PONTIAN - Ketibaan musim air pasang besar memberi peluang kepada penduduk kampung Mukim Serkat menganjurkan sukaneka air di Jeti Nelayan Pengkalan Penghulu Serkat, pagi tadi.
Acara sukaneka air seperti menangkap itik, berenang gaya bebas, menyelam paling lama dan memukul bantal di atas titi kayu dimulakan sebaik sahaja air mula pasang kira-kira jam 11 pagi.
Penghulu Mukim Serkat, Roslan Bohari berkata, penganjuran sukaneka air yang dihidupkan semula pada tahun ini mendapat sambutan cukup meriah dari penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada nelayan.
“Kita mahu bersama dengan penduduk kampung dalam sukaneka air yang sudah lama tidak dianjurkan.
"Kerjasama jitu daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung ( JKKK) Mukim Serkat, Pakatan Nelayan serta pihak Malakoff Corparation, acara sukaneka berjalan lancar dengan kehadiran hampir 500 orang,” katanya.
Jelasnya lagi, kanak-kanak paling teruja dan gembira kerana dapat menyertai acara sukan air yang jarang diadakan seperti menangkap itik dan menyelam paling.
“Masa terluang cuti sekolah kanak-kanak di kampung ini dapat diisi dengan penglibatan mereka dalam acara sukan air. Mereka dapat melihat sendiri acara sukan air yang pernah popular dan paling digemari orang-orang dulu,” katanya.
Bagi memastikan keselamatan peserta, pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pakatan Nelayan bekerjasama memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dengan langkah-langkah keselamatan diutamakan.
Adun Kukup, Suhaimi Salleh berkata, sukaneka air yang dianjurkan penduduk dan nelayan cukup menarik dan unik.
“Suasana cukup meriah sejak pagi tadi dengan kehadiran penduduk  yang tidak putus-putus memberi gambaran acara sukaneka air mendapat sambutan sangat baik.
“Diharapkan acara sukaneka air ini dapat dianjurkan seterusnya pada tahun hadapan bagi menghidupkan suasana kampung di kawasan pengkalan nelayan,” katanya.