SEJAK hujung tahun lalu, roti pelangi menjadi tular di media sosial kerana keunikannya dan tarikan pada warnanya.
Roti yang biasanya mempunyai tiga atau lebih warna itu dikatakan mula popular di Johor, sebelum pasarannya diperluaskan ke negeri-negeri lain di Malaysia.
Kakitangan swasta, Nur Delina Hairuddin berkata, roti pelangi menjadi makanan kegemarannya sekeluarga kerana warnanya menarik, selain teksturnya yang lembut, berbanding roti biasa di pasaran.
"Roti pelangi ini lembut seperti roti yang kita biasa makan di kopitiam. Ia boleh dimakan begitu sahaja atau disapukan dengan coklat, sardin atau kari.
"Boleh dikatakan, setiap minggu kami akan makan roti pelangi ini," katanya.
Bagi peniaga roti pelangi, Munira Yaakob berkata, permintaan terhadap roti pelangi aiskrim tinggi, berbanding roti aiskrim biasa, sejak ia mula tular hujung tahun lalu.
"Ini disebabkan warna-warni roti, ditambah pula dengan aiskrim yang menyelerakan membuatkan ia menjadi pilihan ramai.
"Selain roti aiskrim, saya juga berniaga roti pelangi yang siap disapu dengan jem strawberi, kacang dan sebagainya di pasar pagi," katanya yang berniaga di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.
Setiap minggu, Munira akan membeli 50 bungkus roti pelangi daripada pemborong.
"Saya akan ambil bekalan setiap Jumaat dan biasanya akan habis pada Isnin," katanya.

Terima permintaan tinggi

Sementara itu, pemilik FD Supplies Enterprise, Muhammad Firdaus Yahaya berkata, dia mula menjual roti pelangi sejak November tahun lalu, bagi menjana pendapatan sampingan, selain permintaannya yang tinggi selepas ia tular di media sosial.
"Ia mendorong saya untuk memborong roti pelangi terus dari kilangnya di Nusajaya, Johor," katanya yang menjual roti pelangi berwarna merah jambu, biru dan hijau.
Muhammad Firdaus berkata, sehingga kini, syarikat itu mempunyai kira-kira 50 ejen yang menjual roti pelangi di sekitar Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan.
"Roti pelangi kami tiada jenama, ia terpulang kepada ejen untuk meletakkan jenama pilihan mereka dan menyapu inti yang bersesuaian dengan permintaan pelanggan mereka.
"Ia biasanya dijual pada harga pasaran sekitar RM5 hingga RM6 sebungkus, yang sudah lengkap dengan sapuan inti seperti coklat, mentega kacang dan lain-lain," katanya yang berulang-alik ke Johor setiap minggu mengambil bekalan roti pelangi.
Menurutnya, purata tempahan roti pelangi yang diterima FD Supplies Enterprise setiap minggu adalah sekitar 450 hingga 500 bungkus seminggu.
"Setiap bungkus mengandungi lapan keping roti pelangi.
Tempahan roti pelangi pernah kami terima adalah mencecah 700 bungkus seminggu, ketika awal perniagaan," katanya.