SHAH ALAM - Seramai 10 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Jepun atas cubaan menyeludup jongkong emas ke negara itu.
Tangkapan dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Osaka April lalu selepas pihak kastam menjumpai jongkong emas melebihi 100 kilogram (kg) dianggarkan bernilai lebih 500 juta yeb (RM19 juta) itu ditemui dalam beg pakaian kesemua mereka.
Memetik laporan berita Jepun Today, kesemua yang ditahan tidak mengikut prosedur iaitu mengisytiharkan emas yang dibawa.
Ia jelas melanggar undang-undang kastam dan cukai penggunaan Jepun.
Dalam pada itu, kes penyeludupan emas di Jepun semakin meningkat sejak negara itu menaikkan cukai penggunaan daripada lima peratus kepada lapan peratus pada 2014.
Menurut pegawai penyiasat Jepun, pihaknya tidak menolak banyak kes penyeludupan emas yang dilaporkan berlaku membabitkan penumpang penerbangan dari Hong Kong dan Korea Utara.
"Kemungkinan dalang penyeludupan meneroka 'laluan' baru termasuk dari Malaysia," lapor portal berkenaan.
Pada Jun lalu serana lima wanita termasuk empat pemegang pasport Korea Selatan ditahan di Lapangan Terbang Chubu berhampiran Nagoya kerana cuba menyeludup 30kg jongkong emas.
Seorang daripada wanita terbabit mengaku menerima upah 10,000 yen (RM382) untuk setiap 1kg emas yang berjaya diseludup ke Jepun dan menjadikan kegiatan itu sebagai punca pendapatan sampingan.