Saturday, October 23, 2010

Set gourmet Makan Kitchen


PUYUH yang diperap dan dibakar bersama terung.


KALAU ada yang bercerita dia menikmati rendang daging yang seolah-olah cair di dalam mulut, pasti anda akan menuduh dia seorang penipu. Tetapi andai anda menikmati daging lembu wagyu yang dimasak oleh Chef Ahmad Nurul Azri, anda juga akan mengakui kebenaran kata-kata itu.

Kepada mereka yang peka dengan dunia kulinari, daging lembu wagyu tidak perlu diperkenalkan. Berasal dari Jepun, daging lembu itu dianggap antara daging kelas super kerana harganya yang mahal.

Teknik ternakan yang teliti pada haiwan itu seperti memberi urutan selain diperdengarkan lagu antara faktor yang menyebabkan lembu wagyu hidup sihat dan kurang tekanan.

Dengan diet terpilih, semua regim itu menyebabkan daging lembu wagyu dikatakan lebih lembut, kaya dengan rasa dan berjus. Di Jepun, harga untuk 150 gram daging lembu wagyu mencecah AS$500 (RM1,554).

Populariti daging lembu wagyu menyebabkan beberapa negara yang terkenal dalam penternakan lembu seperti Australia dan New Zealand turut memelihara baka yang sama.

Apabila daging dalam kelas super bersatu dengan resipi penuh keghairahan daripada Ahmad Nurul, maka terhasillah satu hidangan daging rendang yang luar biasa.

“Untuk sajian ini, kami memilih daging wagyu kerana ia terkenal dengan kelembutannya. Malah untuk menambahkan lagi kelembutan dan keenakan rasanya, saya merenehkan daging wagyu ini selama enam jam bersama bahan seperti kayu manis, gula Melaka dan halia,” kongsi Ahmad Nurul, 36.

Menu yang dikenali sebagai slow cook wagyu beef cheek rendang itu bukan sahaja menjadi sajian utama dalam set hidangan Menu Festival Lengkap dari Restoran Makan Kitchen di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur bahkan gastronomi paling menjadi tumpuan dalam set itu.

Penyertaan kali pertama

Pengurus Besar Hotel DoubleTree by Hilton, Ian Barrow memberitahu, Menu Festival Lengkap merupakan set gourmet dari restoran hotel itu sempena penyertaan pertama kali dalam Festival Gourmet Antarabangsa Malaysia 2010 (MIGF).

“Makan Kitchen sebagai sebuah restoran baru dan membawa nama Hotel DoubleTree by Hilton yang pertama di Asia Tenggara. Jadi ini adalah peluang terbaik untuk menunjukkan filosofi sajian kami untuk tetamu tempatan dan antarabangsa,” kata Barrow.


PENCUCI mulut yang terdiri daripada lobak merah, halwa dan aiskrim.


Berbeza dengan menu hotel lain untuk MIGF, Makan Kitchen mempersembahkan tujuh hidangan dalam Menu Festival Lengkap yang membawa inspirasi 1Malaysia.

Setiap hidangan mengambil cita rasa sajian setiap etnik berbeza di Malaysia seperti Melayu, Cina, India, Peranakan, Kristang (Portugis Melaka) dan Iban.

“Kami mengambil masa lebih tiga bulan untuk mendapatkan idea dan mencuba resipi untuk Menu Festival Lengkap. Akhirnya terhasillah sajian pembuka selera umai-umai kekapis sajian popular Sarawak yang ditambahkan dengan salad midin dan telur ikan terubuk masin.

“Sajian yang mewakili peranakan nyonya iaitu otak-otak manakala sajian ketiga ialah ladu abalon rebus yang dihidangkan bersama sup Cina.

“Mengambil cita rasa Portugis Melaka, sajian keempat anak burung sumbat yang diperap dan dipanggang serta dihidangkan dengan terung,” ujar chef kelahiran Kuala Lumpur itu.

Selepas sajian utama rendang daging wagyu, sebagai pencuci mulut, Ahmad Nurul yang mempunyai 11 tahun pengalaman dalam bidang kulinari menyediakan menu cita rasa India iaitu lobak merah dan halwa halia dengan aiskrim.

Sebagai pembasah tekak, Menu Festival Lengkap tidak melupakan minuman kegemaran rakyat Malaysia iaitu teh tarik. Jika anda bukan penggemar teh, anda boleh meminta kopi tarik.

Sajian itu boleh dinikmati sehingga hujung bulan ini di Makan Kitchen yang terletak di tingkat 11 Hotel DoubleTree by Hilton.

Dengan hanya RM120++ seorang untuk set itu, ia tentunya menu yang wajib dicuba jika anda inginkan sajian 1Malaysia.

Untuk maklumat lanjut termasuk dengan tawaran diskaun anda boleh menghubungi talian 03-2172 7272.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: