|
|
KARIERNYA sebagai pelawak tidaklah lama dan dia masih boleh dikategorikan sebagai pelawak junior. Pun begitu publisiti yang diberi terhadapnya cukup banyak. Peluang dia untuk muncul di kaca televisyen juga cukup meluas. Antaranya menerusi rancangan Bolos, Gaia, Jozan, AC di Sini dan Raja Lawak. Peluang seperti itu cukup bererti bagi anak kelahiran Terengganu ini biarpun masih baru dalam persada seni tanah air.
Mohd. Razizan Abd. Razak, 24 tahun kini telah dikenali ramai. Gandingan mantapnya bersama teman Raja Lawak, Johan, memperlihatkan seolah mereka ini pasangan yang serasi bila di pentas. Namun begitu setiap apa yang dilakukan oleh Zizan di pentas ataupun lawak di kaca televisyen belum tentu dapat memuaskan hati semua orang.
Lumrah, ada yang suka dan ada yang sebaliknya. Persepsi orang ramai berbeza-beza. Zizan juga cukup masak dengan itu semua. Dia sendiri tidak menafikan bahawa tanggapan negatif sudah pasti ada dan cukup merasa berterima kasih dengan pujian dan kritikan yang diberi kepadanya.
Persoalan lawak merapu adalah ungkapan baru baginya. Biasanya sebahagian para pelawak ditohmahkan dengan tanggapan lawak bodoh. Zizan yang ditemubual baru-baru ini juga memberi sedikit penjelasan tentang beberapa persoalan yang diajukan kepadanya.
Dia sendiri mengakui bahawa dia masih mentah dalam dunia lawak ini dan setiap kekurangan yang dilakukan seharusnya tidak dipersalahkan kepadanya seratus peratus.
“Berikan saya peluang, kerana saya masih baru lagi,” kata pelawak yang begitu meminati lakonan dan lawak Afdlin Shauki.
* Pernahkah anda mendapat kritikan sebelum ini?
Pernah, tapi tidaklah teruk sangat. Bagi saya kritikan itu bukan sekadar komen yang ingin menjatuhkan air muka ataupun karier saya, tapi ia sebagai tunjuk ajar. Saya terimanya dengan hati yang terbuka. Kemudian ia saya jadikan teladan. Kita manusia biasa, salah dan silap tu biasalah.
* Anda biasanya digandingkan dengan Johan. Jika tanpa Johan apakah anda boleh membawa karakter ataupun lakukan lawak seorang diri?
Sebelum ini saya di Raja Lawak pun memegang tiket pelawak solo. Tapi setelah keluar dari Raja Lawak saya banyak digandingkan bersama. Tak kisah pun, orang kata berdua lebih baik gitu...!
Kalau berdua idea tu lebih banyak dan ada kesinambungan yang berterusan bila berlawak. Tidak timbul rasa selesa atau tidak, kerana Johan juga berbakat. Kalau dinner show saya pun ada buat lawak solo. Tengok keadaanlah. Kalau saya kena buat solo, saya kena buat banyak persiapan mental dan mencari idea yang lebih sebab idea kena fikir sendiri. Kalau berdua, bolehlah kita berkongsi idea.
* Mana lebih selesa, lawak solo ataupun dengan Johan?
Dua-dua suka dan dua-dua tak ada masalah.
* Berapa bayaran yang tertinggi pernah anda dapat?
Nak cakap ke.....takutlah!
* Di pentas ataupun munculnya Zizan, pastinya anda selalu membawa ataupun terbawa-bawa watak lembut. Kenapa?
Ye ke....ha ha ha he he (ketawa gaya lembut). Saya tahu dan saya sedar juga hal itu. Bukannya apa, sebelum saya jelaskan jangan ada yang salah faham ya. Saya tahu karakter itu pasti akan ada bila saya buat lawak, Bukannya apa, saya sebelum ini banyak berkawan dengan golongan lembut, jadi cara pergaulan seperti itu terbawa-bawa. Tapi awas, saya tak lembut....ha ha ha. Saya rasa tanpa sedar ia muncul juga. Nak buat macam mana, auw!
* Adakah anda rasa lawak anda sudah cukup bagus sekarang, sedangkan ramai yang kata lawak anda banyak yang merapu.
Sebagai orang baru, dalam dunia apa pun kalau baru berkecimpung selama dua tahun, tempoh itu belum cukup untuk mengatakan dia sudah hebat. Bagi saya kalau sudah berkecimpung 10 tahun pun saya tak berani nak kata saya hebat.
Soal merapu tu....lawak ini kadang kala ia bersahaja, dan kadang kala kita pandukan kepada skrip. Kalau idea spontan tu ia datang terlintas di fikiran kita sebut saja. Itulah yang agaknya dikatakan merapu. Bagi saya tidaklah lawak saya tu merapu sangat, Sikit-sikit je la agaknya. Tapi tidaklah dari mula sampai akhir merapu saja. Saya sangkallah kalau begitu. Sikit-sikit adalah sebab tak merapu tak kelakarlah jadinya. Kita bukan bagi syarahan, kalau itu ye, unsur-unsur merapu memang tak boleh masuk sikit pun.
* Mewah dengan kehidupan sekarang?
Biasa-biasa saja, yang penting rezeki tak putus dan saya dapat bantu keluarga di kampung hidup senang sikit dari sebelumnya.
* Dengar show paling tinggi RM15 ribu. Tu yang dapat renovasi rumah di kampung?
Pandai jelah, nak tau aja kita punya harga show tau! Tak kuasa gitu! Jangan cakap macam tu, nanti orang kata kita minta mahal, yang amal percuma pun buat. Yang murah pun terima dan yang mahal macam tu lagi kita terima. Eh termengaku lak! Tapi bayaran yang macam tu saya kongsi dengan Johan. Nak dapat bayaran macam tu nak kata selalu taklah sangat. Suka tau korek rahsia kita tau!
* Apa rancangan tahun ni.
Tahun ini Bolos musim 2 kembali, jadi pengacara Raja Lawak lagi. Terbaru dapat tawaran jadi DJ radio. Tunggu....
* Dengar ada kekasih dah. Siapa dia?
Nak serkap jaranglah tu. Mana ada, kita solo lagilah. Tamboh sket, mude plok tu...tak dok
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: