Thursday, November 26, 2009

Gema Zafana terus bergema

"Selain Johor yang berusaha keras mengangkat tarian zapin, saya juga berharap agar negeri lain dapat mengikut langkah mereka untuk mengangkat kebudayaan dan kesenian masing-masing" – ADNAN


PENGLIBATAN pelbagai peringkat usia penari semasa pementasan Gema Zafana 2004 menyebabkan persembahan tarian mereka sangat menghiburkan.


PERNAH meraih tumpuan membanggakan setelah bertamu di Istana Budaya buat julung-julung kalinya pada tahun 2004, pementasan Gema Zafana yang menampilkan keindahan persembahan zapin dari negeri Johor kini muncul sekali lagi.

Mengambil lokasi sama seperti sebelumnya, pementasan dikenali Gema Zafana 2009 yang direalisasikan oleh Kerajaan Negeri Johor menerusi Yayasan Warisan Johor kali ini muncul di Panggung Sari selama empat hari berturut-turut bermula 26 hingga 29 Disember nanti.

Cuma timbul sedikit gundah-gulana dan keraguan yang bersarang di hati. Andai sudah menerima sambutan memberangsangkan dan dipuja sana sini oleh khalayak, mengapa tempoh lima tahun diperlukan untuk memunculkan semula pementasan Gema Zafana.

Timbalan Ketua Pengarah Artistik Istana Budaya, Mohamed Adnan Hamzah punya jawapan tersendiri berhubung perkara tersebut.

"Tidak dinafikan, kami di Istana Budaya begitu mengalu-alukan penyertaan pelbagai pihak yang berhasrat ingin mementaskan hasil seni dan persembahan masing-masing.

"Biarpun mengamalkan dasar terbuka namun kami juga mengambil berat aspek ketelitian terutama kepada sebilangan pihak yang hendak mengangkat nilai kesenian dan estetikanya di sini.

"Walaupun Gema Zafana pernah dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 2004, pihak kami tetap meneliti semula serta membuat penilaian terlebih dahulu terhadap pengisiannya, apatah lagi untuk muncul kali kedua menemui peminat.

"Tidak semua karya di luar sana yang boleh diangkat ke Istana Budaya. Justeru kami memastikan pementasan Gema Zafana 2009 ini benar-benar mengikut piawaian yang ditetapkan," jelasnya semasa ditemui pada sidang media pelancaran Gema Zafana 2009 di bilik Seri Nilam, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Asiah Md. Aris; Pengarah Yayasan Warisan Johor, Jamal Johan dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Istana Budaya, Nik Kamaruzzaman Nik Husin.




Mengukuhkan lagi bicaranya tentang prestij Gema Zafana 2009 yang bakal membuka tirai di Istana Budaya, Adnan berkata pihaknya mendapati Yayasan Warisan Johor menjalankan pelbagai kaji selidik dan pemerhatian menyeluruh untuk mengangkat tarian zapin.

"Yayasan Warisan Johor dilihat bersedia sepenuhnya untuk mengenengahkan Gema Zafana 2009 ditambah mereka tidak mengikut bulat-bulat persembahan yang pernah dilakukan sebelum ini. Bahkan nilai-nilai asal tarian zapin kali ini dimartabatkan dengan lebih baik.

"Selain Johor yang berusaha keras mengangkat tarian zapin, saya juga berharap negeri lain dapat mengikut langkah mereka untuk memartabatkan kebudayaan dan kesenian masing-masing," jelas Adnan yang memberitahu jumlah yang diperuntukkan untuk menjalankan kajian zapin memakan perbelanjaan sekitar RM30,000.

Persembahan tidak klise

Bercakap tentang kelainan pengisian persembahan Gema Zafana 2009, On Jaafar yang mengepalai tanggungjawab pengarah artistik berkata ada beberapa pembaharuan yang ingin diketengahkan dalam persembahan kali ini agar tidak klise atau sama seperti apa yang sudah dipersembahkan pada tahun 2004.

"Saya dan seluruh tenaga produksi Gema Zafana 2009 berjanji untuk mempersembahkan elemen istimewa dengan efek tersendiri bagi memukau penonton selama dua jam persembahan.

"Gema Zafana kali ini perlu bersifat fleksibel, tidak boleh terikat dan terkongkong berbanding pementasan sebelumnya. Kami dapat idea untuk menjalankan Gema Zafana 2009 sambil mengikut trend semasa.

"Kita kenalah ikut peredaran waktu terutama dalam menampilkan gerak tari lebih moden, reka bentuk pentas dan perubahan muzik daripada Gema Zafana sebelumnya.

"Secara tidak langsung, persembahan ini mendapat suntikan terbaru daripada peminat zapin Johor sekali gus dapat dijadikan sebagai bahan rujukan kepada orang lain," jelasnya tentang signifikan Gema Zafana 2009 dalam masyarakat moden ini.


DARI kiri: On Jaafar, Nik Kamaruzzaman, Asiah, Adnan dan Jamal semasa sidang media pementasan Gema Zafana 2009 di Istana Budaya baru-baru ini.


Sambung On lagi, pertunjukan Gema Zafana pada 2004 mengenengahkan perjuangan jati diri daripada adat resam dan rentas kehidupan orang Melayu.

"Pementasan Gema Zafana 2009 dilihat menampilkan jiwa zapin tersendiri dengan penggunaan instrumen gambus yang melatari awal persembahan. Pengakhiran pementasan ini pula tidak hanya menunjukkan gerak tari namun ada menyelitkan semangat kekentalan dan mesej ringkasnya tersendiri.

"Tiada sebarang isu berat yang diketengahkan dalam pementasan Gema Zafana 2009 kerana kami mahu penonton yang datang merasai kesegaran serta tidak berasa tertekan melihat persembahan ini.

"Paling menarik, ia bakal menghimpunkan sebahagian versi zapin yang terdapat di Johor seperti zapin Putar Alam, zapin Lenga Batu 28, zapin Sri Bunian, zapin Pekajang, zapin Tenggelu, zapin Padang Sari, zapin Sarawak dan zapin Terengganu.

"Jenis-jenis zapin inilah yang diangkat oleh kerajaan Johor dengan setiap kajian menyeluruh dijalankan agar penonton kelak tidak menerima sebarang kesalahan fakta dan maklumat.

"Dengan jumlah penari dan seluruh warga kerja Gema Zafana 2009 seramai 200 orang itu nanti, saya percaya bahawa pementasan zapin ini bakal menampilkan kelainan dan keunikan tersendiri ditambah dengan penggunaan lagu-lagu seperti Dodoi Anak, Mentera Semerah Padi, Awal Bismillah dan lain-lain.

"Buat masa ini, kami sedang memikirkan nama-nama besar dalam dunia seni seperti Datuk Rahim Razali, Ramli Sarip, Azlina Aziz dan ND Lala untuk menyemarakkan Gema Zafana 2009. Saya harap impian untuk menjalankan kolaborasi dengan mereka tercapai nanti," akhiri On.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: