Sunday, January 4, 2009

Semoga Kejayaan Hiasi Industri Hiburan Musim 2009

TAHUN masihi 2008 sudah berlalu pergi dan tidak akan kembali lagi. Hari ini memasuki hari keempat kita menghirup udara 2009 dengan semangat dan iltizam baru. Biarpun ia sekadar kata-kata di mulut, kita harus tetap sematkan semangatnya supaya menjelma di hati dan disusuli tindakan dan usaha supaya tahun ini akan menjanjikan keadaan lebih baik daripada yang lalu.

Kata pujangga, hari esok harus lebih baik daripada semalam. Maka, kita seharusnya ada kekuatan untuk berubah menjadi lebih baik. Memang sukar untuk berubah menjadi lebih baik dan berjaya kerana perlukan komitmen, disiplin, usaha dan ikhtiar tetapi percayalah kalau sikit demi sikit kita memulakannya, ia akan berhasil juga.

Dalam industri hiburan juga begitu. Penggiat seni, karyawan dan artis yang bergelumang dengan kerjaya dalam bidang perfileman, muzik, teater dan penyiaran harus tanamkan semangat baru untuk menjadi penggiat seni yang lebih baik dan mencapai mutu yang boleh dibanggakan peminat dan masyarakat, bukan terus leka di takuk lama atau hanyut dibuai populariti sedangkan kerjaya mereka tidaklah sehebat mana berbanding publisiti dan kemeriahan glamor.

Sepanjang tahun lalu juga ramai yang menyedari cerita bersifat peribadi dan kisah sensasi artis yang lebih mendapat tempat dalam media massa serta menjadi bualan ramai. Kenapa jadi begitu? apakah salah media atau sengaja wartawan hiburan . Sebenarnya sepanjang tahun lalu juga menyaksikan musim kerjaya artis secara keseluruhan jatuh pada tahap yang mengecewakan dan boleh dianggap teruk. Tidak ada kejayaan besar yang boleh dibanggakan, malah tidak ada satu pun karya muzik atau filem sepanjang tahun lalu yang boleh dianggap menjadi bualan ramai dan mencetuskan fenomena.

Kejayaan yang diraih pada majlis anugerah tertentu sekadar untuk mengisi kuota dan memenuhi pertandingan yang ada. Sebaliknya karya dan kerjaya artis yang menang itu pun tidaklah segah mana. Semuanya indah khabar dari rupa. Begitu juga artis paling popular masa kini, Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza juga tidak meninggalkan hasil kerjaya yang bermutu dan meninggalkan bekas sebaliknya kisah peribadi dan sensasi serta kontroversi yang lebih menjadi bualan sebagai menutup kekurangan mutu karier mereka sepanjang tahun lalu.

Kisah artis dan selebriti terbabit dalam kontroversi, kahwin secara sensasi, kes cerai berai, pemimpin persatuan bergaduh dan bermacam-macam cerita panas dan ada kalanya memualkan banyak berlaku sepanjang tahun lalu dan boleh dianggap musim 2008 adalah tahun paling teruk untuk dunia hiburan di Malaysia. sampai satu peringkat ia boleh dianggap memalukan dan tidak hairan masyarakat kita makin muak dengan cerita artis di negara ini yang sekadar macam tong dram, bising saja lebih tetapi isinya kosong.

Akibatnya, media massa kehilangan berita menarik untuk paparkan cerita kejayaan artis. Wartawan hiburan buntu mencari bahan untuk mengangkat kisah kehebatan artis sama ada dalam negara mahupun di pentas luar negara kerana tidak ada karya yang hebat dilahirkan mereka. Kalau ada pihak kata ada, ia sekadar digembar-gemburkan kosong kerana hakikatnya ia bukan kejayaan pun.

Industri muzik tempatan meskipun ada pertandingan dan majlis anugerah untuk penyanyi dan komposer tetapi realiti sebenarnya ia sedang merudum dan makin teruk, album tidak laku, apresiasi masyarakat terhadap lagu tempatan makin terhakis, muzik luar terutama dari Indonesia makin ghairah mendominasi jiwa peminat muzik dan lebih parah, penggiat muzik masih asyik nak salahkan orang lain dan tuding jari kononnya salah stesen radio, cetak rompak makin banyak dan kena kawal lagu luar. Dulu pun perkara sama berlaku juga tetapi industri hiburan kita tidaklah seteruk macam tahun lalu.

Peliknya, bilangan artis semakin bertambah apatah lagi makin ramai artis baru muncul berikutan pertandingan realiti TV tidak henti-henti dianjurkan tetapi hakikatnya artis yang lahir itu sekadar meriah dari segi populariti saja tetapi mereka gagal menjadi pelapis baru yang berkualiti.

Semoga tahun baru ini dapat menjadi musim yang menjanjikan harapan baru supaya industri hiburan kita tidak terus kelihatan lekeh dan mual. Semoga penggiat seni hiburan kita akan dapat berkarya dengan lebih baik dan banyak kejayaan dalam karier seni akan mengisi ruang dalam media massa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: