Friday, December 3, 2010

Ciba Vision jaga penglihatan


TAN LIAN SENG (berdiri kiri sekali) bersama wakil daripada Ciba Vision dan Focus Point di Start Foundation.


SALAH satu daripada peneraju global dalam penjagaan kesihatan mata, Ciba Vision, meneruskan fasa kedua projek Hari Penglihatan Sedunia 2010 dengan mengadakan lawatan ke Start Foundation di Petaling Jaya, Selangor sempena kolaborasi bersama syarikat jualan optik terkemuka negara, Focus Point.

Lawatan tersebut menawarkan pemeriksaan mata serta khidmat nasihat mengenai kesihatan mata secara percuma kepada kanak-kanak di yayasan tersebut selama tiga hari sebagai lanjutan daripada komitmen Ciba Vision bernilai RM10,000 kepada Start Foundation.

Ketika lawatan ke Start Foundation baru-baru ini, Ciba Vision menerangkan kepada kanak-kanak mengenai pengetahuan asas penjagaan mata dan turut melaksanakan pemeriksaan mata dengan bantuan pengamal penjagaan mata.

Start Foundation yang ditubuhkan bagi menggalakkan apresiasi dan pertumbuhan kemahiran kreatif pelajar sungguh bertuah kerana pelajar-pelajarnya diberi peluang menerima manfaat daripada kaedah rawatan percuma seperti kanta sentuh dan cermin mata mengikut keperluan.

"Kami bangga dapat bekerjasama dengan Focus Point selaku pakar dalam kalangan pengamal penjagaan mata demi membantu kanak-kanak ini dan menerapkan tabiat menjaga kesihatan mata semenjak usia muda.

"Kami berharap dapat melaksanakan projek-projek seumpama ini pada masa depan demi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mata dalam kalangan orang ramai secara amnya," kata Ketua Kesihatan Konsumer, Novartis Corporation (M) Sdn. Bhd., Tan Lian Seng.

Program tersebut berjaya direalisasi sebagai lanjutan daripada inisiatif Hari Penglihatan Sedunia 2010. Sejak September lalu, sebuah laman web turut direka untuk memberikan para pengunjung pengalaman mengenal pasti pelbagai jenis masalah mata.

Pengarah Start Society, Joshua Lee memberitahu, kerjasama bersama Ciba Vision amat dialu-alukan kerana penjagaan penglihatan dan memiliki kesedaran mengenai isu-isu kesihatan pada usia muda adalah amat penting untuk setiap artis, ahli muzik, penulis dan pelakon yang sedang menempa nama.

Penglibatan Focus Point dalam program tersebut adalah selaras dengan program tanggungjawab korporat untuk Focus Point Caring Hearts Charity Foundation bagi memberikan perkhidmatan masyarakat untuk kanak-kanak, golongan muda dan warga emas daripada pelbagai latar belakang.

Lebih daripada 800 juta orang di dunia adalah buta, mengalami penglihatan terjejas secara signifikan atau mengalami kemerosotan penglihatan jarak dekat.


PEMERIKSAAN mata percuma disediakan sempena lawatan ke Start Foundation.


Hampir tiga suku daripada isu penglihatan terjejas boleh dielakkan atau dirawat dan 80 peratus daripada masalah buta boleh dielakkan. Berbekalkan pemeriksaan mata yang kerap, cermin mata atau kanta sentuh, masalah-masalah ini boleh dihalang atau dirawat dengan mudah.

"Ciba Vision menyokong misi Hari Penglihatan Sedunia untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai kepentingan penglihatan yang sihat," ujar Lian Seng.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: