Wednesday, March 31, 2010

Muzik Video Seksi Panas Habis-Habisan Candy!

Zee Avi Enggan Berbahasa Malaysia… Dah Lupa Diri!

image 

Zee Avi menegaskan dia lebih selesa berbahasa Inggeris.

POPULARITI mendadak yang dikecapi pendatang baru, Zee Avi atau nama sebenarnya, Izyan Alirahman di tanah air sendiri sedikit tercalar lewat ini apabila didakwa enggan berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia walaupun dengan pihak media tempatan. Justeru, pelbagai ‘kata-kata nakal’ dan persepsi negatif mula memalit gadis berusia 23 tahun ini hingga mempersoalkan jati dirinya sebagai anak Malaysia dan diselar lupa diri.

Enggan membuat andaian sendiri, mStar Online yang bertemu gadis genit ini secara eksklusif baru-baru ini, mendapatkan penjelasan daripada empunya badan mengenai dakwaan itu. Jelas air mukanya berubah tatkala diajukan soalan. Bagaimanapun, Zee yang seakan sudah menjangkakan pertanyaan itu kelihatan tenang sebelum mengulas lanjut.

image

Ujarnya, bukan dia sengaja mahu dilabel sebagai lupa diri atau asal-usul ekoran keputusannya yang enggan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan itu.
Sebaliknya, penyanyi lagu Kantoi ini punya penjelasan sendiri berhubung dakwaan itu. Akuinya, sebagai anak Sarawak, dia sendiri secara fitrahnya tidak begitu fasih berbahasa Melayu.

Bukan dia tidak boleh atau sengaja tidak mahu bercakap dalam Bahasa Malaysia, cuma sejak kecil bahasa Melayu yang bermain di bibirnya adalah bahasa Melayu yang tidak rasmi. "Bukan saya tidak boleh cakap Melayu, cuma anda harus faham saya ini orang Sarawak. Bahasa Melayu Sarawak tidak sama dengan bahasa Malaysia rasmi. "Saya tidak begitu fasih dengan bahasa Malaysia rasmi. Selama ini pun saya menggunakan bahasa pasar dan ia tidak sesuai digunakan untuk urusan kerja dan rasmi.

"Lagipun, ketika di bangku sekolah saya belajar di sekolah aliran Cina. Bahasa yang saya pelajari adalah bahasa Mandarin. Selain bahasa Mandarin, saya hanya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris," kata gadis kelahiran Miri, Sarawak ini.
Justeru, selepas bergelar anak seni, mungkin tidak manis jika dia tidak dapat menggunakan perkataan dan struktur ayat bahasa Malaysia dengan betul.
Untuk mengelakkan sebarang masalah atau salah tafsir daripada mana-mana pihak, Zee Avi lebih senang untuk memilih Bahasa Inggeris sebagai medan komunikasinya.

image

"Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dengan mana-mana pihak terhadap penggunaan bahasa Malaysia saya, lebih baik saya menggunakan bahasa yang saya selesa untuk berkomunikasi. "Lagipun, bahasa Inggeris adalah bahasa standard yang difahami oleh semua pihak. Kita sepatutnya berbangga kerana boleh berbahasa Inggeris. Ini pun boleh dianggap sebagai ‘1Malaysia’ juga.

"Malah, secara tidak langsung, perjuangan muzik saya dengan medium bahasa Inggeris ini boleh mendekati kelompok peminat yang lebih besar dan bukan hanya terbatas kepada orang Melayu sahaja," jelasnya. Tambah Zee, keputusan untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi langsung tiada kaitan dengan jati diri atau ketaksubannya dengan bahasa itu selepas bergelar penyanyi antarabangsa.
Baginya, dia sentiasa ingat asal-usul dan jati dirinya sebagai anak Melayu Sarawak.

"Ingin saya tegaskan di sini, keputusan untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi langsung tidak ada kena mengena dengan kenyataan saya sudah lupa diri dan asal-usul. "Sudah tentu saya sentiasa ingat siapa diri saya dan dari mana saya datang. Saya bangga menjadi anak Malaysia. Malah, orang tua saya selalu pesan supaya sentiasa berpijak di bumi nyata dan ingat asal-usul kita. "Pada saya, isu bahasa ini tidak seharusnya timbul. Itu adalah pendirian saya. Saya amat hargai jika peminat menerima saya seadanya kerana muzik yang saya perjuangkan berbanding isu sebegini," ujarnya lagi.

Kegemilangan Jakel suku abad


Ruang yang luas memberi keselesaan kepada pelanggan.


BAKI lebih setengah meter ini puan kena beli juga sebab puan pelanggan terakhir walaupun puan nak lima meter sahaja. Kalau tidak rugilah kami sebab siapa nak beli yang lebihan ini."

Masih terngiang-ngiang sehingga sekarang kata-kata seorang pengurus sebuah gedung kain terkemuka di ibu kota tatkala penulis hendak membeli sepasang kain buat hadiah hari raya kepada ibu di kampung.

Kisah itu berlaku dua tahun lalu disebabkan mahu memaksimumkan keuntungan, penulis dipaksa membeli lebihan 1/2 meter itu.

Hati mula berkira-kira kerana terpaksa membayar lebih namun lebihan kain itu nanti bakal dibuang begitu sahaja. Takkan hendak dibuat renda pada baju kurung tersebut. Tidak pernah pula dibuat orang.

Puas penulis tawar-menawar namun hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh pengurus gudang kain tersebut.

Kesudahannya, ditinggalkan sahaja kain itu dan penulis terus berlalu keluar dengan perasaan sedikit marah kerana berasakan diri tertipu.

Sejak itu penulis serik untuk memasuki gudang-gudang kain yang hanya gah dengan nama sahaja namun langsung tidak menitikberatkan perkhidmatan kepada pelanggannnya.

Namun persepsi penulis mula berubah tatkala memasuki gedung kain Jakel yang terletak di Jalan Bonus, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kehadiran disapa dengan penuh sopan-santun dan semua pelanggan dilayan sama-rata.

Penulis sempat mengerling ke arah seorang pelanggan yang sedang tawar-menawar harga kain yang hendak dibelinya.

Sungguh tidak disangka, gedung kain yang semakin gah menempa nama di persada industri tekstil negara masih membenarkan pelanggannya tawar-menawar jika kena pada tawarannya.

Keselesaan untuk memilih kain juga amat dititikberatkan. Pelanggan yang masuk tidak akan diekori oleh jurujual-jurujual yang tidak diundang seolah-olah menganggap pelanggan seorang pencuri kain.

Pilihlah yang mana berkenaan dan setelah puas membelek panggillah jurujual untuk membantu dan akan dilayan bak tetamu VIP.

Mungkin itu antara faktor yang membuatkan nama Jakel begitu cepat menambat hati pengunjung di samping pilihan kain yang bervariasi serta eksklusif.

Menyorot sejarah 25 tahun Jakel

Tempoh 25 tahun bukan satu jangka masa yang singkat malah kalau anak muda sedang melangkah ke dunia yang lebih matang dan penuh pancaroba.

Begitu juga bagi Jakel yang menyambut ulang tahun suku abadnya dengan catatan pahit manis yang sesetengahnya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Individu paling sesuai berkongsi cerita 'riwayat' syarikat tersebut sudah tentunya Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Anak kedua daripada 12 beradik ini merupakan antara individu penting yang bertanggungjawab meletakkan Jakel pada kedudukan sekarang selepas mewarisi daripada ayahnya yang juga pengasas syarikat, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad.

Kata Mohamed Faroz, segalanya bermula pada tahun 1983 apabila ayahnya memulakan perniagaan fabrik secara kecil-kecilan di sebuah premis yang terletak di Muar, Johor.

Pada tahun sama, Mohamed Jakel yang mempunyai visi besar, mengambil keputusan memindahkan premis perniagaannya ke Segamat, Johor.

Pada permulaannya Jakel Trading menjalankan perniagaan tekstil secara pukal kepada peniaga-peniaga kecil di sekitar bandar Segamat dengan hanya bermodalkan RM30,000.

Sejak itu Jakel di Segamat mula dikenali sehingga ke seluruh Semenanjung.

"Boleh dikatakan setiap minggu akan ada rombongan bas dari pelbagai negeri terutama dari Pantai Timur turun ke Segamat untuk membeli kain di tempat kami.

"Adakalanya pelanggan agak kecewa kerana terpaksa berasak-asak dan ada juga yang tidak dapat masuk dalam kedai kerana terlalu ramai pelanggan yang datang sejak awal pagi lagi ," cerita Mohamed Faroz.

Memikirkan jumlah pelanggan yang semakin bertambah dan permintaan terhadap fabrik amat tinggi, maka Mohamed Jakel dan anak-anaknya yang terlibat dalam perniagaan keluarga itu mula memikirkan untuk membuka cawangan baru.

"Cawangan pertama kami dibuka di Johor Bahru dengan membeli lot rumah kedai. Syukur kerana perniagaan ini terus berkembang walaupun kegawatan ekonomi yang melanda sekitar tahun 1997.

"Bagi saya, apabila niat kita ikhlas untuk tolong bangsa kita sendiri maka segalanya akan dipermudahkan," luah Mohamed Faroz.

Apa yang pasti kehadiran Jakel telah mengubah persepsi masyarakat bumiputera khususnya dalam perniagaan tekstil.

Kini setelah 25 tahun bertapak dalam industri tekstil Jakel juga mempunyai matlamat untuk membuka satu cawangan di setiap negeri.

Untuk rekod, Jakel kini telah mempunyai 16 cawangan di seluruh negara untuk memberikan pilihan fabrik terbaik bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat Malaysia.

Belanja RM 1 Juta sempena ulang tahun

Sementara itu sempena ulang tahun ke 25, gedung fabrik Jakel merancang promosi istimewa sebagai menghargai sokongan tidak berbelah-bagi daripada para pelanggan setianya selama ini.

"Untuk itu kami talah memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk pelanggan kami. Ia diadakan dalam bentuk bonus pembelian bermula 26 Mac hingga 8 April ini.

"Penghargaan ini dibuat menerusi tawaran hadiah berganda pada fabrik, pakaian pengantin, renda Perancis dan langsir.

"Kami juga memberi pilihan kain terbaru yang direka khas untuk sambutan Hari Raya yang bakal disambut umat Islam pada bulan September ini," ujarnya yang begitu teruja dengan promosi yang diadakan hanya sekali sepanjang 25 tahun pembukaan Jakel.

Tambahnya, rakyat Malaysia patut merebut peluang ini yang disifatkannya terbaik dalam sejarah.

"Kain kami adalah khusus untuk semua golongan, seperkara istimewa lagi ialah kain-kain di Jakel tidak boleh didapati di luar itulah yang menjadikan kami eksklusif khusus untuk pelanggan di luar sana," ujarnya mengakhiri bicara.

Sintesis gaya Esprit


Wanita moden yang ingin bergaya ringkas
ke pejabat pada masa sama tampil rugged.


JENAMA Esprit antara yang menjadi pilihan anak-anak muda tidak kira lelaki mahupun gadis. Ada sebab kenapa ia begitu dekat di hati golongan tersebut.

Pertama, fesyen yang ditampilkan pada setiap musim ringkas dan menepati selera anak-anak muda yang gemar pada kebebasan.

Faktor lain sudah pastinya kepekaan barisan pereka Esprit yang sentiasa mengetahui dan mengikuti perkembangan fesyen yang diminati peminat jenama itu saban tahun.

Untuk koleksi musim 2010, Esprit wanita dipengaruhi dengan konsep 'pelancongan dunia'.

Menggunakan tema Sintesis Gaya, koleksi Esprit untuk wanita kali ini mengadunkan unsur kontemporari dan versatil. Bermakna koleksi kali ini boleh dipakai untuk majlis santai dan formal.

Bagi koleksi formal, direka sesuai untuk wanita moden yang ingin bergaya ringkas ke pejabat, dalam masa yang sama tampil rugged tanpa perlu mengenepikan ciri-ciri kewanitaan.

Koleksi two pieces ini menggabungkan jaket, kot trench, blaus dengan skirt pendek paras lutut. Ia memberikan keyakinan gaya ditambah pula dengan penggunaan fabrik menawan seperti krep, gorget dan sifon.

Rekaan untuk wanita ini juga mengetengahkan ciri eksotik dengan penggunaan warna-warna pastel, warna panas, kelabu yang digabung jalin bersama warna ceria untuk melengkapi cita rasa.

Ia turut menampilkan pakaian kasual yang menjanjikan keselesaan optimum tanpa meninggalkan elemen urban, sporty yang sesuai dengan cita rasa anak muda hari ini.

Dihasilkan dengan fabrik kapas ringan dan linen koleksi ini amat sesuai dipakai pada musim panas lagi hangat yang sedang melanda dunia kini.

Para pereka Esprit tidak lupa untuk menyelitkan unsur Bohemia dengan pengaruh Amerika Selatan seperti rekaan ikat, sulaman kait serta gabungan denim pada dres berinspirasikan gipsi yang diperkenalkan sempena koleksi musim ini.

Apa yang diminimumkan motifnya pada koleksi ini ialah corak grafik yang lazimnya dominan untuk setiap rekaan.

Michelle impikan ke Olimpik


Michelle Shepherdson dengan gaya mempesonakan.


LENGGOK badan diatur dengan begitu teliti. Kombinasi pelbagai gerakan halus dan ayunan kaki yang tangkas penuh dramatik memukau hampir setiap mata yang memandang.

Tanpa mempedulikan keadaan sekeliling dia bagaikan bersatu dengan gelanggang yang putih bersih meluncur mengikut formasi sambil diiringi alunan muzik latar yang mengasyikkan.

Tambah menawan dengan kostum yang berkerlipan umpama mahu membawa penonton ke dunia fantasi.

Gerak-geri tanpa cela itu diselitkan dengan putaran dan lompatan bagaikan menghiasi pentas yang merupakan blok-blok ais licin yang kelihatan seperti sebuah kolam beku.

Bagi yang sudah sebati dengan gelanggang seperti Michelle Shepherdson, 14, gerakan fizikal sebegitu nampak mudah tetapi hakikatnya ia cukup sukar terutama bagi yang baru pertama kali mencuba.

Buktinya di tepian gelanggang satu demi satu mereka yang ingin berkongsi gelanggang dengan peluncur ais muda itu jatuh sama ada tergelincir mahu pun terduduk kerana gagal mengimbangi pergerakan badan.

Malah, penulis sendiri ketika diberi peluang pertama kali mencuba untuk meluncur turut terjatuh di atas blok ais yang dingin di satu-satunya gelanggang luncur ais di pusat membeli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor.

Bagi Michelle gelanggang luncur tersebut ibarat rumah keduanya kerana di situlah dia menghabiskan sebahagian besar masa lapangnya.

''Setiap hari saya akan memperuntukkan masa selama tiga hingga enam jam di gelanggang ini," ujarnya sambil tangan mengusik tali sepatu luncur yang mungkin longgar agaknya.

Menceritakan bagaimana boleh terlibat dengan sukan luncur ais secara serius, anak kepada pasangan Veronica Kulatissa dan Aubrey Shepherdson itu berkata, ia bermula dengan suka-suka.

''Pada mulanya saya cuma ingin mencari aktiviti bagi mengisi masa lapang sambil berseronok tetapi lama-kelamaan jatuh minat dan timbul keinginan untuk menyertai kejohanan-kejohanan luncur ais yang dianjurkan ,'' ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.

Dari situ satu demi satu kejuaraan diraih yang bukan saja membanggakan dirinya bahkan keluarga.

''Pada pertandingan luncur ais peringkat kebangsaan baru-baru ini saya mendapat tempat pertama dan membawa pulang pingat emas,'' ujar Michelle dalam nada cukup gembira.

Malah, dia yang mula mengenali gelanggang luncur ais sejak berusia tujuh tahun lagi, pernah mewakili Malaysia dalam kejohanan di Singapura, China dan Filipina.

Bagi 'ratu luncur ais' ini, asas utama untuk menghayati sukan ini adalah keberanian dan keyakinan.

Pada awal pembabitannya dua dia mengaku kerap berasa takut dan tidak percaya dengan kebolehan diri terutama ketika berdepan dengan pesaing-pesaing yang lebih handal dalam sesuatu kejohanan.

Namun kata-kata semangat oleh jurulatihnya, Surayu Dakshini sedikit sebanyak telah membantu meletakkan Michelle pada kedudukan sekarang.

''Dorongan dan kata-kata semangat yang diberikan banyak merubah pendirian saya sehingga berada seperti hari ini,'' ujarnya.

Menurut Michelle, sukan tersebut mempunyai kaitan rapat dengan tarian balet dan gimnastik kerana ia berkisar soal keseimbangan badan serta pergerakan dan struktur badan.

Selain itu, aktiviti itu juga membuatkan dia lebih sabar, peka dan tidak mudah mengenal erti putus asa.

''Apabila sudah berada di gelanggang seseorang peluncur perlu benar-benar fokus dan peka kerana terlupa tentang sesuatu pergerakan mungkin boleh menyebabkan kecederaan," ujar pelajar Tingkatan Dua, Sekolah Sri Cahaya, Shah Alam, Selangor ini.

Ceritanya lagi, sepanjang terlibat dalam sukan luncur ais ini, dia pernah beberapa kali tercedera termasuk luka kaki kanannya.

Namun jelasnya, luka dan cedera adalah perkara biasa dalam diri seorang peluncur ais.

''Jatuh di atas ais sebenarnya lebih sakit berbanding di atas tanah dan lantai tetapi perkara itulah yang membuatkan kita lebih berhati-hati

"Semua itu tidak mematahkan semangat saya, malah ia memberi pengajaran kepada saya supaya lebih fokus dalam beraksi,'' katanya penuh semangat.

Michelle merupakan antara pelajar yang mencapai tahap ke-10 dalam pergerakan 'gaya bebas' - tahap yang dianggap tinggi bagi peluncur ais di Malaysia.

Katanya, untuk mencapai tahap itu dia terpaksa melalui beberapa ujian bagi memastikan betul-betul layak memperolehinya.

"Untuk menguasai aksi menari bukan sesuatu yang senang, malah banyak teknik yang perlu dipelajari.

''Semestinya ia memerlukan banyak latihan supaya kita lebih fokus tentang teknik dan gaya yang kita pelajari,'' katanya.

Ditanya mengenai sokongan dan dorongan, gadis yang berkulit hitam manis itu memberitahu, ibunya sering menemani sepanjang dia berlatih.

''Kesungguhan ibu untuk menemani membuatkan saya begitu teruja dan bersemangat untuk berlatih. Ibu sanggup membawa buku untuk di baca sepanjang menunggu saya habis berlatih,'' ujarnya ceria.

Malah sesekali bapanya turut hadir menemaninya terutama ketika berlatih pada hari minggu.

''Kehadiran kedua ibu bapa membuatkan saya semakin bersemangat. Kini adik saya, Latisha juga berminat menyertai sukan luncur ais ini," katanya.

Mengimbas kembali perjalanannya dalam sukan tersebut , Michelle memberitahu, dia terpaksa mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk mempelajari teknik-teknik rumit seperti lompatan.

''Meluncur ais juga memerlukan lenturan badan yang fleksibel. Oleh itu, kebiasaannya pelatih akan mengambil kelas tambahan di luar seperti balet, gimrama atau gimnastik,

''Tetapi kalau mereka mempunyai asas menari, ia akan memudahkan jurulatih mengajar,'' ceritanya.

Melihat kemahiran gadis tinggi lampai itu, bukan mengejutkan jika dirinya pernah disenaraikan dalam pasukan untuk bersaing dengan pasukan luncur ais luar negara.

Siapa tahu dengan minat dan komitmen yang ditunjukkan tidak mustahil dirinya boleh menjadi peluncur ais bertaraf dunia pada masa akan datang.

''Impian saya satu hari nanti dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara. Di sana, bolehlah saya memantapkan lagi teknik dan gaya untuk menjadi antara peluncur ais terbaik dunia," kata Michelle tanpa berselindung.

Malah tegasnya lagi, dia juga mempunyai perancangan untuk menjadi jurulatih bagi mencungkil bakat-bakat baru sekali gus mempopularkan lagi sukan tersebut di negara.

Ralit bercerita, Michelle memberitahu dia kini dalam persiapan untuk menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk.

''Biarpun saya tahu, tahun depan akan menduduki peperiksaan penting, Penilaian Menegah Rendah (PMR), namun saya perlu membahagikan masa antara pelajaran dan juga minat.

''Dari sekarang saya perlu mengatur masa agar tidak terdesak dalam membahagikan masa,'' ujarnya serius.

Malah dia merancang untuk menyertai kelas intensif di rumah bagi memastikan tidak ketinggalan dalam pelajaran selepas sebahagian besar masa terluang dihabiskan di gelanggang ais.

Dua wanita tawan 'puncak maut'


Oh Eun-Sun bakal menjadi wanita Korea Selatan dan Asia pertama menakluk 'puncak maut'.


SASARAN mereka adalah untuk menjadi wanita pertama memecahkan rekod dunia dengan menakluk puncak Annapurna yang merupakan gunung paling mencabar di Banjaran Himalaya.

Pergunungan yang digelar 'puncak maut' oleh para pendaki profesional itu merupakan yang ke-14 tertinggi di dunia.

Dua wanita berhati waja itu ialah Oh Eun-Sun dari Korea Selatan dan Edurne Pasaban dari Sepanyol.

Mereka adalah antara pendaki wanita yang kini bersaing untuk menjadi wanita pertama menakluk puncak yang berketinggian 8,000 meter itu.

Untuk rekod, manusia pertama yang pernah sampai ke puncak Annapurna ialah pendaki dari Itali, Reinhold Messner.

Messner jugalah manusia yang pernah menakluk kesemua 14 gunung tertinggi di dunia pada tahun 1986.

Pun begitu belum pernah ada lagi wanita yang berjaya mengikuti jejak langkah Messner.

Itulah yang menjadi pendorong utama Eun-Sun dan Pasaban agar nama mereka tercatat dalamrekod dunia tahun ini sebagai wanita pertama menakluk gunung yang paling berbahaya itu.

Eun-Sun telah berjaya mendaki 13 puncak yang kesemuanya terletak di Banjaran Himalaya dan Annapurna adalah matlamatnya terbaru.

"Jika saya berjaya menakluk Annapurna, sudah pasti saya amat berbangga. Perasaan tersebut bukan sahaja untuk diri saya sendiri malah untuk negara saya dan seluruh Asia," ujar wanita berusia 43 tahun itu.

Eun-Sun berkata demikian ketika ditemubual oleh sekumpulan wartawan setibanya di Kathmandu, ibu kota Nepal untuk ekspedisi mencabar tersebut.

"Saya tidak tahu mengapa belum ada pendaki wanita yang berjaya. Mungkin kerana stigma kedudukan wanita yang sejak azali tidak boleh menyaingi lelaki," tambahnya.

Saingan Eun-Sun, Pasaban pula masih belum berjaya mendaki dua lagi puncak, satunya sudah tentu Annapurna dan satu lagi ialah Shisha Pangma di daerah Tibet di China.

Pasaban juga bercita-cita besar untuk menakluk kedua-duanya pada April atau Mei iaitu sebelum musim pra-monsun tiba.

Wanita Sepanyol itu bagaimanapun berharap dapat ke Tibet dahulu untuk mendaki Shisha Pangma sebelum ke Annapurna.

Shisha Pangma yang berketinggian 8,091 meter memang berbahaya bukan sahaja dari segi teknikal pendakian malah amat berkecenderungan untuk menghadapi runtuhan salji.

Gunung tersebut juga mencatat rekod pendakian maut yang lebih tinggi berbanding Gunung Everest.

Tapi nasib tidak menyebelahi Pasaban apabila pihak berkuasa China tidak memberi kebenaran untuknya mendaki pada bulan depan, jadi dia tidak mempunyai pilihan lain selain mendaki Annapurna dahulu.

Eun-Sun dan Pasaban sebenarnya akan turut dicabar oleh pendaki dari Austria, Gerlinde Kaltenbrunner dan Nives Meroi dari Itali.

Kaltenbrunner pernah gagal menakluk K2, pergunungan kedua tertinggi dunia yang terletak di sempadan Pakistan-China manakala Meroi pula sudah menakluk 11 pergunungan tertinggi dunia.

Seperti Eu-Sun, Pasaban juga pernah cuba menakluk Annapurna pada tahun 2007, tetapi dia dan ahli kumpulannya terpaksa berpatah balik kira-kira 1,000 meter dari puncak kerana cuaca yang terlalu buruk.

"Annapurna memang susah dan amat berbahaya. Sesetengah pendaki menyifatkan Annapurna adalah gunung yang paling berbahaya dalam semua gunung di dunia.

"Ramai rakan pendaki saya telah menemui ajal mereka di sana, jadi perasaan saya sedikit goyah untuk menakluk pergunungan tersebut.

"Tapi jika saya tidak lakukan kali ini, berkemungkinan saya tidak mempunyai peluang lagi," ujarnya.

Kedua-dua wanita itu dijadualkan akan mendaki pada awal April dan sebelum itu mereka akan menjalani latihan intensif sebagai persediaan mental dan fizikal.

Pasaban, 36, yang tidak pernah menggunakan oksigen sepanjang ekspedisi mengakui pernah putus asa dalam mencapai impiannya menakluk pergunungan mencabar itu.

"Pendaki wanita lazimnya mencapai kegemilangan pada usia mereka 30 hingga 40 tahun. Namun ramai yang berpendapat pada usia tersebut wanita harus mengisi masa dengan melaksanakan tanggung jawab terhadap keluarga.

"Memang beberapa tahun lalu saya berhadapan dengan masalah keluarga yang secara tidak langsung menjatuhkan semangat saya untuk mendaki. Tapi kini saya semakin jelas dengan matlamat saya," ujar Pasaban.

Pasaban turut mengakui hakikat sukar untuk menandingi pesaingnya, Euh-Sun dan menyifatkan galakan serta tajaan yang diperolehi oleh pesaingnya itu merupakan satu kelebihan berbanding dirinya.

Tidak seperti Pasaban, Euh-Sun akan diterbangkan ke kem asas Annapurna dengan menaiki helikopter.

"Ramai yang memperkatakan dengan persaingan ini, jadi saya rasa ada baiknya kami berdua tiba di puncak tersebut bersama-sama. Tapi kami terpaksa mendaki secara berasingan dan nasib akan menentukan segalanya," kata Pasaban.

Koleksi Moma inspirasi seni


Lewre Lew bangga dengan koleksi terbaru Lewre 2010 yang bertema New York.


BANDAR New York yang tidak pernah 'tidur', sentiasa penuh keriangan baik siang atau malam menjadi sumber inspirasi bagi koleksi terbaru kasut Lewre 2010.

Daripada karpet merah Oscar ke Broadway, gaya ceria dan funky atau penuh glamor dan sofistikated, koleksi ini memilih tema Moma, Jetsetter, Central Park dan Yellow Cab yang sememangnya terkenal di New York.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Kreatif Lewre, Datuk Lewre Lew, The Museum of Modern Art (Moma) menghimpunkan bahan-bahan seni moden dan kontemporari merupakan tempat yang penuh dengan kreativiti.

Semua ini menjadi inspirasi bagi menghasilkan koleksi Moma dengan rekaan artistik dan urban.

''Warna-warna kontras dan neutral dihias pada renda dan fabrik jarang bagi mendapatkan rekaan yang seksi, ringkas dan selesa sementara corak ular sawa untuk gaya yang lebih berani.

"Setiap rekaan Moma mempamerkan gaya kreativiti yang kontemporari dan sofistikated.

''Koleksi Jetsetter pula penuh bergaya, seksi dan eksotik. Rekaan mewah yang menggunakan bahan-bahan yang selesa namun pantas menarik perhatian sesiapa yang terpandang kasut daripada koleksi ini,'' kata beliau ketika ditemui di majlis pelancaran Koleksi Musim Bunga/Panas Lewre 2010 di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.

Beliau menambah, koleksi Jetsetter nampak garang dengan corak harimau kumbang warna terang seperti keemasan, gangsa dan hijau bulu merak.

Terdapat dalam bentuk slingbacks, sandal bertali, koleksi ini memperlihatkan keseksian si pemakai.

Koleksi Central Park pula ujarnya, diilhamkan daripada suasana tenang seperti yang dilihat di Central Park.

Memakai koleksi ini terasa keselesaannya ditambah dengan keindahan rekaan yang nampak semula jadi.

Mengekalkan kelembapan kulit


MOISTURE Surge Extended Thirst Relief oleh Clinique.


IKLIM di Asia menyebabkan kulit lebih terdedah kepada perubahan persekitaran yang ekstrem. Dengan keadaan cuaca di luar yang panas dan lembap manakala suhu dalam bilik pula sejuk dan kering, menyebabkan kulit dinyahhidratkan atau mengalami ketidakseimbangan.

Kesannya muncul garis-garis halus, kulit mengelupas, ketat dan kusam yang memerlukan perhatian dan rawatan khusus.

Memenuhi kehendak itu Clinique memperkenalkan Moisture Surge Extended Thirst Relief sebagai rumusan terkini yang menyegarkan kulit dengan serta-merta.

Pada masa sama ia membantu mengekalkan lembapan kulit sehingga 24 jam tanpa mengira peralihan suhu mahupun kelembapan.

Krim gel ini menawarkan lembapan sama ada dalam cuaca teruk, suhu kering dan lembap, berada di luar mahupun di dalam bangunan.

Ini kerana teknologi penghidratan barunya membenarkan kulit menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

Gel bersifat ringan ini memperbaiki keupayaan pembendungan lembapan semula jadi kulit untuk penghidratan yang menyeluruh dan meresap jauh ke dalam lapisan kulit (stratum corneum) untuk lembapan yang berpanjangan.

Generasi baru Moisture Surge masih mengekalkan tekstur ringan yang asli dalam bentuk gel rona pic pucat.

Pengguna setia krim ini pasti teruja apabila mendapati tekstur dan manfaat Moisture Surge Extra Thirsty Skin Relief dikekalkan, tetapi kini dengan teknologi perangsang lembapan serta-merta dan berpanjangan

Kulit terasa segar, lembut, halus dan garis halus diminimumkan. Ia diperkaya dengan bahan-bahan seperti Trehalose dan Sorbital, iaitu gula terbitan yang meresap jauh ke dalam lapisan kulit untuk membantu memaksimumkan keupayaan semula jadi kulit bagi 'menarik' lembapan biarpun ketika perubahan suhu dan kelembapan yang drastik.

Bahan Thermus Thermophillus Ferment pula membantu kulit agar dapat bertahan dengan perubahan suhu di luar dan di dalam bilik, sekali gus 'mengikat lembapan untuk mengekalkan keutuhan kulit.

Gunakan dua kali sehari sebagai pelembap muka iaitu pada waktu pagi atau menyapukannya pada tengah hari biarpun muka sudah bersolek ataupun telah menggunakan pelembap lain.

Pedap krim gel ini pada muka jika mahu menggunakannya selepas mengoles produk lain terlebih dahulu.

Juga boleh dijadikan pupur muka dengan sapuan tebal pada seluruh muka yang telah dibersihkan, biarkan selama lima minit, kemudian lap bersih dengan menggunakan tisu dan urut perlahan untuk meningkatkan lembapan kulit.

ATM lancar lima teras direktif pendidikan

KUALA LUMPUR 30 Mac - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melancarkan lima teras utama dasar pendidikan baru sebagai langkah berterusan dalam melahirkan warganya yang berilmu dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani.

Pengarah Pendidikan ATM, Brig. Jen. Datuk Anuar Sabtu berkata, lima teras utama yang diberi perhatian adalah pembangunan modal insan, kepimpinan dan pengurusan, penyuburan sistem pemerintahan rejimental, penguasaan teknologi maklumat dan pengamatan budaya hidup sihat.

Menurutnya, teras baru ini akan melahirkan warga tentera yang lebih berkualiti dari segi pengurusan dan kebolehan menjadi seorang pendidik.

"Saya berharap agar kawalan penugasan anggota setempat dapat diperkasakan dengan kewujudan Penilaian Komitmen Anggota Kor Perkhidmatan Am (KPA).

"Saya meminta seluruh anggota KPA bahagian pendidikan supaya bekerjasama menjayakan dasar ini dalam usaha memastikan KPA terus relevan dan mencapai misinya,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas melawat Pusat Permata Anak Negara Tentera Darat (PAPN TD) di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Staf Perkhidmatan MK Medan Tentera Darat, Brig. Jen. Datuk Emran Yusoff dan Pegawai Permata, Mohd. Imrizal Abdul Aziz.

PAPN TD merupakan kesinambungan Program Permata Anak Negara Tentera Darat (PPN TD) ditubuhkan pada 2 November 2009 bagi merealisasikan cetusan idea isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak.

Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) mengadaptasi sistem pendidikan dari United Kingdom bagi menyediakan program yang dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi kanak-kanak untuk PAPN TD.

Anuar memberitahu, PAPN TD akan dirasmikan oleh Rosmah tidak lama lagi kerana pusat berkenaan sudah mencapai spesifikasi yang ditetapkan.

"Perkembangan minda kanak-kanak di sini sangat positif walaupun baru empat bulan pusat ini beroperasi,'' jelasnya.

ANJING PERANG BANTU TENTERA


Penggunaan anjing perang oleh ATM mampu membantu dalam melakukan rondaan terutama di sempadan.


LEWAT petang tanggal 7 Julai 1979, seekor anjing perang baka German Shepherd bernama Max ligat menjalankan tugasnya mengesan jerangkap samar yang dipasang komunis di sekitar kawasan hutan di Bukit Pertang, Pahang.

Seketika kemudian, beberapa das bunyi tembakan menggegarkan kawasan itu.

Beberapa orang anggota Tentera Darat (TD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kemudiannya melihat kelibat Max berpatah balik ke arah mereka yang berada kira-kira 50 meter di belakang.

Beberapa minit kemudian, Max sudah tidak mampu untuk berdiri lagi dan akhirnya mati kerana terkena tembakan komunis.

"Itulah sejarah yang pernah berlaku ketika operasi memburu komunis dilakukan 30 tahun lalu. Sebenarnya, komunis naik minyak kerana kami menjalankan operasi selama lima hari berturut-turut, siang dan malam untuk mengesan pergerakan mereka.

"Pihak komunis melepaskan kemarahan mereka dengan menembak anjing perang berkenaan," begitu cerita Ketua Cawangan Anjing Perang Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor, Lt. Kol. Toh Seng Ho.

Zaman berlalu, pemberontakan komunis yang pernah menggugat keamanan negara telah lenyap, namun sumbangan anjing perang masih relevan lagi dalam ATM khususnya TD.

FUNGSI ANJING PERANG

Walaupun dalam kelompok haiwan, anjing perang boleh digolongkan sebagai sebahagian daripada "warga" ATM. Khidmatnya juga penting terutama dalam misi seperti kerja mencari dan menyelamat.

"Sebagai contoh, pada 2007, insiden helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Genting Sempah yang mengorbankan lima pegawainya, menggunakan khidmat anjing pengesan untuk kerja-kerja mencari serta menyelamat," kata Seng Ho.

Menurutnya, khidmat anjing pengesan dalam TD mula diperkenalkan pada tahun 1971 dan pada awalnya ia terlibat dalam operasi memburu komunis di perbatasan meliputi kawasan Semenanjung termasuk di Sabah dan Sarawak.

Di Pulada, terdapat 72 ekor anjing perang yang terlatih dengan lima pegawai bertanggungjawab memantau operasi serta 125 anggota lain-lain pangkat.

Katanya, anjing-anjing perang atau pengesan itu dikelaskan mengikut tiga kategori iaitu pengawal, pengesan dan pencari.

Anjing pengawal adalah daripada baka German Shepherd dan Rottweiler, manakala pengesan yang sering digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat pula, menggunakan anjing jenis Labrado, English Spaniel dan German Shepherd.

Proses pembelian anjing biasanya dilakukan melalui tender terbuka setiap dua tahun sekali dan baka yang terbaik diperoleh daripada United Kingdom (UK).

"Bagaimanapun, kebelakangan ini, tentera mula membeli daripada China kerana faktor harga yang lebih murah. Harga seekor anjing boleh mencecah sehingga RM100,000," katanya.

LATIHAN

Aksi dan kelakuan anjing dalam filem-filem seperti Snow Dogs atau Lasslie terbitan Hollywood kadangkala begitu menghiburkan, namun bagi Seng Ho yang telah berpengalaman hampir 30 tahun dalam lapangan itu, melatih anjing perang tidaklah menghiburkan seperti menonton filem-filem tersebut.

Benar, kajian menunjukkan anjing ialah haiwan yang bijak tetapi bagi pegawai-pegawai di Cawangan Anjing Perang, melatihnya memerlukan masa yang panjang serta komitmen jitu kerana mereka bukan melatihnya untuk tujuan pertunjukan hiburan.

"Untuk sesuatu pertunjukan, masa latihan ialah selama satu tahun setengah dan anjing-anjing ini mestilah mencapai piawaian yang ditetapkan iaitu lulus ujian asas mengikuti arahan seperti duduk serta baring.

"Anjing yang mencapai tahap suku latih (dilatih antara dua hingga tiga bulan) tidak berhak digunakan untuk sebarang operasi, manakala anjing yang capai tahap tiga suku latih pula (menerima latihan selama enam bulan) boleh digunakan sekiranya keadaan memerlukan," katanya.

Seng Ho berkata, standard paling tinggi yang dicapai anjing perang ialah latih penuh. Ketika ini anjing berkenaan, bersedia digunakan pada bila-bila masa dalam apa juga situasi.

Anjing-anjing perang juga dilatih supaya tidak menyalak atau menggigit apabila berhadapan dengan bahaya.

Katanya, apabila ada ancaman, anjing berkenaan akan memusingkan badan tanda enggan meneruskan perjalanan serta mengangkat ekornya dan keadaan itu menunjukkan ada sesuatu yang berlaku.

Sementara itu, Pegawai Waran 2 Pulada, Keko Usah berkata, anjing-anjing perang akan didedahkan dengan pelbagai jenis bau-bauan terlebih dahulu agar ia lebih peka dengan persekitarannya.

"Proses ini memakan masa selama enam bulan, biasanya setiap anjing akan mempunyai seorang penjaga tetapnya. Ketika latihan, pegawai yang terlibat akan membuka baju dan mencampakkannya supaya anjing dapat mengenal bau tuannya," katanya.

PENJAGAAN RAPI

Bagi memastikan tahap kesihatan yang optimum, anjing perang memerlukan penjagaan rapi walaupun ia dilihat lebih lasak dan mempunyai daya tahan yang tinggi.

Menurut Seng Ho, proses penjagaan anjing perang agak remeh dan mempunyai standard "grooming" tersendiri.

"Kandangnya mesti sentiasa dalam keadaan bersih, dicuci dua kali sehari iaitu setiap pagi dan petang. Selepas dicuci, kandang akan dikeringkan sebelum anjing dimasukkan ke dalamnya.

"Anjing juga dimandi selain diberikan ubat-ubatan serta diberikan makanan kering (pallet). Jika jatuh sakit, ada doktor yang akan merawat dan memberikan ubat-ubatan," katanya.

TEMPOH KHIDMAT

Sebagai hidupan bernyawa, tidak ada yang kekal selamanya.

Seng Ho menjelaskan, sepanjang bertugas dengan Unit Anjing Perang, saat yang paling menyedihkan baginya ialah apabila tiba masa "pelupusan".

"Khidmat anjing ini biasanya sehingga ia berusia sembilan tahun. Pada masa ini prestasinya sudah menurun dan tidak cergas lagi seperti berusia enam tahun.

"Ketika inilah kita akan melakukan proses pelupusan melalui suntikan terhadap anjing-anjing ini. Saya sering menangis kerana anjing-anjing ini sudah lama berada di bawah kendalian saya. Tapi tidak ada apa yang boleh dilakukan kerana ini adalah prosedur biasa dalam tentera," katanya.

Norman pohon diberi peluang


BARISAN pengkritik (dari kiri) Adlin, Deja dan Aznil.


INI baru minggu kedua. Berilah saya peluang. Janganlah nilai mereka sekarang. AF (Akademi Fantasia) bukan semata-mata kejayaan saya seorang. Ini kerja berkumpulan. Apa yang saya lihat, prestasi pelajar semakin baik.''

Demikiah luahan Pengetua AF musim kelapan (AF8), Norman Abdul Halim saat dihidangkan dengan persoalan mengenai perjalanan AF8 yang bagaikan hilang seri seperti diperkatakan Joyah Spot di ruangan Panas Seminggu Bersama Joyah Spot, sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Bersandarkan tajuk Mana Magis Norman? Joyah Spot antara lain mempersoalkan ke manakah hilangnya sentuhan magis Norman dalam membawa kembali sinar populariti AF termasuk mengetengahkan kekuatan seni barisan pelajarnya.

Memberi maklum balas mengenai apa yang diperkatakan itu, tegas Norman, adalah terlalu awal untuk memberikan penilaian terhadap hasil kerjanya.

Perubahan, jelasnya, akan datang secara berperingkat dan masih banyak lagi ruang untuknya dan warga kerja AF8 membawa elemen magis dalam akademi musim ini.

"Banyak lagi akan dapat kita saksikan selepas ini. Saingan kalangan pelajar sebenarnya adalah sengit.

"Cuba kita saksikan peratusan undian mereka setakat ini yang tidak terlalu berbeza jurang antara setiap pelajar.

"Bagi saya AF masih relevan dan rating serta undian kalangan penonton juga menunjukkan peningkatan,'' katanya ketika ditemui selepas Debaran AF8 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam Ahad lepas.

Debaran AF8 untuk minggu kedua menyaksikan pelajar dari Ranau, Sabah, Erma Suhaimi atau Ema, 21, menjadi pelajar wanita pertama disingkirkan.

Minggu lalu, Muhammed Shahril Mohd. Saleh Hussein (Shah), 25, tersingkir sekaligus merupakan pelajar pertama yang gagal meneruskan perjuangan di AF8.

Untuk minggu kedua, Ema memperoleh peratusan undian tercorot berbanding 10 pelajar lain.

Ketiadaan Ema seakan menukar persekitaran pembelajaran AF8 apabila tiada lagi pasangan adik-beradik dalam akademi itu.

Ema merupakan kakak kepada seorang lagi pelajar AF8 iaitu Siti Adira Suhaimi (Adira), 19.

Dengan penyingkiran Ema, selain Adira, sembilan lagi pelajar akan meneruskan saingan di minggu ketiga dan mereka adalah Muhd. Shahril Firdaus Eli (Daus), 22; Nadia Emilia Roselan (Nad), 22; Muhammad Alif Kadim (Alif), 19; Zafarina Jamhari (Farina), 28; dan Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), 20.

Peserta lain, Dayang Nor Anum Arjuna Aharun (Anum), 19; Nadiawaty Ainul Basir (Ain), 24; Muhd. Firdaus Maulana Mohamed (Maulana), 22; serta Ahmad Shahir Zawawi (Shahir), 22.

Menyambung kata-kata, jelas Norman, penilaian prestasi terhadap AF8 dan barisan pelajarnya seharusnya dilakukan di akhir minggu nanti.

"Jika mahu membuat penilaian terhadap prestasi pelajar, buatlah di konsert akhir. Untuk menilai saya pula, nilailah apabila saya sudah tidak bersama AF8 lagi.

"Lihatlah bagaimana saya akan cuba membawa mereka ke dalam industri muzik selepas ini,'' kata Norman lagi.

Meskipun begitu, Norman berterima kasih terhadap sebarang komen serta kritikan yang diberikan terhadap AF8 dan akan cuba memperbaiki prestasi AF8 dari masa ke semasa.

Mengenai kekuatan seseorang pelajar yang masih berada dalam AF8, Norman memberitahu bahawa pihaknya mempunyai perancangan untuk membentuk aliran muzik mereka sendiri.

"Kalau kita melihat persembahan artis, kita bukan hanya menjadi pendengar kepada alunan vokal yang mereka lontarkan.

"Segenap aspek akan kita perhatikan termasuk pemakaian dan komunikasi. Inilah yang akan kami bentuk dalam AF8.

"Begitu juga dengan aliran muzik masing-masing. Contohnya Maulana. Dia pelajar yang sukakan irama jazz. Oleh itu, kami sedang cuba membentuk dirinya ke arah yang dia sendiri minat,'' katanya.

Penyingkiran Ema

Ditanya mengenai penyingkiran Ema, Norman berkata, pelajar wanita itu tidak berada dalam senarai zon bahaya seperti yang dijangkanya sebelum ini.

"Saya kecewa kerana dia tersingkir. Persembahan Ema kalau dilihat tidaklah terlalu banyak kesilapan yang dilakukannya.

"Keberaniannya terserlah ketika membawakan lagu Pakai Buang nyanyian Stacy. Saya tidak anggap Ema gagal.

"Saya juga terkejut apabila Maulana berada di tiga tangga terbawah. Dia adalah antara pelajar terbaik,'' ujar Norman.

Debaran AF8 bagi minggu kedua menyaksikan Iwan atau nama sebenarnya Emirza Azwan Zulazrin Chew berada di tangga teratas dengan memperoleh 12 peratus undian.

Untuk minggu kedua, Iwan sememangnya menjadi pilihan kedudukan tiga pelajar terbaik oleh Norman sendiri termasuk dua pengkritik tetap AF8 iaitu, Aznil Nawawi dan Adlin Aman Ramlie.

Selain Iwan, dua pelajar lagi yang mendapat pilihan di kedudukan terbaik kalangan pengetua dan seorang lagi pengkritik undangan iaitu Deja Moss adalah Maulana dan Adira.

Bagi tiga pelajar yang menunjukkan persembahan kurang memuaskan di minggu kedua, Norman melahirkan rasa bimbangnya terhadap Farina, Nad dan juga Shahir.

Ema terima dengan hati terbuka

Dalam pada itu, Ema menerima dengan hati terbuka terhadap apa jua keputusan yang dilakukan oleh penonton.

Agak kecewa kerana tidak dapat meneruskan pengajian di akademi, Ema memberitahu bahawa semangatnya tidak akan luntur dan mahu meneruskan perjuangan dalam bidang seni.

"Sebelum ini saya adalah orang yang tidak memiliki keyakinan yang kuat. Adakalanya malu untuk berhadapan dengan orang ramai.

"Selepas memasuki AF, saya belajar untuk menambahkan keyakinan diri. Saya rasa cukup bertuah kerana memiliki barisan tenaga pengajar yang cukup prihatin dengan masalah saya,'' katanya.

Ujar Ema, dunia seni ada keunikannya tersendiri biarpun di mata sesetengah pihak ia hanyalah satu bidang yang sia-sia.

"Saya berazam untuk terus menyelami bidang seni,'' kata Ema penuh yakin.

Kolaborasi nasyid 1Malaysia



BERGABUNG... Kumpulan Inteam dan Unique berkolaborasi dalam Nur Muhammad - Alunan Selawat dan Qasidah.


SABAN tahun ada sahaja kumpulan baru yang melatari genre irama nasyid tempatan. Saban tahun juga, pelbagai perubahan dari segi susunan muzik diperkenalkan oleh mereka.

Biarpun nama-nama kumpulan baru yang membawakan irama nasyid bagaikan tiada penghujungnya, namun, nama-nama seperti Rabbani dan Raihan misalnya tetap tidak luput ditelan masa.

Tidak terkecuali, kumpulan nasyid Inteam yang suatu masa dahulu cukup terkenal dengan lagu Kasih Kekasih.

Sedekad berkecimpung di arena muzik, Inteam yang kini dianggotai tiga anggota, Mohd. Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun dan Abdul Rahim Osman itu masih lagi bertahan.

Selepas album Allahu Rabbi, kini mereka muncul dengan album terbaru, Nur Muhammad - Alunan Selawat dan Qasidah.

Menariknya, album ini merupakan kolaborasi pertama antara Inteam dan sebuah lagi kumpulan nasyid, Unique.

Album tersebut dilancarkan oleh Pengarah Urusan Inteam Records, Izaham Shah Md. Anuar di Hotel Quality, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Unique sebenarnya bukanlah baru di arena seni. Sebelum ini, kumpulan yang dianggotai oleh tiga anggota iaitu Bazli Hazwan Che Osman, Ahmad Fadhil Abd. Aziz dan Mohd. Fakhrulradzi Kamaruzzaman itu dikenali sebagai kumpulan U.N.I.C.

Album yang diterbitkan oleh Inteam Records Sdn. Bhd., itu merupakan kesinambungan daripada album yang pernah dihasilkan oleh mereka, Nur Selawat empat tahun lalu.

Nur Muhammad merupakan rantaian sebanyak 10 buah selawat termasuk Salamun Salam 2, Binnabil Huda, Nur Muhammad, Medley Selawat, Selawat Kasih, Rabiul Awwal, Balada Selawat, Salam Junjungan dan Selawat Syifa.

Istimewanya album tersebut, sebuah daripadanya iaitu Nur Muhammad disenandungkan oleh gabungan dua kumpulan itu dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu, Tamil, Mandarin, Arab dan English.

Selain memudahkan tujuan promosi nasyid 1 Malaysia itu juga untuk memastikan mesej yang disampaikan menerusi selawat difahami semua.

Wakil kumpulan Inteam, Hazamin memberitahu, sebelum melahirkan album tersebut, Inteam pernah menerbitkan sebuah album Love Allah, Love Rasul untuk pasaran antarabangsa.

"Kami tidaklah senyap. Saban tahun memang ada sahaja produk terbaru yang kami hasilkan," katanya.

Mengenai Nur Muhammad, mereka mempelajari pelbagai bahasa melalui orang Cina dan India yang turut memantau nyanyian kami dari segi sebutan.

"Ini bukan kali pertama kami menyanyikan lagu dalam bahasa lain. Sebelum ini kami pernah juga rakamkan lagu dalam bahasa Urdu iaitu Allah Ya Rabbi.

"Apa yang kami harapkan, dengan memasukkan pelbagai bahasa dalam lagu Nur Muhammad itu akan mendapat sambutan dari mereka yang berbangsa Cina dan India juga," kata Hazamin.

Apresiasi cara Saida, Sairah


SAIDA (kiri) dan Sairah mahu masyarakat menilai bakat mereka tanpa dibayangi Siti Nurhaliza.


UMUM melihat populariti yang dikecapi tidak lain hanyalah kerana mereka merupakan saudara kandung kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Lantas, apabila melangkah kaki ke dunia nyanyian, mahu atau tidak mereka harus membuktikan kesungguhan agar dapat lari daripada bayangan Siti Nurhaliza.

Kerana itu apabila terlahirnya album Apresiasi, baik Saida mahupun Sairah mengharapkan masyarakat dan peminat menerima bakat mereka sebaik-baiknya tanpa dibandingkan dengan Siti.

"Harapan kami cukup tinggi dengan kelahiran album Apresiasi ini kerana setidak-tidaknya ia dapat memberi gambaran jelas kepada semua pihak bahawa kami juga mempunyai bakat tersendiri.

"Tidaklah orang asyik akan berkata kami ini hanya mahu menumpang populariti Siti semata-mata.

"Kami memang akui perkara itu tidak mampu dielakkan kerana kami adik-beradik dan bernaung pula di bawah syarikat keluarga.

"Cuma, ambil sedikit masa dan nilai bakat kami sebaik-baiknya," pinta Saida penuh mengharap sewaktu ditemui di baru-baru ini.

Kerana itu apabila diajak berbicara tentang album Apresiasi, Saida tidak mampu menyembunyikan keterujaannya.

Akui Saida, memang banyak pengalaman sudah ditimba sepanjang hampir dua tahun bergelar artis sebaik sahaja melangkah keluar dari Akademi Fantasia musim keenam (AF6).

Perubahan ketara yang dapat dilihat Saida sudah semestinya kualiti vokalnya kini jika hendak dibandingkan dua tahun lalu.

Mengambil lagu Sedalamnya Cinta sebagai contoh, kata Saida ketika lagu itu dirakamkan dia baru hendak mengenali dunia nyanyian dan masih kekok tentang proses rakaman lagu.

Menerusi single kedua, Dicuri Malam, vokalnya kedengaran lebih matang. Kata Saida, semua itu berkat usaha dan tunjuk ajar mereka yang berpengalaman khususnya daripada Aidit Alfian selaku penerbit album.

"Pendengar dan peminat akan dapat mendengarkan perbezaan kualiti vokal saya menerusi dua lagu solo ini yang dimuatkan dalam album Apresiasi.

"Album ini juga sebagai tanda apresiasi saya kepada semua peminat dan penyokong selama ini," jelas pemilik nama sebenar Siti Norsaida Tarudin ini lagi yang menjadikan Siti dan Rossa sebagai rujukan dalam nyanyian.

Pada masa sama, ibu kepada empat orang cahaya mata berusia dari empat hingga 13 tahun itu juga tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa antara dunia nyanyian dan rumah tangga.

Kata wanita berbintang Sagittarius ini, dia bertuah kerana memiliki keluarga yang cukup memahami dan sentiasa memberikan sokongan padu kepadanya.

"Selalunya saya akan terlibat dengan persembahan di hujung minggu kerana secara tidak langsung saya juga boleh membawa keluarga bersama dan menghabiskan masa bersama mereka," ujar Saida yang memegang jawatan sebagai Pengurus Kewangan di Siti Nurhaliza Productions (SNP).

Jika hendak dibandingkan dengan Saida, hakikatnya Sairah lebih dahulu didedahkan dengan dunia seni kerana zaman kanak-kanak dan sebahagian besar kehidupan remajanya sering bersama Siti ketika persembahan.

pelbagai program

Apatah lagi, dia juga tidak betah duduk diam untuk mencuba bakatnya dalam pelbagai program realiti sehinggalah nasib berpihak kepadanya pada tahun 2006 apabila menyertai uji bakat One In A Million musim pertama.

Biarpun tidak tersenarai sebagai 12 peserta terbaik, tetapi bagi Sairah dia tetap tidak berputus asa dalam mencapai impiannya sebagai seorang penyanyi.

Bersama-sama Saida, dia turut menjalani uji bakat AF6 dan sekali lagi nasib tidak berpihak kepadanya apabila kakaknya yang menjadi pilihan juri ketika itu.

"Lantas, apabila diberi peluang merakamkan album duo dengan Saida, saya berbesar hati kerana impian saya akhirnya terlaksana juga.

"Memang saya tahu akan ada yang berkata peluang itu saya dapat kerana saya ini adik Siti Nurhaliza.

"Tetapi, saya mahu tonjolkan bakat saya yang sebenar kepada umum dan kalau boleh, biarlah saya berdiri dengan bakat saya sendiri tanpa bergantung kepada populariti Siti.

"Bukan itu sahaja, kelahiran Apresiasi bagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah lelah memberi peluang kepada saya," kata Sairah atau nama sebenarnya, Siti Nursairah panjang lebar.

Sairah yang dilahirkan pada 15 Mei 1983 bersyukur kerana single pertamanya, Hero Wayang telah mendapat respon positif daripada masyarakat yang akhirnya dapat menilai bakatnya yang sebenar.

Kini, dia sudah bersedia dengan single kedua, Akhir Cinta yang menonjolkan sisi lain dalam menyampaikan lagu ciptaan Sharon Paul manakala lirik pula oleh PSNN.

"Memang sedikit berbeza dengan lagu Hero Wayang di mana lagunya merupakan dance music yang disuntik dengan elemen hip hop.

"Tetapi, Akhir Cinta menonjolkan bakat saya dalam menyampaikan lagu balada yang berpaksikan muzik rock yang saya kira agak mencabar juga untuk merakamkannya," ujarnya yang benar-benar serius mahu menjadikan nyanyian sebagai karier.

Album Apresiasi turut memperlihatkan Saida dan Sairah bergabung vokal menerusi lagu Tinta Bukan Luka yang dicipta oleh Alim manakala lirik nukilan AD Samad.

Istimewanya album terbitan SNP ini apabila ia memuatkan sebuah lagu khas, Kini Dikau Jauh yang ditujukan khas buat ayahanda tercinta, Allahyarham Tarudin Ismail yang meninggal dunia 15 Februari tahun lalu.

Menerusi lagu ciptaan Aidit dan AD Samad itu, Saida dan Sairah berpadu suara bersama-sama tiga lagi adik beradik mereka iaitu Ayie, Ali dan juga Siti Nurhaliza.

Album Apresiasi yang diedarkan Suria Records itu sudah pun berada di pasaran sejak sebulan yang lalu dan dijual dengan harga RM19.90.

Gaya hidup sihat Michelle


>> DALAM kesibukannya sebagai seorang aktres, Michelle Yeoh sempat mencuri masa menonton perlumbaan Grand Prix Formula One bersama-sama tunangnya, Datuk Seri Jean Todt di Bahrain baru-baru ini.


KEJAYAAN yang dikecapi oleh Datuk Michelle Yeoh sehingga diterima masyarakat antarabangsa sememangnya cukup mengagumkan.

Bermula dengan filem Tomorrow Never Dies, nama Michelle terus mekar dan mengharum sehingga layak membintangi filem-filem hebat selepas itu.

Antaranya ialah Memoirs of a Geisha, The Touch, Crouching Tiger, Hidden Dragon dan The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor yang terus meletakkan namanya sebagai bintang Asia yang disegani di peta perfileman dunia.

Malah, tidak keterlaluan dikatakan jika Michelle dianggap sebagai pelopor bagi aktres Asia lain untuk mengembangkan bakat mereka di pentas dunia.

Dalam meladeni kehidupannya yang sentiasa sibuk dengan pelbagai agenda sebagai seorang anak seni, satu yang pasti Michelle sesekali tidak akan berkompromi ialah tentang cara hidup.

Malah, anak kelahiran Ipoh, Perak itu juga tidak pernah menjadikan kesibukannya sebagai seorang aktres untuk tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat.

"Sesibuk mana kita sekalipun, jangan sesekali kita mengabaikan kesihatan dan senaman itu perlu untuk terus mengekalkan stamina serta membuatkan kita cergas bergerak.

"Apa yang saya perhatikan lewat ini ramai yang menjadikan kesibukan itu sebagai satu alasan untuk tidak bersenam.

"Bukan itu sahaja, pemikiran masyarakat hari ini yang suka mengaitkan senaman dengan gimnasium juga perlu diubah.

"Adakah semata-mata kita tidak boleh ke gimnasium menjadikannya ia sebagai satu tiket bahawa kita tidak boleh bersenam," soalnya kepada hadirin.

Michelle berkata demikian dalam satu pertemuan singkat sewaktu sidang akhbar pelancaran susu terbaru Anlene di ibu negara baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Besar Fonterra Brands Sdn. Bhd., John McKay dan Pengurus Kanan Bahagian Kesihatannya, Joanne Todd.

Dalam usianya yang bakal mencecah 48 tahun pada 6 Ogos ini, Michelle atau nama sebenarnya Michelle Yeoh Choo-Kheng mengakui, tidak lagi mengamalkan rejim senaman seperti mana yang dilakukan ketika usia mudanya.

"Memadai bagi saya sekadar untuk meregangkan otot di mana sahaja saya berada. Saya akan melakukannya walaupun ketika di atas katil mahupun sedang menonton televisyen di atas sofa.

"Malah, sewaktu memberus gigi pun, saya pasti akan melakukan regangan.

"Masyarakat perlu tahu apa yang tubuh mereka perlukan dan ini amat berbeza dengan setiap individu.

"Begitu juga dengan saya kerana apa yang penting adalah mengamalkan diet yang seimbang di mana saya akan lebihkan buah-buahan dan juga sayur-sayuran," ujarnya.

Kebanyakan wanita moden hari ini dilihat begitu taksub dengan kecantikan sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi cantik.

Sebagai seorang wanita Asia yang masih lagi mengekalkan kejelitaan dan elegannya, Michelle mempunyai pandangan peribadinya sendiri apabila diajukan soalan sedemikian.

"Kalau sekadar mementingkan kecantikan luaran sahaja, tidak berguna juga. Bagi saya, kecantikan dalaman itu lebih penting dan saya amat menjaga soal itu.

"Kerana bagi saya, kalau kecantikan dalaman itu dijaga dan dipelihara sebaiknya, ia akan menyerlah secara semula jadi," jelasnya yang baru sahaja dilantik sebagai ikon membaca bagi kempen Marilah Membaca 1Malaysia anjuran Perpustakaan Negara.

Menyentuh tentang peranannya sebagai duta Anlene sejak hampir dua tahun lalu, dia tidak akan menerima tawaran untuk menjadi jurucakap seandainya dia sendiri tidak menggunakan produk berkenaan.

Jelas bekas Ratu Cantik Malaysia 1983 itu lagi, dia tidak mahu menipu masyarakat dengan sekadar menjual wajahnya sedangkan dia sendiri tidak tahu apa yang dilakukannya.

Dalam soal ini katanya, Anlene bukan sahaja menjual produknya tetapi juga menyelitkan informasi yang dapat menyakinkan pengguna.

"Saya bertuah dan beruntung kerana sejak kecil, saya sudah dididik untuk meminum susu oleh ibu saya yang begitu menitik beratkan soal kesihatan.

"Pernah juga dia mengejar saya keliling rumah hanya kerana saya enggan minum tetapi akhirnya, kesedaran itu akan timbul dengan sendiri.

"Inilah yang harus dipupuk sejak kecil agar anak-anak kita akan dapat mewarisinya kepada generasi seterusnya," ujarnya yang kini sibuk dengan penggambaran filem terbarunya, Reign of Assassins.

Badrul Belum Sedia Beri Komen Lanjut

AKTOR Badrul Muhayat, 41, yang dilaporkan diburu oleh pihak polis kerana mengasari isterinya, Julia Daud, 28, masih enggan memberi sebarang kenyataan mengenai perkembangan terkininya.

Ketika dihubungi mStar Online malam semalam, Badrul sekadar memberitahu dia sedang sibuk menguruskan beberapa urusan peribadi termasuklah membuat laporan polis.

"Saya sedang menguruskan beberapa urusan peribadi termasuklah hal keluarga dan laporan polis.

"Saya sangat sibuk malam ini dan tidak dapat beri komen lanjut berhubung berita yang tersebar," katanya.

Mendengarkan jawapan ringkasnya, mStar Online cuba memujuk aktor itu untuk mengulas lanjut. Bagaimanapun, dia menolak untuk memberi sebarang komen.

"Malam ini (semalam) tidak sesuai untuk saya beri apa-apa komen tentang berita itu. Saya sangat sibuk berurusan di balai polis.

"Saya belum sedia untuk beri apa-apa komen lanjut. Cuba hubungi saya semula esok (hari ini)," jelasnya sebelum menamatkan perbualan.

Menurut laporan sebuah akhbar tabloid semalam, isterinya Julia bersama kedua-dua anaknya Siti Norbatrisyia, 2, dan Rohidayat, dua bulan kini berada di kampungnya di Sungkai, Perak, untuk menenangkan fikiran selepas kejadian itu.

Justeru, bunyi tangisan anak kecil yang kedengaran di hujung talian ketika perbualan itu berlangsung sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya adakah Badrul sudah pun menemui keluarganya semula.

Dalam laporan mStar Online semalam, Badrul begitu berang dengan laporan diterbitkan beberapa akhbar tempatan yang mendakwa dia bertindak kejam terhadap isterinya.

Badrul menyifatkan laporan itu sebagai sesuatu yang melampau dan hanya diperbesarkan daripada fakta sebenar yang berlaku.

Nasha Terharu Terima Lamaran Iman Tang!

Nasha tidak mampu menolak cinta barunya yang bernama Nur Iman Tang.

AKTRES jelita Nasha Aziz mengakui dia tidak mampu menolak cinta barunya yang bernama Nur Iman Tang.

Jujurnya kata Nasha, kekasihnya itu begitu luhur menyayanginya. Akur dengan ketentuan jodoh pertemuan, Nasha sudah bersedia untuk bergelar suri rumah pada bulan Jun tahun ini.

Ketika ditemui di hari persandingan sahabat baiknya, Datin Paduka Umie Aida dan Datuk Paduka Khairuddin kelmarin, Nasha yang kelihatan berseri-seri berkata, teman lelakinya Iman Tang sudah pun melamarnya.

"Saya terharu mendapat lamaran darinya. Tapi yang penting sekali ialah keberkatan ikatan perkahwinan itu nanti. Saya juga inginkan restu dari kedua orang tua, dan keluarga.

Kata aktres berperwatakan manja ini lagi, "Saya mahu perkahwinan ini diberkati Allah. Iman akan menjadi ketua keluarga dan dia sedang berusaha ke arah itu, insya Allah.

Model tinggi lampai yang tidak mudah meluahkan rahsia hatinya itu berkata, cinta itu lebih manis bila dipelihara batasan agama.

"Saya agak tradisional dalam soal pergaulan dan perhubungan. Mungkin sebab itu saya ambil masa yang lama untuk menerima lelaki untuk menjadi teman hidup," kata Nasha yang mengakui dia sudah pun membuat perancangan untuk menunaikan umrah terlebih dahulu sebelum mendirikan rumah tangga.

Menurut Nasha, dia dan Iman Tang akan menunaikan umrah pada 10 Mei depan selama dua minggu. Sekembalinya dari sana, jika tiada aral melintang dan sekiranya semua berjalan lancar, Nasha akan disatukan dengan kekasih hatinya itu.

Kebetulan ketika sedang berbual, Iman Tang telah menelefon Nasha dan di kesempatan itu, Nasha telah menghulurkan telefon bimbitnya untuk penulis bertanya khabar. Di hujung sana, kedengaran suara Iman Tang memberi salam dengan penuh takzim.

Tanpa perlu mengorek isi hatinya, Iman Tang berkata, "Saya amat sayangkan Nasha. Insya Allah, kami akan berkahwin Jun ini sekembalinya dari Mekah".

Iman Tang, yang sedang mengikuti kursus kahwin berkata, wajah ayu dan peribadi menarik milik wanita bernama Nasha Aziz ini sudah lama jadi dambaannya. Malah kata Iman Tang lagi, perhubungan dua tahun antara mereka sudah cukup membuktikan yang mereka pasangan serasi.

Bak kata Nasha, "bukan tidak ada sengketa antara kami tapi ia tidak berpanjangan kerana Iman pandai memujuk." Sebelum melepaskan telefon bimbit kepada Nasha semula, Iman Tang sempat berkata, "Dia lah wanita yang saya tunggu-tunggu selama ini.

Saya harapkan Allah pertemukan jodoh kami secepat mungkin. Doakan kami ye..."Sekilas itu juga, wajah Nasha berseri-seri sambil bibir menguntum senyuman seperti sudah maklum apa yang telah disampaikan oleh kekasihnya.

Siti Lancar Produk Kecantikan SimplySiti

Siti bersama produk kosmetik SimplySiti ketika majlis pelancaran di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza melancarkan rangkaian produk kecantikannya, SimplySiti di Hotel Mandarin Oriental, di sini, semalam.

Dengan tagline 'Rahsiaku kini milikmu...', rangkaian kosmetik dan penjagaan kulit wanita itu menampilkan SimplySiti C Bright , SimplySiti New Age, SimplySiti Acne Solution.

Rangkaian kosmetik SimplySiti termasuklah rangkaian Wajah Sempurna, rangkaian mekap mata SimplySiti Mata Bercahaya dan rangkaian mekap bibir SimplySiti For Your Lips Only .

“Alhamdulillah,setelah dua tahun saya membuat analisis dengan bantuan AC Nielsen,akhirnya ia berjaya dihasilkan dan dipasarkan.

“Memang sudah lama saya ingin menghasilkan produk kecantikan sendiri,kini ia menjadi kenyataan.

“Berkat pengalaman menggunakan banyak produk kecantikan dan berjumpa dengan ramai mekap artis, akhirnya terhasillah SimplySiti, katanya ketika majlis pelancaran itu.

Menariknya,Siti bukan sahaja menghasil dan menjual produk-produk itu malah turut menggunakannya.

“Saya mengambil masa berbulan-bulan untuk mencuba produk saya terutama krim Simply 5 yang lebih memudahkan rutin harian. Beberapa kali saya menukar formula untuk menyesuaikan tekstur muka dengan cuaca di Malaysia.

“Ia memberikan lima elemen penting rawatan muka seperti melembapkan, merawat (mencerah, melawan penuaan atau anti-jerawat), perlindungan UV (SPF 20, PA++), dan bedak asas (cecair) dalam satu langkah.

“Yang penting,produk-produk saya halal dan boleh memudahkan wanita Islam untuk menunaikan solat, jelasnya lagi.

Menurutnya, jenama SimplySiti digunakan kerana mencerminkan gaya hidupnya yang praktikal,mudah tapi sentiasa menawan.

Siti berkata, walaupun kumpulan sasaran asal adalah kaum wanita, namun tidak salah jika golongan lelaki hendak mencuba produk penjagaan kulit itu sekiranya sesuai dengan mereka.

Konsep jenama SimplySiti adalah khusus untuk memberikan wanita masakini pada setiap peringkat usia satu penyelesaian untuk kelihatan menawan dalam masa yang singkat dan pada harga berpatutan.

Produk keluaran SimplySiti Sdn Bhd yang dirumus secara saintifik dan telah terbukti secara klinikal itu telah bekerjasama dengan syarikat penyelidikan estetika kecantikan di Korea menggunakan teknologi nano.

Ini bermaksud bahan aktif dalam produk ini lebih cepat diserap ke dalam kulit untuk menghasilkan kulit yang lebih licin, sihat dan berseri.

Produk SimplySiti boleh didapati di hampir 200 buah kedai Watson seluruh negara termasuk beberapa kiosk yang akan dibuka di JB Sentral, Johor Baru pada April ini.

Din Beramboi Koma

PETALING JAYA: Pelawak dan penyampai radio ERA FM, Din Beramboi dimasukkan ke Hospital Selayang semalam dan keadaannya dilaporkan kritikal.

Bagaimanapun, pengarah dan pelakon, Afdlin Shauki ketika dihubungi mStar Online memberitahu bahawa doktor masih lagi menunggu sehingga 24 jam bagi melihat perkembangan Din sama ada stabil atau tidak.

"Doktor mengesahkan Din telah terkena virus kencing tikus, namun masih lagi mencari punca air kencing tersebut dari mana, sama ada dari pemakanan, jangkitan ataupun secara langsung.

"Saya difahamkan ketika itu, Din sedang melakukan penggambaran untuk programnya bersama binatang di Zoo baru-baru ini.

"Saya juga difahamkan berlaku pendarahan dalaman dan buat masa ini dia masih lagi dalam keadaan koma dan kritikal," jelasnya.

Sementara itu, menurut jurucakap Airtime Management Programme (AMP), pihaknya masih belum dapat mengesahkan punca sebenar penyampai itu dikejarkan ke hospital.

"Kita akan memberitahu pihak media jika ada apa-apa perkembangan mengenai Din.

"Sama-sama kita doakan supaya beliau kembali sihat," katanya.

Begitu juga beberapa rakan DJ turut mengesahkan yang mereka juga menerima berita mengenai keadaan Din Beramboi.

Mereka menyatakan rasa terkejut dan sedih.

DJ Suria FM, Lin melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) menyatakan bahawa mereka semua berhasrat untuk menziarahi Din Beramboi di hospital hari ini.

Angan 'Diana In Wonderland'

Diana sering mendapat watak yang lebih dari usianya

KEJELITAAN dan bakat yang seiring mengangkat pemilik nama Diana Danielle sebaris dengan artis kelas A tanah air walaupun baru beberapa tahun menceburkan diri dalam industri hiburan.

Diana atau lebih mesra mengelarkan dirinya D kini mampu tersenyum kerana bukan sahaja lakonan dan duta produk malah dia juga sudah berjaya mengembangkan bakat yang ada kepada bidang nyanyian.

D yang bakal keluar dengan filem terbaru berjudul Magika pada September ini juga mempunyai persepsi tersendiri terhadap fenomena filem di Malaysia.

Menurut pelakon jelita ini, filem berkonsepkan fantasi semakin mendapat perhatian dan tempat di hati peminat-peminat.

“Filem-filem fantasi Disney seperti Alice In Wonderland, Cinderella, Snow White dan sebagainya semakin mendapat tempat. Walaupun filem jenis kartun atau fiksyen namum filem sebegini juga ada menyelitkan unsur-unsur positif.

“Pada saya bukan sahaja kanak-kanak yang suka tengok cerita seperti ini tapi ia mampu menarik seisi keluarga ke pawagam.

“Secara jujurnya saya memang suka tengok cerita-cerita seperti ini, ia tak berat dan sesuai untuk rehatkan minda setelah penat bekerja,” jelasnya yang berangan-angan menjadi Alice In Wonderland versi Melayu.

Gadis berusia 20 tahun ini turut mengakui bahawa dia sering mendapat watak yang lebih dewasa berbanding usia sebenarnya yang masih di peringkat remaja.

“Walaupun saya sering bawa watak wanita dewasa tapi jauh di hati saya teringin memegang watak seperti dalam cerita-cerita Disney.

“Filem terbaru KRU yang berjudul Magika adalah salah satu filem yang boleh saya katakan sesuai dengan jiwa saya. Saya memegang watak Ayu yang tersesat di alam lain dan dalam proses mencari jalan pulang pelbagai kejadian pelik yang saya lalui.

“Watak tersebut tidak begitu berat dan serius, jalan cerita juga simple tapi cara penyampaianya sangat menarik. Pendek kata saya sangat sukakan cerita seperti ini.

“Dalam cerita ini saya berlakon dengan pelakon lebih berpengalaman seperti M. Nasir, Maya Karin, Ning Baizura, Adibah Noor, Vanidah Imran, Nabil (Raja Lawak), Saiful Apek dan Aznil Hj Nawawi.

“KRU sudah nampak trend filem dunia, kalau dulu mungkin kita dilimpahi cerita seram tapi sekarang cerita-cerita seperti ini pula yang mula mendapat perhatian,” jelasnya.

Pelakon muda ini juga berharap agar lebih banyak produksi filem cuba menerbitkan filem-filem fantasi Disney kerana melalui filem barat yang masuk ke Malaysia seperti Alice in Wonderland telah mendapat sambutan yang sangat mengalakkan.

Artis Tak Harap Pada Rupa Antara Kelainan 'Parti HIP TV'

Antara selebriti yang tercalon dalam Parti HIP TV di sidang media Parti HIP TV baru-baru ini.

SELARI dengan azam tahun baru TV9 untuk menjadi sebuah stesen televisyen yang lebih kontemporari dan bertenaga, ia kini muncul dengan Parti HIP TV, sebuah majlis anugerah yang pastinya akan menarik perhatian ramai di persada seni tanah air kita.

Acara ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara para media dan artis.

Seperti yang sudah diketahui ramai, Parti HIP TV agak berbeza dari acara permaidani merah yang lain kerana ia mempunyai konsep dan identiti yang cukup unik dan santai.

Parti HIP TV mempertandingkan 10 kategori kepada artis terpilih iaitu Artis Mat Romeo, Artis Kiut Miut, Artis Bibir Seksi, Artis HIP (Highly Intelligent Popular), Artis Tak Harap Pada Rupa, Artis Melaram, Artis Hot Mama dan Artis Bikin Panas.

Setiap kategori ini telah pun mula ke udara menerusi episod Debaran Parti HIP TV yang disiarkan setiap Jumaat, pukul 9 malam selama setengah jam bermula 8 Januari lalu. Keputusannya akan diumumkan pada malam ini di Kelab Shah Alam setelah dinilai 100 peratus oleh undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menurut Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin, stesen televisyen itu memilih untuk merakamkan majlis itu kerana tahun ini merupakan tahun pertama ia diadakan.

Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin ketika sidang media Parti HIP TV.

“Kalau buat secara langsung, kita memerlukan kawasan yang terbuka serta belanja yang besar. Tetapi kali ini kita hanya menganjurkan majlis secara tertutup untuk 300 orang termasuk rakan artis, media dan VIP dalam industri.

“Kita tak nak lawan award show yang popular seperti Anugerah Bintang Popular dan sebagainya,” kata Rozaina dalam sidang media kelmarin di Sunway Pyramid.

Dalam masa yang sama, mereka turut menerima reaksi positif dan negatif daripada penggiat dalam industri mengenai program itu.

“Kami mendapat maklumbalas yang positif dan negatif daripada pelbagai pihak. Jadi apabila mendapat dorongan daripada penonton, sebab itu kami mengadakan majlis ini.

“Majlis ini juga diadakan bersempena ulang tahun TV9 yang ke-empat,” beritahunya.

Menyentuh tentang pemilihan kategori, kebanyakannya datang daripada kalangan pandangan orang ramai menerusi laman web TV9. Cuma beberapa kategori sahaja yang dipilih oleh pihak produksi.

Sudah namanya majlis yang penuh santai dan cool, pemenang bagi setiap kategori dihadiahkan sebuah trofi sebagai simbol kemenangan.

Majlis itu telah dirakamkan dan disiar menerusi TV9 pada 2 April ini, Jumaat selama 90 minit bermula pukul 10 malam.

Berikut merupakan nama artis yang tercalon dalam semua kategori:

Artis Mat Romeo – Jehan Miskin, Hans Isaac, Norman Hakim, Zed Zaidi, Remy Ishak

Artis Kiut Miut – Bell Ngasri, Tam, Mila, Stacy, Sari Yanti

Artis Bibir Seksi – Noryn Aziz, Anita Sarawak, Farawahida, Jaclyn Victor, Ning Baizura

Artis Tak Harap Pada Rupa – Khir Rahman, Black Mentor, Dina, Faizal Ismail, Siti Sarah

Artis Melaram – Fouziah Gous, Jaafar Onn, Rosnah Mat Aris, Sheila OIAM, Syafinaz

Artis Hot Mama – Datin Norjuma, Rozita Che Wan, Nora Danish, Amy Mastura, Vanida Imran

Artis Awet Muda – Anuar Zain, N.D. Lala, Rosyam Nor, Datuk Sheila Majid, Sofea Jane

Artis Bikin Panas – Akhil Hayy, Memey Suhaiza, Linda Onn, Azwan Ali, Sheila Rusly

Artis Contoh – KRU, Dr. Fazley, Maya Karin, Raihan, Datuk Siti Nurhaliza

Artis HIP (Highly Intelligent Popular) – Adibah Noor, Afdlin Shauki, Datuk Chef Wan, Fara Fauzana, Upin & Ipin.

Suria FM Semarakkan 'Earth Hour'

EARTH Hour ialah acara tahunan yang diadakan oleh Tabung Alam Sedunia (WWF) pada setiap Sabtu terakhir pada bulan Mac.

Acara tersebut diadakan dengan mematikan lampu selama satu jam untuk membangkitkan kesedaran ke atas perubahan iklim. Padam lampu dan berikan nafas baru kepada bumi! Jadi, light’s out Malaysia!

Sebagai tanda sokongan terhadap kempen ini, Suria FM mengambil langkah untuk turut meraikan Earth Hour selaras dengan kempen alam sekitar yang berlangsung di seluruh dunia.

Restoran My Mum Chicken Rice, Citarasa Linda Onn bertempat di bersebelahan Ampang Point, Ampang menjadi penaja utama yang menaja tempat dan juga makanan.

Seramai 150 orang pendengar bertuah dipilih untuk turut serta dalam meraikan Earth Hour bersama penyampai-penyampai Suria FM.

Turut memeriahkan majlis, Mila dan juga Anna Rafali dijemput hadir untuk memberikan persembahan dan menghiburkan hadirin yang hadir.

Selain itu, Suria FM juga mengambil kesempatan untuk menjadikan malam Earth Hour ini sebagai simbolik kepada majlis penutupan peraduan ‘Lagu Berduit di Suria FM’ yang telah berlangsung sejak 1 Mac lalu.

Peraduan yang memberikan peluang kepada pendengar setia Suria FM untuk memenangi sebahagian wang tunai sehingga RM75,000 berakhir secara rasminya pada 26 Mac lalu dan lebih 70 orang telah berjaya memenanginya.

Sejumlah Krim Pemutih Ditemui Di Rumah MJ

WALAUPUN sudah sembilan bulan namun khabar tentang kematian mendiang Michael Jackson masih lagi diperkatakan.

Setelah berbagai dugaan tentang penyebab kematian legenda ini, baru-baru ini muncul pula khabar bahawa dari surat pemeriksaan ternyata ditemukan sejumlah krim pemutih kulit di rumah Michael Jackson ketika beliau meninggal dunia Jun tahun lalu.

Splash News juga memberitahu bahawa surat perintah penggeledahan yang baru saja tersebar mengatakan bahawa di rumah mendiang telah ditemukan sebanyak 39 botol krim pemutih kulit yang mengandung benoquin dan hydroquinone bersama beberapa ubat penghilang rasa sakit yang didakwa sebagai penyebab kematian Michael Jackson. Dokumen yang baru saja tersebar ini juga disokong oleh pernyataan Alberto Alvarez, bekas pengurus Michael Jackson.

Alvarez mengatakan bahawa Dr Conrad Murray ada mengatakan yang dia harus kembali ke rumah Michael Jackson untuk mengambil beberapa krim pemutih ini agar tiada yang tahu kalau Michael menggunakannya.

Isteri Raul Buat Laporan Polis Terhadap Yuni Shara

PENYANYI Yuni Shara kini terjebak dalam kemelut kisah cinta adiknya Krisdayanti dan kekasih Raul Lemos melalui kenyataan Yuni yang menyatakan Raul sebagai berstatus duda. Malah Isteri kepada Raul, Ata telah membuat laporan polis terhadap kenyataan itu.

"Kami ingin Yuni bertanggungjawab terhadap kenyataannya," ujar peguam Ata, Puguh Wiryawan.

Yuni telah dikecam oleh Ata kerana sering menyebut suaminya sedang berpacaran dengan Krisdayanti itu adalah berstatus duda. Kekasih kepada pelakon Raffi Ahmad itu turut dituntut untuk bertanggungjawab dengan pertanyaannya Isnin lalu.

Selain itu Ata juga tidak senang sedang berantakan dengan suaminya Raul. "Anak guam kami masih dalam status menikah di Timor Leste," kata Puguh.

Menurut Puguh, Ata menjelaskan rumahtangganya masih lagi baik. Anak-anak Ata juga mengeluh dengan khabar kecurangan suaminya dengan Krisdayanti.

Manakala pernyataan Yuni baru-baru ini yang menyebutkan Raul sudah berstatus duda dan pernikahan mereka sedang dalam proses penceraian,menimbulkan kegelisahan kepada Ata.

"Kenyataan itu telah mengganggu secara psikologi anak guam saya," kata Puguh

Malek Noor Kini Bergelar Datuk

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memakaikan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) kepada Abdul Malek Mohd Noor pada istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Pahang sempena ulang tahun hari keputeraan Sultan Pahang di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan, hari ini.

PEKAN: Bekas juara bina badan Asia, Malek Noor hari ini dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran "Datuk" sempena ulang tahun hari keputeraan ke-79 Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober lepas.

Malek atau nama sebenarnya Abdul Malek Mohd Noor merupakan antara 57 penerima DIMP dalam istiadat disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini.

Malek yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Atlet Malaysia Berhad mengucapkan rasa syukur kerana pembabitannya dalam bidang sukan menerima penghargaan Sultan Ahmad Shah.

"Semoga penghargaan ini menjadi pendorong kepada generasi muda yang berkecimpung dalam bidang sukan, namun perlu diingat supaya jangan terlalu berharap untuk menerima gelaran, sebaliknya perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh," katanya yang berkecimpung selama 25 tahun dalam bidang bina badan.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kanan) memakaikan selendang Darjah Kebesaran Mahkota Pahang-Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Datuk kepada Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Datuk Abdul Aziz Ishak.

Penerima DIMP lain termasuk Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Seremban, Ahmad Nasfy Yasin; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Abdul Aziz Ishak; Pengarah Perikanan Pahang, Mohamad Mat Saman; Pengasas dan Pengarah Urusan Yusmira Trading Sdn Bhd, Datin Yusmira Mohd Yusof dan Pesara Askar Orang Asli, Mohd Nor Abdullah.

Sementara itu, ratu rock negara, Ella atau Nor Zila Aminuddin, 43, dan vokalis utama kumpulan Spring, Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail pula merupakan antara 14 penerima darjah Setia Mahkota Pahang (SMP).

Ella berkata, beliau bersyukur dengan penghargaan itu kerana penyanyi rock akhirnya mula dihargai masyarakat dan keadaan ini berbeza berbanding waktu beliau mula-mula menceburi industri hiburan tanah air.

Malek Noor menunjukkan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang diterimanya kepada Ratu Rock Nor Zila Aminuddin yang lebih dikenali Ella selepas istiadat pengurnian Darjah Kebesaran Pahang sempena ulang tahun hari keputeraan Sultan Pahang di Istana Sultan Abu Bakar di sini, hari ini. Ella turut menerima pingat Setia Mahkota Pahang (SMP).
Pada istiadat itu juga, sembilan orang menerima darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), 25 menerima darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP), 10 orang masing-masing menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) dan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) serta 34 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Malaysia Raih Satu Emas Kejohanan Sukan Layar Di China

Pelayar Malaysia bergambar pada hari keenam Kejohanan Pelayaran Asia ke-14 di Shanwei, Guangdong, China, Isnin (29 Mac 2010). Malaysia meraih satu pingat emas menerusi gandingan pelayar pelapis kebangsaan, Khairunnisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohd Sayed. Mereka sekaligus berjaya mengungguli kelas International 420 (wanita).

LANGKAWI: Gandingan pelayar pelapis kebangsaan, Khairunnisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohd Sayed memenangi pingat emas apabila mengungguli kelas International 420 (wanita) pada hari keenam Kejohanan Pelayaran Asia ke-14 di Shanwei, Guangdong, China.

Pengurus besar Persatuan Pelayaran Malaysia Mohd Afendy Abdullah berkata tiupan angin kencang antara 16 hingga 18 knot dengan keadaan ombak yang tidak berubah setinggi dua hingga tiga meter, memberi kelebihan kepada pelayar negara.

Gandingan Ku Anas Ku Zamil dan Mohd Hafizuddin Mazelan pula berjaya merampas kedudukan tangga kedua terbaik keseluruhan kelas International 420 (lelaki) dan peluang mereka untuk memenangi pingat perak adalah cerah, katanya menerusi email kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia turut berpeluang memenangi beberapa pingat lagi melalui pelayarnya yang sedang bertarung seperti pelayar elit, Mohd Romzi Mohamad (kelas Laser Radial), Mohamad Farhan dan Ahmaf Latif Khan (kelas Optimist).

Pada perlumbaan semalam, pelayar pelapis kebangsaan Ahmad Latif Khan memintas rakan sepasukannya untuk menduduki tangga kedua kelas Optimist lelaki manakala Mohamad Farhan ketiga. Pelayar tuan rumah Zhang Xiao mempunyai peluang cerah menggondol emas.

Dalam kelas Optimist wanita, Nurul Izzatul Akmal berada pada tangga kelima dan Nur Liyana Mohd Latif di tangga keenam. Pelayar Thailand Nappakao masih mendahulu kelas itu.

Omar kembali ke penjara Laos


OMAR hiba sambil memeluk ahli keluarganya sebelum berlepas ke Laos dari LCCT di Sepang semalam.


SEPANG - Rakyat Malaysia, Omar Atan, 59, yang ditahan tanpa didakwa oleh pihak berkuasa Laos sejak 13 Mei tahun lalu, meninggalkan keluarganya dalam suasana hiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) semalam untuk kembali ke penjara negara berkenaan.

Ini kerana tempoh pelepasan khas selama 10 hari yang diberi kepadanya untuk bersama anak-anak dan menziarahi pusara isterinya, Allahyarhamah Siti Zaleha Abdullah yang meninggal dunia pada 18 Mac lalu telah berakhir semalam.

Model Satria paling berkuasa




KUALA LUMPUR - Proton Holdings Bhd. melancarkan model berprestasi tinggi, Proton Satria Neo R3 Lotus Racing Edition (gambar) yang ditawarkan pada harga RM115,000 sebuah.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya buat masa ini hanya mengeluarkan 25 buah kereta itu dengan 11 tempahan telah diterima.

Din Beramboi kritikal


Keluarga terdekat dan rakan-rakan artis melawat Din Beramboi di Hospital Selayang semalam.


KUALA LUMPUR - Deejay radio popular yang juga personaliti televisyen, Din Beramboi (gambar), kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang di sini sejak petang semalam kerana dipercayai dijangkiti virus kencing tikus.

Anak sulung beliau yang hanya mahu dikenali sebagai "Kakak" berkata, bapanya mungkin mengalami jangkitan haiwan tersebut selepas menjalani penggambaran rancangan kanak- kanak di Zoo Negara beberapa hari lalu.

"Saya terkejut dan sedih sebab ayah sebelum ini sihat dan tiada tanda-tanda sakit. Mulanya kami sekeluarga ingat ayah kena denggi.

"Mungkin ayah kena jangkitan virus haiwan itu ketika di Zoo Negara.

"Sepatutnya setiap krew yang terlibat disuntik dengan vaksin khas untuk menghindari sebarang jangkitan," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Hospital Selayang semalam.

Peniaga dakwa ditipu deejay radio


SEORANG mangsa, Seri khairunnisa menunjukkan tapak bazar Ramadan yang dijanjikan oleh deejay Isma Halil Hamzah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur tahun lalu.


KUALA LUMPUR - Seramai 47 peniaga mendakwa kerugian RM105,000 ekoran kegagalan deejay radio, Isma Halil Hamzah menyediakan tapak bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini tahun lalu.

Bagaimanapun mereka gagal menjalankan perniagaan kerana deejay itu gagal menyediakan tapak tersebut seminggu sebelum Ramadan.

MEB tingkat pendapatan rakyat


NAJIB ketika berucap mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan mengubah ekonomi Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif serta berada pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, MEB akan menghasilkan manfaat bagi semua rakyat Malaysia di mana pendapatan per kapita boleh meningkat kepada RM48,997 (AS$15,000) menjelang akhir dekad daripada RM22,865 (AS$7,000) seorang kini.

Mayat janin dalam balang gula-gula


JANIN bayi yang ditemui dalam balang gula-gula di Jinjang Utara, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Meskipun kejadian buang bayi banyak dipaparkan di akhbar akhir-akhir ini, namun ia masih tidak memberi keinsafan kepada si pelakunya.

Kelmarin, mayat janin perempuan berusia antara tiga hingga empat bulan yang masih bertali pusat ditemui di hadapan Tokong Foo Yan di Jinjang Utara di sini.

Mayat tersebut ditemui disumbat di dalam balang gula-gula setinggi 0.1 meter oleh seorang pengawal keselamatan, M. Joseph, 33, pada pukul 11.30 malam.

Lebih 100 bilik pelacur dimusnah


SEBAHAGIAN daripada lebih 100 bilik untuk tujuan pelacuran dirobohkan oleh kakitangan DBKL di Brickfields semalam.


KUALA LUMPUR - Meskipun telah diserbu empat kali sejak 2007, 18 premis yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar Brickfields di sini tidak serik dan terus menjalankan operasi.

Dalam operasi bersepadu terbaru pagi semalam oleh beberapa jabatan kerajaan, pihak berkuasa bertindak merampas pelbagai kemudahan di premis terbabit dan memecahkan sekatan-sekatan yang dijadikan lebih 100 bilik untuk tujuan pelacuran.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rolan Abd. Rahman berkata kali terakhir premis itu diserbu adalah pada pertengahan tahun lalu.

"Dalam operasi hari ini (semalam) kami merampas kemudahan-kemudahan yang terdapat di premis itu seperti televisyen, kipas dan tilam," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Operasi itu melibatkan DBKL, polis, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

Bekalan air dan elektrik ke premis terbabit dipotong oleh Syabas dan TNB.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana operasi semalam itu telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada penyewa premis terbabit.

"Kita beri notis kepada mereka kerana ini arahan daripada Datuk Bandar, Datuk Ahmad Fuad Ismail sebab penyewa membina sekatan untuk dijadikan beberapa bilik dan juga menggunakan premis itu untuk tujuan yang tidak dibenarkan," katanya.

Rolan berkata, pihaknya akan mengesan pemilik premis terbabit untuk menasihatkan mereka agar menyewakan premis bagi tujuan perniagaan lain dan bukannya untuk pelacuran.

'Keldai' dadah Jepun didakwa


MARIKO diiringi keluar selepas mengaku tidak bersalah mengedar syabu di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seorang bekas jururawat warga Jepun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan mengedar 3.49 kilogram (kg) syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini tahun lalu.

Tertuduh, Mariko Takeuchi, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Jepun.

Malek Noor bergelar Datuk


MALEK NOOR bersama Ella selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang semalam.


PEKAN - Bekas juara bina badan Asia, Malek Noor semalam dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun hari keputeraan ke-79 Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober lepas.

Malek atau nama sebenarnya Abdul Malek Mohd. Noor merupakan antara 57 penerima DIMP dalam istiadat yang disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini.

Ramai pelajar tersingkir awal

KOTA BHARU - Pos Malaysia Berhad mengesan sebahagian besar daripada kira-kira 120,000 pelajar yang menyertai Pertandingan Menulis Surat Kepada Perdana Menteri yang diadakan baru-baru ini, tidak memahami teknik penulisan surat.

Pengerusi Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Tan Sri Aseh Che Mat berkata, pihaknya bimbang jika masalah itu berpunca daripada ledakan teknologi siber termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) menyebabkan generasi muda hari ini gagal menguasai teknik dan gaya penulisan surat dengan betul.

"Selepas pertandingan dilanjutkan tarikh tutup pada 19 Mac lalu, kita menerima tambahan penyertaan sehingga melebihi sasaran sebenar 100,000.

"Namun begitu, sebahagian besar penyertaan itu tidak menepati format penulisan surat yang telah ditetapkan oleh Pos Malaysia.

"Kemungkinan kecanggihan teknologi yang tertumpu kepada SMS menyebabkan ramai yang tidak mahir lagi menulis surat dan terlupa caranya," kata beliau selepas melancarkan Mentor Protege dan Laman Web Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas serta Anugerah Juara 2009 di sini semalam.

Beliau berkata, tindakan tertentu mungkin boleh diambil bagi mengatasi kelemahan yang berlaku agar tidak berulang pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Pos Malaysia, Datuk Rohaiza Hashim ketika dihubungi berkata, pihaknya melakukan proses penapisan dan penyingkiran terhadap penyertaan yang tidak mengikut format ditetapkan.

"Proses pengadilan sebenar akan dilakukan oleh 28 orang profesional dari Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Pelajaran," katanya.