Saturday, June 30, 2012

Neelofa Boleh Terima Maaf Anzalna Tapi Bersyarat

Neelofa bersedia memaafkan Anzalna dengan syarat-syarat tertentu.

PETALING JAYA: Pelakon jelita Neelofa yang kini hangat "berperang" dengan seorang lagi artis tempatan bernama Anzalna Nasir bersedia menerima permohonan maaf secara terbuka daripada bintang baru itu tetapi dengan beberapa syarat.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 23, berkata, dia sudah menghantar sepucuk surat melalui Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi pada Jumaat yang antara lain meminta Anzalna, 24, memenuhi syarat-syarat berkenaan.

"Saya bersedia menerima permohonan maaf terbuka daripada Anzalna kerana kenyataan fitnahnya terhadap saya. Namun sebelum itu, dia perlu menandatangani sepucuk surat yang menyatakan persetujuan terhadap beberapa syarat yang saya tetapkan.

"Surat itu sudah saya serahkan kepada Presiden Seniman, Zed Zaidi pada hari ini (Jumaat). Saya merancang untuk mengadakan sidang media mengenai isu ini pada Ahad," katanya secara eksklusif kepada mStar Online.

Konflik antara dua aktres itu tercetus ekoran kenyataan Anzalna yang dianggap sebagai satu fitnah oleh Neelofa dalam artikel bertajuk "Anzalna Bidas Neelofa" menerusi akhbar Berita Minggu bertarikh 10 Jun lalu.

Susulan itu, dalam sidang media khas pada 13 Jun, Neelofa melalui peguamnya Ahmad Hidayat Md Nor dan Mohd Irwan Mohd Mubarak telah mengeluarkan notis yang menuntut Anzalna mengemukakan bukti dalam tempoh tujuh hari atas kenyataan yang dikeluarkannya.

Anzalna

Baru-baru ini, Anzalna yang gagal mengemukakan bukti selepas tempoh itu berkata kepada media, dia bersedia memohon maaf secara terbuka kepada Neelofa.

Sementara itu Neelofa berkata, beberapa syarat yang ditetapkan kepada Anzalna dalam surat tersebut adalah sebagai jaminan agar aktres itu memohon maaf secara ikhlas dan bukan kerana terpaksa.

"Saya tidak boleh dedahkan secara terperinci butiran surat itu atas nasihat peguam tetapi antara syaratnya dia tidak boleh menyebut nama saya dalam mana-mana kenyataan di media selepas ini.

"Saya mahu perkara ini berlaku secara ringkas agar dia memohon maaf secara terbuka dengan ikhlas dan belajar sesuatu daripada kejadian ini. Yang penting, nama dan maruah saya dibersihkan semula," katanya.

Ditanya pandangannya mengenai kenyataan seorang lagi bintang baru iaitu Tasha Shilla terhadap dirinya sebelum ini, Neelofa berkata dia tidak berkecil hati dan menghormati pendapat aktres itu.

"Saya tidak mempunyai sebarang isu dengan Tasha. Saya tidak terasa hati kerana dia juga ada hak untuk menyuarakan pendapatnya.

"Malah saya menghormati pendekatannya yang berdiam diri selepas pelbagai kontroversi antara kami bertiga mendapat liputan meluas di media," katanya.

Presiden Seniman Zed Zaidi yang dihubungi mStar Online memberitahu yang beliau telah menerima surat berkenaan dan akan berbincang dengan Anzalna sama ada dia bersetuju atau tidak dengan syarat-syarat yang diberikan itu.

Akma Selamat Bergelar Isteri Farih Hamshi

Akma dan Farih selamat dinikahkan dengan sekali lafaz pada Sabtu.

KUALA LUMPUR: Bintang program realiti Akademi Fantasia iaitu Asiahtunakma Abdullah atau Akma, 27, sah bergelar isteri kepada Farih Hamshi Mohamad Fatmi, 28, dengan sekali lafaz.

Majlis pernikahan mereka diadakan di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, Sabtu.

Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa Akma iaitu Abdullah Abdul Rahim di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohammad.

Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 300 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga pengantin kedua-dua belah pihak dan wakil media.

Mempelai bergambar kenangan bersama ibu bapa masing-masing.

Pengantin perempuan menerima RM 300 sebagai mas kahwin dan RM15,000 sebagai wang hantaran daripada pihak lelaki.

Dalam pada itu, pihak perempuan menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki dan dibalas sembilan dulang.

Selain sebentuk cincin, antara barang hantaran lain yang diberikan Farih kepada Akma termasuklah jam tangan, tas tangan, kek, set penjagaan diri dan kain.

Manakala Akma membalas dengan sebentuk cincin, kasut, kemeja, set wangian, kek, buah-buahan dan kaca mata berserta pen.

Majlis resepsi disebelah pihak perempuan turut diadakan di tempat sama selepas majlis akad nikah.

Pasangan itu bakal diraikan pula disebelah pihak lelaki pada 3 Julai ini di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) pada pukul 8 malam.

Jumpa Di Mekah Petanda Baik Hubungan Irma Hasmie & Redza

Irma dikucup oleh suaminya Redza Syah Azmeer selepas majlis pernikahan mereka, petang Jumaat.

PETALING JAYA: Suami kepada pelakon dan pengacara, Irma Hasmie iaitu Redza Syah Azmeer Mohd Redzuan menyifatkan kehadiran isterinya itu diumpamakan kurniaan Allah yang begitu istimewa.

Redza, 31, berkata, dia sangat bersyukur telah dipertemukan dengan Irma, 30, di kota Mekah ketika menunaikan umrah lalu dan yakin pilihan tersebut merupakan jodoh buatnya dunia dan akhirat.

"Walaupun perkenalan kami cukup singkat tetapi saya yakin dengan jodoh dan ketentuan Allah yang mempertemukan kami di kota suci, Mekah.

"Tambahan pula pertemuan kami di tempat yang paling mulia dan ia adalah petanda baik buat kami berdua.

"Alhamdulillahlah perjalanan untuk ke alam perkahwinan ini dipermudahkan," ujarnya ketika ditemui selepas selesai majlis akad nikah di Dewan Persidangan, Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini, Jumaat.

Irma dan Redza telah dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Ibrahim Othman di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Putrajaya, Mohd Redza Ahmad dengan sekali lafaz.

Pihak perempuan menerima tiga dinar emas sebagai mas kahwin bernilai RM2,220 sementara wang hantaran dirahsiakan jumlahnya daripada pengetahuan umum.

Redza Syah Azmeer menyarungkan cincin ke jari manis isterinya, Irma.

Dalam pada itu, Irma ketika ditemui berkata, dia bersyukur dengan perkahwinan tersebut dan tidak sabar untuk memulakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.

Menurut Irma, sifat Redza yang bertanggungjawab, jujur dan penuh dengan kasih sayang telah membuatkan dia jatuh hati kepada lelaki itu.

"Seperti mana kata suami, ketika di Mekah semuanya kelihatan mudah dan pintu hati saya benar-benar terbuka untuk menerima suami," katanya.

Tambah Irma, dia akan memastikan jadual kerjanya selepas ini akan lebih teratur supaya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.

Pasangan tersebut memberitahu amat gembira jika Allah mengurniakan cahaya mata dengan cepat untuk mereka.

Dalam perkembangan lain, Irma berkata mereka masih belum menetapkan lokasi berbulan madu mereka dan berharap dapat mengerjakan haji atau umrah bersama-sama sebagai suami isteri.

Redza yang bertugas sebagai Pengurus Akaun di Terrapixel Sdn Bhd berkata, dia tidak akan menghalang karier Irma asalkan dia tahu batas-batas yang perlu dijaga sebagai seorang isteri.

"Tiada apa yang akan berubah kerana saya izinkan isteri untuk terus dengan kerjayanya sebagai pelakon dan pengacara dan yakin di tahu batasan yang perlu dijaga,” jelasnya yang mengendalikan syarikat berkenaan bersama keluarga.

Tom Cruise-Katie Holmes Bercerai

Tom Cruise dan Katie Holmes.

PASANGAN popular Hollywood Tom Cruise dan Katie Holmes dilaporkan bakal bercerai selepas lima tahun berkahwin.

Daily Mail melaporkan, Holmes telah menfailkan cerai terhadap suaminya melalui peguamnya Jonathan Wolfe.

Ditanya mengenai punca keretakan rumah tangga pasangan itu, Wolfe memberitahu majalah People masalah yang dihadapi pasangan itu sangat peribadi.

"Baik Holmes mahupun Cruise masalah yang berlaku sangat peribadi," ujarnya.

Wolfe memberitahu, anak pasangan itu iaitu Suri akan berada di bawah pengawasan Holmes buat masa ini.

"Dia sangat sayangkan Suri dan sering bersama anaknya itu dan buat masa ini pengawasan anak mereka diberi kepada Holmes," katanya.

Pasangan itu berkahwin pada tahun 2008 dan akan menjadi penceraian ketiga bagi Cruise selepas gagal mempertahankan rumah tangganya dengan pelakon Nicole Kidman dan Mimi Rogers.

Filem Tak Laku Tidak Gagalkan Semangat Tomok

Tomok.

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail tidak pernah menyesal terlibat dalam filem pertamanya iaitu Mantera (MAN Transformable Exo-Robotic Armor) yang gagal mendapat sambutan daripada penonton.

Tomok, 28, berkata, walaupun kutipan filem itu hanya mencatat RM350 ribu ia tidak bermakna Mantera arahan Mohd Aliyar Ali Kuthy itu gagal dan lakonannya kurang bermutu.

"Mungkin filem itu gagal mendapat tempat di hati penonton tetapi sebagai seorang pelakon saya telah melakukan yang terbaik untuk Mantera dan mungkin belum rezeki nama saya menyerlah dalam bidang lakonan," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Tomok, dia cukup bertuah kerana dapat bekerjasama dengan ramai individu yang berpengalaman dalam bidang perfileman dan ada di antara mereka dari luar negara.

"Jika dilihat dari aspek teknikal dan penerbitan filem ini ia sebenarnya ia bukan mudah dan memerlukan kemahiran pakar. Saya bertuah dapat bekerja dengan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Tomok berkata, walaupun filem itu menerima pelbagai kritikan tetapi dia bersyukur apabila lakonannya mendapat ulasan baik dan itu telah cukup membuatkannya gembira.

Tomok bagaimanapun memberitahu, pujian itu tidak menjadikannya bangga diri tetapi menjadikannya sebagai satu pembelajaran supaya lakonannya akan bertambah baik pada masa akan datang

"Masa menerima tawaran Mantera saya sangat kurang dengan ilmu lakonan dan ia adalah sebagai salah satu percubaan berani saya dan Alhamdulillahlah ada pihak yang memuji lakonan saya.

"Jika dikritik pun saya tetap terima kerana sedar untuk berjaya kita perlu mengharungi kesusahan terlebih dahulu dan ia akan menjadi pemangkin semangat buat diri saya," katanya.

Sementara itu, Tomok berkata, dia akan terus berlakon jika ada tawaran selepas ini kerana ia memberi kepuasan berbeza berbanding nyanyian.

"Saya mula selesa bergelar berlakon kerana ia memberi kepuasan berbeza. Namun itu tidak bererti saya akan meninggalkan dunia nyanyian kerana kedua-dua bidang itu boleh berjalan seiring," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tomok menjelaskan dia berdebar menunggu reaksi penonton terhadap filem keduanya iaitu Istanbul Aku Datang gandingannya bersama Lisa Surihani dan Beto Khusyairi yang akan masuk panggung akhir tahun ini.

Anggun Mengaku Tidak Menyanyi Secara 'Live'

Anggun.

PENYANYI antarabangsa, Anggun tidak malu untuk mengakui telah menyanyi secara 'miming' iaitu sekadar menggerakkan mulut mengikut rentak lagu semasa persembahannya di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Anggun yang menyampaikan dua buah lagu iaitu Shine dan Stronger membuat pengakuan itu secara terbuka apabila perbuatan tersebut dapat diketahui oleh penonton.

"Ya tadi memang saya tidak menyanyi 'live'," ujarnya terbuka.

Anggun yang mempertahankan tindakannya itu berkata, perkara tersebut bukan sesuatu yang pelik kerana ramai penyanyi antarabangsa lain turut berbuat demikian.

"Mengapa perlu hairan sebab banyak penyanyi seperti Celine Dion, Britney Spears dan Madonna juga kadang-kadang tidak menyanyi secara 'live'," katanya.

Katy Perry Keliru Dalam Berfesyen

Katy Perry

LONDON: Penyanyi Katy Perry berkata kecenderungannya tampil dengan pelbagai imej adalah dipengaruhi oleh pemikiran yang bercelaru kerana masalah personaliti yang terbahagi dua.

“Selera dan naluri berfesyen dalam diri saya sentiasa berubah-ubah dan berkembang dari masa ke semasa,” katanya seperti dipetik laman femalefirst.co.uk.

Katanya, dia sering memilih fesyen yang ingin digayakan mengikut pemikirannya pada satu-satu waktu. Jika fesyen itu membabitkan banyak elemen ia menunjukkan mindanya sedang bercelaru.

“Pada waktu silam, selera fesyen saya cenderung kepada imej yang berani. Jika pakaian itu berwarna terang dan menonjol, maka ia lebih baik.

"Sebab itu saya amat menyukai pakaian rekaan Jean Charles de Castelbajac dan Jeremy Scott yang berani,” katanya lagi.

Bintang berusia 27 tahun itu berkata, dia adalah peminat tegar kepada penyanyi Madonna dan mengagumi usaha ratu pop itu sentiasa tampil dengan pelbagai imej baru.

Perry juga berharap dia dapat menuruti jejak langkah Madonna dalam muzik dan fesyen.

Wednesday, June 27, 2012

Kontroversi Rumah Tangga Raja Azmi & Jalani Sidek Berakhir Dengan Perceraian

Saat bahagia Raja Azmi dan suaminya sudah berkahir apabila mereka bercerai talak satu.

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek, 49, bercerai talak satu dengan isterinya, produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, petang Rabu.

Lafaz cerai itu dibuat di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin kira-kira pukul 3.25 petang mengikut Enekmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor, Nombor 2, tahun 2003.

Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tiada lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Raja Azmi yang berbaju kurung hitam berkata, keputusan itu sudah dibincangkan bersama anak-anak dan tiada kena-mengena dengan kehadiran orang ketiga.

"Perceraian ini adalah keputusan yang dicapai atas persetujuan kami sekeluarga. Anak-anak memahami dan menerimanya kerana ingin melihat saya dan Jalani gembira.

Raja Azmi menitiskan air mata selepas bercerai.

"Ia tiada kaitan dengan kehadiran orang ketiga tetapi demi mengembalikan maruah bekas suami yang dituduh dayus kerana pelbagai kontroversi yang pernah melanda rumah tangga kami sebelum ini," katanya yang bersedia menerima dugaan bergelar janda selepas ini.

Sementara itu, Jalani atau nama sebenarnya Mohamed Jalani Mohamad Sidek berkata, dia menceraikan Raja Azmi kerana mahu bersikap adil demi kebahagiaan wanita itu.

"Saya faham Raja Azmi menghadapi tekanan dengan pelbagai kontroversi yang timbul selama ini.

"Saya tidak berlaku adil jika terus hidup bersamanya sedangkan dia tidak bahagia. Atas sebab itu, saya berkorban dan ceraikan dia untuk kebaikan bersama. Baik dan buruk kami selama 28 tahun berkahwin biarlah menjadi kenangan buat kami.

"Yang penting, hubungan kami akan terus baik sebagai kawan demi anak-anak. Saya bahagia dengan pengorbanan ini," katanya.

Pasangan itu hadir ke mahkamah dengan ditemani anak kedua mereka Puteri Suaida,23.

Raja Azmi selaku plaintif diwakili peguam syarie Roslizam Rahim.

Dalam prosiding perceraian pada Rabu, kedua-dua pasangan tersebut bersetuju untuk menyelesaikan pembahagian harta sepencarian di luar mahkamah.

Raja Azmi yang juga penerbit filem ...Dalam Botol sebelum pernah didakwa berkhalwat dengan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim pada Ogos 2010 di Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini.

Bagaimanapun, mereka dibebaskan pada 19 Ogos tahun lalu oleh pihak mahkamah selepas setahun proses siasatan berlangsung.

Jailani juga pernah dihimpit kontroversi kononnya dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang ahli perniagaan berstatus janda.

Kedua-dua pasangan tersebut bernikah pada 23 Disember 1984. Selain Puteri Suaida, mereka turut dikurniakan dua lagi anak iaitu Puteri Suraya, 27, dan Megat Deli, 18.

Mereka juga memiliki seorang cucu berusia setahun iaitu Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya.

Sasha Saidin Dilihat Ambil Borang Fail Cerai

Sasha Saidin tenang ketika disoal mengenai tujuannya ke mahkamah syariah.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Sasha Saidin,36, dilihat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Selasa untuk mengambil borang bagi memfailkan perceraian.

Bekas ahli kumpulan Elite itu hadir mengenakan baju kurung hitam dipadankan dengan tudung berona sama ditemani ibunya, kira-kira pukul 10 pagi.

Ditanya mengenai tujuan ke mahkamah berkenaan, Sasha berkata, dia ingin menggunakan saluran mahkamah bagi menyelesaikan hal peribadi keluarga.

"Saya hadir ke sini bagi menyelesaikan hal peribadi. Selebihnya, saya enggan komen lebih lanjut.

"Diharap anda (pihak media) faham dengan permintaan saya. Ia sangat peribadi untuk dijelaskan," katanya.

Sasha yang turut ditanya adakah kehadirannya itu berkenaan masalahnya dengan suami iaitu Salyo Priyanto,37, dia bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak mengulas mengenai perkara itu tetapi bersedia memberi kerjasama kepada pihak media.

Sasha dan Salyo yang merupakan warganegara Indonesia telah berkahwin pada tahun 2007 dan dikurniakan seorang anak iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono, berusia tiga tahun.

Sebelum perkahwinan itu Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah empat tahun kemudian.

Rozita Anggap Tuduhan Bercinta Dengan Beego Mengarut

Rozita Che Wan

PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan enggan melayan dakwaan yang terus mengaitkan dirinya dengan aktor Beego dan menganggap segala tuduhan mengenai hubungan mereka adalah fitnah dan mengarut.

Aktres berusia 39 tahun itu dalam satu kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada mStar Online pada Selasa berkata, dia tidak akan memberikan sebarang komen kerana tidak mahu kontroversi itu berlanjutan.

"Saya malas hendak komen apa-apa jika ia berkaitan gosip dengan Beego. Semuanya (dakwaan) mengarut.

"Lagi banyak saya beri komen lagi macam-macam versi (cerita) yang akan keluar," katanya.

Terbaru, satu pojok dalam sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu melaporkan Beego dilihat memandu kereta BMW milik Rozita ke lokasi penggambaran drama.

Mereka dikatakan menjalin hubungan selepas dilihat berdua-duaan di beberapa lokasi termasuk pusat hiburan dan beli-belah, baru-baru ini.

Ditanya mengenai dakwaan kononnya dia meluahkan perasaan terkilan dengan tuduhan itu di laman sosial miliknya, Rozita berkata tuduhan itu tidak berasas kerana dia tidak mempunyai apa-apa akaun laman sosial seperti didakwa.

"Saya tidak ada akaun Twitter atau Facebook (untuk meluahkan perasaan seperti didakwa). Cuma apa yang saya hendak cakap, dakwaan ini adalah mengarut," katanya.

Terbaru, ibu tunggal kepada dua anak lelaki ini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Miss Octopus untuk TV3 dan bakal terlibat dalam penggambaran telefilem Aku Janda Tak Kaya (Astro) selepas itu.

Rozita sebelum ini pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan Shahir dan Zain Saidin.

Tangisan dalam but kereta

MALANG...waris Alias Daniel dicari.
MALANG...waris Alias Daniel dicari.

JOHOR BAHRU: Seorang wanita tidak menyangka suara tangisan anak kecil didengarnya ketika memandu, membawa kepada penemuan seorang bayi lelaki yang diletak dalam but keretanya, dipercayai ketika dia singgah membeli makanan di sebuah restoran.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku jam 3.55 petang pada 27 Mei lalu ketika wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zura, 27, memandu seorang diri menuju ke Kangkar Pulai, di sini.

Menurutnya, ketika ditemui bayi yang sihat dan cukup sifat itu dipercayai baru berusia tidak sampai 20 hari dan kini umurnya mencecah dua bulan.

Manayi berkata, dalam laporannya kepada polis, Zura memaklumkan, pada mulanya dia menyangka bunyi tangisan bayi didengarnya datang daripada radio keretanya.


“Zura kemudian menutup radio keretanya, namun bunyi tangisan bayi berkenaan masih kedengaran. Dia kemudian memberhentikan kereta dan membuka but sebelum terkejut mendapati ada bayi lelaki di situ.

Balqis perlu dibedah segera

Balqis perlu dibedah segera
Dana Balqis

MUAR – Sepasang suami isteri merayu sumbangan masyarakat menampung kos tambahan pembedahan anaknya yang menghidap penyakit jantung berlubang dan masalah dua saluran injap jantung sempit.

Ibunya, Zuleha Yahya, 44, berkata, Nur Farah Athirah Balqis Razak, 3, disahkan menghidap penyakit berkenaan semasa dilahirkan, selain dikategorikan sebagai anak kurang upaya (OKU).

Menurutnya, Balqis dijadualkan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 16 September depan dengan kos pembedahan dianggarkan berjumlah RM30,000.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju untuk menanggung perbelanjaan rawatan sebanyak RM29,800.

“Tetapi kami memerlukan kos tambahan kira-kira RM6,200 untuk menampung perbelanjaan sepanjang berada di IJN yang dijangka memakan masa hampir sebulan termasuk juga kos pengangkutan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Hj Jabbar, Parit Tiram, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Zuleha berkata, dia memerlukan wang tersebut secepat mungkin memandangkan pihak hospital mahu segera menjalankan pembedahan itu kerana lubang jantung Balqis semakin membesar.

“Pendapatan suami sebanyak RM545 sebulan sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di sini menyukarkan usaha untuk mengumpul wang sebanyak itu.

“Kami tiada pilihan lain dan terpaksa meraih simpati orang ramai supaya Balqis dapat dibedah segera,” katanya.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, dia sering menitiskan air mata kerana tidak sampai hati setiap kali melihat Balqis menangis ketika diserang penyakit berkenaan.

“Balqis akan menangis tanpa henti, muka dan seluruh tubuhnya jadi kebiruan serta nafasnya tercungap-cungap.

“Ketika Balqis dilahirkan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), pihak hospital tidak dapat menjalankan pembedahan ketika itu kerana lubang pada jantungnya terlalu kecil,” katanya.

Katanya lagi, sehingga kini Balqis perlu menjalani pemeriksaan sebanyak empat kali seminggu di HPSF dan enam bulan sekali di IJN.

“Setiap kali hendak hantar Balqis menjalani pemeriksaan, suami terpaksa pinjam kereta jiran atau rakan-rakan,” katanya.

Justeru orang ramai boleh menyumbang derma ke akuan Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Zuleha, 04106-29- 00047268-5 atau menghubungi di talian 012-923 8215.

Langkah Facebook tukar butiran e-mel dikecam hebat

facebook
$entry.content.caption.value

WASHINGTON - Laman sosial Facebook sekali lagi membuat perubahan tanpa mengumumkan perkara itu kepada 900 juta penggunanya, sekali gus mencetuskan kritikan dan kecaman daripada penggunanya semalam.

Syarikat itu berkata ia berbuat demikian agar butiran para pengguna "konsisten" dengan identiti lamannya.

Facebook didakwa sewenang-wenangnya menukar alamat e-mel peribadi pengguna berakhir dengan '...@facebook.com'.

Dalam satu kenyataan, laman sosial tersebut mendakwa tujuan mereka melakukan perubahan itu adalah untuk melindungi identiti dan keselamatan pengguna iaitu dengan tidak memaparkan alamat e-mel peribadi mereka.

"Seperti yang telah kami umumkan April lalu, Facebook kini sedang mengemas kini alamat pengguna bagi memastikan kesemuanya konsisten," kata jurucakap syarikat itu.

Banyak pihak turut mengkritik pembaharuan yang dilakukan oleh Facebook sejak akhir-akhir ini termasuk penggunaan 'timeline' yang didakwa menjadikan status lama atau aktiviti pada masa lalu mudah diakses pengguna lain.

Facebook memberitahu CNN yang perkara itu mula dikuatkuasakan sejak beberapa minggu lalu tetapi ramai pengguna tidak menyedarinya sehingga sebahagian besar mula bercerita melalui blog masing-masing semalam.

Menerusi Twitter, wartawan teknologi bebas, Ron Miller berkata, “jika bencikan pengguna, Facebook secara tidak langsung memaksa pengguna menggunakan sistem e-mel mereka. Adakah benar?”

Pemblog, Gervase Markham berkata, "Facebook secara senyap menggodam akaun Facebook pengguna dan menyulitkan orang lain untuk berhubung melalui e-mel sebenar saya."

"Ini dikenali sebagai Manusia Melalui Serangan Senyap (MITM)," katanya.

Beliau merujuk perkembangan iti sebagai taktik penggodam bagi memintas mesej elektronik dan Facebook sendiri seolah-olah terkejut dengannya.

“Kami gagal secara asasnya untuk menunjukkan alamat Facebook anda kerana dengan cara ini, ia cuma untuk memastikan ia konsisten bagi semua pengguna,” kata Pengurus Komunikasi Facebook, Meredith Chin.

Beliau mengulangi perkataan "konsisten" beberapa kali dalam usaha untuk menjelaskan rasional Facebook membawa perubahan itu.

Ia merupakan proses yang baru selepas profil pengguna diubah kepada “timeline”, yang memudahkan para pengguna mengemas kini dan menukar tetapan peribadi mereka menggunakan Facebook dan langkah mewujudkan e-mel ini adalah proses yang sama.

Pengguna tetap boleh menunjukkan alamat e-mel peribadi mereka tetapi tanpa mereka sedari akan ditambah dengan akhiran @facebook.com.

Chin mengesahkan yang perkara ini tidak akan menjejaskan pengguna Facebook.

Ini bermakna ramai pengguna akan mula mendapat mesej e-mel pada akaun "...@facebook.com" mereka.

Chin tidak dapat menghuraikan mengapa Facebook tidak berkomunikasi berhubung langkah itu sebelum ia dilaksanakan.

Pengguna yang mahu menghentikan alamat the@facebook.com daripada muncul pada profil mereka, boleh mengemas kini bahagian "Maklumat Hubungan".

Tambah Chin, Facebook boleh memberitahu dan meyakinkan para pengguna jika masih terdapat lagi kekeliruan mengenai perkara itu.

'Saya kesal dan mohon maaf'

'Saya kesal dan mohon maaf'
Othman menundukkan muka mengelakkan wajahnya dirakam.

ALOR SETAR - “Saya mohon maaf pada keluarga, anak dan isteri saya serta keluarga mangsa dengan apa yang berlaku,” kata Othman A Aziz, 61, yang didapati bersalah membunuh teman wanitanya, seorang graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tahun lalu.

Menurutnya, dia insaf dan amat menyesali dengan apa yang berlaku (tindakan tertuduh terhadap mangsa) serta memohon supaya ALLAH akan mengampuni segala dosanya.

“Saya merayu dikenakan hukuman sewajarnya kerana masih mempunyai seorang isteri dan dua anak,” katanya dengan nada sebak ketika membaca teks pada sekeping kertas ketika diberi peluang bercakap di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Sebelum ini, Othman yang juga tukang masak sebuah restoran didakwa membunuh Ratna Sufizzahriyanti Omar, 23, di bilik, sebuah rumah di Taman Mahkota, Jalan Stadium, di sini antara jam 8.45 malam 2 Mei 2011 hingga 12.45 pagi 3 Mei 2011.

Dakwaan terhadap warga emas itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Othman yang memakai baju T berkolar warna putih dan seluar sukan hanya tenang mendengar keputusan sementara isteri serta seorang anaknya dilihat menahan sebak sebelum menangis ketika tertuduh dibenarkan kembali ke tempat duduk awam.

Mohd Zaki dalam penghakimannya berkata, keterangan pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa Ratna meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian badan disebabkan oleh Othman.

“Pakar patologi mengesahkan terdapat 26 luka tikaman dan empat hirisan ditemui di bahagian toraks si mati terutamanya di dada dan belakang menembusi organ vital (utama) seterusnya menyebabkan kematian,” katanya.

Justeru katanya, kewujudan banyak luka tikaman itu menunjukkan bahawa Othman ada niat untuk menyebabkan mangsa mati.

Beliau berkata, pembelaan dibuat Othman dalam kandang tertuduh pada 27 Mei lalu bahawa dia tidak sedar apa yang berlaku sehingga menyedari Ratna terbaring dalam keadaan berlumuran darah tidak dapat diterima mahkamah.

“Dalam pembelaan itu, tertuduh cuba menimbulkan bahawa dia tidak berfikiran waras semasa melakukan perbuatan membunuh bagaimanapun selepas dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, pakar mengesahkan tertuduh dalam keadaan siuman semasa kejadian.

“Beliau juga menimbangkan kes itu sama ada berlaku provokasi yang menyebabkan tertuduh melakukan pembunuhan selepas si mati enggan berkahwin dengan tertuduh. Bagaimanapun keterangan tertuduh gagal membuktikan wujudnya provokasi,” katanya.

Othman turut memohon supaya sepanjang tempoh tahanan sebelum pelaksanaan hukuman dipindahkan ke penjara di Selangor kerana keluarga berada di sana, namun Mohd Zaki menyarankan supaya permohonan itu diajukan kepada penguasa penjara.

Ketika prosiding, ibu dan adik perempuan kepada Allahyarham Ratna turut hadir mendengar keputusan enggan ditemu bual.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud sementara tertuduh diwakili peguam, A J Surinarayanan.

Akhbar pada 4 Mei lalu melaporkan seorang wanita berusia 23 tahun, Ratna Sufizzahriyanti Omar yang juga seorang jurutera sebuah kilang di Gurun, ditikam hingga mati di Taman Mahkota, Jalan
Stadium selepas dikatakan enggan berkahwin dengan teman lelakinya.

BB Plaza diroboh untuk MRT

BANGUNAN BB Plaza di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR – Pusat beli-belah ikonik di ibu negara, Plaza Bukit Bintang (BB Plaza) milik UDA Holdings Berhad (UDA) dijangka akan dirobohkan sepenuhnya pada awal tahun hadapan.

Langkah itu diambil bagi memberi laluan kepada pembinaan projek pembinaan stesen bawah tanah Transit Pantas Massa (MRT) oleh MRT Corp Sdn. Bhd. (MRT Corp).

Timbalan Presiden Kanan UDA Holdings Berhad, Syed Ahmad Nazri Syed Kamaruzaman berkata, perkara itu dimaklumkan oleh MRT Corp yang bertindak sebagai koordinator projek berkenaan.

Menurutnya, MRT Corp memberi masa sehingga akhir tahun ini kepada peniaga termasuk kakitangan UDA untuk mengosongkan bangunan tersebut.

“Kami terkejut apabila diberitahu secara lisan yang kami terpaksa menyerahkan premis yang sudah UDA urus selama 38 tahun dan ada kira-kira 60 peratus peniaga Bumiputera itu kepada MRT.

“Peniaga pula diminta mengosongkan bangunan di bahagian hadapan BB Plaza akhir bulan ini diikuti penyewa lain menjelang akhir tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi dialog bersama peniaga dan penyewa BB Plaza di sini semalam.

Sampel darah kera belaan diambil


SABRI (dua dari kanan) mengambil sampel darah seekor kera peliharaan sambil dibantu kakitangan Perhilitan Jeli di Kampung Bukit Ipoh, Jeli kelmarin.


JELI - Bagi memastikan kera peliharaan penduduk bebas daripada kuman parasit malaria berjangkit, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil sampel darah 50 ekor haiwan tersebut di Kampung Bukit Ipoh di sini kelmarin.

Operasi itu dijalankan bersama Jabatan Veterinar dan Kementerian Kesihatan.

Kuman parasit malaria yang dibawa oleh kera boleh menyebabkan kematian manusia.

Ia berlaku apabila nyamuk yang menggigit binatang pembawa kuman parasit kemudian hinggap dan menggigit manusia.

Ketua Perhilitan Daerah Jeli, Mohd. Ismail Awang berkata, sebelum ini, pihaknya telah diarahkan oleh Perhilitan Negeri Kelantan supaya melupuskan semua spesies kera liar yang berada di dalam hutan kerana dikesan membawa penyakit malaria.

"Jadi, operasi hari ini (semalam) pula adalah untuk memastikan tidak ada kera-kera peliharaan yang dijangkiti penyakit ini.

"Dalam operasi bersama ini, tugas Perhilitan ialah memegang kera-kera berkenaan supaya sampel darahnya boleh diambil oleh pegawai dari Kementerian Kesihatan sebelum diberikan kepada Jabatan Veterinar untuk menilai sampel darah tersebut," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui dalam operasi tersebut.

Pendakwa maut rempuh treler


KENDERAAN Muhammad Azman remuk dalam kemalangan di Kilometer 197 Lebuh Raya Pantai Timur dekat Kuantan kelmarin.


KUANTAN - Seorang pegawai polis terbunuh selepas kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori treler yang membawa muatan bijih besi di Kilometer 197 Lebuh Raya Pantai Timur dekat Sri Jaya di sini awal pagi semalam.

Cif Inspektor Muhammad Azman Ariffin, 48, yang juga Pegawai Pendakwa di Mahkamah Majistret Kuantan disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof, kejadian itu berlaku pada pukul 1.20 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah terlanggar bahagian kanan belakang lori itu menyebabkan kenderaannya berpusing ke kanan jalan.

"Ekoran itu, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Pengedar dadah warga Singapura mati ditembak


ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat Teck Huat mati ditembak dari jarak dekat di Pangsapuri Tebrau Resident, Taman Desa Tebrau, Johor Bahru kelmarin.


JOHOR BAHRU - Pertelingkahan untuk berebut kawasan bagi mengedar dadah disyaki punca seorang lelaki Singapura mati ditembak oleh pesaingnya dari jarak dekat dalam kejadian di Blok E, Pangsapuri Tebrau Resident, Taman Desa Tebrau, di sini kelmarin.

Kejadian pukul 9.45 malam itu menyebabkan Koh Teck Huat, 40, mati di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan termasuk satu di muka.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang menuju ke keretanya didatangi suspek yang menaiki sebuah kenderaan menggunakan nombor pendaftaran Singapura.

"Suspek kemudian terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri. Pemeriksaan pada badan mangsa menemui sebuah beg sandang mengandungi pelbagai jenis dadah.

"Kita kemudian memeriksa pula rumah mangsa di situ dan menemui pelbagai pil dan ketulan dipercayai dadah. Kita turut menahan teman wanita mangsa berusia 30-an yang menetap di rumah mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi semalam.

Isteri akui daya ingatan Jins merosot


WALAUPUN daya ingatan semakin kurang, Jins Shamsuddin tetap segak ketika ditemui di kediamannya di Hulu Klang, Selangor semalam.


HULU KLANG - Semangat bekerja yang masih kental dalam jiwa tokoh seniman negara, Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin membuatkan dirinya tertekan sehingga menjejaskan memorinya sedikit demi sedikit.

Isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah, 52, yang mengakui perkara itu berkata, walaupun suaminya sudah menamatkan perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Negara pada awal tahun lalu, keinginan suaminya itu untuk bekerja masih lagi tinggi.

Katanya, setiap pagi Jins, 77, berkeras untuk ke pejabat walaupun bekas senator itu sudah tidak lagi berkhidmat dengan mana-mana pihak.

"Walaupun begitu, kesihatan Jins masih lagi seperti biasa. Beliau tidak mempunyai penyakit yang kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau sakit jantung," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pasir dekat sini semalam.

Sang Bedal lain termakan jerat

SANG BEDAL yang berjaya ditangkap dibawa ke rumah panjang bagi membolehkan Embol membunuhnya.


SARATOK – Peribahasa tidak dapat rotan akar pun berguna mungkin sesuai untuk menggambarkan nasib seorang tuai Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Embol Asum, apabila hasratnya untuk membalas dendam membunuh sang bedal bergelar Bujang Sebelak tidak kesampaian semalam.

Sebaliknya, Embol, 48, hanya dapat membunuh dua ‘orang kanan’ buaya tersebut yang dapat ditangkap selepas termakan umpan dipasang oleh pawang buaya tersohor di sini, Indet Sanabong, 49, di Sungai Anak dekat Pekan Kecil Roban di sini.

Difahamkan, buaya pertama merupakan buaya betina bergelar Dara Nanga berukuran 2.6 meter yang ditangkap pada pukul 9 pagi, kira-kira satu kilometer dari Kuala Sungai Anak manakala seekor lagi buaya jantan bergelar Bujang Muara sepanjang 1.6 meter ditangkap satu jam setengah kemudian.

Embol merupakan suami Siah Munsong, 42, yang mati selepas diserang seekor buaya berukuran lima meter panjang serta ukur lilit badan sebesar tong drum pada 19 Jun lalu. Buaya itu buta mata kirinya.

Dilema anak seni



BUAT pertama kalinya Kosmo! berpeluang mempertemukan tiga anak seni, biduanita negara tersohor, Datuk Sharifah Aini, aktres sensasi Rozita Che Wan dan aktor berwibawa, Pekin Ibrahim dalam sesi fotografi khas sempena Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 yang telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Renaissance, Isnin lalu.

Lupakan dunia glamor seketika, apabila berbicara soal hak artis, ketiga-tiga mereka bertukar serius dan penuh panjang lebar dengan persoalan dan hujah masing-masing.

Datuk Sharifah Aini, 59, yang telah berkecimpung dalam bidang seni suara selama 44 tahun memberitahu, dia turut berhadapan dengan masalah terutamanya berkaitan dengan pengagihan royalti.

Menurut penyanyi yang lebih mesra disapa Kak Pah itu, bermula pada tahun 2000 sehingga ke hari ini, beliau mengakui langsung tidak pernah mendapat sebarang royalti daripada lagu-lagu nyanyiannya.

"Boleh dikatakan setiap tahun kebanyakan lagu-lagu saya telah diterbitkan semula dalam bentuk kompilasi, namun saya tidak pernah mendapat satu sen pun royalti untuk lagu-lagu saya itu daripada syarikat rakaman EMI Records.

"Begitu juga apabila EMI diambil alih oleh Warner Music pada tahun 2008, saya masih lagi belum mendapat sebarang bayaran. Jadi, itu yang membuat saya sangat terkilan," ujarnya.

Kata penyanyi yang turut berlakon dalam filem Hapuslah Air Matamu itu, penerbitan album kompilasi tidak menelan kos yang banyak dan syarikat rakaman mampu meraih keuntungan yang besar, sebaliknya hak penyanyi seperti dirinya terus diabaikan apabila tidak mendapat royalti yang sepatutnya.

Sementara itu, Kak Pah juga turut meluahkan rasa kecewanya terhadap Badan Pelindung Hakcipta Muzik Malaysia (MACP) mengenai pengagihan royalti yang diterimanya dan menganggap badan tersebut seperti tidak berlaku adil.

Ujarnya, setiap kali mendapat royalti yang diberikan oleh MACP setiap tahun, dia berasa hiba kerana jumlah bayaran yang diterima itu seakan-akan tidak berbaloi memandangkan banyak lagu-lagu nyanyiannya dimainkan stesen-stesen radio.

"Saya bukannya tidak bersyukur dengan apa yang diterima, tetapi sebagai seorang penyanyi, saya juga mempunyai hak untuk mempertahankan apa yang sepatutnya saya peroleh.

"Kekecewaan ini tidak pernah saya luahkan dengan sesiapa pun, tetapi sempena dengan Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 ini memberi peluang untuk saya meluahkan apa yang terpendam," ujarnya yang berharap agar para penyanyi di negara ini mendapat hak mereka yang sewajarnya.

Luahan Rozita


ROZITA mengakui perlu berada antara 15 hingga 19 jam sehari di lokasi penggambaran drama.


Aktres jelita, Rozita yang telah berlakon puluhan drama dan beberapa buah filem menjelaskan, meskipun kariernya dilimpahi glamor tetapi bekerja sebagai pelakon bukanlah mudah.

Isu yang dipertikaikan Rozita adalah waktu kerja yang terlalu panjang di lokasi penggambaran bukan sahaja untuk pelakon tetapi termasuk juga kru belakang tabir.

Kata aktres yang berusia 38 tahun itu, biasanya pelakon akan bekerja lebih daripada 12 jam sehari, malah mereka tidak menikmati cuti umum kecuali pada Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Raya Aidiladha.

"Kebiasaannya, saya bekerja sehingga 15 hingga 19 jam sehari di lokasi penggambaran dan hanya diberi rehat lima jam sahaja. Apabila pelakon penat, mereka tidak boleh memberi mutu lakonan sebaik mungkin.

"Sebab itu kalau boleh tetapkan waktu kerja paling maksimum untuk pelakon dan kru belakang tabir. Contohnya sehari paling lama waktu kerja adalah 12 jam, maka selebihnya kerja lebih waktu atau apa sahaja opsyen yang boleh diberikan kepada kami," ujarnya.

Bagaimanapun kata ibu kepada dua orang anak itu lagi, dia juga memahami dilema yang dihadapi penerbit drama kerana kos penerbitan sesebuah drama meningkat setiap tahun tetapi bayaran yang diberikan oleh pihak stesen televisyen kekal sama, jika ada penambahan sekalipun jumlahnya sangat rendah.

"Penerbit pun menghadapi masalah, jika ditetapkan waktu kerja sehari lapan jam sahaja sebagai contoh, mereka terpaksa menambah hari penggambaran secara tidak langsung meningkat kos, penerbit akan rugi. Jadi, saya tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah yang dihadapi," balasnya.

Selain soal waktu kerja, pelakon drama Kiah Pekasam itu juga mempersoalkan kebajikan dan keselamatan pelakon di set penggambaran.

"Setiap penerbit sepatutnya mengambil insurans setiap kali penggambaran, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kurang sikit beban pelakon dan kru.

"Ini tidak, kalau sakit walaupun saya beri surat cuti sakit, tidak laku, dikoyakkan sahaja depan mata saya. Kaki bengkak tidak boleh berjalan dikerah juga bekerja kerana sudah tandatangan kontrak.

"Surat yang laku hanyalah surat kematian pelakon itu sendiri agaknya, barulah kami dibenar tidak bekerja," sindirnya.

Tegasnya lagi, jika pihak penerbit memberikan kontrak sebelum penggambaran bermula, pihak pelakon juga harus mempunyai kontrak yang diberi kepada penerbit supaya melindungi hak mereka.


KAK PAH sudah lama memendam untuk meluahkan kekecewaan yang terkandung di lubuk hatinya.


"Buat masa ini, hanya penerbit yang memberikan kontrak jadi pelakon terpaksa mengikut apa sahaja kata mereka, pelakon tidak boleh bersuara. Lebih baik selepas ini, terdapat kontrak juga di pihak pelakon yang harus dipersetujui oleh penerbit," tuturnya lagi.

Didik penonton - Pekin

Aktor, penyanyi, komposer dan penulis buku, Pekin, 31, cukup terbuka melontarkan idea dan luahan hatinya memberitahu industri seni tempatan telah ketinggalan 10 tahun kebelakang berbanding negara lain.

Jika sesuatu tidak dilakukan tidak mustahil, industri seni akan terus tenggelam meskipun hakikatnya, pelakon sepertinya masih mampu hidup dengan senang.

"Apa sahaja dasar serta agenda yang dilakukan hari ini, kesannya tidak dapat diperoleh dalam sekelip mata. Masalah yang sama dibincang berulang-ulang, tiada tindakan tidak guna.

"Mungkin apa yang dibincangkan pada Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 kesannya boleh dilihat 10 tahun akan datang, itupun jika tindakan yang dilakukan berterusan bukan tergendala separuh jalan," ujapnya yang bakal muncul dengan filem Rock 2, Kita dan Apokalips.

Isu yang menarik perhatian Pekin bukan hanya isu royalti dan kebajikan pelakon serta penyanyi, tetapi juga bagaimana untuk mendidik penonton filem negara menjadi penonton yang bijak.

"Jika di luar negara, seperti Hollywood misalnya kebanyakan penonton, filem mereka tahu bagaimana proses pembikinan sesebuah filem.

"Apabila mereka tahu sukar membikin sesebuah filem, mereka akan lebih menghargai filem tersebut. Membikin sesebuah filem walaupun filem itu teruk dikutuk, ia masih bukan satu kerja yang mudah.


PEKIN, Kak Pah dan Rozita berkongsi lara anak seni.


"Filem yang dikatakan teruk sekalipun, ia masih melalui proses pembikinan yang sama dengan filem yang hebat. Cuma kualiti pembikinan serta hala tuju pengarah yang membezakannya dengan sebuah filem yang baik," hujahnya yang memiliki perniagaan studio jamming di Bangi, Selangor.

Ulas pelakon filem Bunohan dan Hantu Kak Limah Balik Rumah itu lagi, penonton tegar filem tempatan hanyalah kira-kira 300,000 orang sahaja. Jumlah itu tidak bertambah meskipun kutipan sesebuah filem berjumlah sehingga RM12 juta.

"Dapat kutip banyak mana sekalipun, jumlah penonton filem tempatan masih sama, kerana penonton yang sama akan tonton secara ulangan jika mereka suka sesebuah filem itu.

"Persoalannya, bagaimana untuk kita menarik dua juta orang pergi menonton filem di panggung wayang, memang misi sukar tetapi tidak mustahil boleh terjadi," katanya yang mengidam untuk bergelar seorang pengarah suatu hari nanti.

Banyak mengembara ke luar negara kerana mengikut promosi dan tayangan filem Bunohan telah menyuntik semangat luar biasa dalam diri Pekin untuk melihat karya tempatan lebih dihargai dan penggiat seni mempunyai masa depan yang cerah.

Bubu masih bersama Syahrini


BUBU bersama bapanya, Raja Mohamad Rashid turut hadir pada majlis Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 kelmarin.


SEBELUM ini kecoh dunia seni Indonesia apabila penyanyi popular negara seberang, Syahrini atau nama sebenarnya Fatimah Syahrini Zailani dikatakan bercinta dengan cucu sultan Selangor dari Malaysia.

Bertambah hangat apabila kekasih Syahrini selama dua tahun itu, Raja Mohamad Syazni Raja Mohamad Rashid mengaku yang dia bukanlah cucu Sultan Selangor tetapi hanya kerabat sahaja dan menyalahkan pihak media Indonesia yang salah menulis fakta serta suka memperbesarkan isu yang tidak benar.

Terbaharu, gambar Bubu bermesra dengan wanita lain serta gambar Syahrini mencium pipi seorang lelaki lain telah tersebar di internet.

Bubu yang hadir ke Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! pada Isnin lalu di Hotel Renaissance menemani bapanya, Raja Mohamad Rashid Raja Salehuddin atau lebih dikenali sebagai Wan daripada kumpulan terkenal 70-an, kumpulan Carefree menjawab isu terbaharu itu.

Bapa Bubu pula memberitahu dia dan keluarganya merestui hubungan anaknya dengan Syahrini tetapi kurang senang dengan tumpuan melampau yang diberikan media Indonesia kepada hubungan cinta anaknya dan Syahrini.

Kosmo!: Pihak media Indonesia mendakwa kamu menipu sebagai cucu Sultan Selangor, komen?

BUBU: Saya ingin tegaskan di sini, saya tidak pernah mengaku yang saya cucu Sultan Selangor, saya hanyalah kerabat sahaja. Cerita yang mengatakan Sultan murka juga tidak benar kerana sehingga hari ini saya tidak pernah dipanggil ke istana. Pihak media Indonesia yang mungkin salah faham dan suka membesarkan isu.

Gambar mesra kamu bermesra dengan wanita lain serta gambar Syahrini mencium lelaki lain jejaskan hubungan kalian atau tidak?

Soal gambar, kami hanya orang biasa dan boleh bergambar dengan apa cara sekalipun. Kami masih bercinta dan hubungan kami masih baik seperti biasa. Sebenarnya, saya baru pulang dari Jakarta, Indonesia kerana urusan perniagaan dan bertemu Syahrini.

Tertekan apabila bercinta dengan penyanyi terkenal?

Ketika mula kenal saya tidak tahu dia penyanyi tetapi selepas tahu, saya tidak kisah kerana sudah suka. Tiada tekanan disebabkan dia seorang penyanyi tetapi saya tertekan dengan tumpuan yang diberikan media Indonesia terhadap saya yang bukannya seorang selebriti.

Syahrini sudah bertemu keluarga di Malaysia?

Sudah, malah banyak kali dia ke Malaysia jumpa keluarga saya. Alhamdulillah, hubungan kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak.

Perancangan perkahwinan dengan Syahrini?

Setiap pasangan sudah pasti ingin mengakhiri hubungan dengan sebuah perkahwinan sama juga seperti saya tetapi bukan dalam masa terdekat. Jika memang dia jodoh saya, kami akan berkahwin.

Jenayah Asia ke layar kaca


Isu lanun yang tidak pernah berpenghujung turut menjadi kupasan program lapan episod ini.


PEMBUNUH UPAHAN, pemerdagangan kanak-kanak, pelacuran, pengedaran dadah, lanun, perjudian dan ceti haram antara jenayah yang sering membelenggu penduduk sekitar negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Membongkar kisah-kisah benar di sebalik sisi hitam negara membangun seperti Malaysia, Thailand, Filipina, Myanmar, Kemboja dan Singapura, Crime Investigation Asia mempersembahkan Asia's Underworld yang telah mula bersiaran sejak 4 Jun lalu pukul 10.30 malam di saluran 732 Astro.

Berpeluang untuk berbicara secara eksklusif dengan salah seorang pengarah rancangan itu merangkap penerbit eksekutif Asia's Underworld, Oman Dhas, pihaknya berdepan pelbagai cabaran untuk memperoleh bahan berita sebelum dipaparkan.

"Kami berhadapan dengan kesukaran untuk memperoleh sumber yang boleh membuka mulut untuk berbicara mengenai topik-topik tertentu antaranya pelacuran, pemerdagangan manusia dan dadah.

"Kadangkala profil suspek terpaksa dirahsiakan untuk keselamatan mereka dan keluarga, malah sumber yang diperoleh juga terdiri daripada rakan wartawan dan polis yang pernah membuat liputan berhubung isu-isu tersebut," katanya yang berada di hujung talian di Singapura.

Jelas Oman, rancangan itu menghidangkan sebuah santapan luar biasa yang belum pernah diketahui sebelum ini. Malah, rahsia dunia jenayah di Asia dipertontonkan secara menyeluruh kepada umum.

"Sudah pasti usaha ke arah menghasilkan rancangan yang bersifat sangat sensitif ini perlu pasrah jika ada individu yang mengubah fikiran pada saat-saat akhir," tambahnya.

Antara momen yang sukar, kata Oman sewaktu produksi berada di Filipina untuk membuat liputan mengenai pengedaran dadah dan dalam masa yang sama mereka perlu memasuki penjara demi mendapatkan maklumat.

"Selain itu, isu kegiatan bapa ayam di Mongolia turut berdepan kesukaran akibat jumlah kroni mereka yang ramai," ceritanya lagi.

Janji Oman, rancangan itu berbaloi untuk disaksikan sekali gus merasai sendiri bahaya serta ancaman jenayah yang berlaku sekitar negara Asia.

Asia's Underworld akan bersiaran sebanyak lapan episod dan memaparkan pelbagai jenayah. Maklumat lanjut di www.citvasia.com/asiasunderworld.

Misteri kubur dekat pejabat PM Timor Leste

SALAH satu rangka manusia yang ditemui dekat pejabat Perdana Menteri Timor Leste di Dili pada minggu lalu.


DILI - Polis di Timor Leste menemui sebuah kubur yang mengandungi rangka tulang 52 orang dekat pejabat Perdana Menteri, Xanana Gusmao, kata seorang pegawai semalam.

Beberapa pekerja pembinaan menemui kubur tersebut pada minggu lalu sebelum mereka menghubungi polis.

Pada tahun 1975, Tentera Indonesia menceroboh Timor Leste yang merupakan bekas jajahan Portugal itu.

Timor Leste yang ketika itu dikenali sebagai Timor Timur diduduki selama 24 tahun oleh Indonesia.

Dianggarkan seramai 183,000 orang terbunuh akibat pencerobohan itu.

Ketua Perkhidmatan Siasatan Jenayah Timor Leste, Calisto Gonzaga menyatakan rangka itu terlalu besar dan tidak mungkin ia milik penduduk Timor Leste.

"Kami melihat tengkorak dan ia amat besar dan sebilangan tulang amat panjang. Saya berpendapat rangka itu bukan (milik) penduduk Timor Leste," katanya.

Menurutnya, kedudukan rangka itu memberi petunjuk bahawa si mati mungkin dibunuh.

Gonzaga berkata, polis akan menunggu laporan seorang pakar dari Australia yang akan tiba pada Julai depan sebelum membuat sebarang penyiasatan.

Seorang profesor dari Australia, Damien Kingsbury menyatakan, tulang-tulang itu mungkin milik penduduk berketurunan Cina.

"Penduduk Cina masih berada di Timor Leste semasa Indonesia menceroboh pada tahun 1975.

"Mereka mungkin menjadi sasaran serangan tentera Indonesia pada masa itu," katanya.

Kumpulan senaman diarah jangan ketawa kuat


GAMBAR fail pada 22 Jun lalu menunjukkan ahli-ahli Persatuan Joging Sheetal melakukan senaman yoga ketawa di tepi tasik Sheetal Talao, Mumbai.


MUMBAI - Sebuah mahkamah di India memerintahkan sebuah kumpulan senaman ketawa supaya berhenti gelak dengan kuat selepas seorang penduduk setempat mengadu mengalami "penderaan mental".

Sejak arahan tersebut dikeluarkan susulan satu perbicaraan pada minggu lalu, ahli-ahli kumpulan senaman ketawa itu cuba sedaya upaya untuk memperlahankan bunyi ketawa mereka.

Sesi senaman ketawa tersebut diadakan di pinggir bandar raya ini.

Presiden kumpulan itu, Sadanand Ghate berkata, beliau cuba menerangkan kepada polis bahawa ahli-ahlinya mahukan suasana damai dan bukan bertujuan untuk mengganggu ketenteraman awam.

Namun, polis telah mengarahkan kumpulan tersebut supaya mengurangkan bunyi bising selepas perbicaraan kes itu diadakan pada 18 Jun lalu.

Seorang doktor, Madan Kataria mendakwa telah menunuhkan kelab yoga pertama di Mumbai pada pertengahan tahun 1990-an.

Beliau menubuhkan kelab tersebut berdasarkan tanggapan bahawa ketawa boleh memberi manfaat psikologi.

Menurut laman webnya, terdapat lebih 6,000 kelab ketawa di seluruh dunia.

Mengajar cara mencari emas di sungai




FOZ DO COBRAO, Portugal - Seorang warga emas berusia 85 tahun, Manuel Goncalves mengajar kanak-kanak dan golongan muda cara untuk mencari emas di sebatang sungai di sini.

Goncalves menunjukkan kepada mereka cara mendulang emas dengan betul di sungai tersebut.

Dia pernah mencari emas melalui kaedah itu pada tahun 1950-an.

Goncalves mengajar mereka cara untuk mengenal pasti batu kecil yang mengandungi emas semasa mendulang di sungai tersebut.

Sotong pilih nama Cora

SEEKOR sotong kurita gergasi memilih bola yang mengandungi Cora sebagai namanya di akuarium Zoo Akron di Akron kelmarin.


AKRON, Ohio - Seekor sotong kurita gergasi yang menjadi daya tarikan pada pameran terumbu karang di Zoo Akron di sini memilih Cora sebagai namanya kelmarin.

Haiwan itu menarik keluar seekor udang daripada bola yang mengandungi nama Cora di dalam akuarium sotong tersebut.

Sotong tersebut memegang bola itu dengan sesungutnya.

Haiwan tersebut tidak mengeluarkan udang daripada dua lagi bola yang mengandungi nama Octavia dan Scarlet.

Satu senarai mengandungi 2,000 nama diterima pihak Zoo Akron dalam pertandingan menamakan haiwan berkenaan sebelum ini.

Namun, hanya tiga nama itu disenarai pendek.

Sotong betina itu seberat 9 kilogram dengan panjang 1.2 meter itu.

Dulu pekan kecil, kini tarikan pelancong



KEPULAN kabus putih yang melitupi sebahagian besar kehijauan di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands sudah cukup untuk menterjemahkan suasana pada awal pagi itu.

Dengan persekitaran sebegitu adalah mustahil jika seseorang boleh keluar rumah hanya memakai sehelai kemeja tipis yang berlengan pendek tanpa baju sejuk atau stokin. Namun, itu cerita tiga dekad lalu. Kini, pakaian senipis itu sudah memadai walaupun pada awal pagi.

Suprumanian Karuppichu, 58, mengakui suhu di Tanah Rata, Tinggi Cameron, Pahang, tidak sama seperti dahulu. Seingatnya sekitar tahun 1960-an, tahap kesejukan di tanah tinggi itu mencecah antara 14 hingga 15 darjah Celsius.

"Dulu, kami wajib memakai baju sejuk beberapa lapis, sarung tangan dan topi untuk memanaskan badan. Di rumah pula, saya sentiasa memanaskan badan di depan pendiang api sambil menikmati minuman panas.

"Hari ini senario telah berubah. Cuaca di Cameron Highlands sudah tidak begitu sejuk. Mungkin disebabkan pembangunan pesat di daerah ini. Sebelum ini kawasan Tanah Rata dipenuhi dengan rimbunan pokok dan udaranya bebas habuk," kata Suprumaniam yang dibesarkan di Tanah Rata.

Menurut Suprumaniam, Tanah Rata merupakan pekan pertama yang dibuka dan beroperasi di Cameron Highlands. Penduduk setempat kerap berkunjung ke pekan itu kerana ia menjadi pusat pentadbiran, komersial dan komunikasi sekali gus menjadi tumpuan pelancong.

Bahkan, deretan kedai serbaneka, bank, pejabat pentadbiran, sekolah dan stesen bas utama yang menghubungkan penduduk di Cameron Highlands dengan masyarakat luar terletak di Tanah Rata.

"Tanah Rata hanya sebuah pekan kecil yang memberi kemudahan kepada masyarakat tempatan untuk melakukan urusan kewangan, peribadi dan membeli barang dapur. Selain bank, di sini juga terdapat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), klinik, kedai telefon bimbit dan taman istirehat," tambah Suprumaniam yang bekerja sebagai pemandu teksi di Cameron Highlands.

Cameron Highlands merupakan sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang terkenal di Semenanjung Malaysia. Ia terletak setinggi 1,829 meter dari paras laut dan mempunyai suhu antara 18 hingga 24 darjah Celsius.

Pusat peranginan tersebut mendapat nama daripada seorang pegawai Inggeris, William Maxwell William Cameron yang menjalankan kerja-kerja ukur dan membuat peta di kawasan itu pada tahun 1885.

Beliau mendapati kawasan berkenaan mempunyai sebahagian besar tanah yang sedikit rata dan bercerun serta sesuai dijadikan penempatan.

Malangnya, idea itu dipandang sepi sehinggalah dua dekad kemudian seorang pegawai Inggeris, Sir George Maxwell, membangunkan dua buah kawasan yang dikenali sebagai Brinchang dan Tanah Rata iaitu kawasan yang menempatkan pentadbiran dan perumahan pegawai Inggeris.

Perubahan Tanah Rata

Pelancong yang ingin mengetahui asal-usul dan sejarah mengenai Tanah Rata mengunjungi Galeria Time Tunnel yang terletak di Brinchang.

Jarak Tanah Rata ke Brinchang sekitar lima kilometer (km).

Di Galeria Time Tunnel, pengunjung berpeluang membaca kisah-kisah menarik mengenai pekan Tanah Rata. Antaranya foto hitam putih yang mempamerkan suasana pekan berkenaan sekitar tahun 1930-an sehinggalah hari ini.


PERKHIDMATAN bas, teksi dan kereta sewa ada ditawarkan di pekan Tanah Rata.


"Seperti pekan-pekan lain, Tanah Rata juga melalui proses perubahan dari segi pembangunan dan penambahbaikan. Sekitar tahun 1930-an, Tanah Rata ibarat sebuah pekan ala koboi.

"Ia hanya terdiri daripada deretan kedai yang diperbuat daripada kayu. Jalan raya tidak bertar dan penduduk pada waktu itu menjalankan aktiviti harian dengan menaiki basikal atau motosikal," terang pemilik Galeria Time Tunnel, See Kok Suen, 49.

Bagaimanapun, sekitar tahun 1940-an, berlaku perubahan pada deretan kedai di Tanah Rata apabila bangunan tersebut didirikan menggunakan batu-bata.

Pada masa itu, rata-rata jalan utama di Cameron Highlands berlantaikan tanah merah. Hari ini ia telah diturap dengan tar. Sebahagian besar penduduk Cameron Highlands lebih selesa menggunakan pacuan empat roda manakala sebahagian besar hanya berkemampuan memiliki basikal yang dijual pada harga antara RM30 hingga RM80. Kebanyakan basikal berkenaan merupakan jenama antarabangsa seperti Raleigh dan Robin Hood.

Bank pertama

Lewat 1940-an, tiada banyak perubahan berlaku di Tanah Rata kecuali kewujudan bank Hong Kong and Shanghai Banking Corporation (HSBC) pada tahun 1945. Ia merupakan bank pertama di Cameron Highlands yang masih beroperasi sehingga ke hari ini.

"Ramai yang terkejut bagaimana bank HSBC boleh dibuka di sebuah pekan kecil padahal umum mengetahui biasanya ia beroperasi di bandar besar. Pembukaan bank ini bertujuan untuk kemudahan residen Eropah yang bekerja dan bercuti di Cameron Highlands melakukan transaksi kewangan.

"Selain bank HSBC, pada tahun yang sama, Tanah Rata juga mempunyai sebuah hospital iaitu Hospital Militari British," terang See yang mengambil keputusan membuka sebuah muzium masa pada tahun 2007 bagi menyimpan serba sedikit peninggalan sejarah mengenai Cameron Highlands.

Adakah Cameron Highlands hanya sesuai dikunjungi dalam kalangan mereka yang berkeluarga? Bagi Aziha Abdul Aziz, 30, dia gemar bersantai di Cameron Highlands bersama teman ataupun keluarga.

Destinasi percutian yang kaya dengan khazanah hutan semula jadi itu menjadi pilihan Aziha untuk berehat serta melupakan seketika hiruk-pikuk kota.

Aziha yang menetap di Petaling Jaya, Selangor itu menjelaskan, keistimewaan Cameron Highlands terletak pada cuacanya yang sejuk dan keindahan persekitaran yang terjaga meskipun terdapat banyak pembangunan.

"Cameron Highlands mengalami banyak transformasi dari aspek pembangunan moden terutamanya pekan Tanah Rata. Dulu lain, sekarang pun lain. Saya cukup tertarik dengan sejarah dan cerita tentang Tanah Rata yang dipamerkan di Galeria Time Tunnel.

"Sebelum ini terdapat beberapa buah kedai sahaja di Tanah Rata tetapi kini ia semakin maju seiring dengan peredaran semasa. Boleh dikatakan segala-galanya ada di sini," terang Aziha yang teringat zaman kanak-kanaknya apabila melihat bahan pameran yang terdapat di Galeria Time Tunnel.

Dalam pada itu, seorang pelancong dari Australia, Greg Don menyifatkan Cameron Highlands merupakan salah sebuah destinasi pelancongan yang menarik dan menenangkan fikiran. Pertama kali menjejakkan kaki pada awal Februari lalu, Don terpaku dengan kecantikan flora dan fauna yang terdapat di tanah tinggi itu.


CIRI-CIRI binaan di Cameron Highlands cukup sinonim dengan konsep ala Inggeris.


Dia tidak menyangka kawasan tanah tinggi bersuhu dingin itu masih kekal hijau dan menyajikan persekitaran yang bersih meskipun aktiviti pembangunan tiada bernoktah.

"Perkara yang paling saya kagum ialah struktur jalan rayanya yang baik dan dikelilingi pepohon hijau. Sistem pembangunannya juga agak tersusun.

"Brinchang terkenal dengan lokasi yang menawarkan kepelbagaian makanan dan kedai serbaneka manakala Tanah Rata pula sebuah pekan yang menyediakan institusi kewangan, restoran, pusat informasi, klinik kesihatan dan stesen perhentian bas. Pengunjung juga berpeluang menikmati secawan kopi di kopitiam atau Starbucks di sini," terang Don yang melawat Cameron Highlands bersama isteri, Nicole Don, 54.

Menurut salah seorang staf dari agensi pelancongan Hill Top Travel & Tour Sdn. Bhd., Budi Utomo, 23, pekan Tanah Rata sentiasa menjadi tumpuan pelancong kerana terdapat banyak kaunter agensi pelancongan di pekan tersebut.

Bagi mereka yang baru pertama kali berkunjung ke Cameron Highlands terutama pelancong asing, biasanya cenderung mendapatkan perkhidmatan agensi pelancongan untuk meneroka keindahan di tanah tinggi itu.

"Biasanya masyarakat tempatan suka bersiar-siar sendiri. Pelancong tempatan suka menghabiskan masa di ladang teh, ladang strawberi, membeli sayur-sayuran dan ke kedai kaktus.

"Pelancong asing lebih selesa sekiranya percutian mereka dibantu oleh pemandu pelancong. Mereka lebih suka memilih pakej kembara lasak seperti aktiviti merentas hutan, air terjun dan demonstrasi menyumpit," terang Bayu bahawa Disember dan Januari merupakan bulan paling sibuk bagi kebanyakan agensi pelancongan di tanah tinggi itu.

Bakar kalori dengan Lynda Alqudree

LYNDA dan TJ Bryan akan bergabung dalam program Jom Bakar Kalori! yang akan diadakan pada 7 Julai ini.


ANDA mempunyai masalah berat badan dan tidak mahu menjalani rutin senaman yang membosankan seperti berjoging, berbasikal dan berlari?

Tiada apa yang perlu digusarkan kerana anda boleh bersenam dengan cara yang menyeronokkan kerana pengajar kecergasan profesional, Lynda Alqudree akan mengadakan program Jom Bakar Kalori! (Dance Fitness Blast) pada 7 Julai ini.

Program Jom Bakar Kalori! akan diadakan di Hotel Flamingo, Kuala Lumpur bermula dari pukul 10 pagi hingga 4 petang itu bakal menyaksikan gabungan Lynda bersama ketua jurulatih yang berasal dari Kepulauan Carribean iaitu TJ Bryan atau lebih dikenali sebagai Calypso King.

Kedua-dua mereka akan menunjukkan kehebatan masing-masing dalam menarik perhatian anda untuk turut sama bersenam sambil bersantai dan bersuka ria.

Rutin senaman dengan teknik dan tarian terbaharu di Malaysia yang akan dipersembahkan iaitu Selamba Dance Power, Calypso Moves, tarian rumba dan Maraca Fitness.

“Pergerakan Afro Carribean Latin ini mudah dipelajari dan menyeronokkan. Maraca Fitness pula merupakan senaman yang menggunakan peralatan muzik iaitu marakas,” kata Lynda.

Tambahnya, Maraca Fitness sangat popular di Australia dan di Malaysia. Dia merupakan orang pertama yang menggunakan peralatan marakas di studionya di Wangsa Maju, malah sesi Selamba-Maraca akan diadakan setiap hari.


PERALATAN marakas digunakan untuk menambahkan lagi keseronokan saat melakukan aerobik.


Program Jom Bakar Kalori! terbuka kepada semua peringkat umur tidak kira lelaki mahupun perempuan, pandai menari atau sebaliknya.

“Program ini juga terbuka kepada pengajar dan jurulatih aerobik yang inginkan pembaharuan selain mempertingkatkan profesionalisme mereka dalam bidang aerobik.

“Setiap peserta yang mengikuti program ini akan menerima sijil dan bagi 30 peserta pertama yang mendaftarkan diri, mereka akan mendapat peralatan marakas secara percuma,” ujarnya sambil memberitahu bayaran yang dikenakan ialah RM195 sahaja.

Sesiapa yang berminat dikehendaki menghantar nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di 019-358 9494 dengan kadar segera kerana tempat adalah terhad.

Tuesday, June 26, 2012

Khalwat : Kes Tangguh, Beego Lari Daripada Wartawan

Wajah terbaru Beego

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Selasa menangguhkan kes perbicaraan pelakon Beego bersama dua rakan lelakinya kepada 18 Julai depan.

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh itu bagi memberi peluang kepada peguam Beego yang baru dilantik iaitu Fakhrul Azman Abu Hasan untuk mengemukakan representasi dan mendapatkan dokumen berkaitan dengan kes tersebut.

"Memandangkan Fakhrul baru dilantik sementara pendakwa syarie tiada bantahan untuk menangguhkan kes, maka permohonan itu diluluskan bagi memberi peluang kepada Fakhrul membuat representasi," kata Shaiful.

Pada 8 Mei lalu, Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah,32, bersama Fikry Zainon dan Mohd Arsli Meor Atan Ahmad mengaku tidak bersalah atas pertuduhan khalwat yang dikenakan tersebut di hadapan Shaiful.

Sementara itu dua wanita yang merupakan kenalan mereka iaitu Azlina Yazit @ Aziz dan Hadijah Mohamad Mokhar mengaku bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar denda.

Kedua-dua mereka bagaimanapun membayar denda.

Fakhrul Azman Abu Hasan.

Mengikut fakta kes, kelima-lima tertuduh ditahan sekumpulan Pegawai Penguatkuasa Agama pada 23 Februari 2011 kira-kira pukul 6 pagi di sebuah rumah di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang dekat sini.

Kesemua mereka masing-masing didakwa di bawah Seksyen 29 (1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana berkhalwat yang boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Kelima-lima tertuduh hadir selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir sebutan kes berkenaan pada 10 April lalu.

Beego yang merupakan seorang duda pernah berkahwin dengan Intan Shariza Mohd Shahru,31, tetapi berpisah pada 16 Mac 2009 selepas dua tahun menjadi suami isteri.

Sementara itu usaha pihak media untuk mendapatkan Beego di luar mahkamah tidak berjaya apabila pelakon itu melarikan diri ketika wartawan ingin menemuinya.

Beego juga turut melarang jurugambar merakam gambar-gambarnya di luar mahkamah.

Tindakan itu dipercayai kerana kebimbangannya jika ditanya berhubung kaitan hubungannya dengan aktres Rozita Che Wan yang heboh diperkatakan sejak minggu lalu.