Kontroversi seolah-olah tidak dapat dipisahkan dengan dunia hiburan tanah air, malah ia juga kadang kala menjadi 'senjata' bagi sesetengah artis untuk mencari populariti murahan.
Hakikatnya tirai 2008 telah berlabuh dengan meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis bagi dunia hiburan. Pelbagai gelagat, telatah dan tindakan yang dipamerkan oleh artis-artis kita biarpun ada antara mereka yang baru setahun jagung berada dalam dunia penuh glamor tersebut.
Persoalannya bagaimanakah dengan perjalanan artis Malaysia bagi tahun 2009. Apakah ia akan tenang tanpa kontroversi? Apakah tahun ini akan sama seperti mana tahun 2008 yang dianggap oleh rakan wartawan sebagai ''merupakan tahun yang paling 'sukses' bagi episod cerai memandangkan terlalu ramai artis yang bercerai''.
Sememangnya sebagai insan biasa tiada siapapun boleh meramalkan apa yang akan berlaku pada tahun 2009. Namun apa yang diharapkan ialah dunia hiburan tanah air akan memaparkan adegan-adegan yang lebih menarik dan menenangkan hati berbanding kisah-kisah kontroversi yang sudah pastilah merimaskan sesiapa sahaja.
Memang benar sebagai selebriti setiap tingkah laku mereka menjadi perhatian dan ikutan, malah mereka juga menjadi topik bualan. Kadang kala pergaduhan antara sepasang kekasih di kalangan artis yang agak popular lebih banyak diperdebatkan berbanding kejayaan Barack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS).
Malah kisah krisis rumah tangga artis juga lebih banyak menjadi tumpuan berbanding keadaan ekonomi dunia yang semakin merudum. Justeru dalam menghadapi situasi ini golongan artis yang terlibat dalam kontroversi termasuk soal kahwin dan cerai harus bijak membawa diri. Jangan biarkan tahun 2009 yang kini kita tempuh akan dihiasi lagi dengan kisah-kisah kontroversi artis yang memualkan.
Memang benar perjalanan hidup ini bukan kita yang tentukan tetapi kita juga harus memahami bahawa kita diberikan kudrat dan fikiran oleh Allah untuk mengubah nasib kita.
Dalam menghadapi situasi ini, golongan artis seharusnya jujur dalam membuat pengakuan dan bersedia menghadapi realiti. Tidak perlulah berdolak-dalik dalam isu yang melibatkan diri kita atau cuba bersikap hipokrit.
Sandiwara
Orang ramai sudah bosan dengan penafian demi penafian seseorang artis apabila mereka dikaitkan dengan sesuatu isu, apatah lagi apabila gosip yang melibatkan diri mereka itu akhirnya memang satu kenyataan.
Dunia kini sudah berbeza, ramai yang berkata pada masa ini 'dinding pun boleh bercakap', kenyataan seumpama itu seharusnya memberikan pemahaman kepada golongan artis bahawa mereka tidak boleh selamanya hidup dalam dunia sandiwara atau cuba menafikan kenyataan.
Sebenarnya, peminat-peminat seni hiburan tanah air juga sudah merasa bosan dengan kontroversi yang berlaku, apatah lagi dalam soal hubungan cinta atau rumahtangga seseorang artis.
Ayat-ayat seperti 'kami bahagia', 'kami hanya kawan biasa' seharusnya tidak perlu lagi diulangi dialognya pada tahun 2009.
Golongan artis harus belajar bagaimana hendak menerima hakikat dan fakta kehidupan. Kita sekarang bukan berada di zaman kuno sebaliknya kita berada di zaman yang bak kata orang, sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya.
Justeru mereka perlu belajar untuk mengerti bahawa perkara yang baik tidak perlu disembunyikan dan perkara yang buruk jangan dilakukan. Ini kerana sebijak manapun mereka cuba menyembunyikan akhirnya ia akan diketahui juga oleh para wartawan.
Ketika itu tidak perlu terpekik terlolong menyalahkan wartawan tetapi salahkan diri sendiri jika menjadi mangsa kritikan atau lebih tepat lagi dianggap hipokrit.
Tahun 2009 juga diharap akan menjadi satu keazaman baru kepada golongan artis supaya berhati-hati dalam tindakan mereka terutamanya tingkah laku yang dilihat mampu melanggari perintah agama.
Pada tahun 2008, kita sudah menyaksikan bagaimana ada di antara artis yang berada dalam proses perceraian atau berada dalam edah melakukan tindakan yang tidak wajar.
Mereka ini berpegangan dengan lelaki lain atau melakukan perbuatan yang terang-terang salah di sisi agama ketika berada dalam tempoh edah. Mungkin mereka tidak tahu, tetapi artis juga hamba Allah yang seharusnya belajar soal hukum-hakam agama selagi mereka bernama seorang Islam.
Adalah sesuatu yang aneh apabila soal perkahwinan yang merupakan soal ketiga selepas hidup dan mati seolah-olah dipandang ringan oleh sesetengah artis. Bagi mereka berkahwin dan bercerai adalah soal biasa kerana "kami adalah artis''. Lebih membosankan lagi kalau ia dikaitkan pula dengan artis-artis antarabangsa yang turut mengalami masalah yang sama.
Tetapi persoalannya wajarkah artis Malaysia hendak dibandingkan dengan artis barat. Majoriti artis Malaysia beragama Islam, oleh itu seharusnya mereka menjadi lebih baik daripada artis barat, bukannya setaraf perangai buruknya dengan golongan berkenaan.
Selain itu, apabila melangkah menunaikan haji dan umrah tidak perlulah ia begitu diheboh-hebohkan, apatah lagi kalau pulang ke tanah air, sikap, telatah dan perbuatan tidak pula mencerminkan bahawa kita berhasrat untuk menjadi hamba Allah yang baik.
Apa pun adalah diharapkan dunia hiburan tanah air pada tahun 2009 akan lebih ceria. Kita sudah tidak mahu lagi mendengar kisah-kisah keruntuhan rumah tangga mana-mana artis. Biarlah tahun 2009 menjadi bukti bahawa biarpun artis kita berada dalam dunia yang penuh glamor tetapi mereka juga insan biasa yang ingin mencari kebahagiaan seperti mana orang lain.
Mereka tidak harus terus memungkinkan orang ramai melihat dunia artis tidak ada apa-apa kebaikan selain daripada kerosakan moral dan akhlak.
Sebaliknya mereka perlu membuktikan bahawa artis mampu menjadi 'role model' kepada orang ramai. Kita berhasrat untuk melahirkan artis yang berkualiti dan bukannya penuh kontroversi.
Tahun 2009 seharusnya menjadi sasaran kepada golongan artis untuk meningkatkan martabat dan imej dunia seni hiburan tanah air. Kita mahu melihat ada artis Malaysia mencapai kejayaan dalam anugerah-anugerah di peringkat antarabangsa yang berprestij dan bukannya hebat di gelanggang sendiri sahaja.
Apatah lagi di tanah air kita sekarang terlalu banyak anugerah hiburan sehinggakan kita tidak tahu yang mana satukah yang terbaik dan yang mana pula yang paling popular.
Ia mengakibatkan kadang kala anugerah yang diterima oleh seseorang artis tersebut lebih berasaskan kepada siapa penganjurnya.
Mungkin sudah sampai masanya pada tahun 2009 ini, mereka yang terlibat menganjurkan pelbagai anugerah tersebut 'menyatukan' anugerah-anugerah berkenaan supaya ia benar-benar diiktiraf sebagai anugerah yang paling popular dan terbaik. Ini kerana menerima anugerah popular tidak semestinya terbaik dan menjadi yang terbaik pula tidak semestinya popular.
penampilan
Dari segi penampilan pula, tindakan sesetengah artis wanita yang memakai pakaian yang terlalu terdedah atau bak kata orang 'tidak cukup kain' dapat dihentikan, tidak kisahlah mereka hendak menghadiri majlis karpet merah atau kuning, apa yang penting corak pakaian mereka pasti akan menjadi tumpuan dan bualan.
Untuk menjadi artis tidak semestinya harus memakai pakaian yang terdedah di sana dan sini. Kita mahu melahirkan artis yang berbakat dan bukannya artis yang hanya bijak menayang tubuh sahaja.
Pada tahun 2009 juga, kita berhasrat untuk melihat golongan artis negara ini setaraf dengan kebijaksanaan minda artis-artis di AS contohnya yang mampu berdebat apa sahaja isu dan bukan sekadar isu hiburan semata-mata.
Kita tidak mahu ada artis yang sehinggakan lagu Dendang Perantau pun tidak tahu siapa penyanyinya. Kalau begitulah tahap pemikirannya, tidak perlulah kita mengharapkan artis-artis kita bercakap soal isu negara dan kepentingan rakyat.
Artis negara ini perlu mempunyai minda yang luas dan tidak hanya terkongkong dalam dunia hiburan semata-mata. Mereka perlu mengetahui perkembangan semasa termasuklah dalam soal ekonomi dan politik negara.
Jika dibandingkan dengan sesetengah negara terutama di Indonesia dan AS ada artisnya boleh berkempen di pentas-pentas politik. Mereka mampu berhujah berhubung sesuatu isu semasa dengan baik.
Sebenarnya ada juga artis kita mempunyai pendidikan yang tinggi dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai isu semasa.
Sebagai contoh, Aznil Haji Nawawi kini mampu masuk ke sekolah-sekolah untuk memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar. Kejayaan beliau ini menjadi bukti bahawa golongan artis sebenarnya mempunyai keupayaan untuk menjadi idola kepada masyarakat terutama generasi muda, kalau kena gayanya.
Malah tidak keterlaluan kalau penulis ingin meletakkan Aznil sebagai artis contoh yang jauh daripada kontroversi. Beliau menjadi idola kanak-kanak kerana idea-idea kreatifnya. Apa yang lebih membanggakan tanpa kontroversi Aznil bukan sahaja menjadi pengacara paling popular di Malaysia malah rancangan yang dikendalikannya juga mendapat pengiktirafan di peringkat Asia.
Semua ini menjadi bukti bahawa kontroversi bukanlah alat utama kepada mana-mana artis untuk menjadi popular, sebaliknya bekerja keras dan terus berusaha meningkatkan keupayaan menjadi tunjang utama kejayaan seseorang artis itu.
Aznil telah membuktikan hakikat ini, tanpa perlu 'bermulut jahat', beliau meletakkan dirinya menjadi pengacara serta artis yang disegani.
Selain Aznil terdapat lagi beberapa artis yang dilihat mempunyai intelektual tinggi seperti pelakon Rosyam Nor yang mampu mengendalikan program bual bicara seperti Fenomena Seni.
Apa pun adalah diharapkan diari 2009 yang baru sahaja bermula akan mencatatkan khabar gembira bagi dunia hiburan dan bukannya terus dihiasi dengan kisah kekalutan artis kita menjalani kehidupan.
Biarlah kekalutan yang berlaku dalam dunia yang penuh glamor tersebut hanya berlaku di negara-negara lain dan bukannya di Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: