Friday, October 22, 2010

Muallaf: Amani enggan komen

SHARIFAH AMANI...memilih untuk berdiam diri.
SHARIFAH AMANI...memilih untuk berdiam diri.
MISLINA...punya bakat untuk genggam  anugerah.
MISLINA...punya bakat untuk genggam anugerah.

PENCALONAN Mislina Mustaffa untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) bersama tiga pelakon muda, Lisa Surihani, Putri Mardiana dan Jasmine Michael membuatkan ramai pihak meramalkan peluang paling cerah buat pelakon filem Karaoke itu.

Walaupun filem berkenaan kurang diperkatakan, lakonannya sebelum ini menerusi filem-filem arahan Yasmin Ahmad mendapat pujian ramai.

Malah, peluang sama disuarakan dua daripada tiga pelakon wanita yang pernah menjulang trofi itu sebelum ini, Vanidah Imran, Sharifah Amani dan Liyana Jasmay.Ternyata kehadiran tiga pelakon ini ketika sidang media FFM23 mengenai tajaan Rafflesia The Pearl Centre, baru-baru ini, mencuri tumpuan untuk berkongsi pandangan mengenai trofi yang menjadi impian setiap pelakon sebagai pengiktirafan usaha mereka dalam dunia seni lakonan.Walaupun tahun ini nama mereka tiada dalam senarai pencalonan, Vanidah dan Liyana tetap hadir menyerikan malam kemuncak FFM23 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam, Ahad ini sebagai penyampai trofi dan artis jemputan sekali gus memberikan sokongan kepada rakan yang bertanding. Manakala, Sharifah Amani tidak dapat hadir pada malam itu.

Vanidah yang menang Pelakon Wanita Terbaik FFM20 melalui lakonannya dalam filem The Red Kebaya berkata, dia menjangkakan Mislina akan mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik.

"Jika Mislina menang kategori itu ia akan memberi sesuatu yang baru pada bidang perfileman tanah air. Kenapa pelakon yang bersandarkan bakat semata-mata tidak dihargai seperti di luar negara?

"Contohnya, bintang Hollywood, Charlize Theron boleh menang menerusi watak lesbian dalam filem Monster's Ball. Charlize menang bukan kerana dia cantik sebaliknya kerana lakonannya yang mantap dalam filem itu," katanya.

Mengenai calon lain pula, kata Vanidah, pelakon Lisa Surihani yang dicalonkan melalui filem Lagenda Budak Setan (LBS) adalah pelakon berbakat, malah pernah menang Pelakon Harapan Wanita Terbaik melalui I'm Not Single, tetapi belum sampai tahap untuk menang Pelakon Wanita Terbaik.

Watak Ayu dijayakan Lisa dalam filem LBS dikatakan tidak begitu kuat untuk diangkat Pelakon Wanita Terbaik.

Bagaimanapun kata Vanidah, jika diberi peluang, Lisa memang boleh pergi lebih jauh lagi dalam bidang seni.

"Jasmine Michael yang berlakon dalam filem 1Malaysia, Estet juga baru berlakon satu filem begitu juga pencalonan Putri Mardiana dalam Santau.

"Pada pandangan saya, belum tentu seseorang pelakon itu bagus jika dinilai dalam satu filem saja. Dia perlu diberi watak lain dan di situ kita tahu dia boleh bawa watak itu atau tidak," katanya.

Turut dicalonkan dalam senarai Top 5 ialah Maya Karin yang pernah menang anugerah ini melalui filem Anak Halal di FFM21, tetapi wataknya sebagai Bella yang gedik dalam Pisau Cukur dilihat tidak begitu kuat. Ada meramalkan Fazura sebagai Intan Mastura lebih mencabar.

Cabaran bagi pelakon wanita di FFM23 kali ini juga dilihat kurang hebat dengan ketiadaan pelakon-pelakon hebat. Bagaimanapun, Vanidah dan Liyana tidak terkilan tiada dalam senarai Top 5 tahun ini kerana tiada filem baru untuk dipertaruhkan. Liyana turut membintangi Niyang Rapik, tetapi wataknya tidak mencabar.

Berbeza dengan Amani yang membintangi filem Muallaf arahan Yasmin Ahmad. Filem kontroversi ini diramalkan punya peluang cerah dalam banyak kategori, tetapi sangat mengejutkan apabila langsung tidak sangkut satu pun pencalonan.

Bagaimanapun, Amani yang menang Pelakon Wanita Terbaik di FFM19 melalui filem Gubra, enggan memberi komen mengenai keputusan calon Top 5 FFM23 kali ini.

Liyana yang menang Pelakon Wanita Terbaik FFM22 dalam filem Papadom, turut menjangkakan Mislina yang akan menang nanti.

"Mislina adalah pelakon yang sudah lama berjuang dalam bidang seni seperti Vanidah dan dia adalah pelakon yang sangat bagus dan memang layak untuk memegang trofi Pelakon Wanita Terbaik di FFM23.

"Saya memang minat dia dan menonton filem lakonannya sejak dulu. Kalau dia tidak menang juga, saya pun tidak tahu nak kata apa kerana semuanya bergantung pada rezeki masing-masing.

"Semua orang kena reda jika kemenangan berpihak pada Mislina kerana memang dia pelakon yang hebat. Saya sudah kenal Mislina sejak zaman dia bergiat dalam bidang teater lagi," katanya.

Untuk Pelakon Lelaki Terbaik pula menyaksikan pertarungan hebat antara Farid Kamil dalam Lagenda Budak Setan, Zulhuzaimy (Haq) dan Bront Palare (Belukar). Malah, lakonan Esma Daniel dalam Santau juga dilihat mempunyai harapan cerah untuk menang. Turut bertanding, Shamsul Yusof dalam Evolusi KL Drift 2.

Kata Vanidah, daripada maklum balas yang didengar, lakonan Esma dalam Santau cukup bagus manakala Farid dalam LBS okay saja dan tidak nampak mana 'setan'nya.
Dari segi pencalonan keseluruhan, kata Vanidah, kita perlu bersedia untuk menerima apa saja keputusan yang tidak dijangka akan berlaku pada malam kemuncak nanti.

"FFM bukan seperti Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang menilai pemenang dari segi populariti. Justeru, saya berharap, pihak juri akan memberikan trofi pada pelakon yang benar-benar serius menjadi anak seni dan bukan pelakon yang menjadikan karier seni sebagai satu persinggahan saja atau sudah hendak bersara.

"Anugerah juga diharap dapat memberi semangat pada pelakon kita untuk terus berkarya lebih baik lagi," katanya.

Seperti Vanidah, Liyana juga sepakat meramalkan kesmenangan akan berpihak kepada Zulhuzaimy atau Bront Palare untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

"Mereka berdua memang ada peluang cerah untuk menang," katanya yang turut berlakon dalam filem Senjakala dan Khurafat.


SENARAI PENCALONAN
>> Pelakon Lelaki Terbaik
Bront Palarae - Belukar
Esma Daniel - Santau
Farid Kamil - Lagenda Budak Setan
Shamsul Yusof - Evolusi KL Drift 2
Zul Huzaimy - Haq

>> Pelakon Wanita Terbaik
Jasmine Micheal - Estet
Lisa Surihani - Lagenda Budak Setan
Maya Karin - Pisau Cukur
Mislina Mustaffa - Karaoke
Putri Mardiana - Santau

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: