Thursday, September 10, 2009

Dengarnya...: KRU kembali ke pentas selepas dua tahun



TRIO adik-beradik ini akan mengadakan persembahan eksklusif di Brunei seminggu selepas raya.

BARU-BARU ini, beberapa teman Cik Normah pergi berbuka puasa bersama adik-beradik KRU di sebuah hotel terkemuka di ibu kota. Khabarnya, meriah jugalah suasana di tepi kolam renang malam itu, apabila Norman, Yusry dan Edry melayan rakan wartawan yang selama ini banyak membantu mereka dalam dunia seni.

Dalam rancak berborak, seorang teman bertanya kepada Norman, apakah kumpulan KRU masih wujud? Maklumlah, sejak akhir-akhir ini, nampaknya mereka bertiga lebih bertumpu kepada penghasilan filem. Judul demi judul diterbitkan oleh KRU Studios seperti Cicak-Man, Duyung, Cicak-Man 2, Jin Notti, My Spy, Magika dan Merong Mahawangsa.

Kata Norman, memanglah KRU tidak lagi seaktif dulu dalam nyanyian. Begitupun, mereka masih menyanyi jika ada keadaan yang memerlukan mereka berbuat begitu. Contohnya, tidak lama dulu mereka berduet bersama Mawi menerusi lagu Sujud.

Malah, kira-kira seminggu selepas raya, ketiga-tiganya akan terbang ke Brunei untuk mengadakan sebuah persembahan di sana. Kalau tak silap Cik Normah, persembahan itu bukan calang-calang, bertaraf VVIP lagi.

Mula-mula tu, Cik Normah macam tidak percaya apabila masih ada permintaan untuk mereka muncul di pentas nyanyian. Maklumlah, katanya, sudah dua tahun kumpulan itu tidak mengadakan persembahan di depan khalayak. Namun, tidak bermakna kumpulan adik-beradik ini sudah hilang taring.

Kata Norman, walaupun sudah tidak menerbitkan album sendiri, tetapi mereka tetap akan mengadakan kerjasama dengan mana-mana artis yang dilihat sesuai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: