REMBAU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 156 tong gas petroleum cecair (LPG), dalam serbuan ke atas sebuah stor tidak berlesen di hadapan sebuah rumah, di Rumah Rakyat Chembong, di sini, semalam.
Ketua Cawangan KPDNKK Port Dickson, Firdaus Zakaria berkata, kesemua tong dirampas dengan 56 daripadanya berisi dan selebihnya tong kosong bernilai RM15,000, selepas pengusahanya dikesan menjalankan perniagaan tersebut tanpa lesen dalam Ops Gasak II.
Menurutnya, pengusaha itu merupakan pasangan suami isteri bersama seorang abang kepada pasangan itu berusia lingkungan 50-an.
"Serbuan pada jam 12 tengah hari itu dilakukan oleh lapan pegawai selepas dua minggu risikan dilakukan. Kita turut terima aduan orang awam mengenai aktiviti perniagaan LPG yang menyediakan khidmat penghantaran ke rumah dan ke restoran sekitar Rembau.
"Selain tong LPG, turut dirampas sebuah lori yang digunakan untuk menjalankan perniagaan  itu. Nila keseluruhan rampasan adalah RM25,000.
"Berdasarkan siasatan, pengusaha menyatakan dia kini dalam tempoh percubaan dari pihak pemborong untuk menjual.
"Sekiranya menepati sasaran dia akan dilantik sebagai penjual oleh syarikat pemborong berkenaan," katanya ketika ditemui dalam operasi itu, semalam.
Firdaus berkata, bagaimanapun pengusaha didapati sudah pun menjalankan perniagaan itu di lokasi serbuan selama lebih setahun.
Menurutnya, kesalahan itu dianggap serius kerana LPG barang subsidi kerajaan dan mana-mana individu yang ingin menjalankan perniagaan sama ada menjual secara borong atau runcit hendaklah memiliki lesen daripada KPDNKK.
"Perlu penuhi syarat iaitu yang pertama tempat menjalankan perniagaan disahkan selamat oleh bomba dan kedua jika dijalankan di dalam kawasan PBT (pihak berkuasa tempatan) perlulah mendapat lesen PBT.
"Jika kedua-dua syarat dipenuhi, lesen akan dikeluarkan. Jika nak jalankan perniagaan ini sama ada secara runcit atau borong, mintaklah lesen daripada KPDNKK," katanya.