LAGU Damai Yang Hilang telah mengangkat NowSeeHeart menjadi salah sebuah kumpulan nasyid yang dikenali masyarakat, sekali gus berdiri sebaris dengan Rabbani, Raihan, InTeam dan beberapa kumpulan nasyid lain lagi.
Lagu yang mengangkat tema kedamaian tersebut mengisahkan mengenai kesengsaraan rakyat Bosnia yang ditindas tentera Serbia semasa perang saudara yang berlaku sekitar 90-an.
Namun selepas itu, NowSeeHeart yang dianggotai Azahari, Idzhar, Sariman, Huzaimi, Mujahid dan Allahyarham Firdaus seolah-olah hilang daripada pandangan mata masyarakat apabila tiada perkhabaran baru daripada mereka.
Menurut Azahari Abdul Rahman berkata, biarpun tiada berita terbaru dari kumpulannya, namun NowSeeHeart masih lagi aktif membuat persembahan.
“Kami masih aktif lagi dan baru habis buat show di Pulau Pinang minggu lalu.
“Alhamdulillah, NowSeeHeart masih dapat jemputan untuk buat persembahan pada majlis konvokesyen, korporat dan lain-lain,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Malah NowSeeHeart turut mengeluarkan album berjudul Katakan, kira-kira dua tahun lalu di bawah label InTeam Records.
Salah sebuah lagu daripada album tersebut, Fatwa Hati yang menampilkan Jay Jay sering dimainkan di stesen radio IKIM FM.
“Cumanya, lagu kami jarang dimainkan di stesen radio lain. Mungkin itu salah satu sebab lagu NowSeeHeart jarang didengari.
“Selain itu, kami kurang mendapat publisiti daripada pihak media. Apabila media menjemput untuk sesi interview, kami pula tidak hadir kerana komitmen lain daripada setiap ahli,” jelasnya.
Azahari turut meluahkan kebimbangannya mengenai perkembangan terkini industri nasyid yang dilihatnya kurang bersinar sebelum ini.
Bahkan artis baru dilihat lesu dalam memperjuangkan dan mempertahankan genre tersebut setara dengan genre lain.
“Maaf saya cakap, artis nasyid baru tidak serius seperti artis nasyid terdahulu seperti Rabbani, InTeam dan Hijjaz.
“Kalau kita lihat kumpulan ini, passion mereka terhadap nasyid amat hebat sehingga mereka menubuhkan syarikat rakaman sendiri,” katanya dengan nada sinis.
Mengenang kembali sejarah kumpulan nasyid, dia menjelaskan kumpulan nasyid terdahulu bersungguh-sungguh serta bersusah payah bagi mengetengahkan nasyid sehingga ia begitu popular 90-an.
“Kami naik dengan begitu susah. Kami yang buat lagu, kami panggil media. Nak cari baju untuk buat persembahan pun kami buat.
“Erti kata lain, kami buat semua benda sendiri. Malangnya, saya tak nampak generasi baru ini tidak ada effort seperti ini,” katanya.
Azahari memberi contoh penyanyi nasyid, Hafiz Hamidun yang tidak pernah kenal erti penat lelah untuk meletakkan dirinya berada di tahap ini.
Jelasnya, penyanyi tersebut sentiasa bersungguh-sungguh untuk memasarkan album serta lagunya supaya ia dimainkan di radio.
“Artis nasyid baru tanam azam baru, dengan menghasilkan lagu yang berkualiti supaya ia boleh dimainkan di radio.
“Ini juga untuk kepentingan diri mereka juga. Saya yakin mereka boleh melakukannya,” katanya.
Ajar bahasa Arab melalui lagu
Sementara itu, Azahari turut melancarkan album baru berjudul Kitaba untuk mengajar kanak-kanak mengenali bahasa Arab.
Album tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri, iaitu menggunakan beberapa lagu popular yang diubah liriknya.
“Album ini bukanlah terkandung lagu-lagu baru. Kita gunakan lagu-lagu popular dan menukar lirik kesemua lagu itu dengan perkataan Arab.
“Setiap perkataan Arab tersebut akan diselangi dengan maksud perkataan itu dalam Bahasa Malaysia,” katanya.
Idea untuk mencipta Kitaba tercetus setelah mendengar lagu Hindustan popular, Kuch Kuch Hota Hai.
Sedang dia mendengar lagu itu, dia menukar lirik lagu tersebut kepada bahasa Arab dan percubaannya itu terjadi.
“Jadi, saya dapat idea untuk buat projek. Instead saya buat lagu baru, saya minta izin daripada pemilik lagu-lagu ini untuk menggunakan lagu mereka.
“Idea untuk buat album ini sudah lama iaitu pada 2005. Yang lama untuk album ini keluar adalah mendapat persetujuan daripada beberapa syarikat rakaman untuk menggunakan lagu mereka untuk digunakan,” katanya.
Tujuan dia berbuat demikian adalah untuk memudahkan kanak-kanak tahu bahasa Arab dengan cara yang mudah dan menghiburkan.
“Dari pemerhatian saya, budak-budak hafal lirik lagu yang mereka suka dan benda paling cepat budak-budak belajar adalah dengan cara menyanyi. Ini memang terbukti sejak zaman Sesame Street lagi.
“Instead buat lagu baru, saya minta izin daripada pemilik lagu-lagu ini untuk menggunakan lagu mereka,” katanya.
Album tersebut mengandungi 10 lagu yang mengandungi ratusan perkataan Arab asas untuk kegunaan seharian.
Kitaba boleh didapati melalui ejen yang dilantik serta dia sendiri menjualnya semasa melakukan ceramah atau persembahan.
“Anda boleh melayari laman web rasmi Novarts Production untuk membuat tempahan Kitaba,” katanya.