HULU TERENGGANU - Menyebut mengenai ikan kelah atau Mahseer, pastinya ramai dalam kalangan kita bukan sekadar membayangkan harganya yang begitu mahal tetapi kesukaran pemancing menjinakkannya kerana ia begitu liar dan sensitif.
Malah, menjadi kepuasan tersendiri bagi kaki-kaki pancing apabila mampu menaikkan ikan yang digelar raja ikan air tawar itu kerana memperoleh kelah bukanlah kerja mudah sebaliknya turut menuntut pengalaman serta kemahiran memancing.
Namun, bagi seorang pemuda di sini biarpun menyedari hakikat tersebut dan mengakui menternak ikan kelah bukannya semudah spesies ikan air tawar lain tetapi ia tidak menjadi penghalang baginya untuk membiak ikan dalam keluarga Cyprinidae itu.
Berkongsi cerita, Mohd Azerri Mohd Radzali, 37, berkata, dia mula serius dalam bidang pembiakan ikan kelah itu sejak Disember tahun lalu selepas mendapat tunjuk ajar Pejabat Perikanan Daerah dan Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar Glami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan.
“Memang ayah dah ternak ikan ini 10 tahun lalu, tapi dunia pembiakan kelah ini agak asing bagi saya sebab sebelum ini dah menetap di Melaka usahakan kedai jual dan baiki komputer kat sana.
"Pertengahan tahun lalu saya ambil keputusan untuk balik kampung jaga perniagaan ikan kelah ini sebab ayah makin uzur," katanya.
Menurutnya, ternakan yang ada pada ketika itu sekitar 600 ekor dan ada yang telah diserang penyakit.
“Walaupun niat saya untuk ambil alih perusahaan ternakan ini tetapi hati ketika itu memberontak sebab tak minat bidang perikanan air tawar. Banyak masa dihabiskan untuk berkebun kerana saya lebih memilih tanam pisang, tebu serta sayur.
“Bagi mengurangkan risiko kerugian pada waktu itu, saya terpaksa jual sebahagian ikan sedia ada dengan harga RM450 sekilogram bagi yang bersaiz di bawah satu kilogram dan RM650 bagi ikan lebih satu hingga dua kilogram,” katanya.

Pembiakan kelah berjaya

Tambah Mohd Azerri, manakala ikan-ikan yang mati dijual dengan harga RM150 hingga RM250 sekilogram kaedah dan cara pemasaran diguna pakai ayahnya tidak menentu kerana hanya membeli daripada kaki pancing sebelum menjualnya semula.
Katanya, tidak mahu melihat usaha dijalankan ayahnya terkubur begitu sahaja dia memujuk hati untuk menyukai dunia ternakan ikan air tawar lalu kemudiannya menuntut ilmu berkaitan ternakan tersebut termasuklah sehingga ke Negeri Sembilan.
“Minat dan kecintaan saya pada kelah timbul secara semula jadi apabila adanya ilmu menternak ikan ini.
Mohd Azerri (kanan) kini ingin terus melangkah ke hadapan dalam bidang pembiakan serta ternakan ikan kelah diusahakannya di Kampung Lubuk Periuk.
"Malah, selepas berjumpa pakar penyelidik ikan kelah daripada Jabatan Perikanan, landskap telah berubah iaitu dari beli dan jual kepada biak dan jual," katanya.
Menurutnya, cubaan kali pertama membiakkan ikan kelah sekitar Disember tahun lalu tidak membuahkan hasil.
"Dengan sokongan pihak berkaitan saya tak putus asa. Alhamdulillah, usaha kali kedua April baru-baru in berjaya membiak lebih 1,000 ekor anak ikan kelah.
"Sekali gus menjadikan perusahaan yang dijalankan ini satu-satunya Pusat Pembiakan Kelah dan Ikan Air Tawar di negeri ini,” ujarnya.
Katanya lagi yang kini mempunyai 50 induk ikan kelah, pencapaian itu pastinya memberikan kepuasan serta kejayaan tersendiri baginya dan menjadi suntikan semangat untuk terus melangkah ke hadapan dalam dunia membiak serta menjual ikan kelah.
Mohd Azerri menambah, harga pasaran ikan kelah iaitu daripada serendah RM5 hingga RM1,300 seekor dengan kumpulan pembeli terdiri daripada peminat ikan kelah, penternak dan kedai-kedai ikan hiasan.

Spesies ikan kelah sensitif

Menyentuh serba sedikit perihal raja ikan air tawar itu, dia berkata, kelah spesies yang sensitif iaitu ia tidak boleh dicucuk untuk melihat kematangan telur ketika proses pembenihannya dan dalam setahun hanya tiga kali pembenihan boleh dilakukan.
“Pembenihan dilakukan pada April, Ogos dan Disember.
Biarpun kelah spesies ikan yang agak liar namun di lubuk kelah Sungai Petang, Tasik Kenyir ini orang ramai berpeluang bermain dan memberi makan. Gambar dirakam lensa Sinar Harian sewaktu Ekspedisi Kelulut Kenyir 2016.
Sewaktu proses ini dilakukan ia memerlukan kemahiran serta pengalaman kerana sekiranya tersilap langkah, telur ikan yang ingin disenyawakan tidak menjadi.
“Sebagai contoh, jika ingin dilakukan pembenihan pada April, penternak perlu mengetahui tahap kesuburan iaitu sama ada minggu pertama, kedua, ketiga atau keempat untuk dilakukan persenyawaan pada bulan itu,” katanya.