Thursday, December 2, 2010

Ana Raffali Tetap Pilih Baju Kurung

Ana Raffali (tengah berbaju hitam) di majlis EH! 20 Yang Anggun

PETALING JAYA: Penyanyi lagu Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Ana Raffali tidak berasa janggal apabila mengenakan baju kurung moden dalam majlis-majlis tertentu dan mahu pakaian berkenaan menjadi penanda aras terhadap kejayaannya apabila berfesyen.

Malah baru-baru ini dalam sebuah acara hiburan yang dianjurkan oleh salah sebuah majalah fesyen, EH, Ana bijak mengayakan busana baju kurung moden rekaan Ariff Shukor.

“Baju kurung adalah penanda aras untuk saya berpakaian. Maknanya dari segi berpakaian saya mahu rekaan tersebut menepati ciri-ciri baju kurung iaitu selesa dan tidak seksi.

“Tidak kisahlah majlis apa pun, baju kurung masih tetap relevan untuk digayakan. Kini saya lebih selesa menggunakan khidmat pereka fesyen Ariff Shukor kerana dia faham apa yang saya mahukan,” ujarnya.

Jelas Ana, biarpun nampak mudah dengan mengayakan baju kurung, namun dia akui agak sukar kerana memerlukannya lebih kreatif mengayakannya agar bersesuaian dengan sesebuah majlis.

“Saya juga perlu sesuaikan dengan majlis apabila berbaju kurung. Pada malam parti anjuran majalah EH, saya mengayakan baju kurung moden yang disesuaikan dengan tali pinggang supaya nampak sedikit kelainan,” ujarnya yang turut layak ke Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) akan datang.

Dalam pada itu, Ana memberitahu persiapan ke AJL25 masih di peringkat awal. Dia yang layak dengan lagu Tolong Ingatkan Aku masih lagi mencari idea untuk memberikan yang terbaik pada malam tersebut.

“Kami sedang memikirkan kelainan dan keistimewaan di pentas AJL nanti. Buat masa ini saya hanya berlatih dari segi vokal manakala dari segi persembahan masih difikirkan lagi,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: