Saturday, October 23, 2010

Resort tunggal di Pulau Rebak




SESEKALI dapat menikmati percutian indah di pulau terpencil dengan ditemani deruan ombak memukul pantai tentu sekali memberi pengalaman mendamaikan selepas mengharungi hiruk-pikuk kehidupan kota.

Percutian berkenaan tentunya akan menyimpan seribu kenangan apabila dapat berehat dalam keadaan tenang di tepi pantai memutih. Siliran angin menyejukkan tubuh badan sambil membawa udara laut yang menyegarkan.

Menikmati impian percutian sebegitu boleh diperoleh sekiranya ke Pulau Rebak iaitu antara gugusan 99 buah pulau kecil yang membentuk pulau legenda, Langkawi.

Di pulau ini, terletak satu-satunya resort bertaraf lima bintang dikenali sebagai Rebak Island Resort - A Taj Hotel (Rebak Island Resort).

Dimiliki syarikat korporat, DRB-Hicom, resort itu kini diuruskan oleh Taj Hotels Resorts and Palaces iaitu kumpulan hotel terbesar di Asia yang berpusat di Mumbai, India. Syarikat itu bukanlah asing dalam industri perhotelan kerana memiliki rangkaian hotel dan resort di 52 buah destinasi membabitkan 12 negara termasuk di Malaysia.


PULAU REBAK yang menempatkan Rebak Island Resort menjadi salah satu daripada 99 gugusan kepulauan kecil di Pulau Langkawi.


Sebaik sahaja pesawat yang dinaiki mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, penulis disambut mesra oleh kakitangan resort sebelum dibawa menaiki kenderaan.

Tidak sampai lima minit, kenderaan yang dinaiki tiba di Jeti Pelabuhan Langkasuka. "Tiada laluan darat untuk ke resort. Encik Ammar kena menaiki bot," kata lelaki yang dikenali sebagai Pak Sani itu.

Selepas meletakkan beg dan memakai jaket keselamatan, bot yang dinaiki mula membelah lautan menuju ke destinasi penginapan. Menikmati panorama dan keindahan lautan menyebabkan perjalanan selama 15 minit dirasakan begitu singkat. Dari jauh kelihatan Pengurus Besar Rebak Island Resort, Samir Khanna sudah sedia menanti.

"Selamat datang, bagaimana perjalanan dari Kuala Lumpur tadi?" tegurnya tatkala penulis menjejakkan kaki ke jeti.

Penulis dibawa mengelilingi kawasan persekitaran resort dengan menaiki kereta buggy. Biarpun pertama kali bersua, namun keramahan yang ditunjukkan Samir membuatkan penulis seperti sudah lama mengenalinya.

Perasaan tenteram dan damai segera menyuntik dalam diri apatah lagi dengan konsep bermotifkan kayu dan tradisional kontemporari, suasana santai resort sangat menyenangkan hati.


Nikmati pemandangan indah yang bersatu dengan kedamaian alam di Pulau Rebak.


Rebak Island Resort kini beroperasi dengan 82 buah bilik yang terbahagi kepada dua kategori iaitu 48 unit superior, 34 bilik deluxe termasuk vila satu bilik dan dua bilik. Pengunjung diberi kebebasan memilih pemandangan yang ditawarkan sama ada mengadap laut atau taman mengikut cita rasa masing-masing.

"Resort ini mula diuruskan oleh Taj Hotels Resorts and Palaces sejak tiga tahun lalu. Berbeza daripada resort-resort lain, resort ini lebih privasi kerana kedudukannya di dalam pulau.

"Pengunjung yang menginap di sini bebas menggunakan segala kemudahan yang disediakan. Kami mahu mereka merasai pengalaman bercuti seperti berada di rumah sendiri," katanya.

Samir memberitahu, bagi tujuan itu pihaknya menyediakan beberapa aktiviti secara percuma kepada pengunjung.

Antaranya ialah berkayak, bola tampar pantai, berbasikal, kelas memasak dan pengalaman memberi makanan kepada biawak yang hidup liar di kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya, pengunjung juga boleh mencuba beberapa aktiviti lain seperti ekspedisi 4X4, memancing, belayar menaiki bot, skuba, snorkeling mengikut pakej-pakej yang disediakan.

Katanya, terdapat tiga kawasan marina di Pulau Langkawi dan salah satunya terdapat di resort itu.


PERSEKITARAN resort yang dikelilingi landskap hijau mendekatkan pengunjung Rebak Island Resort dengan alam semula jadi.


"Selain menjadi tempat bot dan kapal berlabuh, terdapat juga ruang penyimpanan untuk tujuan penyelenggaraan dan baik pulih," jelasnya.

Penulis sememang menggemari aktiviti lasak seperti menjelajah hutan, namun tidak berkesempatan melakukannya disebabkan faktor cuaca yang tidak mengizinkan.

Pengalaman itu hanya dapat dikongsi semasa bertemu dengan seorang pelancong dari Belanda, Remco Onderwater, 40, yang menginap di situ.

Dia yang bercuti bersama isteri dan dua anaknya selama enam hari di resort itu tidak melepaskan peluang merasai pengalaman menjelajah ke dalam hutan pada hari kedua.

Katanya, pengalaman meneroka keindahan dan kehijauan hutan asli yang dianggarkan berusia jutaan tahun itu sangat mengujakan.

"Melihat keunikan flora dan fauna yang masih belum terusik di dalamnya membuatkan sesiapa sahaja terpesona.

"Sebaik tiba di penghujung laluan iaitu di Pantai Merah, mata saya seakan-akan terpaku melihat formasi batuan indah dan pintu gua batu yang begitu mengasyikkan. Tidak sangka di pulau sekecil ini mempunyai pelbagai keunikan tersendiri," katanya yang pertama kali terakhir berkunjung ke negara ini kira-kira enam tahun lalu.


SESEKALI berjemur, sambil mata dijamu dengan deruan ombak memukul pantai pasti sangat menenangkan jiwa.


Selepas puas melakukan aktiviti, pastinya perut berasa lapar. Restoran Senari yang dibuka dari pukul 7 pagi hingga 11 malam adalah jawapannya. Ia menyajikan pelbagai menu tempatan, Utara India dan Barat yang enak dan menyelerakan. Lampu hiasan yang diinspirasikan daripada bubu rotan serta lantai kayu menyerlahkan suasana ketika menikmati hidangan.

Bagi mereka yang inginkan privasi, boleh memilih untuk menikmati hidangan berlatarbelakang kawasan pantai atau marina. Cahaya lilin dan kerlipan bintang-bintang pasti membangkitkan suasana romantis terutama bersama orang tersayang.

Penulis juga turut berkesempatan membelai tubuh di Ulik Mayang Spa yang menawarkan pelbagai urutan tradisional. Sentuhan jari-jemari serta haruman minyak aromaterapi yang digunakan membuatkan badan kembali segar. Pengunjung yang mahu menikmati suasana berbeza boleh memilih untuk diurut di gazebo berhampiran pantai.

Suasana malam tidak semestinya dihabiskan di dalam bilik semata-mata. Selain menghabiskan masa di ruang bacaan, pengunjung juga boleh menikmati alunan muzik secara langsung yang dipersembahkan di Minum-Minum Cafe. Lagu-lagu evergreen dan kotemporari yang didendangkan membuatkan kaki bergoyang tanpa disedari.


KEMASAN perabot yang moden dan kontemporari menyerlahkan keunikan resort ini.


Seorang pelancong dari Bahrain, Sayed Jawad Alawi, 31, yang ditemui di sini memberitahu, Pulau Rebak merupakan salah satu destinasi yang bernilai tinggi dan begitu eksklusif sekali.

"Ketenangan di pulau sesuai untuk pasangan yang baru berkahwin seperti saya. Isteri saya sangat mementingkan privasi dan saya berpendapat pilihan saya ke sini sangat tepat kerana di pulau ini tidak terlalu ramai orang.

"Tambahan, saya senang sekali berada di sini kerana tiada masalah komunikasi antara kami dan pekerja di sini kerana ada di antara mereka boleh bertutur dalam bahasa Arab," katanya yang baru melangsungkan perkahwinan pada 21 September lalu.

Masa berlalu begitu pantas, tanpa disedari sudah tiga hari penulis berada di resort ini. Kini tibalah masa untuk pulang. Apa yang pasti, percutian yang dilalui memberi kepuasan maksimum yang sukar dilupakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: