ALEPPO - SYRIA. Di sebalik laporan pembunuhan kanak-kanak dan wanita oleh tentera rejim Bashar al-Assad, ramai penduduk Aleppo mengucapkan 'selamat tinggal' melalui media sosial.
Terbaru, seorang penduduk Aleppo, Lina Shamy mengatakan tiada lagi jalan keluar selepas tentera rejim memasuki bandar tersebut.
"Manusia seluruh dunia, bangun dari tidur! Anda boleh buat sesuatu! Hentikan genosid ini!" kata Lina dalam video yang dimuatnaik di Twitter.
Lina yang juga merupakan seorang aktivis membuat ucapan selamat tinggal dan mengatakan video berkenaan adalah yang terakhir.

Seorang wartawan, Bilal Abdul Kareem mengatakan jet pejuang kerajaan semakin 'rancak' menjatuh bom 'bunker busters' untuk memusnahkan ruang perlindungan bawah tanah.
Seorang guru bahasa Inggeris dan aktivis, Abdul Kafi Alhamdo merayu bantuan supaya anak perempuannya dapat diselamatkan.
"Saya harap anda boleh buat sesuatu kepada penduduk Aleppo. Untuk anak perempuan saya, untuk kanak-kanak lain," rayu Abdul.
Seorang wartawan warga Amerika Syarikat (AS) juga menghantar mesej beliau yang terakhir dalam bentuk video yang disulami bunyi letupan dan tembakan.
Kumpulan sukarelawan, White Helmets menyifatkan Aleppo kini 'bagaikan neraka'.
"Mayat bergelimpangan memenuhi jalan dan memenuhi bangunan yang musnah dibom," kata kenyataan dari kumpulan tersebut pada Isnin.