PEMINAT rancangan televisyen popular Running Man meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap produser rancangan tersebut apabila bertindak membuang Song Ji Hyo dan Kim Jong Kook.
Peminat kini meminta agar produser rancangan tersebut tampil untuk menjelaskan perkara kepada umum.
Selain itu, kawan baik kepada penyanyi Kim Jong Kook sendiri mendakwa bahawa produser tersebut tidak setia dan berdolak dalih dalam memberikan kebenaran kepada orang ramai mengenai isu ini.
“Ia satu penipuan untuk menutup kesalahan mereka!” tulisnya di dalam laman Twitter.
Sebelum ini, media Korea Selatan melaporkan bahawa Kim Jong Kook dan Song Ji Hyo akan meninggalkan Running Man kerana ingin fokus terhadap karier mereka.
Bagaimanapun, ketika disoal mengenai perkara tersebut, kedua-dua mereka terkejut dan mendakwa tiada sebarang perbincangan dibuat mengenai perkara ini menunjukkan bahawa pihak pengurusan rancangan tersebut telah membuat keputusan tanpa memberitahu mereka.
Kemudiannya, agensi pelakon Ji Hyo mengeluarkan kenyataan menjelaskan perkara ini kepada pihak media.
“Kami tahu bahawa rancangan tersebut akan membuat satu pembaharuan mulai tahun hadapan namun begitu, tiada sebarang perbincangan yang dibuat mengenai pengunduran aktres Ji Hyo.
“Setakat ini, kami tidak mahu komen mengenai perasaan aktres kami cuma apa yang dikesali ialah kekurangan komunikasi yang membuatkan Ji Hyo meninggalkan rancangan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Agensi Jong Kook juga turut mengeluarkan kenyataan maklum balas mengenai perkara tersebut.
“Benar bahawa kami telah diberitahu bahawa Jong Kook akan meninggalkan rancangan tersebut tetapi ia adalah keputusan satu pihak sahaja.
“Perkara ini sangat mengecewakan kerana dia sangat mengambil berat mengenai rancangan ini,” katanya.
Setakat ini tiada maklum balas yang diterima daripada pihak pengurusan rancangan tersebut serta para peserta yang masih kekal juga mengambil keputusan berdiam diri.
Running Man sudah bersiaran sejak enam tahun lalu dan mempunyai enam orang ahli asal iaitu Yoo Jae Suk, Ji Suk Jin, Haha, Lee Kwang Soo, Kim Jong Kook dan Song Ji Hyo.
Dua lagi ahli asal iaitu Gary dan Song Joong Ki telah meninggalkan rancangan tersebut untuk fokus kepada karier mereka.
Rancangan itu juga mendapat sambutan yang luar biasa di seluruh Asia  dan di Malaysia serta setiap ahli juga rata-rata mempunyai peminat mereka yang tersendiri.