DALAM menghitung hari bakal tibanya tahun baru, sebentar tadi telah menyaksikan pelakon cantik Ruhainies telah dilantik sebagai duta produk kecantikan diri, yang diadakan di sebuah kafe Kuala Lumpur, petang tadi.
Gadis bertubuh genit itu mengikat kontrak selama setahun bersama Ameena bermula bulan Disember 2016 dan sekaligus menjadi duta bagi produk tersebut.
Menegaskan tidak menerima tawaran kerana jenama semata-mata, menurut Ruhainies, dia bersetuju menjadi duta Ameena kerana ia sesuai dengan pelbagai usia terutamanya mereka yang kuat bekerja.
"Pada awalnya mereka menghubungi saya menerusi platform media sosial Instagram saya. Ketika dihubungi saya dimaklumkan mereka mahu menjadikan saya duta produk cecair kantung (eyebag).
"Bagaimanapun, mereka tidak memaksa seandainya saya tidak suka. Setelah saya berbincang dengan keluarga dan mencuba selama sebulan akhirnya saya memutuskan persetujuan untuk jadi duta produk Ameena," ujarnya ketika ditemui di Flora Kafe, Ampang, Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan kerjaya pula, Ruhainies berkata, jadualnya akan padat sehingga bulan Jun tahun depan.
"Tahun 2016 ini saya memang sibuk dengan penggambaran drama dan tele. Apatah lagi untuk berehat pun sekadar di dalam Malaysia sahaja.
"Begitu juga tahun depan nanti saya sekali lagi akan sibuk sehingga bulan enam dengan penggambaran drama dan tele.
"Saya akui walaupun sibuk dilokasi penggambaran saya tidal penat kerana cabang lakonan ini adalah minat saya," katanya.