KUANTAN - "Seronok dan terasa suasana meriahnya apabila beramai-ramai dalam majlis yang penuh keberkatan ini.
Itu reaksi sepasang suami isteri, Mohd Azreen Muhamad Sufri, 24, dan Wan Nur Fatin Athirah Wan Di, 18, yang turut serta dalam program Ijab Qabul Mega 'Cinta Sampai Syurga 2.0' yang disertai seramai 17 pasangan sekitar Kuantan di sini hari ini.
Mohd Azreen yang juga seorang pembantu pejabat berkata, bersyukur kerana dapat menyertai program tersebut yang disifatkan banyak membantu kepada golongan berpendapatan rendah untuk menamatkan zaman bujang.
Menurutnya, dia mengetahui program tersebut di laman sosial Facebook dan berterima kasih kepada pihak penganjur yang memberikan peluang kepada mereka dengan kos yang berpatutan.
"Lagipun suasana meriah dengan semuanya berjalan lancar dan memberikan kemudahan kepada kami.
"Dan berarak sekitar bandar Kuantan juga memberikan kenangan manis kepada semua pasangan hari ini (semalam)," katanya kepada Sinar Harian.
Program mendapat kerjasama beberapa pihak antaranya Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Dewanita Negeri Pahang,Yayasan Ummah Prihatin Pahang dan Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) Cawangan Kuantan adalah siri kedua selepas siri pertama disertai 21 pasangan pada 1 April lalu.
Penyelaras program, Jihan Mohd Burhaudin memberitahu, setiap pasangan dikenakan bayaran RM2,500 dengan syarat pasangan terbabit berpendapatan bawah RM3,000, berumur 18 hingga 35 tahun dan bujang, duda ataupun janda.
Menurutnya, pihaknya merancang menganjurkan program sama pada September depan.
Dalam program tersebut, kesemua pasangan diijabkabulkan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini sebelum diarak menaiki 17 buah kereta Honda FD diringi motorsikal custom cup hingga ke Dewan Jubli Perak untuk majlis persandingan dan santapan bersama kaum keluarga.
Turut hadir, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuantan, Datuk Seri Abdul Hamid Ahmad Nazahar yang meraikan pasangan terbabit di dewan tersebut.
Bagi Abdul Hamid pula, beliau menganggap program tersebut satu trend yang positif dan banyak membantu pasangan yang kurang berkemampuan.
"Kini ia telah menjadi trend dan saya berharap majlis perkahwinan beramai-ramai pelbagai kaum di bawah satu program dapat dianjurkan selepas ini sesuai dengan kepelbagaian masyarakat majmuk di negara ini," katanya lagi.