Friday, October 22, 2010

Juliana gemar cabar diri

pix_middle
pix_topright

BERPERWATAKAN seperti lelaki, kasar dan kurang feminin terus menjengah minda ketika ditugaskan menemu bual salah seorang duatlet wanita yang aktif menyertai Kejohanan Powerman (Powerman) Malaysia sejak lebih tiga tahun lalu.

Namun, tanggapan itu terus dibuang ke tepi kala berkenalan dengan Nor Juliana Ali yang hadir pada sesi itu dengan senyuman ceria sambil tampak manis mengenakan skirt separa kembang paras lutut yang dipadankan bersama blaus biru.


Pada pandangan kasar, penampilan itu sama sekali tidak menggambarkan betapa aktifnya wanita ini sebelum Juliana memperlihatkan sisi berbeza sejurus menukar pakaian sukan.


Ternyata wanita ini serius dengan pembabitannya dalam Powerman kerana sedaya-upaya cuba menyeimbangkan jadual kerjanya agar tidak bercanggah dengan penganjuran kejohanan itu.Bagaimanapun, Juliana menjelaskan bahawa ibu dan bapanya risau di awal pembabitannya dalam acara seperti itu berikutan ia boleh menjejaskan pelajarannya kerana dia perlu menghadapi perjalanan jauh dan memerlukannya keluar dari kawasan kolej.


"Ketika di kolej, ada beberapa kejohanan yang terpaksa saya ketepikan kerana komitmen pada pelajaran. Perkara sama juga berlaku selepas tamat belajar dan mula bekerja."Tapi, Powerman adalah antara kejohanan yang saya wajibkan menyertainya kerana ia berbeza dan tidak bertembung dengan jadual belajar dan kini sama sekali ia tidak mengganggu kerja saya," ujarnya.


Mengimbas pembabitan awalnya dalam kejohanan seumpamanya, Juliana menegaskan faktor aktif dalam pelbagai acara sukan sejak di sekolah rendah banyak mendorongnya menceburi aktiviti yang lebih mencabar.


"Saya suka mencuba dan menyertai aktiviti sukan di sekolah, tapi minat saya lebih terarah kepada acara trek khususnya pecut 100 dan 200 meter.


"Atas dasar minat itu juga membawa saya sehingga ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah di Kuantan bagi acara pecut 200m.


"Minat saya dalam larian makin berkembang ketika di sekolah menengah, di mana saya lebih suka acara jarak jauh seperti 1500m. Saya hanya mampu di tempat ketiga ketika pertandingan peringkat sekolah pada 1997. Tapi saya akhirnya muncul juara untuk acara itu pada tahun berikutnya," kata Juliana.


Usai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya meneruskan pelajaran ke tahap matrikulasi di Perlis, Juliana makin galak meneruskan minatnya itu dengan mula menyertai kejohanan larian tempatan yang membabitkan jarak sehingga 10 kilometer (10k).


"Saya mesti bersenam dan berlari di sekitar kolej bagi mengekalkan momentum sedia ada. Setiap pagi Sabtu, saya akan mengetuk pintu bilik rakan untuk minta mereka temankan saya berlari di sekitar kawasan blok asrama. "Apabila berkelapangan dan tiada kelas tambahan pada Sabtu atau Ahad, saya mula berani menyertai kejohanan tempatan seperti larian Pacesetters, New Balance dan seumpamanya.


"Sejak itu, secara perlahan-lahan saya tingkatkan jaraknya kepada 11k, 12k, 15k, 26k dan 30k. "Hanya pada 2006 saya berpeluang mencuba acara triatlon buat pertama kalinya di A' Famosa Resort, Melaka dan itu pun secara tidak sengaja. Rancangan asal cuma ingin menjadi tukang sorak kepada beberapa rakan yang menyertainya, sekali gus bertindak sebagai jurugambar mereka.


"Tapi selepas dicadangkan seorang rakan, saya terus bersetuju dan mendaftar kurang dua minggu daripada tarikh kejohanan berlangsung. "Jadi, saya cuma ada masa kurang dua minggu untuk berlatih berlari, berenang serta berbasikal, malah saya kekurangan peralatan seperti pakaian renang dan hanya menyarung kemeja-T ketika melengkapkan disiplin renang.


"Sejak awal penyertaan lagi saya tidak meletakkan apa-apa sasaran dan sekadar menyertainya bagi memperoleh pengalaman. "Hanya selepas pengalaman itu membuatkan saya menetapkan sasaran dengan sekurang-kurangnya memperbaiki catatan masa dan cuba memberikan yang terbaik dalam setiap kejohanan," ujarnya.


Tahun 2006 juga menyaksikan Juliana tampil buat pertama kali dalam kejohanan duatlon menerusi penyertaan di Kejohanan Duatlon UM-NFC di Universiti Malaya.


Perubahan daripada larian ke acara pelbagai disiplin nyata tidak menyukarkan pergerakannya meskipun ia memerlukan latihan dan perancangan berbeza.


"Bagi saya, duatlon dan triatlon lebih menyeronokkan dan mencabar kerana perlu melakukan beberapa disiplin berbanding sekadar berlari semata-mata.


"Walaupun perlu mengubah latihan dengan kumpulan berbeza, saya tiada masalah menyesuaikan diri dan dengan adanya laman web seperti www.runnersworld.com, ia banyak memberi panduan kepada peserta," katanya.


Sepanjang tahun ini, anak sulung daripada empat beradik itu sudah menyertai sembilan kejohanan larian, duatlon serta triatlon dan bakal kembali ke arena Powerman yang akan berlangsung di Seri Manjung, Perak pada 14 November ini.


Pemegang ijazah sarjana sains kemanusiaan ini juga giat mengumpul dana bagi membolehkannya menyertai kejohanan larian, duatlon dan triatlon di luar negara.


"Sebelum ini saya mengutamakan pelajaran dan tidak mahu menyusahkan keluarga dengan meminta wang untuk permohonan visa, tiket penerbangan dan perbelanjaan lain.


"Kini apabila saya sudah bekerja, saya mula mengumpul wang bagi membolehkan saya menyertai kejohanan lebih besar di luar negara. "Sasaran utama saya ketika ini ialah menyertai Kejohanan Maraton Tembok Besar China kerana saya merasakan ia acara yang menarik dan saya juga pernah menaiki tembok itu ketika rombongan kolej dulu.


"Rakan yang lain cuma berjalan perlahan-lahan menaikinya dan mereka lebih seronok mengambil gambar di kawasan permulaan, tetapi saya pula berlari mendakinya hingga tercicir daripada kumpulan rombongan.


"Tiba-tiba saya lihat kawasan sekeliling tiada orang dan saya sudah tertinggal jauh daripada rakan hingga terpaksa mengambil teksi untuk kembali ke lokasi permulaan.


"Selain di China, saya juga menyimpan impian untuk menyertai Kejohanan Ultramarathon yang dianjurkan di sekitar negara Asia," katanya.




>PROFIL
NAMA: Nor Juliana Ali
TARIKH LAHIR: 3 Ogos 1982
ASAL: Selangor
ADIK-BERADIK: Sulung daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Sains Kemanusiaan (Psikologi)
BLOG: http://missjewelz.wordpress.com
ANTARA PENYERTAAN:
2010
* Cabaran SAS Tioman Eco
* Cabaran Antarabangsa Hash Off Road 46km
* New Balance Pacesetters 15km
* Larian Pulau Pinang Malakoff 26km
* Siri Duatlon Universiti Malakoff
* Triatlon Antarabangsa Port Dickson (1.5km renang - 40km berbasikal - 10km larian)
* Larian Newton 12k
* Triatlon Jarak Jauh Antarabangsa Desaru (2km renang - 90km berbasikal - 21km larian)
* Larian Mizuno Wave 11k
2009
* Great Eastern Pacesetters 30km
* Kejohanan Ironman Langkawi (3.8km renang - 180km berbasikal - 42km larian)
* Triatlon Antarabangsa Port Dickson (1.5km renang - 40km berbasikal - 10km larian)
* Powerman Malaysia (11km larian - 60km berbasikal - 10km larian)
2008
* Great Eastern Pacesetters 30k
* Cabaran KL Towerthon Forest
* Triatlon Antarabangsa A' Famosa (1.5km renang - 40km berbasikal - 10km larian)
* Triatlon Antarabangsa Port Dickson (1.5km renang - 40km berbasikal - 10km larian)
* Triatlon Jarak Jauh Antarabangsa Desaru (2km renang - 90km berbasikal - 21km larian)
* Cabaran Pulau Perhentian
* Powerman Malaysia (11km larian - 60km berbasikal - 10km larian)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: