Friday, October 22, 2010

Pertaruh nyawa

DEGIL...pelajar tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.
DEGIL...pelajar tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.
BAHAYA...penunggang motosikal tidak menghiraukan keselamatan anak.
BAHAYA...penunggang motosikal tidak menghiraukan keselamatan anak.

SUNGAI BULOH: Sebilangan pelajar dan ibu bapa di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh di sini, mempertaruhkan nyawa masing-masing apabila bersikap lepas tangan dengan tidak memakai topi keledar selain menunggang motosikal dengan laju.

Tinjauan Metroplus di kawasan bandar berkenaan mendapati, tindakan itu bukan saja boleh menyebabkan mereka terbabit dalam kemalangan, malah boleh meragut nyawa.


Penduduk, Mohd Arif Mohd Azri, 20, berkata, situasi berkenaan boleh dilihat setiap hari sama ada pada waktu pagi atau tengah hari ketika pelajar pergi dan pulang dari sekolah.


“Ramai di kalangan mereka menunggang motosikal dengan laju hingga membahayakan nyawa orang lain sedangkan sebahagian besar mereka tidak mempunyai lesen dan ada juga tidak mendapat kebenaran ibu bapa,” katanya ketika ditemui di Bandar Baru Sungai Buloh.Penduduk, Misran Suparman, 30, berkata, ibu bapa tidak sepatutnya membenarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar kerana terdedah kepada risiko kemalangan.


Katanya, pelajar sekolah yang tidak mengetahui undang-undang dengan senang melakukan kesalahan lalu lintas yang bukan saja menyusahkan keluarga, malah pengguna lain.“Saya minta ibu bapa memantau anak mereka supaya menggunakan topi keledar setiap masa. Sekiranya pelajar masih berdegil, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sepatutnya bagi menangani masalah ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh menasihatkan ibu bapa memantau anak mereka memakai topi keledar dan membenarkan pelajar menunggang motosikal selepas mempunyai lesen.


“Akibat tidak memakai topi keledar, banyak kes kemalangan berlaku membabitkan penunggang dan pembonceng berumur di bawah 25 tahun hingga merugikan negara.


“Untuk menangani masalah itu, kita bekerjasama dengan pelbagai pihak melaksanakan kempen advokasi mendidik masyarakat memakai topi keledar dan peruntukan undang-undang,” katanya.


Katanya, pihaknya mengambil langkah berganding bahu dengan Kementerian Pelajaran dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah dengan memanggil ibu bapa dalam memberi nasihat supaya dapat disampaikan kepada anak-anak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: