Friday, October 22, 2010

Banyak faktor belenggu penyelidik


MAMPU BERKEMBANG...penyelidikan boleh berkembang dengan jaya asalkan berada pada landasan sebenar.
MAMPU BERKEMBANG...penyelidikan boleh berkembang dengan jaya asalkan berada pada landasan sebenar.

BAGI universiti, penyelidikan antara nadi terpenting yang menyokong proses ilmiah, selain menjadi pemangkin melahirkan tenaga pensyarah berkualiti, berwibawa dan profesional.

Semakin banyak penyelidikan, semakin tinggi sesebuah institusi itu dipandang masyarakat, sekali gus dianggap elit serta berprestij.

Bagaimanapun, di negara ini, penyelidikan bagaikan terpinggir meskipun rancak dilaksanakan pelbagai institusi pendidikan tinggi (IPT).Lebih malang, hasil yang dikomersialkan masih kecil menyebab�kan timbul persoalan, apakah penyelidikan itu hanya seperti melepaskan batuk di tangga?Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) Institut Pengurusan Penyelidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Abu Bakar Abdul Majeed berkata, penyelidikan di IPT bukan hanya untuk pengkomersilan, tetapi mengaplikasi kepentingan akademik untuk tempoh panjang.

Beliau berkata, amat mendukacitakan jika ada melemparkan tohmahan penyelidikan satu pembaziran.

“Penyelidikan bukan mengaut keuntungan semata-mata, tapi penyumbang kepada pembangunan sesebuah institusi memartabatkan ilmu.

“Penyelidik bertungkus-lumus menghasilkan produk pendidikan sejagat demi meningkatkan kualiti sektor pendidikan tinggi negara,” katanya.
Katanya, penyelidikan dan pembangunan (R&D) bukan sesuatu yang mud
ah kerana ia mengambil masa lama, malah melalui pelbagai proses sebelum dikomersialkan.
Dengan kewujudan 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara, penyelidikan menjadi tunjang melahirkan pelbagai penemuan baru.

Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar melalui Program Penyelidikan Mengikut Bidang Keutamaan (IRPA), memberikan sokongan, antaranya dana e-sains teknologi untuk membawa produk ke pasaran lebih luas.

Dilaksanakan pada 1988, IRPA bertujuan membiayai aktiviti R&D dalam bidang berpotensi meningkatkan sosioekonomi termasuk untuk dikomersialkan.

Bagaimanapun, persoalannya, R&D seolah-olah dilambakkan tanpa dimanfaatkan ke peringkat lebih tinggi.

Atau apakah lambakan itu kerana tiada promosi atau terlalu sukar dipasarkan?

Menurutnya, penyelidikan bukan bidang mudah kerana ada standard serta peraturan ketat perlu diikuti. Promosi penting, tapi bukan faktor utama lambakan itu.

“Maklumat kurang diketahui, kekangan masa dan kerenah birokrasi turut menjadi faktor.

“Bidang penyelidikan di negara ini masih jauh ketinggalan berbanding negara luar,” katanya yang tidak menafikan hasil penyelidikan hanya berlegar kepada golongan tertentu yang berkepentingan.

“Masyarakat khususnya negara maju begitu terdedah dengan pelbagai hasil penyelidikan baru, mereka seronok dan mempunyai sikap ingin tahu.

“Di negara ini, penyelidikan dianggap hak eksklusif golongan tertentu seperti universiti, penyelidik serta swasta yang membuat pelaburan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, belum terlambat mendidik masyarakat menghargai usaha kerajaan tanpa mempersoalkan integriti dan kewibawaan penyelidik.

“Penyelidikan di negara ini masih baru tetapi ada yang berjaya diangkat sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Kita mampu melakukan, malah setanding penyelidikan peringkat dunia, cuma kekangan masa dan modal menghalang usaha mereka,” katanya.


INFO
● Pembiayaan skim IRPA merangkumi sektor penyelidikan agroindustri, alam sekitar, kesihatan, pembuatan, bahan, tenaga dan geosains, perkhidmatan, sosial, ekonomi, sains dan kejuruteraan.
● Berdasarkan statistik Ogos 2002, 15 universiti termasuk tiga institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) memperoleh kelulusan melaksanakan projek penyelidikan di bawah skim IRPA.
● Antara institusi berkenaan termasuk Universiti Multimedia (MMU) (lapan projek - RM1,105,491.80), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (empat projek - RM598,500), Universiti Teknologi Mara (UiTM) (18 projek - RM3,879,036), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (125 projek - RM105,803,313) dan Universiti Malaya (UM) (53 projek - RM95,956,986).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: