Wednesday, December 15, 2010

Bas untuk wanita melegakan


Wanita kini lebih selamat menaiki bas awam khusus untuk wanita. - Gambar hiasan


KEWUJUDAN bas dan koc komuter khusus untuk wanita, saya anggap sebagai satu rahmat kepada pengguna kenderaan awam seperti saya.

Hanya mereka yang setiap hari menggunakan kenderaan awam untuk pergi dan balik kerja saja yang faham ‘kesengsaraan’ yang kami alami.

Selain terpaksa menunggu lama kerana kebanyakan bas sampai tidak mengikut masa, kami juga terpaksa berhimpit-himpit dalam bas yang penuh sesak.

Waktu inilah golongan wanita seperti kami terdedah dengan jenayah ‘raba’ oleh lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab dan dalam keadaan sesak seumpama itu kadang kala kami tidak boleh berbuat apa.

Itu belum lagi dengan bermacam-macam ‘haruman’ yang menyakitkan hidung yang terpaksa dihidu terutama pada waktu balik kerja.

Oleh itu kehadiran bas untuk wanita cukup melegakan dan harap diperbanyakkan lagi pada masa depan.

Alasan ia menyusahkan penumpang yang berjalan bersama suami sebenarnya tidak timbul kerana mereka masih mempunyai pilihan untuk menaiki koc atau bas untuk kedua-dua jantina.

– Halimah Saidin, Eksekutif Jualan, Kuala Lumpur

Bagi mereka yang menaiki kenderaan sendiri ke tempat kerja langkah ini mungkin tidak membawa makna apa-apa, tapi ia cukup melegakan kepada pengguna pengangkutan awam.

Pengenalan bas atau koc khusus untuk wanita bukan sesuatu yang baru malah Malaysia dianggap ketinggalan berbanding negara-negara lain yang telah lama melaksanakannya.

Sebagai contoh di London sudah lama terdapat perkhidmatan teksi khusus untuk wanita dikenali sebagai Pink Ladies di mana teksi ini diwarnakan dengan warna merah jambu dari dalam hingga luar. Penumpang teksi ini perlu terlebih dahulu mendaftarkan diri sebagai ahli dalam komuniti Pink Ladies.

Saya rasa golongan lelaki tidak perlu berasa resah kerana mereka masih ada banyak pilihan lain. Bahkan mereka harus tumpang gembira kerana kini mereka tidak perlu berasa bimbang isteri, adik atau anak perempuan mereka tidak lagi berdepan dengan ancaman seksual ketika menggunakan pengangkutan awam.

Mungkin amalan ini boleh diperluaskan dalam perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti kaunter pembayaran khas untuk wanita diperkenalkan di pasar raya-pasar raya terkenal.

– LINDA HANI, Kuala Lumpur

SAYA rasa apa yang diperkenalkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad dengan koc merah jambu dan kini bas awam khusus untuk wanita merupakan satu langkah yang sangat bagus kerana ia dapat menjamin keselamatan golongan wanita.

Ini kerana walaupun mereka masih lagi perlu berasak-asak tetapi mereka tidak lagi perlu risau dengan jenayah seksual seperti kejadian raba yang sering terjadi di dalam bas ataupun komuter dan juga LRT.

Walaupun saya seorang lelaki, tetapi saya amat memahami masalah yang sering dialami oleh kaum Hawa kerana sudah pasti menaiki kenderaan awam tanpa kaum Adam merupakan satu rahmat buat mereka terutama sekali apabila tiba waktu puncak dan kini mereka (wanita) boleh menggunakan kenderaan awam dengan lebih selesa walaupun berasak sesama jantina dan itu lebih selamat.

- ZAINOL ABIDIN ZAKARIA,

KUALA LUMPUR

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: