SEOUL - Pemerintah China semalam memberi amaran bahawa sebarang tindakan ketenteraan berhampiran perairannya dengan Semenanjung Korea akan menyebabkan rantau itu terjerumus ke dalam kancah peperangan.
Amaran itu dikeluarkan semalam oleh Kementerian Luar China menjelang kehadiran kapal induk George Washington bagi menyertai latihan ketenteraan bersama Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) esok.
"Kami menentang sebarang tindakan ketenteraan unilateral yang dilakukan di zon ekonomi eksklusif China tanpa kelulusan Beijing," kata satu kenyataan kementerian itu.
Zon tersebut merujuk kepada kawasan maritim yang terletak dalam lingkungan 370 kilometer dari perairan China.
Kenyataan berbentuk amaran itu juga disampaikan beberapa hari selepas Korea Utara melancarkan 170 bedilan artileri ke atas Pulau Yeoncheon milik Korea Selatan selepas ia mendakwa Seoul gagal menghentikan latihan ketenteraan di pulau itu yang terletak di perairan sempadan kedua-dua buah negara.
Semalam, tentera Korea Utara melakukan ujian tembakan artileri dekat pulau Yeoncheon sebagai amaran bahawa latihan ketenteraan bersama Korea Selatan dan AS itu meningkatkan risiko peperangan di rantau berkenaan.
Sementara itu, Korea Selatan melantik bekas ketua tentera, Kim Kwan-jin, 61, sebagai Menteri Pertahanan baru bagi menggantikan Kim Tae-young yang meletak jawatan selepas dikritik kerana berlembut terhadap serangan Korea Utara ke atas pulau Korea Selatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: