, Jemari Seni Sdn. Bhd. sebagai pereka grafik pada semester terakhir peringkat sarjana muda pada penghujung tahun 2010.
Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Penerbitan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), kampus Shah Alam itu, ketika menjalani latihan industri di syarikat tersebut, beliau telah diberi peluang untuk menerbitkan novelnya sendiri. Tanpa berfikir panjang, Afiqah terus menerima tawaran tersebut dan beranggapan ia merupakan rezeki untuk mengembangkan bakatnya sejak kecil.
“Pada masa itu, saya telah menghasilkan sebuah novel kanak-kanak. Namun, masih belum ada tajuk. Pada saat-saat akhir novel tersebut mahu dicetak, barulah saya memberi tajuk Alahai Jijah,” jelas anak kelahiran Kuantan, Pahang itu.
Setelah setahun menceburi bidang penulisan secara profesional, Afiqah kini sudah mempunyai tiga naskhah novel kanak-kanak iaitu Alahai Jijah, Beruno dan Kerana Basikal Biru.
Imaginasi
Menurut Afiqah, setiap novelnya itu mempunyai kekuatan yang tersendiri dengan jalan cerita yang berbeza-beza.
“Alahai Jijah mengisahkan seorang kanak-kanak berumur 10 tahun yang sering didera oleh ibu dan kakak tirinya. Beruno pula berkisar tentang imaginasi keadaan sebuah kampung yang menjalankan kegiatan makan orang atau kanibal, manakala karya terbaharu saya yang bertajuk, Kerana Basikal Biru pula menceritakan kisah misteri anak patung beruang putih yang tiba-tiba boleh berkata-kata dan ketawa.
“Setiap karya saya mempunyai persamaan dengan kehidupan dan imaginasi yang sering bermain-main dalam fikiran saya sendiri,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai penggunaan namanya, Afiqah Abdul Rashid yang diterbalikkan menjadi Dihsar Lubda Haqifa sebagai nama pena, beliau memberitahu penggunaan nama tersebut merupakan satu identiti yang dicipta berbeza dengan dirinya.
“Saya sering rasa takut apabila dikritik. Saya seorang yang mudah tertekan sekiranya orang lain mengkritik hasil karya saya dan perasaan tersebut juga boleh menyebabkan saya berhenti menulis.
“Dengan adanya identiti Dihsar Lubda Haqifa, secara tidak langsung perhatian hanya tertumpu kepada identiti tersebut dan saya juga tidak akan merasa kecewa sekiranya dikritik atau gembira kerana menerima pujian.
“Saya hanya mahu menjadi penulis yang bebas menghasilkan karya-karya terbaik untuk bacaan kanak-kanak mahupun golongan dewasa,” kata pereka grafik sepenuh masa di syarikat penerbitan dan pengedaran JS Adiwarna Sdn. Bhd. di Bandar Baru Bangi, Selangor itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: