SAN LUIS POTOSI - MEXICO. Seorang bapa telah merakamkan video untuk mengundang rakan-rakan dan kenalan ke majlis parti perkahwinan anaknya, Ruby Ibarra Garcia yang akan diadakan pada 26 Disember ini.
Si bapa, Crescensio Ibarra dikatakan menyiarkan video itu menerusi Facebooknya dengan tujuan untuk menjemput rakan-rakan dan keluarnya ke majlis tersebut.
Bagaimanapun dengan ‘kuasa’ pelik Facebook dan internet, video tersebut menjadi viral dan parti perkahwinan anaknya bakal dihadiri oleh hampir seluruh Mexico!
Sehingga ke hari ini, laman yang diwujudkan khas bagi undangan itu menunjukkan pengesahan kehadiran daripada 1.3 juta individu ke majlis tersebut!
Memetik laporan menerusi Now This Video,  video tersebut mencetuskan fenomena di kalangan pengguna internet.
Pengguna internet mula mencetak kad undangan perkahwinan palsu dan pas masuk VIP (kenamaan) sebagai gurauan di internet.
Malah fenomena tersebut menyebabkan syarikat penerbangan tempatan menawarkan diskaun istimewa sebanyak 30 peratus kepada sesiapa sahaja yang membuat penerbangan ke bandar tersebut.
Crescensio bagaimanapun tampil memberikan kenyataan yang undangan tersebut hanya ditujukan kepada sahabat dan keluarganya.
“Saya minta maaf atas kekeliruan yang berlaku. Bagaimanapun undangan tersebut hanya ditujukan buat rakan dan keluarga terdekat dan bukan untuk dihadiri oleh seluruh rakyat Mexico,” kata bapanya.